Ahad, 19 April 2009

SEBAB PMRAM BERTANDANG KE JPMK



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang dihormati sekalian,

Setelah bertalu-talu “bekas pimpinan PMRAM” atau segelintir ahli PMRAM menuding pihak tertentu terhadap “tarian” panas yang dipersembahkan dalam Festival Asian 2009 baru-baru ini,akhirnya, pimpinan PMRAM bertandang ke Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) bersama “team-team menang tanpa bertanding” mereka atas alasan untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka terhadap “tarian” berkenaan.

Tindakan tersebut adalah “TERLAMBAT” kerana ahli-ahli liar mereka telah bertindak keterlaluan dengan memberikan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan tidak tepat.PMRAM gusar dan takut dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh sebuah persatuan yang berdaftar dibawah KBMK dan JPMK dengan penuh sopan dan akhlak Islami yang menepati kehendak syarak.

Kenyataan kasar beberapa blogger persendirian dikalangan ahli PMRAM telah dijawab dengan baik oleh ISMA.Kenyataan yang dikeluarkan oleh ISMA pada 18 APRIL 2009 telah menambat hati banyak pihak terutamanya mahasiswa - mahasiswi yang mempunyai pemikiran jauh dan rasional.PMRAM barangkali gusar keadaan tersebut mempengaruhi dan menyelubungi seluruh masyarakat mahasiswa Malaysia di Mesir.

Oleh yang demikian,PMRAM dan “team-team” mereka yang sinonim dengan gelaran “menang tanpa bertanding” itu,segera ke JPMK meluahkan rasa dan “cuba” mengawal mood sedia ada sehari selepas ISMA mengeluarkan kenyataan mereka iaitu pada 19 April 2009.

Saya syorkan para blogger sekalian membaca sendiri kenyataan rasmi ISMA melalui laman web rasmi mereka.Sebelum saya akhiri coretan kali ini,suka saya ingatkan,jangan ada sesiapa pula selepas ini buat spekulasi kononnya saya AHLI ISMA sepertimana saya dikatakan kononnya saya AHLI KELAB UMNO.Saya tidak wakili mana-mana pihak.SAYA BUKAN AHLI MANA-MANA PERSATUAN.

KENYATAAN RASMI ISMA (MESTI BACA) :

http://ismamesir.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=134:kenyataan-rasmi-penglibatan-isma-mesir-dalam-feksas-09&catid=54:setempat&Itemid=113

Sabtu, 18 April 2009

KEDUTAAN ANJUR PROGRAM MAKSIAT?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger Sekalian,

Islam telah menggariskan paduan yang jelas dalam soal memberikan nasihat dan teguran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.Sesungguhnya tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalannya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (surah An- Nahl ayat 125).

Dari aspek penerimaan sesuatu berita yang dikhabarkan pula,Islam menetapkan satu dasar yang cukup jelas sepertimana yang dirakamkan oleh Al Quran Al Karim,ayat keenam,surah Al Hujuraat,firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman,jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita,maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”(surah Al Hujuraat,ayat 6).

Al Quran dan sunnah adalah pegangan kita. Pihak yang sering mengatakan bahawa “kumpulan” mereka bergerak atas dasar AL QURAN dan SUNNAH harus menjiwai intipati dua ayat yang telah saya sebutkan diatas.Jangan jadikan ianya sebagai satu retorik semata-mata.Jika tidak ianya hanya sebagai satu slogan dan omong-omong kosong sahaja dan hanya menjadikan hujah AL QURAN dan SUNNAH sebagai alat memperluaskan pengaruh mereka.

KBMK dan JPMK anjur program maksiat?

Seperti mana yang saya nyatakan dahulu,festival asean 2009 sungguh mendapat sambutan hangat dari mahasiswa-mahasiswi Malaysia dan asing.Justeru,ada pihak yang rasa “tak senang hati” dan “cemburu” dengan sambutan yang menggalakkan tersebut.Pelbagai telahan dan momokan dibuat untuk memburukkan program berkenaan.

