Sabtu, 23 Oktober 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI 2 : ANTARA DUA METOD

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

Seperti yang saya janjikan,posting kali ini sambungan dari coretan sedikit pengalaman mengikuti coursework atau tamhidi di Universiti Kaherah setelah bergelar graduan syariah universiti tersohor,AL AZHAR ASY SYARIF.

BAGAIMANA KEMUNCULAN ILMU FEKAH?
Jika kita mengkaji sejarah perkembangan ilmu Fekah yang sampai ke tangan kita hari ini,ianya bermula dengan dua metodologi utama iaitu metodologi yang berasaskan kepada sunnah atau hadith manakala yang satu lagi adalah metodologi yang berasaskan kepada EL RAKYU atau KIAS.

Metodologi pertama berpusat di Madinah manakala metodologi kedua berpusat di Kufah, Iraq.Kedua-dua metodologi ini muncul setelah kewafatan rasulullah S.A.W.

Asas metodologi fekah yang berasaskan kepada HADITH adalah berpegang teguh dengan hadith dan tidak membicarakan isu-isu fekah yang belum berlaku atau dipanggil sebagai "iftiradhi".Maka,sebarang isu fekah yang tidak mempunyai dalil dari hadith mahupun Al Quran,maka,golongan ini tidak akan mengeluarkan hukum dan mengambil pendirian tidak memberikan sebarang ulasan.Faktor utama kemunculan metodologi ini adalah golongan ini mempunyai banyak sumber rujukan dari kalangan para ahli hadith dan kewujudan mereka di tanah Madinah itu sendiri memudahkan mereka memperoleh orang yang faham hadith.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi ini adalah IMAM MALIK BIN ANAS RAHIMAHULLAH,pengasas mazhab maliki bahkan beliau digelar IMAM BUMI HIJRAH atau IMAM DAR EL HIIJRAH.

Manakala golongan yang berasaskan kepada KIAS pula tidak bermaksud mereka menolak hadith dalam menyelesaikan masalah fekah yang timbul akan tetapi mereka berhati-hati dalam menerima sesebuah hadith itu memandangkan faktor politik dimana bermulanya fitnah yang besar ketika itu dengan kemunculan golongan-golongan yang mempergunakan agama dengan mengolah hadith palsu tertentu untuk tujuan meraih kemenangan politik mereka antaranya ialah golongan KHAWARIJ disamping pengaruh terhadap perkembangan ilmu-ilmu falsafah yunani yang diterjemahkan ke bahasa arab.

Oleh yang demikian,golongan yang metodologi fekahnya berasaskan kepada KIAS akan meluaskan skop IJTIHAD atau KIAS bagi tujuan mengelakkan dari terlibat dari jenayah memalsukan hadith dan setiap hadith yang diterima akan disiasat keabsahannya disamping meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat untuk menerima sesebuah hadith.Golongan ini juga terkenal dengan "fekh iftiradhi"nya.Keluasan fekh itu tampak jelas melalui metologi yang diguna pakai oleh golongan ini.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi EL RAKYU atau KIAS adalah IMAM ABU HANIFAH EN NUKMAN,pengasas mazhab hanafi.

Setelah kemunculan kedua-dua metodologi ini,lahirlah pula sebuah golongan yang mengkombinasikan kedua-dua metodologi tersebut.Kumpulan ini dipelopori oleh pengasas mazhab syafie,AL IMAM MUHAMMAD BIN IDRIS ASY SYEFIE AL MUTALLIBI atau terkenal dengan nama IMAM ASY SYAFIE.Mazhab ini dilihat lebih sederhana dan lebih fleksibel.Mazhab ini berkembang luas di seluruh dunia sehingga masyarakat Islam di asia tenggara terutamanya di Malaysia mengguna pakai mazhab syafie secara meluas.

KELEBIHAN UNIVERSITI KAHERAH
Universiti Kaherah adalah sebuah universiti yang berprestij di Mesir selepas AL AZHAR. Universiti ini telah berumur lebih seratus tahun.Universiti ini telah melahirkan ramai tokoh terkemuka dunia,tokoh negara Mesir dan Malaysia,penerima anugerah nobel dan macam-macam lagi.

Bagi pengajian Islam,Fakulti Darul Ulum adalah sebuah fakulti yang menyediakan kursus bahasa arab dan pengajian Islam.Peringkat ijazah pertama di darul ulum hanya difokuskan dalam ilmu-ilmu bahasa arab.Tiada pengkhususan seperti di Al Azhar seperti usuluddin,syariah dan sebagainya.Ijazah pertama lebih menekankan pengajian dalam bahasa arab disamping terdapat juga subjek-subjek agama.

Pengkhususan hanya akan digunapakai setelah tamat ijazah pertama.Pengajian selepas ijazah pertama di Darul ulum terbahagi kepada beberapa peringkat.DIBLOM AM , KHAS atau ijazah lanjutan dan TAMHIDI atau coursework sebelum layak tulis tesis,MASTER dan PHD.Antara jabatan yang wujud di darul ulum adalah syariah,Falsafah,sejarah,nahu dan saraf dan lain-lain lagi.

