Rabu, 23 Mac 2011

ANALISIS REVOLUSI BELIA 25 JANUARI DI MESIR SIRI KEEMPAT: PELEMBAGAAN BARU MESIR PASCA REVOLUSI

PINDAAN PELEMBAGAAN SEBAGAI TITIK TOLAK PERUBAHAN



DR TARIK EL BASHARI,KETUA JAWATANKUASA PINDAAN PELEMBAGAAN



SAAT BERSEJARAH : RAKYAT MESIR KELUAR BERAMAI-RAMAI UNTUK MEMBUANG UNDI DALAM PUNGUTAN SUARA



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

Seperti yang dijanjikan,blogger kali ini akan menganalisis saat bersejarah,pungutan suara yang telah berlangsung pada 19 Mac 2011.Rakyat Mesir keluar beramai-ramai menyertai pungutan suara dengan membuang undi menyatakan pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan pindaan pelembagaan.

Entri kali ini akan membincangkan isu pelembagaan Mesir setelah revolusi belia 25 Januari 2011.Memang antara tuntutan revolusi itu adalah pindaan beberapa perkara dalam pelembagaan.Namun adalah menghairankan apabila saat-saat akhir,setelah diumumkan tarikh pungutan suara terhadap pindaan berkenaan,wakil para belia tersebut menolak pindaan,mendesak sebuah perlembagaan yang baru digubal dan berjanji akan mengundi "TIDAK SETUJU".

PERATUSAN UNDI TERTINGGI DAN BERSEJARAH

Akhbar AL AHRAM menyifatkan suasana pungutan suara tersebut sebagai luar biasa dan bersejarah sejak 60 tahun.Ianya merujuk kepada revolusi tentera yang menggulingkan RAJA FAROUK pada 23 Julai 1952.Ini bermakna,Mesir telah hilang demokrasinya apabila raja mereka digulingkan.

Seramai 45 Juta rakyat Mesir yang berumur 18 tahun keatas layak mengundi.Namun,hanya 18.5 juta orang atau hanya 41.1 peratus sahaja yang menyertai pungutan suara berkenaan.Dari satu sudut,angka ini sangat membanggakan kerana penyertaan rakyat Mesir dalam pilihanraya parlimen Mesir pada Disember 2010 adalah sangat rendah,iaitu sekitar 20 peratus sahaja.

Rakyat Mesir mula yakin dengan demokrasi negara mereka disamping faktor keputusan kerajaan sementara yang melonggarkan syarat pengundian iaitu hanya dengan menggunakan kad pengenalan atau "raqam qaumi".

PERANAN MASJID DAN AGAMAWAN

Pada 18 Mac,blogger telah bersembahyang Jumaat di salah sebuah masjid yang ternama dan antara tumpuan rakyat Mesir,iaitu MASJID SULTAN HASSAN.Khatib yang merupakan pensyarah Universiti AL AZHAR dan berkelulusan PHD menyampaikan khutbahnya dengan penuh semangat dan menyeru sidang jumaat agar menyertai pungutan suara dan mencadangkan agar BERSETUJU dengan pindaan berkenaan.

Malam harinya,kurang 12 jam sebelum waktu pengundian,blogger dapati,BERITA AKHBAR MESIR jam 9 malam,saluran satu,menyatakan betapa para khatib di masjid-masjid seluruh Mesir menyeru umat Islam keluar mengundi beramai-ramai.

Disamping itu,Mufti Republik Mesir,Prof Dr Ali Gom'ah yang sejak dari awal minggu menyeru Umat Islam Mesir agar keluar mengundi dan menyatakan hukum keluar mengundi adalah WAJIB dengan tanpa menyatakan samada WAJIB menyokong atau tidak.Bahkan,pada hari pengundian,19 Mac,Mufti berkenaan menegaskan sekali lagi hukum keluar mengundi.Ianya tidak lebih sebagai satu saranan demi masa depan sebuah negara.Prof Dr Umar Hasyim dan tokoh-tokoh ulama salafi di Mesir turut memainkan peranan yang sama seperti mufti berkenaan.