Bermula dengan spekulasi kononnya akan berlaku adegan panas dalam aktiviti perniagaan di tapak bazar.Namun,mereka akhirnya gagal mencari bukti untuk ditatap oleh mahasiswa terbanyak walaupun “cameraman” dari pihak tertentu aktif bergerak sepanjang program.Barangkali kru-kru PMRAM MEDIA CENTER (PMC) yang ligat berkeliaran sepanjang program berkenaan kecewa kerana tiada bahan bukti boleh dikaitkan dengan spekulasi mereka.

Namun yang demikian,mereka mampu menarik nafas lega dan puaslah nafsu serakah mereka apabila menemui “satu bukti” yang sungguh menarik dan boleh disebarkan untuk menanam persepsi buruk terhadap Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Oleh yang demikian,kemudahan terkini seperti YAHOO MESSENGER dan BLOG digunakan untuk menyebarluaskan persepsi berkenaan.PMRAM? mereka akan menafikan bahawa itu bukan kerja PMRAM.Namun,PMRAM tidak boleh menafikan bahawa yang terlibat adalah AHLI PMRAM. “itu kerja ahli,kita tak boleh nak sekat mereka”.Barangkali itulah jawapan mereka jika ditanya.Sikap tidak bertanggungjawab PMRAM ini amat dikenali ramai sejak dahulu lagi.

Persoalan saya,adakah benar bahawa KBMK,JPMK,ISMA,KELAB UMNO,ABIM,PERUBATAN dan persatuan-persatuan lain dibawah KBMK dan JPMK menganjurkan program tarian berkenaan? Ingat,ayat keenam surah AL HUJURAT tadi jelas mengajak kita kembali merenung,sejauh manakah kebenaran mereka yang mengatakan bahawa “kita menyokong kumpulan yang bersandarkan kepada AL QURAN dan SUNNAH!”.

Apa pun,fakta yang jelas adalah satu tarian wanita telah dipersembahkan oleh sebuah kumpulan dari negara asean pada malam konsert festival berkenaan.Satu lagi fakta yang jelas adalah,pasukan nasyid dari negeri JOHOR yang telah merangkul Johan pertandingan tersebut mempersembahkan persembahan yang mengkagumkan disusuli persembahan penyanyi nasyid terkenal tanah air, BAZLI U.N.I.C dan kumpulan DAI’E AL NADA yang merupakan sebuah kumpulan nasyid yang masyhur di negara arab terutamanya MESIR dan ARAB SAUDI dan yang uniknya ahli kumpulan mereka adalah mahasiswa INDONESIA yang sedang menuntut di AL AZHAR.Apa khabar kumpulan nasyid AL WADI PMRAM.Opsss saya lupa,hujahnya barangkali, “AL WADI PMRAM telah lebih dahulu ditubuhkan dari DAI’E AL NADA!!!” seperti mana mereka kata “PMRAM lebih awal ditubuhkan berbanding persatuan-persatuan lain”.Kita tidak tanya BERAPA UMUR ANDA dan BILA ANDA DILAHIRKAN? Kami tanya SEJAUH MANAKAH KUALITI “orang lama” SEPERTI ANDA INI?Mereka sendiri tahu jawapannya.

Setelah maklumat persembahan tarian tersebut disebarkan,saya segera mencari kepastian dan berhubung terus JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH (JPMK) sesuai dengan kadungan ayat keenam surah Al HUJURAT dan ayat 125 surah An-Nahl berkenaan.

ETIKA MENEGUR

Setelah mendapat kepastian,saya lihat KBMK,JPMK,ISMA,KELAB UMNO,ABIM,PERUBATAN dan persatuan-persatuan lain yang berdaftar dibawah KBMK dan JPMK tidak boleh dipersalahkan.Ini adalah kerana,tarian wanita berkenaan “TERKELUAR DARI KAWALAN DAN ANJURAN” penganjur.
Menurut sumber yang rapat dengan KBMK dan JPMK,pada mulanya,sebuah kedutaan asing sebuah negara ASEAN berminat membuat persembahan kebudayaan masyarakat mereka sesuai dengan tema dan bentuk festival tersebut yang merupakan festival yang berasaskan kebudayaan asean.