Semasa di AL AZHAR kita dihidangkan dengan kitab-kitab turath (tradisional) yang dikarang oleh ulama muktabar ratusan tahun dahulu.Maka seseorang pelajar tersebut akan bersungguh-sungguh untuk memahami isi kandungan dan maksud pengarang.

Tidak keterlaluan jika saya katakan,pelajar ijazah pertama di universiti Kaherah tidak menikmati sistem tersebut.Mujurlah saya telah mengikuti program ijazah pertama di AL AZHAR.Ini adalah kerana,bidang seperti syariah memerlukan seseorang itu memahami turath.Banyak khazanah-khazanah ilmu dalam turath yang mesti didalami oleh seorang pelajar syariah untuk memantapkan lagi penguasaan mereka dalam bidang tersebut.

Hanya memahami dan mengenali turah semata adalah tidak cukup.Paling penting adalah kemahiran menggunakan turath yang difahami untuk diaplikasi dan diadaptasi agar sampai ke generasi hari ini.

Persoalannya bagaimana? Adakah cukup hanya dengan membaca dan memahami bahkan menghafal semata-mata? Sudah tentu TIDAK.Cara pengaplikasian dan mengadaptasi memerlukan kepada metodologi tertentu.

Itulah kelebihan di Universiti Kaherah.Pelajar MASTER atau terlebih dahulu dalam TAMHIDI akan didedahkan dengan metodologi kajian ilmu-ilmu Islam dan cara menganalisa kitab-kitab turath yang mana kitab-kitab turath ini akan dijadikan bahan utama dalam kajian.Dengan kemahiran menggunakan metodologi berkenaan pelajar akan mampu menyampaikan maksud turath berkenaan dan sekaligus memberikan kesinambungan antara turath yang lama dan isu-isu kontemporari.Sebagai contoh,ISTIHSAN adalah isu yang popular dalam kitab-kitab turath. Terdapat pelbagai kitab yang menghurai masalah istihsan.Hari ini,isu ini perlu dikupas kembali sesuai dengan perkembangan zaman terutamanya perkembangan yang pesat dalam sektor kewangan Islam.Maka,isu-isu yang melibatkan istihsan dikaji melalui kitab-kitab turath sebagai rujukan utama dan pengkaji akan membuat penilaian,analisa dan seterusnya mengambil beberapa bahagian penting dalam kitab turath berkenaan untuk digunapakai dalam bahagian kajian berkenaan.Nampak macam mudah bukan? Bercakap lebih senang dari membuat.Saya sudah rasai kepenatan itu.

PERBEZAAN ANTARA UNIVERSITI AL AZHAR DAN UNIVERSITI KAHERAH (DARUL ULUM)
Jika sejarah awal kemunculan ilmu fekah itu bermula dengan dua metodologi,maka Mesir sebagai pusat yang melahirkan tokoh ilmuan dunia ini mempunyai dua metodologi dalam penyampaian ilmu dalam proses melahirkan ilmuan.

AL AZHAR sebagai universiti tertua di dunia atau OXFORD AGAMAWAN mengguna pakai metodologi TURATH sebagai metod utama dalam penyampaian ilmu.Al Azhar sangat mementingkan turath sehingga di fakulti syariah,terdapat beberapa subjek MAJOR yang khusus mengkaji isi kandungan kitab turath seperti Fekah dan Usul Fekah.Maka,bagi pengajian kedua-dua subjek berkenan,masa pengajian dibahagikan kepada dua.Pengajian secara TOPIK atau "maudhui" dan pengajian secara PERBAHASAN KITAB TURATH atau "nassi".

Bagi subjek Fekah mazhab syafie,pelajar mengkaji kitab MINHAJ EL TALIBIN karangan imam An Nawawi.Beberapa bahagian dalam kitab berkenaan akan diambil untuk bacaan bersama pensyarah dan dikaji setiap kalimat yang terkandung di dalamnya.Subjek ini memerlukan kemantapan bahasa arab dan kehadiran ke kuliah.Kekurangan salah satu dari dua perkara ini akan menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Manakala bagi subjek Usul Fekah pula.pelajar akan mengkaji kitab NIHAYAT EL SUL FI EL SYARH MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL karangan imam El Isnawi yang mana kitab itu sendiri adalah huraian bagi lafaz dan makna kitab terdahulu,MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL oleh Al Qadhi Al Baidhawi.Kitab ini sungguh sukar untuk difahami jika dibaca sendirian dan memerlukan dua alat bantuan yang saya sebutkan tadi.Kegagalan untuk memenuhi perkara asas tersebut akan juga menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Bagi pengajian MASTER di AL AZHAR pula,saya dapati,turath masih menjadi perhatian universiti berkenaan hingga ke tesis MASTER juga diutamakan penulisan berkaitan analisa kitab-kitab turath atau TAHKIK EL TURATH.

AL AZHAR tidak menitik beratkan metodologi kajian akan tetapi hanya menitikberatkan kefahaman terhadap turath.Ini akan menyebabkan seseorang itu hanya akan mampu menghurai secara lisan semata dan dalam membuat kajian kelak ia akan memakan masa kerana beberapa metodologi diperlukan.Bahkan,saya hairan,bagaimana seseorang itu menganalisa kitab turath sedangkan penekanan terhadap subjek tersebut TIADA!!