Rumusannya,agamawan di Mesir mengambil peranan penting dalam menggalakkan dan menyedarkan rakyat peri pentingnya menyertai pungutan suara yang merupakan salah satu saluran demokrasi untuk tujuan menentukan hala tuju negara.

PINDAAN PELEMBAGAAN YANG TELAH DIPERSETUJUI RAKYAT

Pada malam 20 Mac,keputusan pungutan suara diumumkan.77.2 peratus rakyat Mesir telah menyatakan persetujuan mereka terhadap pindaan pelembagaan yang dicadangkan oleh sebuah jawatankuasa pindaan yang diketuai seorang pakar pelembagaan,Dr Tarik El Bashari.Asas demokrasi adalah kuasa majoriti.Dengan peratusan tersebut,maka,pelembagaan Mesir telah dipinda oleh "kuasa rakyat".

Secara umumnya,terdapat 9 perkara yang dipinda, 2 perkara digubal dan 1 dimansuhkan. Perkara-perkara yang dipinda adalah perkara 75,76,77,88,93,139,151,148 dan 189.Manakala perkara-perkara yang digubal adalah ceraian satu dan dua bagi perkara 189..Justeru,perkara 179 pula,telah dimansuhkan.Apakah perkara-perkara tersebut dan kesannya terhadap pindaan pelembagaan Mesir?

PERKARA 75

Perkara 75 pelembagaan Mesir adalah berkaitan calon presiden.Sebelum dipinda,perkara tersebut hanya mensyaratkan bahawa calon presiden adalah individu yang berumur 40 tahun keatas yang memiliki kelayakan sivil dan politik.

Setelah pungutan suara diadakan,maka,perkara 75 tersebut telah diperkemas dan MEMPERKETATKAN calon seorang presiden.Selain mengekalkan syarat sedia ada,iaitu berumur 40 tahun keatas,calon dan kedua ibu bapa calon presiden hendaklah warganegara Mesir dan calon presiden tidak berkahwin dengan orang asing.

Jika dilihat dari perkara ini,rakyat Mesir yang memiliki dwi kewarganegaraan seperti saintis Mesir yang bertaraf dunia,Prof Dr Ahmad Zuwail,telah hilang kelayakannya untuk menjadi calon presiden Mesir.

Namun,perkara ini bakal mengangkat kedaulatan Mesir.Bakal Wanita pertama Mesir sudah semestinya bukan dari kalangan wanita asing.

PERKARA 76

Perkara ini adalah satu perkara yang sangat hangat diperdebat dan diperbahaskan dan dipercayai antara faktor utama mengapa para belia berkumpul di Medan Tahrir.artikel ini semakin rancak diperdebatkan sejak kembalinya DR EL BARADEI ke Mesir pada 19 Februari 2010.

Sebelum dipinda,syarat pencalonan presiden DIPERKETATKAN dimana,calon yang bertanding atas tiket bebas hendaklah mendapat sokongan 250 ahli parlimen dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan.Manakala calon yang bertanding atas tiket mana-mana parti,calon mestilah pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti sekurang-kurangnya setahun dan memiliki kerusi parlimen sekurang-kurangnya 3 peratus.

Setelah dipinda,syarat pencalonan presiden DIPERMUDAHKAN dimana,calon bebas hendaklah mendapat sokongan 30 ahli parlimen atau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 ribu pengundi yang layak mengundi dari 15 negeri (governorate).Calon hendaklah mendapatkan sekurang-kurangnya seribu sokongan di setiap negeri.

Manakala parti yang hendak bertanding dalam pilihanraya presiden,boleh berbuat demikian dengan hanya memiliki satu kerusi sahaja.

Pindaan ini,akan memudahkan mereka yang idealisme dan mempunyai ketokohan dalam bidang tertentu untuk bertanding walaupun calon berkenaan bukan ahli politik atau baru sahaja menceburi politik.Maka,pindaan ini bakal memberi laluan kepada DR EL BARADEI dan AMRU MUSA untuk bertanding dalam pilihanraya presiden kelak berbanding sebelum pindaan yang dilihat sebagai penghalang, terutama sekali terhadap DR EL BARADEI.