Penglibatan tarian hanya melibatkan “budak-budak”.Ini yang mereka nyatakan.Namun,KBMK dan JPMK amat terkejut apabila yang terlibat adalah “kakak budak”.Ingin saya ingatkan di sini bahawa,pihak penganjur tidak tahu menahu penyertaan “kakak budak” berkenaan.Apkah wajar pihak penganjur dipersalahkan? Kepada pihak yang berkenaan,jangan meneguk di air yang keruh!!!! PMRAM harus mengajar ahlinya bersikap profesional dan bukan bertindak seperti orang politik jalanan.

Saya ingin bertanya,adakah pihak-pihak yang “kurang senang” dengan tarian berkenaan datang sendiri ke pejabat KBMK dan JPMK bertanyakan hal tersebut? Mengapa anda tidak menurut etika yang ditetapkan oleh AL QURAN yang merupakan pelembagaan setiap muslim dalam hal ini.Kalian sering melaung-laungkan bahawa anda mendokong kumpulan yang bergerak atas dasar AL QURAN dan SUNNAH namun anda bertindak sebaliknya!!!
Dalam soal menegur,ayat 125 surah An-Nahl wajar dijiwai oleh setiap masyarakat mahasiswa apabila menegur.Apatah lagi perkara yang ditegur itu sesuatu yang “kurang pasti” .Saya katakan “kurang pasti” berdasarkan tohmahan mereka yang mengatakan bahawa pihak penganjur telah menganjurkan dan menghidangkan program maksiat.
“pasti”kah anda yang berkata sedemikian rupa? Lidah memang tidak bertulang.
Mereka lebih suka meniru gaya politik jalanan yang sering tuduh menuduh orang lain dan menjatuhkan imej dan mengaibkan orang lain.Gaya ini tidak dianjurkan oleh syarak sebaliknya ianya gaya adu domba yang mengundang pecah belah yang sememangnya tidak dianjurkan oleh syarak.

Saya bukan membela KBMK,JPMK atau mana-mana persatuan yang berdaftar dibawah KBMK dan JPMK akan tetapi saya mempersoalkan cara menegur dan sikap menuding jari mereka.Ingat,saya bukan menyokong persembahan tarian tersebut!

Jangan lupa,dalam KBMK dan JPMK,terdapat tiga individu yang mempunyai latar belakang dan pendidikan agama yang tinggi.Mereka adalah DUTA BESAR MALAYSIA KE KAHERAH,TYT DATUK ZAINAL ABIDIN ABDUL KADIR,lulusan ijazah sarjana,universiti Al Azhar.Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah,Dr Jamil Hasyim,lulusan Ijazah Doktor Falsafah,dalam bidang falsafah Islam dari Universiti Kaherah dan Ustaz Zainuddin lulusan Ijazah sarjana muda dari sebuah universiti di MAROCO.

Apakah anda ingat mereka tidak faham perkara yang berakaitan “MAKSIAT”? Apakah anda ingat mereka suka melihat tarian wanita berkenaan? Sudah tentu mereka faham apa itu maksiat dan tidak berminat dengan hiburan yang bercanggah dengan syarak.

Saya cadangkan agar kita sama-sama tidak menuding jari dalam isu ini.Dalam perjumpaan saya dengan pihak JPMK baru-baru ini,jelas,pihak berkenaan komited dan berazam akan lebih hati-hati dan akan lebih peka dalam persembahan FESTIVAL tahun hadapan yang juga akan melibatkan persembahan dari rakan-rakan negara asean.

Persoalannya,apakah mereka benar-benar bimbangkan “maksiat” atau mereka “bimbang” program berkenaan telah mendapat sambutan hangat justeru harus dimomokkan dengan seribu satu keaiban agar kelak mahasiswa – mahasiswi malaysia dan asing enggan terlibat? Pastinya niat jahat mereka akan gagal sejajar dengan kematangan mahasiswa-mahasiswi kita hari ini.