Oleh yang demikian,metod pengajian di AL AZHAR adalah yang berasaskan kepada FAHAM dan HAFAZ.Bagi saya,kekurangan ini bukan kekurangan yang mengaibkan pelajar lepasan AL AZHAR akan tetapi ianya satu kekurangan yang boleh dibaiki dengan usaha yang gigih dari pelajar itu sendiri.Metod ini ada kebaikkannya disamping terdapat kekurangan yang perlu dibaiki.Secara kesimpulannya,metod pengajian di AL AZHAR adalah metod yang berasaskan turath.

Manakala di Universiti Kaherah pula,metodologi pengajian di peringkat MASTER adalah berasaskan kepada kajian.Pelajar akan didedahkan dengan metodologi kajian dan bagaimana membuat sesuatu kajian berdasarkan kepada sumber-sumber rujukan yang terdiri dari kitab-kitab turath.

Hal ini bukanlah mudah.Ini adalah kerana pelajar bukan sahaja mesti faham isi kandungan turath akan tetapi mengolah dan memindahkan beberapa fakta dari turath ke dalam kajian masing-masing.Bayangkan jika tersilap faham,apakah akan jadi dengan kajian tersebut? Sudah tentu ianya tidak mempunyai nilai.Kesimpulannya,di Universiti Kaherah atau fakulti Darul Ulum adalah sebuah institusi pengajian yang berasaskan kajian.

Apabila kita telah sibuk dengan turath semasa di peringkat ijazah pertama,maka,di Universiti Kaherah pula,kita belajar cara atau metodologi kajian.Bagaimana menghasilkan sebuah kajian hasil dari kefahaman terhadap turath.Dengan ini,saya kira,lepasan Al Azhar yang masuk ke Universiti Kaherah akan menjadi lebih sempurna dalam interaksinya dan sumbangannya terhadap turath apabila memanjangkan khazanah turath tersebut dalam kajian semasa.Kombinasi antara metod turath dan kajian sangat penting untuk memenuhi keperluan dunia sekarang dalam menyelesaikan beberapa isu kontemporari.

Oleh yang demikian,kehadiran ke kuliah di universiti Kaherah adalah wajib dan sebagai syarat untuk masuk ke dewan peperiksaan walaupun tiada markah untuk kedatangan.Kertas peperiksaan hanya mempunyai markah penuh sebanyak 60 markah sahaja dan selebihnya akan dihakimi berdasarkan assignment atau kajian yang telah diserahkan.Jika markah assignment kurang dari 30 markah,maka anda adalah calon gagal untuk tamhidi.Mencabar bukan?Untuk menyiapkan sebuah kajian bukan mudah.Dengan metodologi kajian yang anda pelajari, rujukan terus ke pensyarah,gaya pengolahan bahasa yang sesuai dengan kajian akan menentukan markah LULUS tamhidi.

Inilah sebabnya saya ke universiti kaherah.Bukan sesuka hati.Bukan untuk cepat habis MASTER.Bukan untuk lari dari universiti Al Azhar.Ada rakan-rakan yang menyamakan universiti Kaherah dengan universiti terbuka Amerika (jamiah amerikan maftuh) dan Institut pengajian tinggi Zamalik (ma'had Zamalik).Saya katakan taraf kedua-dua buah universiti ini tidak sama dengan Universiti Kaherah.Universiti Kaherah tidak sama dengan kedua-dua universiti tersebut.Ini adalah kedua-dua universiti berkenaan masih bertaraf IPTS dan mempunyai masalah pengiktirafan di Malaysia berdasarkan maklumat yang saya peroleh.

Apa yang diajar di universiti Kaherah tidak sama seperti di kedua-dua buah institusi berkenaan.Saya telah membezakan subjek pengajian MASTER untuk kedua-dua institut berkenaan dan saya lihat tidak ada bezanya dengan AL AZHAR.Sistem hadir kelas dan peperiksaan semata.Saya tidak berminat dengan kedua-dua institut berkenaan.Saya tidak mahu memperjudikan waktu dengan sesuatu yang tidak pasti.

CABARAN SEBENAR SEORANG MAHASISWA
Apabila anda meletakkan diri ke universiti Kaherah dalam TAMHIDI,ini bermakna anda akan mula merasakan kesempitan waktu yang berpanjangan.Berbeza dengan pelajar AL AZHAR yang mempunyai banyak waktu dengan kuliah yang tidak wajib.Beruntunglah bagi mereka yang pandai,ada yg menggunakan peluang tersebut untuk membaca kitab-kitab sampingan atau berTALAKKI dengan para syeikh yang terdapat di sekitar AL AZHAR.

Kesempitan waktu yang saya maksudkan adalah anda mempunyai tugasan di luar dewan kuliah.
Kajian setebal lebih kurang 150 hingga 200 muka surat untuk 4 subjek harus disiapkan dalam masa tiga bulan sahaja.