PERKARA 77

Perkara ini adalah berkaitan tempoh atau penggal pemerintahan seorang presiden.Jika sebelum pindaan,jawatan presiden tidak mempunyai tempoh maksima.Justeru,peruntukan perkara ini membenarkan presiden memegang jawatan seumur hidup.

Selepas pindaan,penggal pertama bagi seorang presiden adalah selama 4 tahun bermula dari tarikh pengumuman keputusan dan tempoh maksima seorang presiden adalah selama dua penggal sahaja dan tidak boleh menyertai pilihanraya presiden seterusnya.

Dari satu aspek,ianya adalah baik untuk memberi peluang kepada orang lebih baik memegang jawatan presiden.Namun,dari satu aspek pula,tempoh lapan tahun itu sangat singkat untuk memastikan program yang dirancang mencapai sasaran.

Apa pun,ianya adalah satu perubahan yang dituntut pada masa ini bagi memastikan tiada lagi sejarah monopoli jawatan presiden untuk seorang individu selama berpuluh-puluh tahun.Rakyat Mesir mahu nafas baru.Itulah juga yang dilakukan oleh rakyat Indonesia apabila mereka berjaya menjatuhkan SUHARTO.

PERKARA 88

Perkara ini adalah berkaitan penyeliaan pilihanraya.Sebelum dipinda,pilihanraya diselia oleh suruhanjaya secara bebas berdasarkan peruntukan undang-undang yang mana ianya dianggotai oleh para hakim.

Selepas dipinda,ianya diperkemaskan dengan penyeliaan para hakim dalam mengawasi ketelusan pilihanraya termasuklah ketika pembuangan undi dan pengiraan undi.Dengan pindaan berkenaan,parti dan calon bebas yang bertanding akan lebih yakin dengan ketelusan pilihanraya berkenaan kerana tiada campur tangan wakil parti atau calon bebas yang boleh mengambil peluang "menipu" seperti yang berlaku semasa piliahanraya parlimen disember 2010.

PERKARA 93

Perkara ini adalah berkaitan keabsahan kerusi parlimen yang dimenangi.Sebelum dipinda, parlimen mempunyai kuasa untuk membatalkan kemenangan.Mahkamah rayuan,hanya berfungsi sebagai "penyiasat" terhadap keabsahan berkenaan.

Namun,setelah dipinda,parlimen tidak lagi berkuasa untuk membatalkan kemenangan kerusi parlimen.Mahkamah tinggi perlembagaan sahaja yang mempunyai kuasa berkenaan dan bantahan terhadap kemenangan berkenaan boleh dibuat dalam tempoh 30 hari setelah keputusan diumumkan.

Oleh yang demikian,keabsahan kerusi parlimen yang dimenangi adalah dimiliki oleh mahkamah dan ianya adalah lebih telus jika dibandingkan sebelum dipinda.Bayangkan jika kemenangan kerusi yang dibantah itu adalah terhadap kerusi parti yang majoriti,sudah tentu,ianya kebal dan bantahan berkenaan hanya tinggal bantahan.Itulah yang berlaku sebelum ini ketika kemenangan NDP (National Democratic Parti) sebagai parti yang memenangi majoriti pada pilihanraya parlimen yang lepas.

PERKARA 139

Perkara ini adalah berkaitan pelantikan Timbalan Presiden.Sebelum perkara ini dipinda, presiden tidak semestinya melantik timbalannya.Sebab itulah Husni Mubarak tidak pernah melantik timbalannya sejak memegang jawatan presiden Mesir pada 14 oktober 1981.Ianya berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Presiden sebelumnya,Anwar Sadat (1970 hingga 6 oktober 1981).Pada 16 april 1975, Husni Mubarak dilantik sebagai Timbalan Presiden oleh presiden Anwar sadat,setelah melihat kejayaan besar Husni Mubarak memimpin tentera udara yang berjaya melumpuhkan musuh ketika perang Arab - Israel pada 6 oktober 1973.