TARIAN YANG DIMAKSUDKAN ADALAH SEPERTI YANG DIRAKAM OLEH ORANG YANG TIDAK DIKETAHUI DAN DIUPLOAD DALAM YOU TUBE MENGGUNAKAN NAMA "ezohadhari" :

http://www.youtube.com/watch?v=bjo9y3nYj8o

Sabtu, 11 April 2009

FESTIVAL ASEAN 2009 BERJAYA

gambar ihsan oleh wakil warga kerja festival

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

Festival Kebudayaan dan Sukan Asean 2009,telah melabuhkan tirainya pada 11 April 2009. Sungguh enak dan lazat juadah makanan yang dijual di bazar asean berkenaan.Al Hamdulillah, nampaknya,tiada adegan “panas” yang selalu dimomokkan oleh sebahagian pihak,kononnya akan berlaku IKHTILAD dalam program seumpa FESTIVAL anjuran Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Saudara saudari Mahasiswa-mahasiswi Sekalian,

Kita dibesarkan di sebuah negara yang mempunyai pendidikan Islam yang baik.Lebih-lebih lagi,kita yang membanjiri bumi anbia’ ini.Sudah pasti,kita memahami apakah adegan-adegan “panas” yang selalu dimomokkan itu sesuai dengan landasan syarak dan budaya adat ketimuran kita atau tidak? Sudah pasti,rakan-rakan seperjuangan kita memahaminya jua.

Jika benar,pernah berlaku adegan “panas” seperti yang dimomokkan oleh sebahagian pihak terutamanya BLOGGER SYAFIK ZULAKIFLI www.typeace.blogspot.com,barangkali ianya hanya sekelumit sejarah lampau yang pasti “TIDAK BERULANG” dalam FESTIVAL kali ini bahkan saya yakin program anjuran KBMK dan JPMK akan berterusan peka dengan perkara tersebut.


SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Berdasarkan tinjauan,saya dapati,FESTIVAL ASEAN kali ini mendapat sambutan hangat dari pelbagai lapisan mahasiswa Malaysia dan asing.Walaupun penonton acara dewan semasa hari pertama agak mengecewakan,namun ianya tidak sedikit pun mengganggu emosi peserta-peserta Nasyid mempersembahkan persembahan masing-masing.

Barangkali,mahasiswa kita sibuk ke kuliah waktu itu.Namun,KBMK dan JPMK sungguh profesional dalam hal ini.TIADA KERAHAN atau PAKSAAN dilakukan untuk memastikan kehadiran mahasiswa-mahasiswi berbanding sebuah persatuan pelajar yang bertaraf NGO di Mesir,memaksa mahasiswa hadir program mereka dan mengklasifikasikan mereka yang tidak hadir sebagai “penentang”.Saya punya bukti kukuh terhadap apa yang saya perkatakan.Bahkan saya sendiri pernah dipaksa ketika bergelar mahasiswa baru oleh seorang pemimpin persatuan anak negeri yang bernaung di bawah persatuan berkenaan supaya hadir dalam sebuah program khas untuk mahasiswa baru yang dikenali sebagai program KOLOKIUM atau Q.

Namun, saya lihat pada hari kedua dan ketiga festival,kehadiran begitu menggalakkan.Hadirin datang dengan penuh ceria.Tanpa mengenal anda dari persatuan mana,mereka diberikan layanan sama rata.Proses pembelian makanan di BAZAR ASEAN berjalan dengan lancar.Beli,bayar,ambil tempat dan terus makan.Tiada istilah “tunggu sampai kucing berjanggut”.

Walaupun ada mahasiswi kita berniaga bersebelahan dengan gerai mahasiswa,mereka sungguh menjaga etika yang disyariatkan.Menutup aurat dan bercakap dengan sopan dan santun.Tiada adegan “panas” sentuh menyentuh seperti yang pernah disiarkan oleh SYAFIK ZULAKIFLI.Barangkali itu dulu,sekarang lain.Barangkali juga dulu “tiada”(adegan panas), sekarang pun “lagi tiada”.Saya kata “barangkali….”Harap saudara SYAFIK ZULAKIFLI boleh memahami frasa tersebut.

Sungguh enak dan lazat laksa Johor yang dijual oleh mahasiswi kita.Persis laksa yang dijual di restoran terkenal.Bakat yang ada jangan dipendam.Saya harap,tahun hadapan dapat lagi saya menjamah laksa Johor tersebut.

USAHA BOIKOT GAGAL

Semasa di muktamar PMRAM baru-baru ini,ada perwakilan yang membangkitkan isu kerjasama PMRAM dengan KBMK dan JPMK.Ada juga yang meminta secara langsung PMRAM mengeluarkan “pendirian” berhubung FESTIVAL ASEAN.Belum sempat dijawab oleh PRESIDEN PMRAM ketika itu,ada perwakilan lain “memanaskan” suasana dengan menyatakan lebih kurang begini “jika bapa tidak dijemput,buat apa kita anak-anak nak berseronok!”.

Siapa “bapa” yang mereka maksudkan? Siapa lagi kalau bukan sebuah entiti yang berumur lebih setengah abad dan hampir seratus tahun itu.Harap-harap,tak nyanyok.Tapi pasti lemah dek kerana dah “berumur”.Jika hendak nampak seperti muda,pandai-pandailah cari “petua” awet muda.

Sepatutnya,kita yang berada di luar negara menganggap para pegawai KBMK dan JPMK sebagai bapa dan bukannya individu-individu lain.Apa pun,ianya persepsi,saya serahkan kepada mahasiswa-mahasiswi sekalian untuk menilai.

Jawapan yang presiden PMRAM berikan,tidak jelas.Namun,disebalik yang tersurat,saya terdengar suara-suara “halus” dari pihak-pihak tertentu dan suara tersebut didengari oleh masyarakat mahasiswa kita yang meminta mahasiswa terbayak,memboikot program berkenaan.

Kepada mereka yang menjadi dalang boikot,sedarlah,mahasiswa-mahasiswi kita telah matang. Pemboikotan berkenaan TELAH GAGAL.Ini adalah kerana,mahasiswa-mahasiswi kita bijak berfikir dan menimbang apa yang diwar-warkan.Mereka tidak lagi jadi seperti “PAK TURUT” yang terkena momokan jahat individu-individu tertentu.

Ramai pengusaha kedai yang kehabisan barang jualan lebih awal dari jangkaan walaupun barang jualan mereka mempunyai kuantiti yang banyak.Para peniaga tak menang tangan melayan kerenah pelanggan mereka.Kerusi meja yang disediakan untuk menikmati juadah sentiasa penuh dan bertukar-tukar pengunjung.

TAHNIAH mahasiswa-mahasiswi kita.Anda matang dan bijak menilai.TERIMA KASIH DAUN KELADI,NANTI-NANTI datanglah lagi sahabat-sahabat kita dari negara asean yang lain.Program tersebut tidak kelihatan seperti “kekitaan” bahkan rakan-rakan KEMBOJA, THAILAND, PHATTANI,INDONESIA dan ramai lagi turut serta.

Turut hadir memeriahkan majlis penutup ialah AHLI PARLIMEN MESIR dari kawasan WAILI,Dr Syarlin. Kehadiran beliau amat dihargai.Ini membuktikan program KBMK dan JPMK mendapat perhatian kerajaan Mesir.Semoga hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir terus dipereratkan lagi.

Akhir sekali,jutaan terima kasih kepada KBMK dan JPMK serta seluruh warga kerja FESTIVAL KEBUDAYAAN DAN SUKAN ASEAN 2009 dikalangan mahasiswa-mahasiswi MALAYSIA.Penat lelah kalian berbaloi.Berjalan terus mara kehadapan dan usah berpaling kerana perkara yang remeh.Orang yang berjaya tidak akan memandang perkara yang remeh sebagai masalah. Sebaliknya orang yang gagal selalu menjadikan perkara remeh sebagai masalah.

SELAMAT MAJU JAYA…..

Selasa, 7 April 2009

FESTIVAL ASEAN 2009 KEMBALI LAGI


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

Islam menganjurkan umatnya saling berkenalan antara satu sama lain.Perbezaan warna kulit, kebudayaan,bangsa dan bahasa penuturan yang pelbagai disamping taburan manusia dari pelbagai kedudukan geografi,mendorong kita saling berkenalan antara satu sama lain.

Apabila kita saling berkenalan,kita akan dapat melihat perbezaan antara satu sama yang lain dan saling mencari titik persamaan.Maka,Islam sekali lagi meletakkan asas sebagai dasar utama terhadap segala macam perbezaan antara sesama manusia.Setiap manusia samada arab atau bukan arab tiada perbezaan dan keistimewaan melainkan "KETAKWAAN".

Bumi Mesir telah menjadi saksi perkenalan pelbagai bangsa yang datang dari segenap pelusuk dunia. Hari ini,AL AZHAR dikenali sebagai kiblat ilmu.Institusi ini,telah menjadi tempat pertemuan untuk tujuan itu selain dari tujuan asal melahirkan ilmuan Islam sejak seribu tahun dahulu.

Sewajarnya,mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir mennggunakan peluang keemasan ini untuk meluaskan jaring perkenalan dan persahabatan agar boleh sama-sama mempelajari perbezaan sesama kita.

FESTIVAL KEBUDAYAAN DAN SUKAN ASEAN 2009

Tanggal 9,10 dan 11 April,festival yang berasaskan kebudayaan akan diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau terkenal dengan nama lamanya ARMA.

Saya berpendapat,program anjuran Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) merupakan salah satu mekanisme kearah memperkenalkan kebudayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Saya rasa terpanggil setelah dicabar beberapa kali oleh pelbagai pihak untuk mengulas program tersebut yang tiba-tiba dilihat kontrovesi dan sarat dengan pendangan pro dan kontra dari masyarakat mahasiswa.

Jika dilihat objektif program tersebut,saya optimis ianya akan membantu mendekatkan mahasiswa dari pelbagai negara disamping memperkenalkan budaya asia di peringkat antarabangsa.Namun,saya agak kecewa kerana program tersebut diadakan pada bulan April dan salah satu dari tiga hari tersebut adalah waktu rasmi kuliah universiti.

Suka saya cadangkan agar pihak KBMK dan JPMK mengadakan program tersebut kelak pada bulan Jun atau Julai ketika cuti musim panas.Namun,kita tidak boleh salahkan pegawai atau Pengarah JPMK dalam isu ini,kerana pengarah JPMK baru menjawat jawatan berkenaan dan barangkali program tersebut termaktub sebagai program tahunan yang mengisi jadual aktiviti bulan April.

KECEMERLANGAN AKADEMIK

Ada mahasiswa yang berpendapat bahawa bulan April dan Mei harus dijadikan bulan penumpuan dan mengukuhkan “thaqafah” atau pengetahuan.Justeru,FESTIVAL yang bakal dilangsungkan sepatutnya dibatalkan dan semua mahasiswa harus menumpukan peperiksaan yang bakal tiba.

Inilah pemikiran yang dangkal dan salah terhadap disiplin menuntut ilmu.Apakah menuntut ilmu itu bermusim? Menuntut ilmu adalah satu kewajiban yang tidak bermusim.Kuliah universiti di Mesir bermula pada pertengahan bulan September hingga hujung bulan November atau pertengahan bulan Disember bagi semester pertama.

Manakala semester kedua pula bermula pada pertengahan bulan Februari hingga bulan Mei.Hampir kebanyakkan pensyarah Al Azhar akan memulakan sesi kuliahnya sekitar bulan Mac atau penghujung bulan Februari.Walau pun buku rujukan masih dalam proses cetakan,namun,pensyarah memberikan gambaran awal tentang kurikulum pengajian dan skop perbahasan sesuatu subjek.Jadi, mana-mana pihak yang mengatakan bahawa kuliah masih belum panas dalam antara bulan februari hingga bulan Mac adalah salah.

Mukaddimah tersebut amat penting.Namun,mahasiswa Malaysia dilihat sungguh aktif bersama aktiviti persatuan-persatuan mahasiswa seperti BAKAN,DPM dan PMRAM.Bayangkan di awal sesi kuliah berlangsung,program melancong ke selatan Sinai giat dijalankan.Setelah selesai program berkenaan, perlawanan bola futsal secara bergilir-gilir mengikut negeri masing-masing diadakan sepanjang bulan Mac selain PIALA PRESIDEN PMRAM. Ada juga yang menganjurkan program-program mega dan aneka macam karnival dalam bulan Mac.Para pimpinan persatuan pula,sibuk dengan program GENGGAM BARA mereka.