Masa anda akan banyak habis di Universiti,perpustakaan dan rujukan-rujukan.Maka disinilah anda rasa "nikmat" seorang mahasiswa.Sungguh mencabar sehingga terbawa ke dalam mimpi.Satu alam baru yang penuh mencabar.Ini adalah kerana kita tidak pernah didedahkan dengan metodologi kajian sebelum ini di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR.Penyediaan assignment adalah latihan kearah penulisan tesis.Jika letih semasa menulis assignment,apalagi semasa menulis tesis ini.Macam-macam yang saya bayangkan...namun,saya telah meletakkan diri ke sini,maka saya akan lalui setiap ranjau dan duri yang ada.

Alah bisa tegal biasa.Insyaallah melalui posting akan datang sebelum saya bercuti tiga minggu, saya akan menceritakan pengalaman menulis assignment dan suka duka yang saya alami sepanjang penyediaan assignment untuk melayakkan diri ke alam penulisan TESIS.

Khamis, 21 Oktober 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI 1 : GEMBIRA DAN SEDIH


YPJ Pernah kecewakan saya


Ramai lepasan AL AZHAR di MAJLIS AGAMA ISLAM JOHOR,persoalannya,mengapa masalah biasiswa pelajar AL AZHAR masih belum selesai?


Satu-satunya institusi yang membela nasib orang melayu samada pelajar melayu miskin yang cemerlang dan peniaga melayu berpotensi.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

Melalui laman blog ini,saya ingin berkongsi cerita bersama-sama rakan-rakan sekalian berkenaan apa yang berlaku antara hujung tahun 2007 setelah saya bergelar graduan sehingga akhir tahun 2010.

GEMBIRA
Setiap manusia punya cita-cita.Ketika saya hampir bergelar graduan,saya banyak berfikir tentang masa depan.Saya pernah bercita-cita untuk jadi orang politik.Saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan.Saya juga bercita-cita untuk menjadi ahli akademik.

Cita-cita perlulah diiringi oleh usaha barulah ianya tidak diklasifikasikan sebagai agan-angan.Saya seorang yang rapat dengan pensyarah di Universiti Al Azhar.Sejak tahun satu di fakulti syariah di Al Azhar saya mengakrabi beberapa pensyarah.

Apabila saya membuka television dan radio glombang 98.2 FM,saya akan sering mendengar pensyarah saya berkemundang di udara menyampaikan ilmu.Antara pensyarah yang sangat saya ingati adalah :

1) Prof Dr Umar Hasyim (bekas rektor Al Azhar dan pakar hadis yang mengajar saya ilmu mustalah hadith)

2) Prof Dr Atiyyah Abdul Maugud (Pensyarah di Fekh Am)

3) Allahyarham Prof Dr Jalaluddin Abdur Rahman (Pensyarah kanan usul fekh)

4) Allahyarham Prof Dr Isa Zahran (Pensyarah Kanan usul fekh)

5) Prof Madya Dr Ali Abdun Nabi.

6) Dr Salim salamah

7) Dr Jamal Atiyyah

8) Prof Dr Usamah Abd Samik

9)Prof Dr Akram

10)Prof Dr Adas

11) Dr Abdus salam

Dan banyak lagi.

Ada juga pensyarah yang tidak mengajar saya di kuliah akan tetapi saya akrabi beliau kerana ketokohan beliau seperti Prof Dr Rakfat Uthman.

Semasa di AL AZHAR saya diperkenalkan kitab-kitab turath (tradisional) sehingga kepala saya begitu pening saat membacanya.Namun,buku bantuan yang modern banyak membantu disamping siri kuliah pensyarah yang saya hadiri turut memberi bantuan untuk saya memahami turath.

Sudah tentu,keputusan untuk menyambung MASTER di luar AL AZHAR adalah satu keputusan yang memakan masa dan saya banyak berfikir rasionalnya.Saya mengkaji metodologi pengajaran kedua-dua buah universiti dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian MASTER di Universiti Kaherah setelah berjaya menamatkan pengajian di AL AZHAR dengan TANPA MENGULANG TAHUN dan memperolah JAYYID setiap tahun.Saya tidak malu mengaku hanya JAYYID kerana itulah tahap pencapaian saya.

Saya cukup gembira kerana saya satu-satunya pelajar MALAYSIA yang berjaya masuk ke Universiti Kaherah pada tahun 2007.Oktober 2007 saya mula jejakkan kaki di Universiti Kaherah dengan seribu harapan.

Gembira kerana melihat disinilah juga lahirnya beberapa tokoh di Mesir yang mempunyai peranannya masing-masing.Antaranya Prof Dr Abu Sufi,Hassan Al Banna dan Asy Syahid Sayyid Qutub.

SEDIH
Kadar yuran di Universiti Kaherah adalah tinggi.Yuran bagi tahun pertama adalah sebanyak GBP 2400 (bersamaan RM 13 ribu lebih) manakala tahun berikutnya adalah GBP 1200 (bersamaan RM 8 ribu lebih).