Husni Mubarak hanya melantik Umar Sulaiman,bekas ketua perisikan Mesir sebagai Timbalan Presiden pada 29 Januari 2011,beberapa hari sebelum beliau berundur dari jawatan Presiden.

Setelah pindaan dibuat menerusi pungutan suara yang diadakan pada 19 Mac 2011,jawatan Timbalan Presiden adalah WAJIB dan presiden hendaklah melantik timbalannya dalam masa tidak lebih 60 hari dari tarikh pelantikannya sebagai presiden.Presiden boleh melantik lebih dari seorang timbalan.

PERKARA 148

Perkara tersebut adalah berkaitan UNDANG-UNDANG DARURAT.Bermula pada 5 Jun 1967,ketika di bawah pemerintahan Presiden Gamal Abdul Nasir (1953 - 1970), Mesir telah mengisytiharkan keadaan darurat berikutan ketegangan negara Mesir ekoran ancaman dan serangan Israel.Mesir yang berundur dari SEMENANJUNG SINAI ketika itu,mula menguatkuasakan undang-undang darurat.Pergerakkan manusia ketika itu adalah terbatas.Penangkapan atas individu yang disyaki boleh dilakukan tidak mengira waktu.

Setelah MESIR menang dalam perang ARAB - ISRAEL pada 6 oktober 1973,Mesir masih lagi mengekalkan keadaan darurat.Rakyat Mesir hanya menikmati kebebasan hidup tanpa keadaan darurat selama 18 bulan sahaja apabila Presiden Anwar Sadat mengisytiharkan tamat darurat pada Mei 1980 sehinggalah beliau dibunuh pada 6 Oktober 1981.Peristiwa pembunuhan Presiden Anwar Sadat telah menjadi alasan oleh Husni Mubarak untuk mengisytiharkan darurat beberapa hari selepas beliau dilantik sebagai Presiden.

Rakyat Mesir tidak suka dengan keadaan darurat yang membelenggu mereka dan kezaliman yang berselindung disebalik keadaan darurat itu.Sebelum pindaan pelembagaan,kuasa pengisytiharan keadaan darurat adalah kuasa presiden yang mendapat persetujuan parlimen dengan tempoh yang tidak ditentukan oleh pelembagaan dan ianya boleh menyebabkan keadaan darurat itu berterusan dalam tempoh yang panjang.

Selepas pindaan pelembagaan,perkara 148 telah memperuntukkan bahawa presiden masih lagi mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat dan persetujuan majoriti dari parlimen juga diperlukan bagi meneruskan keadaan darurat akan tetapi ianya terhad untuk tempoh 6 bulan sahaja.Jika keadaan darurat tersebut hendak diteruskan,pungutan suara rakyat hendaklah dibuat untuk meneruskan keadaan darurat berkenaan.Maka,keputusan untuk meneruskan keadaan darurat adalah ditentukan oleh rakyat dan bukannya parlimen semata-mata.

PERKARA 151

Perkara ini adalah berkaitan kuasa presiden dalam menandatangani sebarang perjanjian. Sebelum pelembagaan ini dipinda,Presiden mempunyai kuasa mutlak untuk menandatangani sebarang perjanjian dan presiden hanya perlu mengumumkannya kepada parlimen perjanjian yang telah ditandatangani.

Pada 1979,Presiden Anwar Sadat telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel dan ianya dikenali sebagai perjanjian damai CAMP DAVID.Anwar Sadat dilihat mengambil tindakan secara peribadi dan tidak dibuat secara teliti dengan penglibatan parlimen.

Akhirnya,tindakan beliau telah menyebabkan beliau dituduh sebagai pengkhianat arab dan ibu pejabat Liga Arab dipindahkan dari Kaherah.Dengan sebab tindakan beliau jugalah telah menyebabkan beliau ditembak mati pada 6 Oktober 1981.

