Isnin, 18 Februari 2008

RESOLUSI MULTAQA ALUMNI AL AZHAR 2008 DAN ISLAM HADHARI - PENERIMAAN AL AZHAR TERHADAPNYA

Minggu ini adalah merupakan minggu kedua semesta kedua sesi akademik 2007/2008.Sementara itu,di tanah air,Malaysia tercinta,berlangsungnya Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar.Alumni tersebut telah dihadiri oleh para graduan Al Azhar dari serata dunia.

Sejak berlangsungnya Multaqa ini pada 15 Februari 2008 ramai yang ternanti-nanti apakah resolusi Multaqa ini.Resolusi tersebut dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Al Azhar Dr Muhammad Abdul Fazir menurut sumber berita tanah air.Resolusi tersebut diberikan kepada Datuk Mohd. Nakhaei Ahmad,Pengerusi Jatawankuasa Pelaksana Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar 2008.

Dapat saya simpulkan dari resolusi ini beberapa perkara.Pertama,Penguasaan bahasa arab Di kalangan masyarakat yang tidak bertutur bahasa arab adalah perlu dipergiat.Ini adalah untuk memahami Islam dengan betul dan boleh menyumbang kearah memberikan gambaran yang positif berkenaan Islam kepada barat.

Penubuhan liga seperti yang dicadangkan,barangkali antara cara praktikal kearah pelaksanaannya.Memang tepat sungguh resolusi ini kerana bukan sahaja ianya akan menjadikan masyarakat Islam yang tidak bertutur bahasa arab boleh memahaminya,bahkan kesan positif keapada mahasiswa Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke timur tengah teruatamanya ke Universiti Al Azhar,Mesir.

Kedua,apa yang kita boleh rumuskan dari resolusi tersebut,nampaknya,para graduan Al Azhar yang datang dari seluruh pelusuk dunia dan Intisutusi Al Azhar yang diiktraf oleh antarabangsa itu menyokong pelaksanaan gagasan Islam Hadhari.Perkara tersebut dinyatakan pada resolusi yang ketiga dari tujuh resolusi berkenaan."Ketiga – Menegaskan bahawa perkara paling penting yang perlu dititik beratkan ialah kefahaman Hadhari mengenai Islam. Ini ialah kerana Islam merupakan agama ketamadunan.Justeru adalah amat perlu sekali dikembangkan Manhaj (konsep) pemikiran yang meletakkan persoalan ketamadunan sebagai matlamatnya dan menjadikan kebangkitan umat Islam asas pemikiran tersebut".

Kesederhanaan Al azhar sebagai institusi agama yang diiktiraf seluruh dunia harus diteladani oleh para graduannya terutamanya sebahagian dari para graduan dari Malaysia bahkan mahasiswa Al azhar yang banyak tersalah faham berkenaan gagasan kerajaan ini.

Ini adalah kerana faktor politik domestik yang menyumbang ke arah itu.PAS lebih menjadikan gagasan Islam Hadhari yang dianjurkan oleh kerajaan sebagai isu politik semata bukan melihatnya sebagai satu pelaksanaan yang menjadikan Islam sebagai paksi dalam pentadbiran negara.

Akhir sekali,saya ingin bertanya kepada seluruh graduan Al Azhar di Malaysia dan seluruh mahasiswa Malaysia yang masih menuntut di Al Azhar,apakah kita meneliti resolusi ini secara akademik atau masih mahu melihat Islam Hadhari sebagai isu politik semata?

Sejauh manakah Mahasiswa Malaysia di Al Azhar mengikuti perkembangan Multaqa ini? apakah kerana temanya yang berbunyi "Islam Hadhari Antara Warisan dan Cabaran Semasa" menyebabkan mahasiswa Malaysia enggan mengikuti perkembangannya?

Apakah mahasiswa Malaysia di Al Azhar masih berpegang kepada apa yang termaktub di dalam buku "Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari" yang ditulis oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan buku terjemahan Anuar Jundi mengenai Islam hadhari?

Mahasiswa Malaysia di Al Azhar dan para graduannya,perlu memahami perkara "khilafiah".jika benar ianya boleh menggugat akidah,nescaya Al Azhar adalah organisasi pertama yang akan menolak gagasan ini.Berdasarkan konsep Islam Hadhari ini,jelas,Islam Hadhari tidak bertentangan dengan Islam dan buktinya Al Azhar menerima Multaqa ini diberi tema yang berkaitan dengan Islam Hadhari.

Pelbagai isu telah diperbincangkan dalam Multaqa ini.Samaada isu antarabangsa dan isu yang berkaitan umat Islam.Agak menjadi tanda tanya khususnya diri saya secara peribadi,mengapa Multaqa ini tidak menadapat liputan meluas dan ulasan atau komentar dari persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia Al Alzar atau blogger di kalangan mahasiwa Malaysia di Mesir.Manakah mereka semua? masih sibuk dengan saratoga musim sejuk? Sibuk ikuti isu pilihanraya semata? Sibuk Ke kuliah? saya juga ke kuliah.Walaupun saya graduan Al Azhar dan sedang menuntut di Universiti Kaherah,saya tahu,apakah situasi Al Azhar pada minggu kedua ini.

Mengapakah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) tidak membincangkan isu ini di laman webnya? mengapa menyepi? Bukankah inilah masa yang sesuai untuk membetulkan anggapan ahli-ahlinya jika ada yang menentang gagasan ini?Hanya salah seorang BP mereka yang mengulas,itu pun menerusi blognya.

Akhir sekali,saya menyeru para mahasiswa dan graduan Al Azhar agar sama-sama kita membawa dan mempraktikkan kesederhanaan Al Azhar lebih-lebih lagi dalam masalah-masalah khilafiah.





Berikut adalah apa yang dinyatakan dari laman web rasmi multaqa tersebut http://alumnialazhar.org/ :


Resolusi Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar
KUALA LUMPUR 11 Safar 1429/ 18 Februari – Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar (Multaqa) yang berlangsung sejak Jumaat lalu akhirnya melabuhkan tirainya hari ini. Buat julung kalinya ia diadakan di luar Mesir dan selaku tuan rumah, Malaysia sebenarnya diberikan penghormatan cukup tinggi oleh universiti yang telah berusia lebih 1,000 tahun itu.Kira-kira 1,000 cendekiawan Islam, yang merupakan produk universiti berkenaan berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, kemudiannya bersetuju menerima resolusi berikut :

PERTAMA – Menubuhkan cawangan-cawangan Liga Antarabangsa Alumni Al Azhar (Liga) di peringkat serantau mengikut kedudukan geografi dunia Islam. Cawangan-cawangan ini bertanggungjawab menjayakan tujuan-tujuan Liga, dengan mengambil kira suasana setempat dan tuntutan zaman.

Kedua – Mencadangkan supaya Liga ini berperanan mengembangkan bahasa Arab dan menjadikan tangggungjawab ini keutamaan bagi setiap cawangan Liga di peringkat serantau dengan memberikan perhatian khusus kepada masyarakat Islam di negara-negara yang bukan bertutur dalam bahasa Arab.Liga ini berharap dapat mengembangkan bahasa ini di kalangan masyarakat yang bertutur bukan bahasa Arab, melalui saluiran maya memandangkan peri pentingnya sebagai bahasa al-Quran dan satu-satunya pintu ke arah memahami hukum-hukum Islam serta mengkaji syariatnya.

KetigaMenegaskan bahawa perkara paling penting yang perlu dititik beratkan ialah kefahaman Hadhari mengenai Islam. Ini ialah kerana Islam merupakan agama ketamadunan.Justeru adalah amat perlu sekali dikembangkan Manhaj (konsep) pemikiran yang meletakkan persoalan ketamadunan sebagai matlamatnya dan menjadikan kebangkitan umat Islam asas pemikiran tersebut.

Keempat
– Multaqa ini menegaskan tentang pentingnya usaha membantu umat Islam Eropah dan orang-orang yang berada di barisan hadapan dalam kerja-kerja Islam di lapangan yang berkaitan fatwa dan media di negara-negara tersebut, dan mengembangkan ajaran Islam sebenar di kalangan mereka.Juga untuk mengujudkan hubungan pemikiran dengan mereka secara berterusan. Bantuan untuk mereka membangunkan modul latihan juga perlu dititik beratkan selain melatih guru-guru.

Kelima – Mencari penyelesaian terhadap pemasalahan golongan minoriti Islam di lima benua serta menyedarkan tentang perlunya mereka berintegrasi dengan masyarakat dan bersama-sama dengan warganegara lain mengambil bahagian dalam semua lapangan kehidupan, pada waktu yang sama, tetap memelihara jatidiri KeIslaman mereka.

Keenam – Membina strategi melahirkan golongan ulama dan pemikir masa hadapan yang memahami cabaran dan bagaimana menghadapinya dengan mengambil kira bahawa pembentukan elit yang bersinar ini merupakan keutamaan terpenting.Strategi ini juga perlu memberi perhatian kepada usaha membentuk generasi ilmuan yang menguasai bahasa-bahasa utama dunia bagi mempertahankan Islam di semua tempat.

Ketujuh – Menjemput golongan hartawan untuk sama-sama menyumbang kepada kegiatan Liga bagi merealisasikan matlamatnya, bagi mencapainya, satu jabatan khas perlu ditubuhkan.Ulama-ulama Al–Azhar juga mengambil kesempatan mengucapkan bahawa mereka menghargai pengalaman membina ketamadunan Islam di Malaysia. Mereka turut kagum dengan kemajuan yang dicapai serta mengucapkan teriam kasih serta mendoakan kepada mereka yang mendukung usaha menjayakan pengalaman ini terutamanya kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

1 ulasan:

Ibnu Ali berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.