Saya bukan lahir dari keluarga berada.Saya adalah anak angkat sebuah keluarga sederhana.Sudah tentu saya tidak mampu membayar sendiri yuran tersebut.Saya yakin,dengan nama MALAYSIA sebuah negara membangun,saya akan dapat pembiayaan dari pihak kerajaan.

Usaha pertama saya adalah pulang ke tanah air pada Disember 2007.Usaha saya adalah bertemu dengan YAB Menteri Besar JOHOR,YAB Datuk Ghani Othman.Saya menyediakan surat permohonan dan proposal berkaitan perbelanjaan untuk menyambung pengajian di peringkat MA untuk diserahkan kepada beliau.

Disamping itu,saya turut berusaha bertemu sendiri Dato' Noh Gadut yang ketika itu beliau merupakan mufti negeri Johor.Saya bertemu beliau untuk memohon bantuan melanjutkan pengajian di peringkat MA di bawah tajaan Majlis Agama Islam Johor.Kalau ZAKAT MAIJ mampu hantar pelajar perubatan dengan kos ratusan ribu mengapa tidak untuk mengeluarkan pakar syariah,MAIJ berbuat demikian.Selesai urusan,saya terus pulang ke Mesir untuk menyambung pengajian.

Saat hampir peperiksaan,sekitar bulan APRIL 2008,saya dikejutkan dengan surat dari YPJ dan sebelum itu dengan makluman lisan dari MAIJ bahawa permohonan saya DITOLAK.Kedua-dua permohonan saya telah DITOLAK mentah-mentah.

Saya akur.Namun,saya tidak putus asa dan terus menghadiri kelas walaupun pihak universiti memaklumkan bahawa saya TIDAK AKAN DIBENARKAN MASUK PEPERIKSAAN.

Pada hari Ahad,18 Mei 2008 bertempat di Grand Continental Hotel,Kaherah,saya telah menghadiri sebuah majlis makan malam bersama YAB Dato' Seri Najib Tun Razak yang saat itu beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Usai majlis,saya bertemu dengan beliau dan memaklumkan kepada beliau bahawa permohanan saya untuk mendapatkan penajaan YPJ dan MAIJ telah ditolak mentah-mentah.Beliau yang bagi saya bersifat mesra rakyat telah mendengar dengan teliti dan mencadangkan kepada saya agar membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan jika sekiranya gagal,beliau mencadangkan kepada saya agar bertemu dengan beliau.

Sejak bertemu dengan beliau saya mempunyai semangat luar biasa hingga kembali yakin bahawa saya akan berjaya memegang ijazah sarjana Syariah (MA SYARIAH) dari Universiti Kaherah.

Saya pulang ke tanah air pada 20 mei 2008 dengan menaiki pesawat Egypt Air.Dengan harapan yang menggunung agar kepulangan tersebut bukannya kepulangan terakhir dan saya yakin akan datang semula ke bumi anbia ini.

Maka,saya tidak boleh memasuki peperiksaan bagi sesi pengajian 2007/2008 dan saya memohon kepada pihak universiti untuk menangguhkan pengajian.Siapa yang tidak sedih?

SEDIH 2
Sampai ke tanah air bukanlah sesuatu yang menyeronokkan kerana saya mempunyai misi yang besar.Saya membuat rayuan ke pejabat YAB Menteri Besar Johor setelah "terpacak" lama di pejabat beliau di samping beberapa "kontraktor" yang turut menunggu.

Setiausaha Sulit beliau memberikan jaminan bahawa surat berkenaan akan menjadi perhatian YAB MB.Selang beberapa hari,saya mendapat surat "perhatian" berkenaan memaklumkan bahawa rayuan saya DITOLAK dengan tanpa alasan.

GEMBIRA 2
Akhirnya,saya bergegas ke Parlimen Malaysia dengan menaiki bas dan wang saku yang hanya cukup makan.Dengan bantuan Ahli Parlimen Sri Gading,YB Datuk Muhammad Aziz,saya memasuki bangunan parlimen sebagai tetamu beliau.

Saya akhirnya dapat bertemu dengan YAB Dato' Seri Najib di lobi parlimen Dan saya mengadu nasib sekali lagi.Beliau memberi saya beberapa cadangan dan yang saya kagumi adalah YAB DATO' SERI masih ingat pertemuan sebelum in di Kaherah.Saya tidak fikir beliau buat-buat ingat.Inilah contoh pemimpin yang kita cari.Ingat rakyat yang mengadu masalah.

Saya masuk kembali ke dewan rakyat sebagai pemerhati.Saya membuka bag dan meyiapkan beberapa dokumen seperti surat permohonan dan surat pengesahan universiti.

Akhirnya YB Dato' Seri (ketika itu DATO') Noh Omar keluar dari dewan sidang.Saya bergegas menemui beliau.Akhirnya beliau bertanya kepada saya seolah-olah telah mengetahui tujuan saya.

Beliau meminta saya menemui Ahli Parlimen kawasan saya terlebih dahulu untuk sokongan.Kerana Saat itu saya tidak menemui YB Ahli parlimen Batu Pahat,saya maklumkan kepada beliau bagaimana jika ahli parlimen Sri Gading? Beliau bersetuju.