Berdasarkan pengalaman lepas,presiden tidak lagi mempunyai kuasa mutlak untuk menandatangani sebarang perjanjian.Melalui pungutan suara,pelembagaan dipinda dan perkara 151 mewajibkan presiden mendapatkan persetujuan parlimen terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

Oleh yang demikian,ISRAEL perlu berhati-hati terhadap perjanjian damainya.Saya masih tidak pasti,apakah perjanjian kem david boleh diteliti semula atau tidak.Namun,apa yang pasti,perjanjian penjualan GAS kepada ISRAEL telah mula disuarakan kebelakangan ini.Rakyat meminta agar perjanjian eksport GAS tersebut diteliti semula.Perkara ini perlu diperhatikan dan perkembangannya harus dipantau dari semasa ke semasa.

PERKARA 179

Perkara ini adalah merupakan antara sebab rakyat berkumpul di Medan Tahrir kerana ianya disalah gunakan.Atas nama memerangi pengganas,kebebasan individu dinodai.Pihak pemerintah mempunyai hak untuk menahan sesiapa sahaja atas nama mencegah keganasan.Perkara ini adalah MIRIP undang-undang ISA di Malaysia.

Selepas pindaan melalui pungutan suara yang diadakan baru-baru ini,undang-undang mirip ISA tersebut telah DIMANSUHKAN hasil perhimpunan dan desakan belia di MEDAN TAHRIR.

PERKARA 189

Secara umumnya,perkara 189 adalah berkaitan pindaan pelembagaan.Cara pindaan pelembagaan dikemaskinikan dengan cara yang lebih tersusun dengan pungutan suara selain dari penglibatan parlimen dan presiden sendiri.

MESIR DEMOKRASI?

Mesir menuju kearah negara yang lebih demokrasi berbanding sebelum ini.Adalah dijangka, dengan demokrasi ini akan menyebabkan Mesir kembali bergelar negara maju seperti di zaman beraja yang diasaskan oleh MUHAMMAD ALI BASHA seawal kurun ke 19.

Saat ini,terdapat suara-suara lantang meminta kerajaan menukar transaksi di TERUSAN SUEZ menggunakan POUND MESIR menggantikan DOLAR AMERIKA.Walaupun transaksi Terusan Suez hanya menyumbang 15 peratus dalam KDNK Mesir,namun kesannya sangat besar dalam menentukan nilai pound Mesir.Satu ketika dahulu,POUND MESIR adalah wang paling mahal di dunia.

Bukan itu sahaja,kerenah birokrasi juga bakal berkurangan kerana perubahan sistem politik kelak.Dengan penuh kepercayaan,berdasarkan produk-produk pelancongan yang mahal dan sangat berharga kerana kesan sejarah ketamadunannya,saya pasti,sektor pelancongan Mesir akan lebih maju.

Sebab itulah bagi saya,Perdana Menteri Britain,David Cameron dan pemimpin - pemimpin barat,segera ke Mesir setelah kemenangan revolusi.Sewajarnya,MALAYSIA mempereratkan lagi hubungan dua hala yang bukan hanya pada bidang pendidikan tinggi semata-mata.

Dari segi sikap dan kesedaran sivik di kalangan rakyat Mesir,ianya boleh diubah melalui sistem pendidikan.Sebab itu Dr Ahmad Zuwail bercakap tentang kepentingan transformasi bidang pendidikan selepas kemenangan revolusi belia di Mesir.Untuk mengubah Mesir dalam sekelip mata,sudah tentu ianya bukan mudah.Perubahan akan berlaku secara berperingkat-peringkat dan tidak mustahil ketamadunan mereka akan bangkit semula dan "kita" akan mengharapkan mereka kelak.

Apabila bercakap tentang pendidikan, kita tidak boleh lari dari bercakap soal AL AZHAR.Sudah tentunya,AL AZHAR turut terkesan dengan revolusi belia tersebut. Persoalannya,apakah peranan AL AZHAR terus diperlukan selepas revolusi? Apakah kesan revolusi belia terhadap AL AZHAR? Bagaimana pula isu SALAFI di Mesir? Bukankah SALAFI juga mempunyai peranannya? Saya akan ulas persoalan-persoalan tersebut dalam entri seterusnya.

Tiada ulasan: