Isnin, 22 November 2010

KELAB 1MALAYSIA ATAU KELAB UMNO?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Saya terbaca tajuk album seorang hamba Allah dalam laman sosial facebook yang tertera "korban...kelab 1Malaysia".

2.Gambar yang dipaparkan itu,jelas menunjukkan individu-individu yang terlibat dalam Kelab UMNO Kaherah,dari penasihat,pengerusi dan beberapa yang lain.

3.Persoalan saya,adakah KELAB 1Malaysia ini adalah penjenamaan semula KELAB UMNO?

4.Atau,sebuah persatuan baru yang baru didaftarkan?

5.Atau,pihak berkenaan,saja gatal-gatal tangan tulis nama tersebut?

6.Jika sekiranya kelab tersebut adalah merupakan penjenamaan semula,saya harap,ianya adalah SAH.Ini adalah kerana KELAB UMNO tidak perlu diubah namanya dan jika mahu diubah,pasti ianya telah diwar-warkan melalui media.Ini adalah kerana,Kelab UMNO adalah merupakan sebuah organisasi mahasiswa yang berkonsepkan kebajikan mempunyai banyak cawangannya di seluruh dunia!

7.Adakah penjenamaan semula itu,hanya terhad di KAHERAH? Bagi saya,penjenamaan semula TIDAK PERLU.Ini adalah kerana,masalah yang dihadapi oleh kelab UMNO Kaherah hari ini,bukan kerana nama KELAB UMNO,akan tetapi mesej kebajikan yang tidak sampai ke mahasiswa kita di Mesir.

8.Era awal 2000 telah membuktikan,hanya dengan nama NADI UMNO,Kelab ini,mampu memperoleh keahlian lebih seribu orang!

9.Pelajar yang susah, dibantu.Ustaz SANUSI,selaku pengerusi tahun 2003 itu,akan terus ke hospital apabila mendapat tahu ada pelajar sakit dan semasa awal semester pengajian,beliau akan menghulurkan sumbangan LE 150 kepada ahli yang kurang berkemampuan terutamanya dari KELANTAN.

10.Oleh yang demikian mesej kebajikan mahasiswa itu jelas tampak di zaman beliau yang menyebabkan mahasiswa kita berbondong-bondong menyertai Kelab UMNO ketika itu.

11.Selaku mahasiswa baru ketika itu,saya pernah mengikuti program ke SINAI dengan tambang yang sangat murah dan ianya adalah kerana mesej kebajikan juga sebenarnya.Bayangkan,Tambang bercuti ke SELATAN SINAI dengan kurang LE 100!

12.Betapa agresifnya mesej kebajikan untuk ahli Kelab UMNO saat itu hingga persatuan lain terutamaya PMRAM dan persatuan kebajikan rumah negeri yang lain memainkan persepsi buruk kononnya KELAB UMNO menyemai "fikrah maddiyyah" atau pemikiran yang berasaskan materialisme kepada pelajar-pelajar baru! Persepsi tersebut bertujuan untuk menakutkan pelajar-pelajar baru dari mendekati Kelab UMNO.

13.Keahlian lebih seribu itu adalah atas nama KELAB UMNO atau NADI UMNO.Jelas,nama KELAB UMNO bukanlah satu faktor untuk penjenamaan semula.

14.Jika nama kelab 1Malaysia itu adalah persatuan yang baharu didaftarkan, saya cadangkan, persatuan tersebut diisi oleh orang yang berkualiti,berani membawa nama SATU MALAYSIA, faham konsep berkenaan hingga mampu menjawab kekusutan rakan-rakan mahasiswa kita berkenaan gagasan ini, menganjurkan program-program yang berguna dan cergas bergerak.

15.Jika ianya hanya satu nama "suka-suka" semata,yang diletakkan oleh pemegang akauan FB berkenaan,saya amat berharap,agar "orang berkenaan" menghentikan perbuatan seumpa itu.Famouskan sahaja nama KELAB UMNO...adakah anda rasa nama tersebut telah hilang keramatnya dan tidak GAH disebut?

fikir-fikirkan....

Khamis, 18 November 2010

AZHARI HARUS TERLIBAT DALAM JIHAD EKONOMI DAN JIHAD BISNESS !!!

Ustaz Yusuf Awang Besar,antara AZHARI yang terlibat dalam jihad bisness atau jihad ekonomi

Old Town White Coffee,antara francais yang sedang berkembang pesat.Adakah ianya milik bumiptera?

Rengit coffee...banyak di Johor


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger yang saya hormati sekalian,

1.Jihad di zaman moden boleh ditafsirkan dengan pelbagai bentuk.

2.Pegangan ekuiti bumiputera masih jauh jika dibandingkan dengan kaum lain di Malaysia.

3.Majoriti bumiputera itu adalah melayu yang beragama Islam.

4.Populasi bumiputera di Malaysia adalah 67 peratus namun bangsa melayu yang beragama Islam ini hanya menguasai ekuiti kurang dari 30 peratus,iaitu 19.4 peratus.

5.Jika dikaji dengan terperinci,angka sebenar penguasaan ekuiti melayu pasti akan mengecil sekiranya tiada syarikat berkaitan kerajaan atau GLC seperti Amanah RAYA berhad,Telekom Berhad dan sebagainya.

6.Antara cara untuk meningkatkan penguasaan ekuiti bumiputera adalah melalui aktiviti perniagaan.

7.Malah,aktiviti perniagaan itu adalah merupakan sunnah nabi S.A.W dan sudah pasti jika seseorang muslim itu menjalankan perniagaan dengan niat untuk mengamalkan sunnah akan diberikan ganjaran sewajarnya disisi ALLAH S.W.T.

8.Inilah motivasi besar yang patut ditanamkan oleh setiap pendakwah untuk menggalakkan umat Islam kita aktif dalam aktiviti perniagaan.

9.Selain itu,untuk meningkatkan imej umat Islam dan memelihara maruah kita,seharusnya JIHAD BISNESS yang pernah dicanangkan oleh Tan Sri Ali Hashim,bekas ketua eksekutif Johor Corparation,kembali dilancarkan dan dipandang serius oleh umat Islam Malaysia.

10.Hari ini,terdapat jenis perniagaan yang dikenali sebagai Francais.Ianya adalah merupakan kaedah pemasaran dan pengedaran yang berteraskan dua pihak,iaitu "francaisor" dan "francaisi".

11.Francaisor adalah pihak pemilik perniagaan dan pemberi hak.Manakala francaisi adalah pihak yang menerima hak.

12.Perniagaan jenis ini masih baru di Malaysia.Kebanyakkan perniagaan jenis ini melibatkan sektor makanan dan minuman.Saya agak terperanjat ketika melihat kampung saya berubah dengan kepesatan perniagaan jenis ini yang boleh disifatkan tumbuh bagai cendawan selepas hujan seperti old town white coffee.

13.Untuk menggalakkan penglibatan melayu dalam bidang perniagaan,francais amat sesuai untuk usahawan kita yang memiliki modal,pengalaman perniagaan dan jaringan perniagaan yang terhad.

14.Suka saya cadangkan agar graduan AL AZHAR yang minat dengan perniagaan agar menceburkan diri dalam industri ini.

15.Pihak francaisor akan membimbing francaisi dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan perniagaan tersebut justeru,pengalaman tidak diperlukan sebaliknya,minat yang tinggi adalah merupakan aspek terpenting dalam menceburkan diri dalam industri ini.

16.Oleh yang demikian,usahawan bumiputera terutamanya golongan AZHARI yang berminat dalam perniagaan akan dapat membina asas perniagaan mereka dengan lebih pantas berbanding dengan cara perniagaan konvensional.

17.Alangkah bangganya kita kelak,apabila melihat adanya AZHARI yang berjaya menjadi francaisor dan industri yang diceburi itu berkembang pesat dengan rangkaian yang luas hingga ke peringkat antarabangsa.

18.JIHAD EKONOMI dan JIHAD BISNESS akan memartabatkan umat Islam di Malaysia dengan penguasaan ekonomi oleh golongan kita.Sebuah negara yang maju,sektor francais akan menjana pulangan yang bernilai TRILION USD kepada negara berkenaan.

19.Gagasan wawasan 2020 mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju mejelang tahun 2020.Itulah kesan pemikiran ekonomi Tun Dr Mahathir.

20.Apa untungnya pulangan kepada negara sehingga bertrilion ringgit sedangkan yang melibatkan diri dalam industri berkenaan bukan majoriti umat Islam !! Jihad ekonomi dan jihad bisness harus kembali dilancarkan...

BANGKITLAH AZHARI !!

Rabu, 3 November 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI AKHIR : KEGAGALAN SEKALI BUKAN SELAMA-LAMANYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

Kesibukan saya ketika di Kaherah telah menyebabkan saya menunda posting entri yang sepatutnya siap sebelum saya bercuti.Saat-saat akhir sebelum berlepas pun saya masih dibebani dengan tugas penting.

Perkara penting yang ingin saya kongsikan kali ini adalah berkaitan penulisan assignment bagi seorang pelajar yang menyertai program coursework atau tamhidi di Universiti Kaherah.

COPY dan PASTE
Macam-macam yang saya fikirkan ketika kali pertama menerima tugasan menyiapkan assignment.Ini adalah kerana semasa di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR,saya langsung tidak pernah dipertanggungjawabkan untuk menulis assignment.

Metodologi yang diguna pakai adalah FAHAM dan HAFAZ semata-mata.Dunia penulisan assignment adalah sesuatu yang baru bagi saya saat itu.Pelbagai soalan bermain di kotak pemikiran saya.Persoalan BAGAIMANA assignment dimulakan? Dengan siapa harus saya rujuk dan apakah tulisan akan diterima kelak atau sebaliknya? tertekan....tambahan pula,saya tidak punya senior yang boleh saya rujuk bahkan saya satu-satu pelajar melayu saat itu.

Senarai tajuk assignment telah diberikan oleh pensyarah.Tugas pelajar adalah memilih tajuk yang sesuai,membuat rujukan,menulis dan seterusnya assignment hendaklah dihantar pada waktu yang ditetapkan.

Setelah saya memilih tajuk,saya mempunyai persepsi bahawa assignment ini sangat mudah berdasarkan bahan rujukan yang banyak.Pada hemat saya ketika itu,proses COPY dan PASTE adalah metod tersendiri memandangkan tempoh pengajian metodologi kajian yang sangat baru bagi saya saat itu.Saya tidak sempat mengusainya.Maka,saya memilih jalan mudah!!

TIDAK LAYAK TULIS TESIS
Hasil dari kelemahan tersebut,saya telah didapati lemah dalam penulisan assignment.Universiti Kaherah sangat memandang tinggi dan menitik beratkan kebolehan seseorang pelajar dalam mengusai metodologi kajian.Kekurangan dalam bidang tersebut akan menggagalkan pelajar.Ini adalah kerana,bagi mereka,penulisan assignment adalah asas untuk menulis tesis.Sebab itu saya katakan dari awal,jika markah assignment kurang dari 30 dari 40 markah,pensyarah akan maklum bahawa pelajar itu gagal meguasai metodologi kajian.

Assignment COPY dan PASTE saya telah dihidu oleh pensyarah.Saya dihukum dengan mendapat markah yang rendah antara 21 hingga 29 sahaja.Saya dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa saya TIDAK LAYAK UNTUK MENULIS TESIS dan mesti mengikuti coureswork sekali lagi pada sesi 2009/2010.

Maka,pada bulan Januari hingga Mac 2010,saya menghabiskan masa dengan pensyarah,perpustakaan dan komputer riba.Saya kurang bersosial saat itu.Sebelum itu,pada bulan Disember 2009 pula,saya sibuk membaca dan berkawan dengan timbunan buku rujukan yang terdiri dari kitab-kitab turath dan modern.

Peristiwa 27 Disember 2009,sangat memberi kesan negatif ketas diri saya.Saya sangat kesal dengan perangai orang yang pasti UMNOnya.Namun,saya menenangkan kembali bahawa UMNO itu adalah perjuangan,hanya segelintir orang seperti yang terlibat yang pernah saya coretkan sebelum ini adalah PEROSAK kepada UMNO.Kalau mesyuarat Kelab UMNO tidak dihormati dan tragedi tumbuk menumbuk membudaya,bagaimana boleh Kelab UMNO kaherah menjana perubahan? saya ketepikan sedaya upaya peristiwa tersebut walaupun saya agak tertekan dengan apa yang berlaku.Saya terus fokus dalam pengajian dan masa depan saya.

COPY PASTE telah berubah kepada Baca,faham dan kemudian saya berbincang dengan pensyarah.Ada pensyarah yang menegur sikap saya yang terlampau "kerap" mengganggu.Teguran sayang itu menyebabkan saya betambah akrab dengan beberapa pensyarah dan ketua jabatan sendiri mengenali saya dan pernah satu ketika,semasa pelajar-pelajar lain bertandang ke pejabat beliau,saya diminta duduk di kerusi sebelah beliau dan diberikan manisan coklat sementara yang lain melihat sahaja dan ramai yang bertanya saya selepas itu sebab keakraban saya bersama beliau.

Seperkara yang perlu anda tahu,samaada di Al Azhar atau Universiti Kaherah,istilah AMPU - MENGAMPU tidak ada dalam kamus mereka.Apa yang perlu dibuat adalah "kesungguhan" menadah ilmu dari mereka akan menyebabkan anda rasa senang belajar.Kegagalan saya sebelum ini telah membuktikan bahawa mereka,pensyarah-pensyarah universiti di Mesir TIDAK BOLEH DI BELI bahkan amanah ilmu mereka sangat tinggi !!!

Maka,dalam penulisan assignment pada tahun 2010,saya tidak lagi meggunakan metod COPY dan PASTE akan tetapi saya pergunakan metodologi kajian yang telah saya pelajari selama lebih setahun sebelum itu.

LULUS DAN LAYAK TULIS TESIS
Apa yang menimpa keatas saya,adalah satu pengalaman pahit yang tidak akan saya lupa selama-lamanya.Istilah GAGAL hanya saya kenal ketika di peringkat coursework Master.Semasa di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR,kelulusan setiap tahun saya adalah JAYYID...

Setiap assignment yang saya tulis,saya amati dengan teliti.Metod NAQL,ISTIQRA dan ISTINBAT adalah metod utama yang saya gunakan.Penat,letih,bosan dan sebagainya menguasai diri.Puas juga akhirnya apabila melihat,markah assignment saya seperti berikut :

1) ISTIHSAN, ANTARA GOLONGAN YANG MENERIMA DAN MENOLAK ( 34/40 )

2) METODOLOGI FEKH ALIRAN HADITH DAN EL RAKYU (IJTIHAD) SERTA PARA IMAMNYA ( 33/40 )

3) AL MAQASID MENURUT PERSPEKTIF SYARAK (31/40)

4) RAFAK EL HARJ (KONSEP MUDAH) MENURUT PERSPEKTIF SYARAK (30/40)

Pada bulan oktober 2010,saya telah LULUS dalam ujian coursework atau tamhidi.Maka,saya kini berada di alam penulisan tesis.Tugas awal sebelum menulis tesis adalah menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang berkaitan penulisan tesis yang dianjurkan oleh pihak universiti.Ianya tidak wajib akan tetapi amat bermakna kepada saya kerana pendedahan yang diberikan sangat membantu saya.

Setelah selesai siri pertemuan,maka bermulalah langkah yang lebih serius.Saya telah megadap KETUA JABATAN SYARIAH,Prof Dr Hussin Samrah untuk mendapatkan arahan seterusnya.Setelah mendengar minat saya yang akan menulis dalam bidang MUAMALAT,maka saya diminta untuk membaca tesis terdahulu berkaitan bidang berkenaan.Setelah itu,saya harus ke 10 buah universiti awam Mesir antaranya UNIVERSITI AL AZHAR,UNIVERSITI AIN SYAM,UNIVERSITI ISKANDARIAH,UNIVERSITI EL MENYA,UNIVERSITI FAYYUM dan banyak lagi.

Saya telah membaca tesis bertajuk SUKUK IJARAH yang sangat berjaya dipraktikkan di DUBAI sebagai instrumen kewangan dalam pembiayaan pasaran modal di sana.Projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa Dubai dibayai oleh sukuk ijarah.Berbanding dengan BON yang penuh dengan riba yang diharamkan syarak,sukuk telah berjaya membiayai projek-projek hartanah dan menarik ramai pelabur.Dari tajuk ini,saya mendapat ILHAM untuk tesis saya.

Saya juga tertarik dengan isu WAKAF.Tajuk tesis yang berkaitan permasalahan wakaf di Indonesia dan penyelesaiannya menurut perspektif syarak telah juga memberikan saya ILHAM untuk satu tajuk tesis.

Apa pun,saya perlu merehatkan diri seketika dan lari dari kesibukan kota sejarah KAHERAH.Saya perlu mencari semangat baru di MALAYSIA dan dalam masa yang sama,saya akan meninjau tajuk-tajuk tesis yang telah dikaji di IPTA Malaysia.Setakat ini,saya telah bertandang ke Universiti Islam Antarabangsa MALAYSIA.Saya juga akan cuba mencari pakar-pakar kewangan Islam di Malaysia sebelum saya akan "bermanja-manja" dengan pakar kewangan Islam di timur tengah.

Alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati bahawa Mesir "KAYA" dengan rujukan MUAMALAT!! Pakar-pakar yang ada dan ramai tersebut,sedang "berkeliaran" di EMIRATES,QATAR,ARAB SAUDI dan KUWAIT!! Antara mereka yang telah saya kenali adalah Prof Dr Asyraf Dawwabah.Berkali-kali saya menghubungi beliau sebelum ini.

Antara tempat yang penuh dengan rujukan kewangan Islam adalah pusat ekonomi Islam Soleh Kamil dan Perpustakaan MUAMALAT Bank Islam Faisal !!! pasti rakan-rakan yang tinggal di rumah Kedah hayyu sabek terkejut !! rupa-rupanya..di hadapan rumah mereka,tersimpan khazanah islam yang sangat mahal harganya untuk mengubah lanskap ekonomi dunia untuk keluar dari jenayah riba dan cengkaman kapitalis!!

Saya akan mula sibuk dengan urusan tesis dan menyiapkannya bermula hujung November apabila kembali ke kota sejarah KAHERAH!!

Salam perantauan dari MALAYSIA.......

Sabtu, 23 Oktober 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI 2 : ANTARA DUA METOD

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

Seperti yang saya janjikan,posting kali ini sambungan dari coretan sedikit pengalaman mengikuti coursework atau tamhidi di Universiti Kaherah setelah bergelar graduan syariah universiti tersohor,AL AZHAR ASY SYARIF.

BAGAIMANA KEMUNCULAN ILMU FEKAH?
Jika kita mengkaji sejarah perkembangan ilmu Fekah yang sampai ke tangan kita hari ini,ianya bermula dengan dua metodologi utama iaitu metodologi yang berasaskan kepada sunnah atau hadith manakala yang satu lagi adalah metodologi yang berasaskan kepada EL RAKYU atau KIAS.

Metodologi pertama berpusat di Madinah manakala metodologi kedua berpusat di Kufah, Iraq.Kedua-dua metodologi ini muncul setelah kewafatan rasulullah S.A.W.

Asas metodologi fekah yang berasaskan kepada HADITH adalah berpegang teguh dengan hadith dan tidak membicarakan isu-isu fekah yang belum berlaku atau dipanggil sebagai "iftiradhi".Maka,sebarang isu fekah yang tidak mempunyai dalil dari hadith mahupun Al Quran,maka,golongan ini tidak akan mengeluarkan hukum dan mengambil pendirian tidak memberikan sebarang ulasan.Faktor utama kemunculan metodologi ini adalah golongan ini mempunyai banyak sumber rujukan dari kalangan para ahli hadith dan kewujudan mereka di tanah Madinah itu sendiri memudahkan mereka memperoleh orang yang faham hadith.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi ini adalah IMAM MALIK BIN ANAS RAHIMAHULLAH,pengasas mazhab maliki bahkan beliau digelar IMAM BUMI HIJRAH atau IMAM DAR EL HIIJRAH.

Manakala golongan yang berasaskan kepada KIAS pula tidak bermaksud mereka menolak hadith dalam menyelesaikan masalah fekah yang timbul akan tetapi mereka berhati-hati dalam menerima sesebuah hadith itu memandangkan faktor politik dimana bermulanya fitnah yang besar ketika itu dengan kemunculan golongan-golongan yang mempergunakan agama dengan mengolah hadith palsu tertentu untuk tujuan meraih kemenangan politik mereka antaranya ialah golongan KHAWARIJ disamping pengaruh terhadap perkembangan ilmu-ilmu falsafah yunani yang diterjemahkan ke bahasa arab.

Oleh yang demikian,golongan yang metodologi fekahnya berasaskan kepada KIAS akan meluaskan skop IJTIHAD atau KIAS bagi tujuan mengelakkan dari terlibat dari jenayah memalsukan hadith dan setiap hadith yang diterima akan disiasat keabsahannya disamping meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat untuk menerima sesebuah hadith.Golongan ini juga terkenal dengan "fekh iftiradhi"nya.Keluasan fekh itu tampak jelas melalui metologi yang diguna pakai oleh golongan ini.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi EL RAKYU atau KIAS adalah IMAM ABU HANIFAH EN NUKMAN,pengasas mazhab hanafi.

Setelah kemunculan kedua-dua metodologi ini,lahirlah pula sebuah golongan yang mengkombinasikan kedua-dua metodologi tersebut.Kumpulan ini dipelopori oleh pengasas mazhab syafie,AL IMAM MUHAMMAD BIN IDRIS ASY SYEFIE AL MUTALLIBI atau terkenal dengan nama IMAM ASY SYAFIE.Mazhab ini dilihat lebih sederhana dan lebih fleksibel.Mazhab ini berkembang luas di seluruh dunia sehingga masyarakat Islam di asia tenggara terutamanya di Malaysia mengguna pakai mazhab syafie secara meluas.

KELEBIHAN UNIVERSITI KAHERAH
Universiti Kaherah adalah sebuah universiti yang berprestij di Mesir selepas AL AZHAR. Universiti ini telah berumur lebih seratus tahun.Universiti ini telah melahirkan ramai tokoh terkemuka dunia,tokoh negara Mesir dan Malaysia,penerima anugerah nobel dan macam-macam lagi.

Bagi pengajian Islam,Fakulti Darul Ulum adalah sebuah fakulti yang menyediakan kursus bahasa arab dan pengajian Islam.Peringkat ijazah pertama di darul ulum hanya difokuskan dalam ilmu-ilmu bahasa arab.Tiada pengkhususan seperti di Al Azhar seperti usuluddin,syariah dan sebagainya.Ijazah pertama lebih menekankan pengajian dalam bahasa arab disamping terdapat juga subjek-subjek agama.

Pengkhususan hanya akan digunapakai setelah tamat ijazah pertama.Pengajian selepas ijazah pertama di Darul ulum terbahagi kepada beberapa peringkat.DIBLOM AM , KHAS atau ijazah lanjutan dan TAMHIDI atau coursework sebelum layak tulis tesis,MASTER dan PHD.Antara jabatan yang wujud di darul ulum adalah syariah,Falsafah,sejarah,nahu dan saraf dan lain-lain lagi.

Semasa di AL AZHAR kita dihidangkan dengan kitab-kitab turath (tradisional) yang dikarang oleh ulama muktabar ratusan tahun dahulu.Maka seseorang pelajar tersebut akan bersungguh-sungguh untuk memahami isi kandungan dan maksud pengarang.

Tidak keterlaluan jika saya katakan,pelajar ijazah pertama di universiti Kaherah tidak menikmati sistem tersebut.Mujurlah saya telah mengikuti program ijazah pertama di AL AZHAR.Ini adalah kerana,bidang seperti syariah memerlukan seseorang itu memahami turath.Banyak khazanah-khazanah ilmu dalam turath yang mesti didalami oleh seorang pelajar syariah untuk memantapkan lagi penguasaan mereka dalam bidang tersebut.

Hanya memahami dan mengenali turah semata adalah tidak cukup.Paling penting adalah kemahiran menggunakan turath yang difahami untuk diaplikasi dan diadaptasi agar sampai ke generasi hari ini.

Persoalannya bagaimana? Adakah cukup hanya dengan membaca dan memahami bahkan menghafal semata-mata? Sudah tentu TIDAK.Cara pengaplikasian dan mengadaptasi memerlukan kepada metodologi tertentu.

Itulah kelebihan di Universiti Kaherah.Pelajar MASTER atau terlebih dahulu dalam TAMHIDI akan didedahkan dengan metodologi kajian ilmu-ilmu Islam dan cara menganalisa kitab-kitab turath yang mana kitab-kitab turath ini akan dijadikan bahan utama dalam kajian.Dengan kemahiran menggunakan metodologi berkenaan pelajar akan mampu menyampaikan maksud turath berkenaan dan sekaligus memberikan kesinambungan antara turath yang lama dan isu-isu kontemporari.Sebagai contoh,ISTIHSAN adalah isu yang popular dalam kitab-kitab turath. Terdapat pelbagai kitab yang menghurai masalah istihsan.Hari ini,isu ini perlu dikupas kembali sesuai dengan perkembangan zaman terutamanya perkembangan yang pesat dalam sektor kewangan Islam.Maka,isu-isu yang melibatkan istihsan dikaji melalui kitab-kitab turath sebagai rujukan utama dan pengkaji akan membuat penilaian,analisa dan seterusnya mengambil beberapa bahagian penting dalam kitab turath berkenaan untuk digunapakai dalam bahagian kajian berkenaan.Nampak macam mudah bukan? Bercakap lebih senang dari membuat.Saya sudah rasai kepenatan itu.

PERBEZAAN ANTARA UNIVERSITI AL AZHAR DAN UNIVERSITI KAHERAH (DARUL ULUM)
Jika sejarah awal kemunculan ilmu fekah itu bermula dengan dua metodologi,maka Mesir sebagai pusat yang melahirkan tokoh ilmuan dunia ini mempunyai dua metodologi dalam penyampaian ilmu dalam proses melahirkan ilmuan.

AL AZHAR sebagai universiti tertua di dunia atau OXFORD AGAMAWAN mengguna pakai metodologi TURATH sebagai metod utama dalam penyampaian ilmu.Al Azhar sangat mementingkan turath sehingga di fakulti syariah,terdapat beberapa subjek MAJOR yang khusus mengkaji isi kandungan kitab turath seperti Fekah dan Usul Fekah.Maka,bagi pengajian kedua-dua subjek berkenan,masa pengajian dibahagikan kepada dua.Pengajian secara TOPIK atau "maudhui" dan pengajian secara PERBAHASAN KITAB TURATH atau "nassi".

Bagi subjek Fekah mazhab syafie,pelajar mengkaji kitab MINHAJ EL TALIBIN karangan imam An Nawawi.Beberapa bahagian dalam kitab berkenaan akan diambil untuk bacaan bersama pensyarah dan dikaji setiap kalimat yang terkandung di dalamnya.Subjek ini memerlukan kemantapan bahasa arab dan kehadiran ke kuliah.Kekurangan salah satu dari dua perkara ini akan menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Manakala bagi subjek Usul Fekah pula.pelajar akan mengkaji kitab NIHAYAT EL SUL FI EL SYARH MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL karangan imam El Isnawi yang mana kitab itu sendiri adalah huraian bagi lafaz dan makna kitab terdahulu,MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL oleh Al Qadhi Al Baidhawi.Kitab ini sungguh sukar untuk difahami jika dibaca sendirian dan memerlukan dua alat bantuan yang saya sebutkan tadi.Kegagalan untuk memenuhi perkara asas tersebut akan juga menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Bagi pengajian MASTER di AL AZHAR pula,saya dapati,turath masih menjadi perhatian universiti berkenaan hingga ke tesis MASTER juga diutamakan penulisan berkaitan analisa kitab-kitab turath atau TAHKIK EL TURATH.

AL AZHAR tidak menitik beratkan metodologi kajian akan tetapi hanya menitikberatkan kefahaman terhadap turath.Ini akan menyebabkan seseorang itu hanya akan mampu menghurai secara lisan semata dan dalam membuat kajian kelak ia akan memakan masa kerana beberapa metodologi diperlukan.Bahkan,saya hairan,bagaimana seseorang itu menganalisa kitab turath sedangkan penekanan terhadap subjek tersebut TIADA!!

Oleh yang demikian,metod pengajian di AL AZHAR adalah yang berasaskan kepada FAHAM dan HAFAZ.Bagi saya,kekurangan ini bukan kekurangan yang mengaibkan pelajar lepasan AL AZHAR akan tetapi ianya satu kekurangan yang boleh dibaiki dengan usaha yang gigih dari pelajar itu sendiri.Metod ini ada kebaikkannya disamping terdapat kekurangan yang perlu dibaiki.Secara kesimpulannya,metod pengajian di AL AZHAR adalah metod yang berasaskan turath.

Manakala di Universiti Kaherah pula,metodologi pengajian di peringkat MASTER adalah berasaskan kepada kajian.Pelajar akan didedahkan dengan metodologi kajian dan bagaimana membuat sesuatu kajian berdasarkan kepada sumber-sumber rujukan yang terdiri dari kitab-kitab turath.

Hal ini bukanlah mudah.Ini adalah kerana pelajar bukan sahaja mesti faham isi kandungan turath akan tetapi mengolah dan memindahkan beberapa fakta dari turath ke dalam kajian masing-masing.Bayangkan jika tersilap faham,apakah akan jadi dengan kajian tersebut? Sudah tentu ianya tidak mempunyai nilai.Kesimpulannya,di Universiti Kaherah atau fakulti Darul Ulum adalah sebuah institusi pengajian yang berasaskan kajian.

Apabila kita telah sibuk dengan turath semasa di peringkat ijazah pertama,maka,di Universiti Kaherah pula,kita belajar cara atau metodologi kajian.Bagaimana menghasilkan sebuah kajian hasil dari kefahaman terhadap turath.Dengan ini,saya kira,lepasan Al Azhar yang masuk ke Universiti Kaherah akan menjadi lebih sempurna dalam interaksinya dan sumbangannya terhadap turath apabila memanjangkan khazanah turath tersebut dalam kajian semasa.Kombinasi antara metod turath dan kajian sangat penting untuk memenuhi keperluan dunia sekarang dalam menyelesaikan beberapa isu kontemporari.

Oleh yang demikian,kehadiran ke kuliah di universiti Kaherah adalah wajib dan sebagai syarat untuk masuk ke dewan peperiksaan walaupun tiada markah untuk kedatangan.Kertas peperiksaan hanya mempunyai markah penuh sebanyak 60 markah sahaja dan selebihnya akan dihakimi berdasarkan assignment atau kajian yang telah diserahkan.Jika markah assignment kurang dari 30 markah,maka anda adalah calon gagal untuk tamhidi.Mencabar bukan?Untuk menyiapkan sebuah kajian bukan mudah.Dengan metodologi kajian yang anda pelajari, rujukan terus ke pensyarah,gaya pengolahan bahasa yang sesuai dengan kajian akan menentukan markah LULUS tamhidi.

Inilah sebabnya saya ke universiti kaherah.Bukan sesuka hati.Bukan untuk cepat habis MASTER.Bukan untuk lari dari universiti Al Azhar.Ada rakan-rakan yang menyamakan universiti Kaherah dengan universiti terbuka Amerika (jamiah amerikan maftuh) dan Institut pengajian tinggi Zamalik (ma'had Zamalik).Saya katakan taraf kedua-dua buah universiti ini tidak sama dengan Universiti Kaherah.Universiti Kaherah tidak sama dengan kedua-dua universiti tersebut.Ini adalah kedua-dua universiti berkenaan masih bertaraf IPTS dan mempunyai masalah pengiktirafan di Malaysia berdasarkan maklumat yang saya peroleh.

Apa yang diajar di universiti Kaherah tidak sama seperti di kedua-dua buah institusi berkenaan.Saya telah membezakan subjek pengajian MASTER untuk kedua-dua institut berkenaan dan saya lihat tidak ada bezanya dengan AL AZHAR.Sistem hadir kelas dan peperiksaan semata.Saya tidak berminat dengan kedua-dua institut berkenaan.Saya tidak mahu memperjudikan waktu dengan sesuatu yang tidak pasti.

CABARAN SEBENAR SEORANG MAHASISWA
Apabila anda meletakkan diri ke universiti Kaherah dalam TAMHIDI,ini bermakna anda akan mula merasakan kesempitan waktu yang berpanjangan.Berbeza dengan pelajar AL AZHAR yang mempunyai banyak waktu dengan kuliah yang tidak wajib.Beruntunglah bagi mereka yang pandai,ada yg menggunakan peluang tersebut untuk membaca kitab-kitab sampingan atau berTALAKKI dengan para syeikh yang terdapat di sekitar AL AZHAR.

Kesempitan waktu yang saya maksudkan adalah anda mempunyai tugasan di luar dewan kuliah.
Kajian setebal lebih kurang 150 hingga 200 muka surat untuk 4 subjek harus disiapkan dalam masa tiga bulan sahaja.

Masa anda akan banyak habis di Universiti,perpustakaan dan rujukan-rujukan.Maka disinilah anda rasa "nikmat" seorang mahasiswa.Sungguh mencabar sehingga terbawa ke dalam mimpi.Satu alam baru yang penuh mencabar.Ini adalah kerana kita tidak pernah didedahkan dengan metodologi kajian sebelum ini di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR.Penyediaan assignment adalah latihan kearah penulisan tesis.Jika letih semasa menulis assignment,apalagi semasa menulis tesis ini.Macam-macam yang saya bayangkan...namun,saya telah meletakkan diri ke sini,maka saya akan lalui setiap ranjau dan duri yang ada.

Alah bisa tegal biasa.Insyaallah melalui posting akan datang sebelum saya bercuti tiga minggu, saya akan menceritakan pengalaman menulis assignment dan suka duka yang saya alami sepanjang penyediaan assignment untuk melayakkan diri ke alam penulisan TESIS.

Khamis, 21 Oktober 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI 1 : GEMBIRA DAN SEDIH


YPJ Pernah kecewakan saya


Ramai lepasan AL AZHAR di MAJLIS AGAMA ISLAM JOHOR,persoalannya,mengapa masalah biasiswa pelajar AL AZHAR masih belum selesai?


Satu-satunya institusi yang membela nasib orang melayu samada pelajar melayu miskin yang cemerlang dan peniaga melayu berpotensi.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

Melalui laman blog ini,saya ingin berkongsi cerita bersama-sama rakan-rakan sekalian berkenaan apa yang berlaku antara hujung tahun 2007 setelah saya bergelar graduan sehingga akhir tahun 2010.

GEMBIRA
Setiap manusia punya cita-cita.Ketika saya hampir bergelar graduan,saya banyak berfikir tentang masa depan.Saya pernah bercita-cita untuk jadi orang politik.Saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan.Saya juga bercita-cita untuk menjadi ahli akademik.

Cita-cita perlulah diiringi oleh usaha barulah ianya tidak diklasifikasikan sebagai agan-angan.Saya seorang yang rapat dengan pensyarah di Universiti Al Azhar.Sejak tahun satu di fakulti syariah di Al Azhar saya mengakrabi beberapa pensyarah.

Apabila saya membuka television dan radio glombang 98.2 FM,saya akan sering mendengar pensyarah saya berkemundang di udara menyampaikan ilmu.Antara pensyarah yang sangat saya ingati adalah :

1) Prof Dr Umar Hasyim (bekas rektor Al Azhar dan pakar hadis yang mengajar saya ilmu mustalah hadith)

2) Prof Dr Atiyyah Abdul Maugud (Pensyarah di Fekh Am)

3) Allahyarham Prof Dr Jalaluddin Abdur Rahman (Pensyarah kanan usul fekh)

4) Allahyarham Prof Dr Isa Zahran (Pensyarah Kanan usul fekh)

5) Prof Madya Dr Ali Abdun Nabi.

6) Dr Salim salamah

7) Dr Jamal Atiyyah

8) Prof Dr Usamah Abd Samik

9)Prof Dr Akram

10)Prof Dr Adas

11) Dr Abdus salam

Dan banyak lagi.

Ada juga pensyarah yang tidak mengajar saya di kuliah akan tetapi saya akrabi beliau kerana ketokohan beliau seperti Prof Dr Rakfat Uthman.

Semasa di AL AZHAR saya diperkenalkan kitab-kitab turath (tradisional) sehingga kepala saya begitu pening saat membacanya.Namun,buku bantuan yang modern banyak membantu disamping siri kuliah pensyarah yang saya hadiri turut memberi bantuan untuk saya memahami turath.

Sudah tentu,keputusan untuk menyambung MASTER di luar AL AZHAR adalah satu keputusan yang memakan masa dan saya banyak berfikir rasionalnya.Saya mengkaji metodologi pengajaran kedua-dua buah universiti dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian MASTER di Universiti Kaherah setelah berjaya menamatkan pengajian di AL AZHAR dengan TANPA MENGULANG TAHUN dan memperolah JAYYID setiap tahun.Saya tidak malu mengaku hanya JAYYID kerana itulah tahap pencapaian saya.

Saya cukup gembira kerana saya satu-satunya pelajar MALAYSIA yang berjaya masuk ke Universiti Kaherah pada tahun 2007.Oktober 2007 saya mula jejakkan kaki di Universiti Kaherah dengan seribu harapan.

Gembira kerana melihat disinilah juga lahirnya beberapa tokoh di Mesir yang mempunyai peranannya masing-masing.Antaranya Prof Dr Abu Sufi,Hassan Al Banna dan Asy Syahid Sayyid Qutub.

SEDIH
Kadar yuran di Universiti Kaherah adalah tinggi.Yuran bagi tahun pertama adalah sebanyak GBP 2400 (bersamaan RM 13 ribu lebih) manakala tahun berikutnya adalah GBP 1200 (bersamaan RM 8 ribu lebih).

Saya bukan lahir dari keluarga berada.Saya adalah anak angkat sebuah keluarga sederhana.Sudah tentu saya tidak mampu membayar sendiri yuran tersebut.Saya yakin,dengan nama MALAYSIA sebuah negara membangun,saya akan dapat pembiayaan dari pihak kerajaan.

Usaha pertama saya adalah pulang ke tanah air pada Disember 2007.Usaha saya adalah bertemu dengan YAB Menteri Besar JOHOR,YAB Datuk Ghani Othman.Saya menyediakan surat permohonan dan proposal berkaitan perbelanjaan untuk menyambung pengajian di peringkat MA untuk diserahkan kepada beliau.

Disamping itu,saya turut berusaha bertemu sendiri Dato' Noh Gadut yang ketika itu beliau merupakan mufti negeri Johor.Saya bertemu beliau untuk memohon bantuan melanjutkan pengajian di peringkat MA di bawah tajaan Majlis Agama Islam Johor.Kalau ZAKAT MAIJ mampu hantar pelajar perubatan dengan kos ratusan ribu mengapa tidak untuk mengeluarkan pakar syariah,MAIJ berbuat demikian.Selesai urusan,saya terus pulang ke Mesir untuk menyambung pengajian.

Saat hampir peperiksaan,sekitar bulan APRIL 2008,saya dikejutkan dengan surat dari YPJ dan sebelum itu dengan makluman lisan dari MAIJ bahawa permohonan saya DITOLAK.Kedua-dua permohonan saya telah DITOLAK mentah-mentah.

Saya akur.Namun,saya tidak putus asa dan terus menghadiri kelas walaupun pihak universiti memaklumkan bahawa saya TIDAK AKAN DIBENARKAN MASUK PEPERIKSAAN.

Pada hari Ahad,18 Mei 2008 bertempat di Grand Continental Hotel,Kaherah,saya telah menghadiri sebuah majlis makan malam bersama YAB Dato' Seri Najib Tun Razak yang saat itu beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Usai majlis,saya bertemu dengan beliau dan memaklumkan kepada beliau bahawa permohanan saya untuk mendapatkan penajaan YPJ dan MAIJ telah ditolak mentah-mentah.Beliau yang bagi saya bersifat mesra rakyat telah mendengar dengan teliti dan mencadangkan kepada saya agar membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan jika sekiranya gagal,beliau mencadangkan kepada saya agar bertemu dengan beliau.

Sejak bertemu dengan beliau saya mempunyai semangat luar biasa hingga kembali yakin bahawa saya akan berjaya memegang ijazah sarjana Syariah (MA SYARIAH) dari Universiti Kaherah.

Saya pulang ke tanah air pada 20 mei 2008 dengan menaiki pesawat Egypt Air.Dengan harapan yang menggunung agar kepulangan tersebut bukannya kepulangan terakhir dan saya yakin akan datang semula ke bumi anbia ini.

Maka,saya tidak boleh memasuki peperiksaan bagi sesi pengajian 2007/2008 dan saya memohon kepada pihak universiti untuk menangguhkan pengajian.Siapa yang tidak sedih?

SEDIH 2
Sampai ke tanah air bukanlah sesuatu yang menyeronokkan kerana saya mempunyai misi yang besar.Saya membuat rayuan ke pejabat YAB Menteri Besar Johor setelah "terpacak" lama di pejabat beliau di samping beberapa "kontraktor" yang turut menunggu.

Setiausaha Sulit beliau memberikan jaminan bahawa surat berkenaan akan menjadi perhatian YAB MB.Selang beberapa hari,saya mendapat surat "perhatian" berkenaan memaklumkan bahawa rayuan saya DITOLAK dengan tanpa alasan.

GEMBIRA 2
Akhirnya,saya bergegas ke Parlimen Malaysia dengan menaiki bas dan wang saku yang hanya cukup makan.Dengan bantuan Ahli Parlimen Sri Gading,YB Datuk Muhammad Aziz,saya memasuki bangunan parlimen sebagai tetamu beliau.

Saya akhirnya dapat bertemu dengan YAB Dato' Seri Najib di lobi parlimen Dan saya mengadu nasib sekali lagi.Beliau memberi saya beberapa cadangan dan yang saya kagumi adalah YAB DATO' SERI masih ingat pertemuan sebelum in di Kaherah.Saya tidak fikir beliau buat-buat ingat.Inilah contoh pemimpin yang kita cari.Ingat rakyat yang mengadu masalah.

Saya masuk kembali ke dewan rakyat sebagai pemerhati.Saya membuka bag dan meyiapkan beberapa dokumen seperti surat permohonan dan surat pengesahan universiti.

Akhirnya YB Dato' Seri (ketika itu DATO') Noh Omar keluar dari dewan sidang.Saya bergegas menemui beliau.Akhirnya beliau bertanya kepada saya seolah-olah telah mengetahui tujuan saya.

Beliau meminta saya menemui Ahli Parlimen kawasan saya terlebih dahulu untuk sokongan.Kerana Saat itu saya tidak menemui YB Ahli parlimen Batu Pahat,saya maklumkan kepada beliau bagaimana jika ahli parlimen Sri Gading? Beliau bersetuju.

Saya mencari-cari kelibat YB Seri Gading di dalam dewan sidang.Saya langsung tidak nampak kelibat beliau sedangkan beberapa jam tadi saya melihat kelantangan beliau.Saya keluar semula dari dewan dan menemui YB Dato' Seri Noh Omar bersama YB Datuk Muhammad Aziz sedang berbual-bual mesra di kafeteria parlimen.

Saya ajukan surat permohonan kepada beliau lantas mencoretkan beberapa coretan sokongan dengan tulisan jawi berdakwat gelap.Selepas itu,surat berkenaan diserahkan kepada YB Dato' Seri Noh Omar untuk ditandatangani dan beliau turut menandatangani surat berkenaan dan saya ke pejabat MARA untuk mengisi borang permohonan.

Ketika mengambil borang di kaunter,saya ditanya dengan pelbagai soalan.Saya menjawab dengan baik dan pegawai bertugas memberikan saya borang berkenaan dan saya lengkapkan borang permohonan berkenaan untuk diproses.

AL HAMDULILLAH,pada 22 Oktober 2008,saya telah menerima surat tawaran pinjaman MARA.Syukurlah kerana cita-cita saya tidak berkubur.Setelah lima bulan saya menunggu,akhirnya saya berjaya kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian di peringkat MA di bawah tajaan MARA.

Antara MEI hingga OTOBER 2008, saya meluangkan masa di dua buah sekolah bertugas sebagai guru sementara di bawah skim Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK).Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan Monfort Batu Pahat adalah dua buah sekolah kenangan saya mengajar pendidikan islam.

Saya meninggalkan anak-anak murid dan rakan-rakan guru dan terus ke Mesir setelah selesai megikuti kursus di BTN yang juga di sana telah diperkenalkan rakan-rakan MA dan PHD dari pelbagai bidang.

Pada hari Jumaat,7 November 2008,saya sampai ke Mesir dan lusanya,pada 9 November 2008 saya segera melaporkan diri untuk mengikuti pengajian COURSEWORK atau TAMHIDI di Universiti Kaherah.Saya dikira pelajar baru pada sesi pengajian 2008/2009 dan sesi pengajian 2007/2008 tidak diambil kira kerana saya GAGAL membayar yuran dan GAGAL memasuki peperiksaan.

Bermulalah satu pengalaman saya di sini.Ramai yang terperanjat apabila melihat saya kembali ke Mesir.Ada yang bertanya,apa sebab saya bersungguh-sungguh mahu bergelar pelajar MA di Universiti Kaherah? Kenapa tidak sahaja menyambung pengajian di Institut pengajian tinggi Zamalek (ma'had zamalik) atau Universiti Terbuka Amerika (jami'ah amerikan maftuh) sedangkan Yuran kedua-dua buah universiti ini murah dan tidak membebankan?

Akan saya ceritakan dalam siri 2.

siri 2 :

1) Kelebihan Universiti Kaherah

2) Perbezaan antara universiti Al Azhar dan Universiti Kaherah

3) Cabaran sebenar seorang mahasiswa

Ahad, 17 Oktober 2010

BENARKAH PTD KAKI GOLF ?




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Pada awalnya,saya berhasrat untuk menulis sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama berkaitan coursework atau tamhidi bagi program ijazah sarjana Syariah di Universiti Kaherah.

2.Memandangkan terdapat saat ini satu isu yang memerlukan komentar dan pandangan awam,maka saya mendahulukan isu ini dan saya berjanji akan mencoretkan pengalaman saya selepas ini.

3.Pagi tadi,apabila saya membuka akaun FB,saya terkejut terdapat satu pandangan berkaitan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang dikaitkan dengan "kaki golf".

4.Saya bukan seorang PTD akan tetapi saya akui bahawa saya adalah pengkagum PTD.Oleh yang demikian,saya rasa agak terkilan apabila terdapat tuduhan bahawa PTD kaki golf.

5.Bermain golf adalah satu riadah atau sukan yang tidak bercanggah dengan syarak selagi pemain menjaga waktu solat dan menutup aurat.

6.Tidak salah untuk seorang pegawai kedutaan bermain golf.Bahkan,saya difahamkan bahawa permainan golf adalah merupakan salah satu cara mengeratkan hubungan antara negara.

7.Kerajaan juga memperuntukkan elaun bermain golf untuk seorang PTD sebanyak RM 5000 setahun.

8.Saya tidak fikir angka tersebut sesuai dengan sebuah negara pelancongan seperti Mesir.Saya rasa yuran tahunan kelab golf di Mesir tentu jauh lebih mahal memandangkan negara ini berstatus negara pelancongan.

9.Bermain golf juga tidak salah bagi PTD memandangkan mereka bermain di luar waktu pejabat.

10.Gelaran kaki golf lebih bagus dan baik berbanding digelar kaki ampu atau kaki bodek.

11.Saya selalu mendengar rungutan para pelajar bahawa sukarnya bertemu pegawai atase Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

12.Pada 11 Oktober baru-baru ini,saya menemani seorang rakan membuat urusan mengerjakan haji.

13.Beliau memerlukan dokumen pengesahan.Sebagai prosedur awal,pelajar berkenaan harus mengisi borang dan setelah itu,surat akan dikeluarkan oleh JPMK dan ditandatangai oleh seorang pegawai atase atau pengarah JPMK.

14.Alangkah terkejutnya saya,apabila terdapat ramai pelajar menunggu untuk mendapatkan tandatangan.Dalam hati saya berkata "hanya tandatangan jer pun...kenapa ramai begini yang menunggu?".

15.Saya bertanya kepada mereka,berapa lama menunggu dan mengapa ramai hari ini?

16.Jawapan mereka sama,iaitu untuk mendapatkan tandatangan pengesahan pegawai atase.

17.Lamanya menunggu untuk mendapatkan tandatangan adalah satu perkara yang tidak masuk akal sedangkan 11 Oktober adalah hari isnin,hari bertemu pelanggan.

18.Bukankah slogan gagasan SATU MALAYSIA yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri mengajak pegawai awam mengutamakan rakyat? Adakah pegawai JPMK tidak faham bahawa RAKYAT DIDAHULUKAN,PENCAPAIAN DIUTAMAKAN ?

19.Rupa-rupanya pegawai-pegawai JPMK ada mesyuarat pada hari berkenaan sedangkan hari Isnin adalah hari bertemu pelanggan! Bahkan,saya menyaksikan sendiri,seorang pegawai JPMK mengangkat tangan tanda menolak permintaan seorang pelajar yang datang meminta tandatangan pengesahan dengan alasan ada mesyuarat.

20.Saat itu,hanya seorang sahaja pegawai yang disediakan dan beliaulah yang melayan permintaan pelajar dan dialah juga yang menerima tetamu dari kalangan ibu bapa,itulah ustaz Zulkifli.

21.Harapan saya,agar rakan-rakan faham,bahawa pegawai PTD yang main golf bukan bermain suka-suka,bahkan mereka bermain dengan mempunyai misi tertentu dan mereka bermain di luar waktu pejabat.Tahukah anda,sebahagian PTD bahkan hampir kesemua mereka bekerja setiap hari di Kedutaan balik lewat kerana tugasan negara.Ada yang balik pada jam 11 Malam!! esok masuk jam 8....

22.Adakah anda pegawai yang menepati waktu dan sanggup kerja lebih waktu seperti PTD?

Ahad, 29 Ogos 2010

BUKAN ISLAM MASUK MASJID,ANTARA PRO DAN KONTRA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian.

1.Saat ini,isu YB Teo Nie Ching yang menyampaikan ucapan dan sumbangan di sebuah surau di Malaysia,hangat diperkatakan.

2.Pada awalnya,saya enggan mengulas isu ini kerana ianya adalah isu politik semata.

3.Namun,apabila saya berbincang dengan beberapa orang rakan,nampaknya,isu ini sangat hangat diperkatakan oleh rakan-rakan mahasiswa kita di Mesir hingga terdapat budaya saling tuduh menuduh jahil antara satu sama yang lain.

4.Hakikatnya,saya melihat isu ini dari dua aspek.

5.Pertama,dari aspek hukum Islam.Persoalannya,apakah boleh seorang yang bukan Islam masuk ke masjid atau surau?

6.Kedua dari aspek kesucian rumah ibadah itu sendiri dari dinodai unsur-unsur luar.

7.Jika kita bercakap soal hukum,saya yakin dan percaya,semua dari kita telah pun mengetahui fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang membolehkan orang bukan Islam memasuki surau atau masjid dengan syarat-syarat yang ditentukan.

8.Bukan di Malaysia sahaja ada fatwa begitu,bahkan di Mesir juga terdapat fatwa yang sama cuma isu yang berbeza.

9.Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir, pernah berfatwa berkenaan hukum pelancong yang bukan Islam memasuki masjid AL AZHAR.Beliau menegaskan bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid AL AZHAR.

10.Beliau berfatwa dengan mengguna pakai mazhab SYAFIE.Ujar beliau, "Orang bukan Islam Islam boleh memasuki masjid bahkan dibenarkan hingga ke masjid nabawi (di Madinah)!! Sesungguhnya Rasulullah S.A.W mengadakan pertemuan dengan rombongan NAJRAN (untuk dialog akidah yang julu ng kalinya dalam sejarah Islam antara Rasulullah S.A.W bersama orang bukan Islam untuk menyeru masuk islam) di dalam Masjid (masjid nabawi)!! Nabi S.A.W Berdialog bersama mereka tentang apa yang diturunkan di dalam surah Ali Imran,juga di dalam masjid!! ".

11.Menurut mazhab syafie seperti yang tertera dalam kitab RAUDHATUT THALIBIN,karangan Imam Nawawi,bahawa orang bukan Islam dibenarkan masuk ke masjid dengan izin orang Islam kecuali masjidil haram.

12.Bukankah masyarakat kita di Malaysia sangat berpegang teguh dengan mazhab Syafie?

13.Berdasarkan hujah yang dikeutarakan oleh MUFTI MESIR,orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuki masjid untuk tujuan dakwah dan tidak lebih dari itu.Demikianlah apa yang berlaku di Mesir apabila pelancong bukan islam dibawa masuk ke masjid AL AZHAR,masjid MUHAMMAD ALI dan masjid AMRU BIN AL 'AS adalah untuk tujuan dakwah dengan memperlihatkan bagaimana umat Islam beribadah,sejarah tempat ibadah umat Islam yang bukan hanya tempat ibadah semata-mata bahkan pusat perkembangan tamadun masyarakat Islam dengan penyebaran ilmu berpusat di masjid.

14.Berbalik kepada isu YB Teo Nie Ching,dari segi hukum adalah TIDAK SALAH untuk orang bukan Islam masuk ke masjid atau surau.Cara berpakaian beliau, saya rasa ianya agak sopan bagi seorang yang bukan Islam.Akan tetapi,alangkah baiknya agar orang Islam yang membawa masuk YB berkenaan memakaikan sikit tudung tanda hormat seperti yang dilakukan di masjid AL AZHAR.

15.Maka,dari segi hukum,tiada apa yang boleh dipertikaikan oleh kita umat Islam.Mengapa perlu dipertikaikan isu ini? Jelas dan tersuluh,ianya tidak bercanggah dengan hukum yang ada di dalam Islam dan seperkara lagi,isu ini adalah isu yang menjadi topik perbahasan para ulama. Cukuplah kita memakai pendapat mazhab syafie dalam hal ini.

16.Suka saya nyatakan disini,pendapat yang membenarkan itu mempunyai MAQASID atau OBJEKTIFnya iaitu DAKWAH dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.Ianya bukan tujuan POLITIK kepartian semata-mata yang mempunyai tujuan tertentu.

17.Namun,apa yang dirisaukan dan sedang berlaku adalah unsur-unsur luar yang terdapat disebalik apa yang kita lihat.

18.Adakah tujuan orang Islam membawa masuk YB berkenaan ke surau berkenaan atas faktor dakwah? Jika atas faktor dakwah,apakah YB berkenaan menyaksikan umat Islam bersolat dan diterangkan kepada beliau cara-cara umat Islam bersolat yang berbeza dengan amalan sembahyang agama YB berkenaan serta diterangkan serba sedikit berkaitan akidah kita umat Islam dari segi perhambaan terhadap ALLAH S.W.T?

19.Atau tujuan orang Islam membawa masuk YB berkenaan atas faktor politik kepartian semata? Untuk memastikan umat Islam bersedia menyokong parti DAP yang diragui kerjasamanya terhadap orang Islam,menghilangkan pra sangka pengundi umat Islam dan seterusnya tidak ragu-ragu memberikan undi terhadap calon DAP,maka,antara cara politiknya adalah membawa YB berkenaan ke dalam surau!! Dengan harapan,Orang Islam akan lebih percaya bahawa DAP kononnya telah mula boleh bertoleransi dengan Islam dan orang Islam akan sanggup memejam mata atas kata-kata dan tindakan-tindakan pemimpin DAP terhadap sensitiviti umat Islam sebelum ini.

20.Jika ada yang menafikan bahawa ianya bukan tujuan tersebut yang dilihat politik dan untuk survival DAP semata-mata,izinkan saya bertanya,mengapa orang Islam tersebut tidak mencadangkan YB berkenaan memberikan ucapan di perkarangan "luar" surau berkenaan sahaja? bukankah itu lebih manis?

21.Bukahkah DAP adalah antara parti pemerintah di negeri Selangor bersama-sama parti orang Islam yang lain mempunyai kuasa untuk menggunakan mana-mana premis lain yang lebih sesuai dan jauh dari kontroversi? Tiadakah dewan-dewan orang ramai yang berdekatan atau padang dan stadium berdekatan? Bukankah prasarana lain lebih sesuai digunakan untuk tujuan PENYAMPAIAN SUMBANGAN dan UCAPAN YB TERSEBUT!!

Sabtu, 28 Ogos 2010

MUFTI MESIR : PERLANTIKAN WANITA DALAM JAWATAN PENTING AKAN MENAFIKAN DAKWAAN BARAT TERHADAP KITA YANG DIDAKWA MASYARAKAT MUNDUR


Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir

TERJEMAHAN OLEH : MOHD FAIZAL SABHON
Sumber : AL AHRAM,29 Ogos 2010

Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir telah menyatakan kebanggaan beliau terhadap kerjaya perundangan dan mesejnya dalam Islam serta peranan perundangan dalam masyarakat serta menegaskan bahawa perundangan Mesir adalah benteng negara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri simposium yang diadakan semalam di Kelab Hakim-hakim Iskandariah sempena memperingati perang badar dan turut dihadiri oleh Pengerusi kelab berkenaan,Mustasyar (YANG ARIF) Muhammad Agwah.

Mufti turut menyatakan bahawa persetujuan Dewan Negara (Mesir) terhadap penyertaan wanita dalam dewan berkenaan dan perlantikan mereka sebagai HAKIM adalah merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan wanita untuk dilantik ke jawatan tinggi dan penting serta menolak dakwaan barat yang mendakwa masyakat kita merendahkan martabat wanita.

Beliau menegaskan keperluan untuk meniggalkan adat masyakat tempatan yang dikaitkan dengan Islam secara salah dan boleh merosakkan imej Islam di mata masyarakat luar.Beliau juga menegaskan peranan penting wanita dalam masyarakat dan kemampuan mereka terhadap perlantikan pelbagai jawatan yang tidak bercanggah dengan syarak.

Dr Ali Jum'ah menisbahkan pendapat yang radikal tersebut (yang tidak membenarkan wanita dilantik ke jawatan tinggi dan penting) kepada sejarah khilafah uthmaniah di Mesir dan beberapa pihak yang menyebarkan fahaman-fahaman yang tidak selari dengan Islam tentang martabat dan kedudukan wanita.

Beliau berkata, "sesungguhnya,wanita telah berjaya dalam banyak bidang pekerjaan yang dahulunya hanya terhad kepada lelaki sahaja".Ianya merujuk kepada peranan wanita (yang terhad) menurut sejarah dalam pelbagai bidang yang antaranya pengajaran usul fekh,hadith dan dengan sesuatu yang sangat bercanggah dengan wanita serta salah faham berkaitan Islam dengan beberapa ungkapan yang sering dituturkan seperti "wanita adalah orang yang kurang akal dan agamanya".

Mufti Republik Mesir itu juga memberikan nasihat agar tidak mengeluarkan hukum dan membuat beberapa ketetapan dengan tidak berhat-hati.beliau turut menyatakan justifikasinya dengan penilitian yang betul dan ijtihad dalam mengeluarkan hukum berdasarkan perundangan asas keadilan.

NOTA :

1) Dewan Negara adalah badan perundangan tertinggi di Mesir.

2) Di Mesir,tiada pengasingan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

3) Perlembagaan Mesir,perkara 2 menyebut, "Islam adalah agama rasmi,Bahasa Arab adalah bahasa kebangsaan dan DASAR-DASAR SYARIAH ISLAMIAH adalah sumber utama dalam perundangan Mesir.

4) Ciri-ciri utama hakim mahkamah di Mesir haruslah "mahir" tentang DASAR-DASAR SYARAK atau bahasa mudahnya FAKEH disamping mahir tentang perlembagaan dan perundangan negara.Lepasan fakulti syariah dan undang-undang Universiti Al Azhar adalah yang paling banyak mengisi keperluan berkenaan.

5) Manakala lepasan fakulti undang-undang (kuliah el hukuk) di Universiti Kaherah dan universiti awam yang lain akan didedahkan dengan pengalaman profesion dahulu dalam jangka masa tertentu sebelum dilantik ke jawatan hakim.

6) Antara contoh undang-undang Mesir adalah seperti seksyen 46, Kanun acara jenayah, hukuman mati akan dijatuhkan setelah kertas pertuduhan dan penghakiman dibawa ke MUFTI REPUBLIK ARAB MESIR serta perlu mendapatkan pandangan beliau terlebih dahulu. Jika sekiranya Mufti Republik tidak menyatakan sebarang jawapan setelah 10 hari,hukuman berkenaan tetap akan dijatuhkan berdasarkan kepada bukti-bukti yang kukuh.

7) Kebayakan undang-undang keluarga Mesir adalah berdasarkan pendapat terpilih (rajih) dalam mazhab hanafi.

8) Namun,Mesir masih kekurangan dalam bidang aplikasi muamalat islam dan perasana perundangan yang berkaitan dengannya berbanding Malaysia.

Rabu, 25 Ogos 2010

MESIR BAKAL MENERIMA DUTA BESAR MALAYSIA

Prof Madya Dr Fakhruddin (tengah) semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Setelah lebih setahun kerusi DUTA BESAR MALAYSIA KE MESIR kosong,akhirnya,ianya akan kembali diduduki.

2.Setelah kerusi tersbeut kosong sejak MEI 2009,pelbagai nama disebut.

3.Ada yang berkata,DATO' NAKHAEI,Dato' Dasuki Ahmad,Dato' Monir Yaacob bahkan ada juga yang menyebut nama bekas setiausaha mantan perdana menteri.Siapakah duta besar kita?

4.Akhirnya,tanda tanya terjawab pada pagi ini,26 Ogos 2010,di Istana Negara.

5.Kebawah duli Yang Maha Mulia,Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan menyampaikan watikah perlantikan Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir kepada Prof Madya Dr Fakhruddin Abdul Mukhti .

6.Beliau yang dilahirkan pada 9 Mac 1957 adalah anak jati Kedah dan telah mendapat pendidikan menengahnya di Maktab Mahmud Kedah.

7.Seterusnya,beliau melanjutkan pengajian bagi program ijazah pertamanya (BA) ke Mesir dalam bidang akidah dan falsafah di Universiti Al Azhar,Kaherah.

8.Kecemerlangan beliau dalam ijazah pertama telah melayakkan beliau untuk melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana (MA) di Universiti Ain Syams.

9.Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (Phd) di BIRMIGHAM University di United Kingdom (UK) dalam bidang tasawuf.

10.Semasa menuntut di Mesir pada awal 80 an,beliau adalah seorang mahasiswa yang aktif dan pernah dilantik sebagai Yang dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

11.Dari segi perkhidmatan awam,kerjaya pertama beliau adalah sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

12.Seterusnya,pada Mei 2005,beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sehingga September 2007.

13.Pada September 2007,beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengajian Tinggi di Akademi Islam Universiti Malaya.

14.Beliau adalah ahli akademik yang mempunyai banyak tulisan dan terlibat dalam pembentangan kertas-kertas kerja dan seminar.

15.Dengan perlantikan Dr Fakhruddin sebagai Duta Besar Malaysia Ke Kaherah,ianya adalah sebuah pengiktirafan terhadap lepasan AL AZHAR dan institusi AL AZHAR itu sendiri.Ini adalah perlantikan kedua lepasan AL AZHAR sebagai Duta Besar Malaysia Ke Kaherah.

16.Kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Tun Razak kepada lepasan AL AZHAR sangat dihargai oleh mahasiswa dan graduan AL AZHAR.

17.Beliau dijangka akan memulakan tugasnya di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada 20 September 2010.

18.Warga AZHARI yang berada di Mesir wajar berbangga dengan perlantikan ini dan sama-samalah kita menyambut ketibaan beliau kelak.Anggaplah kedatangan dan perlantikan beliau sebagai SIRIH PULANG KE GAGANG.



Ahad, 22 Ogos 2010

IMAMAH AL AZHAR,JPMK BUAT PEMBAHARUAN YANG AMAT POSITIF


PAKAIAN KONVOKESYEN MAHASISWA MALAYSIA DI AL AZHAR SEBELUM INI


AL AZHAR INSTITUSI AGAMA ANTARABANGSA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Saya mendapat berita bahawa JPMK pada tahun ini akan meneruskan majlis konvokesyen seperti sebelum ini.

2.Ini bermakna,konvokesyen anjuran JPMK selaku wakil Kementerian Pengajian Tinggi adalah kali kelima akan pernah diadakan.

3.Saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila mendapat tahu bahawa pakaian jubah akademik pada tahun ini diubah.

4.IMAMAH (serban) AL AZHAR bakal menggantikan 'motarboard' manakala jubah pula akan disesuaikan dengan imej AL AZHAR.

5.Ini satu perkembangan yang sangat baik.Pakaian tersebut hampir dilupai oleh AZHARI sendiri.Saya sendiri tidak berpakaian sedemikian.

6.Dengan protokol baru ini,sekurang-kurangnya mengingatkan seseorang itu bahawa beliau adalah graduan AL AZHAR dan terpundak di bahunya peranan selaku agamawan AZHARI.

7.Sebelum ini,hanya konvokesyen PMRAM sahaja yang berpakaian sedemikian.Suara hati saya sebelum ini berkata,mungkin sebab pakaian itulah graduan kita memilih dua konvokesyen.Konvokesyen bersama JPMK dan PMRAM dengan tarikh yang berbeza.Namun saya saat itu hanya memilih satu konvokesyen sahaja memandangkan yang dianjurkan oleh JPMK adalah konvokesyen rasmi.

8.Tahniah kepada pihak JPMK.Tahniah juga kepada bakal graduan yang akan memakai imamah AL AZHAR.

9.Saya jangkakan sambutan graduan kita pada tahun ini akan lebih meriah selaras dengan perkembangan yang mengembirakan.

10.Saya juga amat berharap agar tiada lagi dua konvokesyen.

SELAMAT BERGRADUASI!!!!

Selasa, 17 Ogos 2010

ADAKAH SAYA MASIH AHLI KELAB UMNO?


Lambang kelab UMNO


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

1.Pada 17 Ogos baru-baru ini,saya telah menghadiri majlis berbuka puasa anjuran KELAB PUTRA 1 MALAYSIA yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau nama lamanya ARMA.

2.Majlis yang diadakan sangat meriah dengan kehadiran lebih 500 orang.

3.Ini adalah kerana ianya diselaras oleh Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

4.Program yang tersusun dan kehadiran yang memberangsangkan ini mengingatkan saya program tahun lepas yang turut diselaraskan bersama oleh Pesuruhjaya MATRADE dan PTD di KMBK,program ramah mesra bersama YB Dato' Seri Mustapha Muhammad.

5.Rumusan saya ialah,program yang diselaraskan oleh KBMK jauh lebih bagus dan mendapat sambutan pelajar berbanding majlis atau program yang diselaraskan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

6.Ini adalah kerana hubungan antara pelajar dan PTD di KBMK jauh lebih bagus dan lebih baik berbanding pegawai-pegawai JPMK.

7.Apabila saya menghadiri majlis seumpama itu,maka saya akan bertemu sahabat handai dan rakan taulan yang hampir susah untuk ditemui kerana lokasi atau kesibukkan masing-masing.

8.Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan adalah perkara biasa apabila bertemu.

9.Saya tersentak seketika apabila satu soalan sensitif diajukan kepada saya.

10."Bagaimana anta? masih ahli KELAB UMNO?" itu soalan biasa yang saya dengar apabila bertemu individu yang mengikuti blog atau keaktifan saya dalam mana-mana majlis dialog.

11.Hampir kelu lidah saya untuk menjawab.

12.Ini adalah kerana,mereka mengetahui keaktifan saya sebelum peristiwa 27 Disember 2009 yang ditumbuk oleh orang tertentu semasa bermesyuarat di pejabat kelab UMNO Kaherah.

13.Setelah peristiwa itu,saya tidak lagi membawa imej KELAB UMNO di sekitar Kaherah.

14.Melalui ruang maya ini,terus terang saya nyatakan bahawa status saya sebagai ahli KELAB UMNO KAHERAH masih kabur dan saya sendiri merasakan bahawa barangkali,berita PEMECATAN yang saya dengar itu adalah benar.

15.Namun,sampai saat ini,saya menunggu surat pemecatan tersebut yang masih tidak kunjung tiba.Adakah ianya berita palsu semata?

16.Paling penting,saya tertanya-tanya,apakah status pendaftaran saya sebagai ahli kelab UMNO pada MEI 2009 masih belum sah? ini adalah kerana,hingga saat ini,tiada pengesahan keahlian yang saya terima.

17.Namun,saya sangat berasa bangga kerana saya bukan orang yang "TALAM DUA MUKA". jika saya tidak bersetuju,saya akan katakan TIDAK SETUJU.

18.Sikap berterus - terang itulah menyebabkan berlakunya peristiwa hitam pada 27 Disember 2009.

19.Saya juga sangat berbangga dengan sikap rakan yang "SAMA BANTAL" apabila hanya melihat sahaja adegan zaman batu berulang di zaman moden dengan hanya memerhati sahaja.Nilai persahabatan yang sangat tinggi dan tidak ternilai harganya.

20.Akhir kata,saya sedang belajar erti kehidupan dan perjuangan.Benar,pengalaman adalah guru yang paling berguna dan berharga.

FAKTA :

1) Mendaftar sebagai ahli kelab UMNO Kaherah pada 7 Mei 2009.

2) Memangku jawatan pengerusi Kelab UMNO Kaherah pada 14 September 2009 hasil keputusan mesyuarat kerana hampir kesemua ahli jawatankuasa kelab pulang dengan tanpa sebarang pangkuan.Mesyurat tersebut dianjurkan oleh En Kamal (pegawai Terengganu) dan Prof Madya Dr Jamil,pengarah JPMK. (( pemangkuan tersebut tidak mendapat sebarang akuan)).

3) Menyerahkan semula jawatan pengerusi kepada setiausaha Kelab UMNO Kaherah 2009 pada pertengahan November 2009,saudara Ihsan Bin Datuk Monir.

Ahad, 8 Ogos 2010

KIRAAN FALAK MESIR TEPAT SEJAK LEBIH 40 TAHUN


Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

1.Al quran adalah perlembagaan umat Islam yang menjadi rujukan dan panduan setiap tindak tanduk seharian.Setiap perintah dan larangan berasaskan dari perlembagaan tersebut.

2.Di dalamnya,terdapat perintah PUASA.Dari segi bahasa,puasa adalah perbuatan menahan diri daripada makan dan minum dengan sengaja untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Kamus Dewan,Edisi Ketiga,muka surat 1061).

3.Manakala syarak pula mengertikan bahawa puasa itu adalah menahan diri dari segala yang boleh membatalkan puasa di siang hari untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Prof Dr Wahbah Az-Zuhaili,Al Fekh El Syafie El Muyassar,Juzuk pertama,muka surat 350).

4.Pengertian puasa menurut pengertian syarak lebih luas jika dibandingkan dari aspek bahasa.Ini adalah kerana pengertian menahan diri itu,tidak terbatas kepada hanya makan dan minum bahkan segala yang boleh membatalkannya.

5.Arahan puasa ini tertera dalam Al quran, ayat 138,surah Al Baqarah,yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa seperti mana diwajibkan keatas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

6.Ayat perintah berkenaan amatlah ringkas dan terlampau umum.Menurut pengajian ilmu usul fekh,ayat berkenaan digolongkan sebagai ayat yang "MUJMAL".

7.Oleh yang demikian,Hadith Rasulullah S.A.W menerangkan (MUFASSIL) maksud perintah berkenaan. Rasulullah S.A.W bersabda : "Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berhari rayalah apabila kamu melihatnya (anak bulan)”.(Sahih Bukhari,hadith nombor 1776)

8.Berdasarkan penjelasan berkenaan,dapatlah kita tahu,bahawa terdapat hubungan yang relatif antara Al Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.Golongan anti hadith dan yang menolak hadith harus berfikir,bagaimanakah ibadah puasa itu dapat dijalankan jika sekiranya mereka hanya memegang Al Quran dan menafikan hadith?

9.Umat Islam akan mula berpuasa setelah "munculnya" anak bulan Ramadhan.Ianya sesuai dengan perintah Rasullah S.A.W. Persoalannya,bagaimanakah cara untuk menentukan munculnya anak bulan itu? adakah memadai dengan cara penglihatan mata (rukyah) semata-mata atau bagaimana?

10.Dalam konteks ini,Sohibussamahah Mufti Republik Arab Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah telah menerangkan bahawa maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. bersifat UMUM, meliputi penglihatan dengan mata dan secara ilimaih. (AL AHRAM 2009/1430)

11.Oleh yang demikian,
Maksud melihat anak bulan telah disempurnakan sekarang melalui alat penglihatan berteknologi tinggi, alat-alat cerapan dan kiraan falak yang menurut beliau semua wasilah ini termasuk dalam maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W.

12.Seperti biasa,pada tahun ini,SS Mufti Mesir mengeluarkan kenyataan bagi pihak Pusat Fatwa Mesir (Dar El Ifta' El Misriyyah) bahawa tarikh melihat anak bulan Ramadhan 1431 Hijrah tanggal pada hari selasa,10 Ogos bersamaan 29 Syaban.

13.Beliau menegaskan bahawa pihaknya telah menyediakan lebih dari satu balai cerapan dan pusat melihat anak bulan.

14.Apa yang menarik,Prof Dr Ali Jum'ah menekankan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan antara Islam dan Sains.Ujar beliau lagi,bahawa sesugguhnya,RUKYAH (melihat dengan mata penglihatan) dan kiraan falak itu saling berkait rapat.

15.Menurut laporan akhbar AL AHRAM tahun lepas bahawa kiraan falak Mesir menepati RUKYAH sejak 40 tahun.Perincian maklumat yang dikemukakan berhubung awal Ramadahan juga cukup menarik dan terperinci.

16.Mesir akan menyaksikan anak bulan berada di langit Kaherah selama tujuh minit setelah terbenam matahari pada hari selasa 10 Ogos 2010 bersamaan 29 Sya'ban 1431.

17.Dengan perincian tersebut,dapatlah kita ketahui bahawa,Mesir akan mula berpuasa pada hari rabu,11 Ogos 2010 ,menurut kiraan falak.

18.Saya teringat saranan beliau pada tahun lepas agar seluruh negara Islam BERSATU dalam menentukan tarikh mula puasa dan hari raya aidilfitri.

19.Ini adalah kerana kedua-dua tarikh berkenaan adalah tarikh yang amat penting bagi umat Islam keseluruhannya.Sudah tentu,penyelarasan tersebut sedikit sebanyak melambangkan KESATUAN umat Islam itu sendiri.

20.sejauh manakah saranan beliau disahut pada tahun ini? hasil tinjauan tahun lepas didapati bahawa masih terdapat negara Islam yang gagal menyeragamkan penyelarasan berkenaan.

21. Sekurang-kurangnya,OIC perlu memainkan peranannya menyeru negara anggotanya mengikuti saranan tersebut.

22.Saya kira,sudah sampai masanya negara-negara Islam berkongsi pengalaman dan kepakaran Mesir dalam soal penentuan awal Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri.

Sabtu, 7 Ogos 2010

APA BEZANYA RAMADHAN MESIR DAN MALAYSIA?


KUIH RAMADHAN : QATAYIF..macam lempeng tak?


CARA QATAYIF DIBUAT


"MAHEL FAWANIS" KEDAI - KEDAI YANG MENJUAL FANUSAH KHAS SEMPENA RAMADHAN


HA HEH FANUSAH!!! NIH DIA LAMPU FANUSAH!!!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Tinggal beberapa hari sahaja lagi,RAMADHAN akan tiba.

2.Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan di dalamnya terdapat satu malam yang dinamakan malam lailatul qadar.Bulan ramadhan jugalah tercatat dalam sejarah Islam dimana AL QURAN diturunkan pada bulan berkenaan.

3.Sejak kecil saya melihat bagaimana MALAYSIA menyambut Ramadhan.Pada tahun 2003,saya mula melihat,bagaimana masyarakat MESIR menyambut bulan yang mulia itu.Sungguh berbeza!

4.Orang melayu selalu kata, "lain padang lain belalangnya".

5.Benar,orang melayu Islam di Malaysia tak sama dengan orang arab di Mesir.

6.Orang kita melayu di Malaysia,menyambut bulan RAMADHAN dalam suasana yang biasa-biasa sahaja.Meriahnya adalah sambutan hari raya.Tiada kelainan menjelang Ramadhan.

7.Namun,bagusnya adalah sekelompok masyarakat ISLAM di beberapa tempat di Malaysia akan mengadakan forum,ceramah dan majlis ilmu yang lain yang mengingatkan masyarakat betapa pentingnya bulan RAMADHAN yang bakal menjelang.

8.Apa yang menghairankan lagi,baru seminggu berpuasa,MALAYSIA akan mula dihujani demam hari raya.

9.Gedung membeli belah,akan mula membuat jualan promosi hari raya.Lampu pelita aidilfitri akan mula dijual.Kuih-muih hari raya yang beraneka jenis akan mula dijual.Ada yang kurang ke Masjid untuk bertarawikh hanya kerana mengadun kuih biskut hari raya.

10.Tiada sebarang kemeriahan menjelang ramadhan.Meriahnya menjelang ramadhan di Malaysia adalah "pembukaan tender-tender tapak bazar Ramadhan".

11.Rumusannya,orang melayu di Malaysia menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan pesta makanan dan bulan persediaan menyambut hari raya aidilfitri.

12.Ini berbeza sama sekali di Mesir.Tujuan saya membuat perbezaan ini,bukanlah mahu menghina orang kita sendiri akan tetapi lebih kepada kriktikan sosial terhadap sebuah masyarakat yang kadang-kadang mengaku keislamannya lebih baik dari masyarakat Islam di timur tengah!!

13.Suasana sambutan Ramadhan di Mesir sangat berbeza.

14.Bulan sya'ban adalah bulan persediaan RAMADHAN.

15.Kain-kain rentang akan dinaikkan di kawasan-kawasan tertentu untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan.

16.Lampu-lampu FANUSAH akan dijual oleh kedai-kedai tertentu.Khemah-khemah didirikan di luar kedai khusus menjelang ramadhan untuk menjual barang keperluan Ramadhan seperti kurma,dan lain-lain.

17.Banyak betul promosi-promosi menjelang bulan ramadhan.

18.Kuih-muih bulan RAMADHAN akan mula dijual seperti QATAYIF.Sungguh sedap sekali jika dicicah dengan madu hitam (asal eswed) buat pembuka selera berbuka puasa setelah menelan 3 biji kurma.Kebiasaannya,kedai-kedai roti akan menjual QATAYIF.Sekali pandang,seakan-akan lempeng yang dimakan oleh orang kampung di Malaysia,cuma,saiznya sahaja yang amat kecil berbanding lempeng.

19.Masjid-masjid pula,sibuk dengan iklan-iklan IHYA RAMADHAN seperti program QIAMULLAIL.

20.Satu program yang amat berbeza dan jarang berlaku di Malaysia adalah budaya bersedekah oleh orang yang berkemampuan terutama golongan kaya.Khemah-khemah akan didirikan khusus untuk menjamu sesiapa yang sudi terutamanya orang miskin untuk berbuka puasa atau dikenali sebagai "MAEDATULRAHMAN".Hampir keseluruhan masjid akan mengadakan hidangan berkenaan.

21.Kebanyakkan yang datang ke MAEDATULRAHMAN adalah orang-orang miskin,orang yang musafir,orang yang mahu berbuka secara "jamaah" dan para pelajar.

22.Tinjauan saya pada tahun lepas,ramai pelajar MALAYSIA berbuka puasa di MAEDATULRAHMAN di MASJID SYARBINI HAYYU ASYIR dan MASJID WALIDAIN.

23.Suasana menyambut RAMADHAN ini amat terasa di Mesir.Menjelang aidilfitri,masjid-masjid di Mesir akan meriah dengan program QIAMULLAIL terutamanya malam ke 27.

24.Apa khabar kita di Malaysia? Sampai bila orang melayu hanya meriah untuk berhari raya yang meriahnya itu hanya sehari dua? Mengapa budaya seumpama ini tidak terdapat di Malaysia? Graduan AL AZHAR nampaknya mempunyai satu lagi kerja tambahan,iaitu mengubah budaya melayu dari menjadikan bulan RAMADHAN sebagai pesta makanan kepada bulan ibadah.Persoalannya,bagaimana?

Selasa, 3 Ogos 2010

WAKHID BALAK YA KHWANNA!!!! (HATI-HATI KAWAN!!!)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang dihormati sekalian.

1.Izinkan saya berkongsi sebuah pengalaman berharga untuk dijadikan panduan bersama kawan-kawan kita di Mesir.

2.Saya bersama seorang rakan menghabiskan masa pada malam tadi,berbual sambil makan malam di sebuah restoran di City Star,Kaherah.

3.Perbualan yang panjang dan singkatnya malam di musim panas di Kaherah membuatkan kami lewat keluar dari pusat membeli belah berkenaan.

4.Jarum jam tangan saya menunjukkan hampir jam 12.30 malam.

5.Masih ramai manusia yang menunggu teksi walaupun lewat malam.Itulah suasana musim panas di Mesir.Malam lebih sibuk berbanding siang.Suhu kepanasan yang tinggi antara 37 - 41 darjah celcius menyebabkan malam lebih meriah.

6.Orang melayu selalu kata,"cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar". Peristiwa awal pagi rabu ini membuatkan saya membenarkan apa yang selalu orang kita kata.

7.Teksi bermeter di Mesir sungguh memilih penumpang berdasarkan lokasi.Mereka mempunyai lokasi pilihan.Bukan seperti di Malaysia,asal sahaja bermeter,tahan,naik dan beritahu lokasi,yang penting dalam bandar.Sepatutnya di Kaherah pun begitu dan saya yakin,undang-undangnya begitu.

8.Saya berdiri bersama beberapa orang masyarakat tempatan.Kami dihampakan oleh pemandu-pemandu teksi kerana lokasi yang disebutkan bukan pilihan pemandu.

9.Seorang lelaki separuh abad bercakap sesuatu,merungut di sebelah saya,betapa gelagat pemandu-pemandu itu,menyusahkan kami yang menunggu lama.

10.Saya akui,apa yang dirungut itu benar.Saya sempat membalas dengan nada yang rendah berbanding lelaki tersebut yang tinggi suaranya dan sebahagian dari kami yang berada di sekeliling cuba menyambung dan memperakui rungutan itu.

11.Dalam suasana tersebut,terdapat seorang lelaki yang berdiri menunggu bersama-sama kami,berbadan tegap, dan umur lingkungan awal 30 an menahan sebuah teksi yang lalu di hadapannya setelah menyaksikan orang sebelumnya gagal menaiki teksi tersebut.

12.Lelaki berkenaan menjerit kearah pemandu, "TALLAK RUKHSAH!!!" (keluarkan lesen!!!).

13.Pemandu tersebut membalas arahan dengan juga meninggikan suara.

14.Akhirnya, pemandu tersebut akur dan pertikaman lidah mereka berhenti setelah ditegur oleh lelaki berkenaan.Lelaki yang merungut tadi menaiki teksi sambil tersenyum dengan diiringi oleh isteri dan anak-anaknya.

15.Mata saya liar memerhatikan siapakah gerangannya lelaki berkenaan?

16.Rupanya-rupanya,beliau adalah Polis Mesir atau tidak keterlaluan jika saya katakan,beliau adalah SB.

17.Akhirnya,mudah juga saya menaiki teksi dengan berdirinya lelaki tersebut dan beberapa yang lain di samping jalan.

18.Awas...sistem keselamatan di Mesir sangat tinggi terutamanya di waktu malam.Teringat saya semasa makan di sebuah kedai makan di hayyu asyir,bawwabah thaniah.Seorang lelaki Mesir menyapa saya dalam bahasa Indonesia yang fasih.

19.Lelaki tersebut mendapat pendidikan di sebuah sekolah yang diselenggara oleh kedutaan besar Indonesia di Giza,Mesir.Sehingga kini,sekolah tersebut masih wujud dan beroperasi.

20.Ada beberapa pengalaman lagi yang saya hadapi di Mesir yang boleh dikongsi berkaitan isu yang sama.Saya pernah cerita kepada beberapa rakan sebelum ini,bagaimana saya membeli akhbar yang "sensitif" dan ditegur oleh "seorang hamba Allah" sambil menunjukkan identitinya.

21.Pesan saya kepada rakan-rakan...hati-hati bila berbicara.Jangan "tersalah" cakap.Pilihanraya Parlimen Mesir dijangka pada bulan November 2010.Beberapa bulan setelah itu, dijangka akan diadakan pula Pilihanraya Presiden.Keselamatan di negara ini sudah tentu akan ditingkatkan.Jauhkan diri dari berbicara sesuatu yang berkaitan politik tempatan atau apa jua yang boleh dilihat sensitif.

Sabtu, 31 Julai 2010

KEMANAKAH KITA SETELAH BERGELAR GRADUAN AL AZHAR???


Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


Universiti Al Azhar El Syarif


University Of Cairo

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Minggu lepas,23 dan 24 Julai,saya telah menghadiri dua buah seminar dan bengkel yang dianjurkan oleh Department Of Malaysia Study (DMS),University Of Cairo dengan kerjasama Akakemi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

2.Agak lama juga saya tidak muncul di khalayak ramai,mengutarakan pendapat.Saya tidak suka hanya hadir sesuatu seminar atau bengkel dengan tanpa menyertai ruang perkongsian idea atau dialog yang disediakan.

3.Ada antara rakan-rakan yang bertanya tentang blog saya yang "bersarang".Saya katakan kepada mereka,faktor peperiksaan menyebabkan saya tidak menulis.Ada rakan-rakan yang membidas alasan saya.Terima kasih atas kritikan membina.

4.Apa yang menarik dan ingin saya kongsikan bersama dalam ruangan maya kali ini adalah,erti seorang graduan dan hala tuju selepas bergelar graduan.

5.Islam mementingkan perancangan.Ia adalah merupakan kalimah keramat yang menjadi faktor kejayaan seseorang.

6.Dalam AL QURAN,telah terakam erti perancangan seperti yang diceritakan berkenaan mimpi yang ditafsirkan oleh Nabi Allah Yusuf A.H bahawa negara (Mesir) akan mengalami kemarau yang panjang.

7.Perancangan memyimpan bekalan tertentu untuk menghadapi krisis tersebut adalah menjadi bukti,betapa ISLAM mementingkan umatnya merancang untuk menghadapi masa hadapan.Itulah sebabnya kisah mimpi nabi Allah Yusuf tersebut dirakamkan buat tatapan umat Nabi Muhammad S.A.W melalui kitab suci Al Quran.

8.Bercakap soal perancangan,saya amat berterima kasih kepada Universiti Malaya yang memainkan peranan penting menganjurkan seminar pengajian tinggi Universiti Malaya baru-baru ini.

9.Seminar tersebut mendedahkan kepada umum terutamanya mahasiswa tahun akhir di Universiti AL AZHAR,betapa terdapat disana peluang dan ruang untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah sarjana dan doktor falsafah.

10.Namun,saya yakin,ramai yang mempunyai cita-cita meyambung pengajian di Mesir.

11.Apa pun,mereka yang datang mempunyai cita-cita dan azam itu adalah sesuatu yang harus dipuji.

12.Berdasarkan pengamatan dan tinjauan saya sebelum ini,terdapat di kalangan mahasiswa tahun akhir bahkan yang telah tamat pengajian masih terpinga-pinga apabila ditanya hala tuju selepas bergelar GRADUAN.

13.Ini adalah fenomena yang kurang sihat dan memerlukan rawatan segera.

14.Persoalannya,mengapakah ianya terjadi?

15.Adakah kerana sistem pengajian di AL AZHAR yang mengutamakan "turath" punca utama?

16.Apakah kerana faktor geografi menjadi punca?

17.Apakah kerana hilang fokus terhadap pengajian dan cetek maklumat semasa menjadikan mereka sedemikian?

18.Apakah mereka "kurang pendedahan"?

19.Pada pendapat saya,sistem pengajian yang berteraskan "turath" di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR adalah merupakan satu kelebihan yang amat besar kepada kita.Oleh yang demikian,ianya bukan faktor fenomena ini.

20.Faktor geografi dan jarak yang jauh antara tanah air dan Mesir tidak menjadi masalah.Ini adalah kerana kemudahan terkini membolehkan kita memperoleh perkembangan terkini melalui hujung jari.

21.Kurang fokus adalah salah satu satu punca utama.Melalui fokus pengajian dalam bidang berkaitan akan membolehkan seseorang itu mengaplikasi TURATH yang diketahui dengan isu semasa terutamanya isu-isu fekh kontemporari.

22.Begitu luas bidang kajian.Ianya memerlukan metodologi kajian untuk dipelajari dan seterusnya dikuasai buat bekalan untuk tujuan pengaplikasian itu.

23.Maklumat semasa dan perkembagan terkini harus diketahui oleh mahasiswa terutamanya bakal graduan dan mereka yang berkecimpung dalam bidang syariah.FEKH WAKIK adalah senjata utama dalam menghukum sesuatu.Dengan tanpa mengetahui fekh berkenaan,kita dikhuatiri menghukum secara salah.

24.Universiti Al Azhar adalah sebuah universiti berprestij di peringkat antarabangsa.

25.Oleh yang demikian,bakal graduan harus mengetahui,bidang apa yang mereka minati dan kemanakah mereka selepas bergelar graduan.

26.Kepada mahasiswa di peringkat ijazah pertama,selepas berjaya naik ke tahun dua,anda harus berfikir kemanakah dan bidang apakah yang harus anda kuasai.Ini penting bagi melengkapkan diri sebagai seorang graduan yang berkualiti ditengah-tengah luatan masyarakat.

27.Saya cadangkan kepada bakal graduan,berbincang dengan pegawai-pegawai di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK),Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK),pegawai-pegawai rumah negeri,Pengarah DMS dan senior-senior di peringkat Ijazah sarjana sebagai motivater dan rakan kongsi pendapat.Barangkali,mereka lebih dahulu "makan garam" dari kita.

28.Akhir kata,saya amat berharap,agar bakal graduan,dapat menyiapkan diri mereka dengan
kehendak semasa dan mengembalikan keagungan graduan AL AZHAR seperti sebelum era 90 an.

29.Selamat merancang!!! hidup graduan AL AZHAR!!!

Khamis, 17 Jun 2010

MAHASISWA AL AZHAR TIDAK AKAN TERLIBAT DENGAN PENGARUH MILITAN



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger Sekalian,

1.Saya mengamati laporan akhbar KOSMO hari ini bertarikh 17 Jun 2010.

2.Saya juga tekun mengikuti berita akhbar Mesir hari ini berkaitan mangsa "bunuh" yang mencetuskan polemik di Kaherah dan Iskandariah,Mesir baru-baru ini, Khalid Said.

3.Akhbar KOSMO melaporkan bahawa MALAYSIA akan memantau 6000 pelajar Malaysia di luar negara yang barangkali terlibat dengan "kumpulan yang mempunyai semangat jihad" yang tinggi, Jemaah Islamiah (JI) terutama di Mesir.

4.Saya berpendapat, kerajaan wajar berbuat demikian.Namun,angka 6000 tersebut membuatkan kita bertanya,seluruh Mesir atau seluruh pelajar Malaysia di luar negara?

5.Saat ini,bilangan pelajar Malaysia di Mesir adalah lebih kurang 8000 orang.

6.Pelajar jurusan agama saya jangka lebih kurang 3000 lebih.

7.Ada yang berpendapat,barangkali isu penghantaran beberapa pelajar Malaysia baru-baru ini dikaitkan dengan kenyataan tersebut.

8.Sebagai AHLI KELAB UMNO yang bersuara atas nama peribadi, saya agak terperanjat dengan kenyataan akhbar KOSMO berkenaan.

9.Ini adalah kerana METOD pengajian di AL AZHAR tidak memungkinkan mahasiswa kita di Mesir terlibat dengan pengganas.

10.AL AZHAR adalah tempat melahirkan ramai ilmuan dan metod pengajiannya berdasarkan KESEDERHANAAN dalam semua aspek.

11.Bahkan,pelajar Malaysia di MESIR belum pernah dilaporkan mngubah LAGU NEGARAKU.

12.Semangat patriotik mahasiswa Malaysia di Mesir adalah sangat baik walaupun saya lihat 90 peratus mahasiswanya "cenderung menyokong pembangkang".

13.Namun,apabila melihat angka bilangan mahasiswa Mesir hari ini,bukan sahaja di AL AZHAR bahkan di banyak Universiti lain dalam bidang perubatan.

14.Mungkin mahasiswa selain dari AL AZHAR.Kuliah DAR EL ELUM di Universiti Kaherah juga selamat dari ancaman pengaruh JI.

15.Saya simpulkan, isu ini TIADA KAITAN dengan mahasiswa AL AZHAR dan kuliah Dar El Ulum Universiti Kaherah.

16.Dalam isu mahasiswa kita yang dihantar balik,sekali lagi saya berharap,rakan-rakan di Mesir tidak mengaitkan isu yang dibangkitkan dengan isu tersebut.

17.Ini adalah kerana PUNCA sebenar penangkapan dan penghantaran balik ke Malaysia masih tidak diketahui bahkan dirahsia oleh pihak kesemalatan negara Mesir.

18.Apa pun, suka mengulas berkaitan isu penangkapan di Mesir.

19.Maksud "suspek" di Mesir ini terdedah dengan seribu kemungkinan termasuk "salah tangkap", "saja tangkap", "semberono" dan sebagainya.

20.Baru-baru ini, seorang belia Mesir di tangkap dan DIPUKUL SAMPAI mati hanya sebagai seorang suspek! Bahkan keluarga mangsa mempunyai bukti bahawa tangkapan tersebut adalah "semberono".

21.Seorang terkorban.Pemuda yang diakui berakhlak tinggi dibunuh dengan kejam.

22.Saksi ramai dan mereka diugut supaya jangan bersuara!!!

23.Cari sendiri di internet, kepada mereka yang pandai berbahasa arab,anda search dalam bahasa arab dan baca posting yang ada.

24.Kaherah dan Iskandariah pada awal minggu ini telah menyaksikan siri DEMONTRASI JALANAN yang meluahkan rasa tidak puas hati rakyat Mesir atas isu ini.

25.Hari ini,17 Julai, jasad beliau dikeluarkan dari PUSARA dan dibuat bedah siasat atas kematian berkenaan.

26.Maka,setiap suspek di Mesir ini terdedah kepada SUSPEK YANG TERSALAH dan sebagainya.

27.Saya yakin,kawan-kawan kita yang dihantar balik,TIDAK BERSALAH.Bahkan mereka adalah ORANG-ORANG YANG BAIK yang disalah tangkap.

Saya yang ihklas....