Saya mencari-cari kelibat YB Seri Gading di dalam dewan sidang.Saya langsung tidak nampak kelibat beliau sedangkan beberapa jam tadi saya melihat kelantangan beliau.Saya keluar semula dari dewan dan menemui YB Dato' Seri Noh Omar bersama YB Datuk Muhammad Aziz sedang berbual-bual mesra di kafeteria parlimen.

Saya ajukan surat permohonan kepada beliau lantas mencoretkan beberapa coretan sokongan dengan tulisan jawi berdakwat gelap.Selepas itu,surat berkenaan diserahkan kepada YB Dato' Seri Noh Omar untuk ditandatangani dan beliau turut menandatangani surat berkenaan dan saya ke pejabat MARA untuk mengisi borang permohonan.

Ketika mengambil borang di kaunter,saya ditanya dengan pelbagai soalan.Saya menjawab dengan baik dan pegawai bertugas memberikan saya borang berkenaan dan saya lengkapkan borang permohonan berkenaan untuk diproses.

AL HAMDULILLAH,pada 22 Oktober 2008,saya telah menerima surat tawaran pinjaman MARA.Syukurlah kerana cita-cita saya tidak berkubur.Setelah lima bulan saya menunggu,akhirnya saya berjaya kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian di peringkat MA di bawah tajaan MARA.

Antara MEI hingga OTOBER 2008, saya meluangkan masa di dua buah sekolah bertugas sebagai guru sementara di bawah skim Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK).Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan Monfort Batu Pahat adalah dua buah sekolah kenangan saya mengajar pendidikan islam.

Saya meninggalkan anak-anak murid dan rakan-rakan guru dan terus ke Mesir setelah selesai megikuti kursus di BTN yang juga di sana telah diperkenalkan rakan-rakan MA dan PHD dari pelbagai bidang.

Pada hari Jumaat,7 November 2008,saya sampai ke Mesir dan lusanya,pada 9 November 2008 saya segera melaporkan diri untuk mengikuti pengajian COURSEWORK atau TAMHIDI di Universiti Kaherah.Saya dikira pelajar baru pada sesi pengajian 2008/2009 dan sesi pengajian 2007/2008 tidak diambil kira kerana saya GAGAL membayar yuran dan GAGAL memasuki peperiksaan.

Bermulalah satu pengalaman saya di sini.Ramai yang terperanjat apabila melihat saya kembali ke Mesir.Ada yang bertanya,apa sebab saya bersungguh-sungguh mahu bergelar pelajar MA di Universiti Kaherah? Kenapa tidak sahaja menyambung pengajian di Institut pengajian tinggi Zamalek (ma'had zamalik) atau Universiti Terbuka Amerika (jami'ah amerikan maftuh) sedangkan Yuran kedua-dua buah universiti ini murah dan tidak membebankan?

Akan saya ceritakan dalam siri 2.

siri 2 :

1) Kelebihan Universiti Kaherah

2) Perbezaan antara universiti Al Azhar dan Universiti Kaherah

3) Cabaran sebenar seorang mahasiswa

Ahad, 17 Oktober 2010

BENARKAH PTD KAKI GOLF ?




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Pada awalnya,saya berhasrat untuk menulis sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama berkaitan coursework atau tamhidi bagi program ijazah sarjana Syariah di Universiti Kaherah.

2.Memandangkan terdapat saat ini satu isu yang memerlukan komentar dan pandangan awam,maka saya mendahulukan isu ini dan saya berjanji akan mencoretkan pengalaman saya selepas ini.

3.Pagi tadi,apabila saya membuka akaun FB,saya terkejut terdapat satu pandangan berkaitan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang dikaitkan dengan "kaki golf".

4.Saya bukan seorang PTD akan tetapi saya akui bahawa saya adalah pengkagum PTD.Oleh yang demikian,saya rasa agak terkilan apabila terdapat tuduhan bahawa PTD kaki golf.

5.Bermain golf adalah satu riadah atau sukan yang tidak bercanggah dengan syarak selagi pemain menjaga waktu solat dan menutup aurat.

6.Tidak salah untuk seorang pegawai kedutaan bermain golf.Bahkan,saya difahamkan bahawa permainan golf adalah merupakan salah satu cara mengeratkan hubungan antara negara.

7.Kerajaan juga memperuntukkan elaun bermain golf untuk seorang PTD sebanyak RM 5000 setahun.

8.Saya tidak fikir angka tersebut sesuai dengan sebuah negara pelancongan seperti Mesir.Saya rasa yuran tahunan kelab golf di Mesir tentu jauh lebih mahal memandangkan negara ini berstatus negara pelancongan.

9.Bermain golf juga tidak salah bagi PTD memandangkan mereka bermain di luar waktu pejabat.

10.Gelaran kaki golf lebih bagus dan baik berbanding digelar kaki ampu atau kaki bodek.

11.Saya selalu mendengar rungutan para pelajar bahawa sukarnya bertemu pegawai atase Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

12.Pada 11 Oktober baru-baru ini,saya menemani seorang rakan membuat urusan mengerjakan haji.

13.Beliau memerlukan dokumen pengesahan.Sebagai prosedur awal,pelajar berkenaan harus mengisi borang dan setelah itu,surat akan dikeluarkan oleh JPMK dan ditandatangai oleh seorang pegawai atase atau pengarah JPMK.

14.Alangkah terkejutnya saya,apabila terdapat ramai pelajar menunggu untuk mendapatkan tandatangan.Dalam hati saya berkata "hanya tandatangan jer pun...kenapa ramai begini yang menunggu?".

15.Saya bertanya kepada mereka,berapa lama menunggu dan mengapa ramai hari ini?

16.Jawapan mereka sama,iaitu untuk mendapatkan tandatangan pengesahan pegawai atase.

17.Lamanya menunggu untuk mendapatkan tandatangan adalah satu perkara yang tidak masuk akal sedangkan 11 Oktober adalah hari isnin,hari bertemu pelanggan.

18.Bukankah slogan gagasan SATU MALAYSIA yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri mengajak pegawai awam mengutamakan rakyat? Adakah pegawai JPMK tidak faham bahawa RAKYAT DIDAHULUKAN,PENCAPAIAN DIUTAMAKAN ?

19.Rupa-rupanya pegawai-pegawai JPMK ada mesyuarat pada hari berkenaan sedangkan hari Isnin adalah hari bertemu pelanggan! Bahkan,saya menyaksikan sendiri,seorang pegawai JPMK mengangkat tangan tanda menolak permintaan seorang pelajar yang datang meminta tandatangan pengesahan dengan alasan ada mesyuarat.

20.Saat itu,hanya seorang sahaja pegawai yang disediakan dan beliaulah yang melayan permintaan pelajar dan dialah juga yang menerima tetamu dari kalangan ibu bapa,itulah ustaz Zulkifli.

21.Harapan saya,agar rakan-rakan faham,bahawa pegawai PTD yang main golf bukan bermain suka-suka,bahkan mereka bermain dengan mempunyai misi tertentu dan mereka bermain di luar waktu pejabat.Tahukah anda,sebahagian PTD bahkan hampir kesemua mereka bekerja setiap hari di Kedutaan balik lewat kerana tugasan negara.Ada yang balik pada jam 11 Malam!! esok masuk jam 8....

22.Adakah anda pegawai yang menepati waktu dan sanggup kerja lebih waktu seperti PTD?

Rabu, 6 Oktober 2010

LAGI KEZALIMAN KEATAS AHLI KELAB UMNO !!!

EN.NIK SOH BIN NIK AHMAD, Bekas Naib Pengerusi kelab UMNO sesi 2002/2003


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang dihormati sekalian,

1.Agak lama saya tidak menulis.Ini adalah kerana saya sangat sibuk dengan urusan akademik sebagai seorang mahasiswa di peringkat ijazah sarjana.

2.Kali ini,saya berhasrat untuk mendedahkan sebuah kepincangan dan kezaliman yang berlaku di depan mata dan sedang ditutup oleh pihak tertentu.

3.Ustaz Nik Soh adalah merupakan aktivis kelab UMNO yang aktif pada sesi 2002/2003 yang berjawatan sebagai Naib Pengerusi.

4.Zaman tersebut,kelab UMNO berada di puncak kegemilangan dengan diketuai seorang insan penyayang,toleransi dan berdedikasi,Ustaz Ahmad Sanusi Bin Md Nor.

5.Saya sempat bersua muka dengan ustaz Sanusi tersebut.Beliau seorang pengerusi Kelab UMNO yang tidak mudah "diperkudakan" dan "dipergunakan".

6.MSD di zaman tersebut tidak berani memperkudakan Kelab UMNO di bawah pimpinan beliau.

7.Bahkan,penasihat kelab UMNO pada ketika itu adalah bekas pengerusi dan senior yang berpengalaman.

8.Sebagai pelajar baru yang baru sampai pada 25 September 2003,saya melihat kelab UMNO saat itu benar-benar sebuah persatuan pelajar dan bukannya persatuan "pegawai".

9.Hari ini,dunia telah berubah.Ustaz Sanusi telah bergelar pendidik di tanah air.

10.Apa yang tinggal adalah salah seorang bekas naib pengerusi di zaman beliau yang masih berada di Mesir saat ini yang menyimpan kisah kegemilangan tersebut.

11.Ustaz Nik Soh telah diamanahkan secara lisan oleh abang-abang senior kelab UMNO pada tahun 2004 untuk menjaga sebuah unit pangsapuri yang dijadikan pejabat Kelab UMNO Kaherah.

12.Sejak tahun 2004,beliau telah menjaga aset hartanah tersebut dengan baik bahkan telah menanggung liabiliti unit pangsapuri berkenaan.

13.Entah berapa ribu kosnya tidak diketahui oleh umum dan pastinya ustaz Nik Soh adalah individu yang bertanggung jawab keatas bangunan tersebut.

14.Kenapa Nik Soh diamanahkan untuk menjaga bangunan tersebut?

15.Unit pangsapuri berkenaan berada dalam keadaan yang tidak menentu saat itu melihat sambutan dan kehadiran pelajar dari selatan Thailand yang dikatakan telah dibawa masuk pihak tertentu dan mengekang masalah sosial yang dikhuatiri boleh merosakkan imej Kelab UMNO.

16.Fakta yang tidak siapa pun boleh memadamkannya adalah jelas bahawa unit pangsapuri beralamat di "No.20 Tingkat 3, Mahmoud Shaltut Street,11371, Rabaah Al-Adawiya, Nasr City,Cairo", telah dijaga oleh Nik Soh antara tahun 2004 hingga selepas bangunan tersebut diceroboh dengan cara desparado oleh pekerja syarikat kontraktor ATTAL pada 8 Februari 2010.

17.Syarikat Kontraktor berkenaan telah menyebut beberapa nama yang saya fikir tidak perlu saya sebutkan saat ini.Penama-penama yang disebutkan adalah rakyat Malaysia yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan pelajar Malaysia di Mesir.

18.Nik Soh tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

19.Nik Soh telah dilayan dengan buruk oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

20.Bukan niat saya untuk memburuk-burukkan jabatan berkenaan dan tidak salah jika saya menyebut apa yang berlaku berdasarkan fakta.

21.Nik Soh mahu pulang ke tanah air seberapa segera akan tetapi status kewangannya tidak mengizinkannya untuk pulang.

22.Pegawai negeri Sembilan di Mesir,Tuan Hj Mat Zain adalah orang yang paling perihatin terhadap isu tersebut.

23.Pihak JPMK melalui Pengarahnya,Prof Madya Dr Jamil Hasyim dikatakan telah menguruskan pembelian tiket untuk Nik Soh,isteri dan lima anaknya.

24.Pembelian tersebut tanpa merujuk sebarang dokumen perjalanan sah untuk memastikan Nik Soh sekeluarga melepasi urusan imegresen Mesir.

25.Akhirnya,tiket penerbangan Nik Soh anak beranak telah terbatal dengan kelalaian pihak Dr Jamil. Penerbangan yang dijadual pada pagi raya 10 September 2010 berlepas dengan tanpa diseratai oleh Nik Soh sekeluarga.

26.Nik Soh cuba menghubungi Dr Jamil seperti sebelum ini,akan tetapi beliau tetap seperti sebelumnya,enggan menjawab panggilan berkenaan.

27.Tiba-tiba,hari ini,En Shaiful Anwar,Ketua Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dipersalahkan kononnya itu adalah masalah rakyat Malaysia!

28.Bukankah En Khairi Jalaluddin pernah memarahi Nik Soh bahawa isu perobohan rumah kelab UMNO dan penghantaran pulang Nik Soh tidak boleh melibatkan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah????

29.Adakah benar fakta mengatakan bahawa tindakan YAB MB Negeri Sembilan yang mengarahkan syarikat Kontraktor MANYALAWI membuat "costing" baik pulih apartment Kelab UMNO sebagai punca tindakan desparado tersebut dan telah dibelakangi oleh pihak tertentu untuk memastikan projek berkenaan dimenangi oleh syarikat kontraktor ATTAL ?

30.Adakah benar projek berkenaan adalah "percuma" seperti mana yang dikatakan pengerusi Kelab UMNO,Ihsan Bin Dato' Munir kepada Nik Soh?

31.Pada pendapat kalian,apakah perlu kita sediakan sebuah tabung amanah untuk mencari dana Nik Soh sekeluarga untuk pulang ke tanah air dan dana tersebut dipegang oleh sebuah agensi kerajaan di Mesir yang boleh dipercayai selain JPMK?

32.Kepada rakan-rakan yang simpati dan abang-abang senior Kelab UMNO era awal milinium, sila berikan komentar anda dan panjangkan isu ini kepada pihak berkenaan di Malaysia.Tolonglah...........


Fakta :

1) 8 Februari 2010 - Pekerja kontraktor ATTAL menceroboh bangunan Kelab UMNO dengan memecahkan beberapa bahagian penting dalam bangunan berkenaan.

2)Anak - anak Nik Soh mengalami beberapa penyakit akibat pencerobohan berkenaan.

3)Tidak dilayan sewajarnya oleh pihak JPMK.

4)Terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada 10 September 2010 dan anak-anaknya menangis kelaparan.

5)Setelah Dr Jamil tidak menjawab panggilan Nik Soh,akhirnya,Nik Soh menghubungi Kuasa Usaha Sementara,Encik Shaiful Anwar Muhammad pada tengahari 10 September dan beliau memberikan bantuan kemanusiaan dengan mengeluarkan Nik Soh sekeluarga dari lapangan terbang berkenaan menggunakan kereta peribadi beliau berplat DIPLOMATIK.

6)Nik Soh diletakkan semula di DMAK atas perhatian En Shaiful.

Saya ulangi...Pada pendapat kalian,apakah perlu kita sediakan sebuah tabung amanah untuk mencari dana Nik Soh sekeluarga untuk pulang ke tanah air dan dana tersebut dipegang oleh sebuah agensi kerajaan di Mesir yang boleh dipercayai selain JPMK?

BERIKAN RESPOND ANDA...demi masa depan anak bangsa kita memandangkan anak-anaknya masih kecil...