Akhir sekali,bulan April dan Mei dikatakan bulan “thaqafah” dan segala macam program harus ditunda sementara.Maka,dalam empat bulan waktu pembelajaran tersebut,hanya dua bulan sahaja waktu belajar! Patut pun ramai di kalangan kita “mengulang” tahun dan gagal dalam peperiksaan.Ini adalah kerana mereka belajar kerana peperiksaan semata-mata,dan mereka hanya pandai “kutip” kurikulum peperiksaan tanpa perlu hadirkan diri dengan kuliah universiti,kecuali dua bulan tersebut.

Dua hari dari tiga hari Program FESTIVAL anjuran KBMK dan JPMK diadakan di luar waktu kuliah.Hanya hari khamis sahaja iaitu 9 April hari kuliah.Bandingkan program anjuran PMRAM,DPM dan BAKAN! Berapa banyak yang diadakan pada waktu kuliah?

Jangan meneguk di air yang keruh! Walau bagaimana pun,keperihatinan sebahagian mereka terhadap waktu kuliah ini amat dihargai dan seharusnya,mereka juga sebenarnya telah mengata diri mereka sendiri yang sering mengadakan program di waktu kuliah sedang berlangsung.Teringat saya pepatah melayu, “kata dulang,paku serpih,kata orang,awak yang lebih!”

Persoalannya,adakah benar kesangsian ditimbulkan atas faktor akademik atau kerana tujuan-tujuan tertentu? Barangkali mereka telah menghidu program seumpama festival mampu mengganggu gugat survival PMRAM dengan bersatunya kelak apa yang mereka panggil “IJAN” atau “NAJIS”,singkatan kepada NADI UMNO,ABIM,JIM dan ISMA

PMRAM di mana? Entiti ini maksum dan suci barangkali dari panggilan tersebut seperti mana SYIAH memaksumkan imam-imam mereka.Tahniah PMRAM dan ahlinya,gelaran yang ahli PMRAM berikan ini sungguh cantik dan melambangkan betapa tingginya akhlak mereka.Benar,pimpinan PMRAM tidak pernah memberikan kebenaran untuk ahlinya menggunakan jolokan tersebut,akan tetapi “DIAM”nya kepimpinan PMRAM dalam isu ini,membuatkan kita yakin, bahawa “DIAM,TANDA SETUJU!”.

AKTIVITI PERNIAGAAN DI KALANGAN MAHASISWA

Mahasiswa-mahasiswi harus kekal dengan niat menuntut ilmu sepanjang keberadaan di Mesir.Bagi saya, maksud menuntut ilmu tidak terbatas dengan hanya menghadirkan diri ke kuliah dan menelaah buku-buku rujukan atau bahan bacaan lain.

Skop menuntut ilmu harus dilihat secara lebih meluas meliputi hal-hal lain seperti kepimpinan dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain.Sebab itulah kita harus melihat banyaknya persatuan mahasiswa di Mesir ini dari aspek positif bukan negatif.
Percambahan persatuan mahasiswa di Mesir harus dilihat oleh semua pihak sebagai KEPELBAGAIAN atau “tanawwuk” dan bukan PERCAMBAHAN YANG BERSIFAT MENENTANG atau “ta’addud jamaah”.Jika PMRAM boleh menerima kepelbagaian dengan adanya DPM dan BAKAN,apa salahnya menerima persatuan-persatuan lain seperti Kelab UMNO,ABIM,PERUBATAN dan ISMA?

Mahasiswa Malaysia di Mesir hari ini telah mencecah hampir tujuh ribu orang.Persatuan mahasiswa yang banyak boleh membantu mereka sebagai wadah menuntut ilmu kepimpinan yang mana kelak apabila tamat pengajian akan membantu mereka berada di pentas perdana di Malaysia dengan jati diri dan keyakinan yang kuat.

Begitu juga dengan perniagaan.Perniagaan adalah satu bidang yang mulia dan aktiviti tersebut juga mampu mengajar seseorang ilmu pengurusan dan perancangan untuk menghasilkan keuntungan. Semasa di sekolah rendah,antara bacaan ringan yang saya minati ialah kisah perjalanan hidup Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu adalah perdana menteri Malaysia.

Beliau pernah menjadi peniaga goreng pisang di sekitar bandar Alor Setar.Barangkali aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan itu hari ini telah menjadi salah satu faktor kejayaan beliau sebagai antara tokoh yang dikagumi bukan sahaja di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa.Bagaimana mungkin doktor perubatan ini boleh menguruskan sebuah negara dan bercakap soal kewangan setempat dan global dengan baik dan dikagumi oleh masyarakat antarabangsa jika tidak didahului dengan secebis pengalaman lampau? Saya yakin,pengalaman beliau sebagai peniaga goreng pisang sedikit sebanyak membantu beliau lahir sebagai tokoh terkemuka hari ini.

Saya memandang tinggi usaha kecil sebahagian mahasiswa Malaysia yang rajin belajar ilmu perniagaan di bazar-bazar anjuran BAKAN,DPM bahkan FESTIVAL yang bakal dianjurkan juga akan menyediakan tapak untuk tujuan yang sama.

Namun,saya agak hairan,apabila melihat cara berniaga yang “pelik” di beberapa buah BAZAR BAKAN.BAZAR jenis apakah dan gaya mana yang ditiru apabila proses pembelian hanya dilakukan di KAUNTER sesudah itu,pembeli akan duduk di meja makan yang disediakan dengan masa yang agak lama.Apa salahnya jika terus melakukan pembelian melalui para peniaga? Bukankah cara tersebut lebih mudah dan cepat.Pernah saya menunggu makanan yang dipesan sehingga hampir sejam di sebuah BAZAR BAKAN!!!

Saya difahamkan BAZAR ASEAN tidak akan meniru gaya “pelik” tersebut.Tahniah kerana berani melakukan kelainan.Buat apa takut melakukan kelainan selagi mana kelainan tersebut tidak bertentangan dengan syarak!

KESIMPULAN

Saya yakin,FESTIVAL ASEAN akan mendapat sambutan luar biasa dari kalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir dan mahasiswa-mahasiswi asing.Program seumpama ini harus kerap daiadakan kerana ianya dapat memecah tembok kenegerian di kalangan mahasiswa malaysia teruatamanya mahasiswi.

Mahasiswa-mahasiswi yang hadir harus menjaga tatatertib seperti yang dianjurkan oleh syarak dan nilai ketimuran.Tidak sesuai lelaki dan wanita makan bersama-sama dan bergelak ketawa bergurau senda.Ingat,AL AZHAR memisahkan kampus lelaki dan wanita.Jika festival tidak mampu memisahkan lelaki dan wanita secara keseluruhan,sila bataskan pergaulan anda.Penganjur PROGRAM harus peka dengan isu ini agar kelak tidak mengundang fitnah.

SAYA BUKAN MATA-MATA KELAB UMNO


Assalamualaikum,

Para Blogger sekalian,

Saya amat kecewa dengan tuduhan sebahagian pihak yang melemparkan tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali terhadap kehadiran saya di Muktamar sanawi PMRAM baru-baru ini.Saya dikatakan “menyelinap” sebagai perwakilan dalam muktamar tersebut.Paling tidak masuk akal,mereka menuduh saya menjadi telinga dan mata bagi pihak tertentu.Ada yang jelas melemparkan tuduhan kononnya saya adalah “mata-mata KELAB UMNO”.

Kehadiran saya adalah secara sukarela.Saya tidak mewakili mana-mana pihak dan hanya sebagai pemerhati.Saya sendiri telah menghubungi setiausaha Agong PMRAM sesi lepas memaklumkan secara jelas kehadiran saya.Pagi sebelum bertolak ke MUKTAMAR,saya telah menghubungi Yang dipertua Badan Kebajikan Johor Mesir (BKPJM),saudara Firdaus Noh.Saya BUKAN AHLI KELAB UMNO,PMRAM atau mana-mana persatuan di Mesir.Saya adalah mahasiswa program Ijazah Sarjana di bawah tajaan agensi kerajaan pusat.

PMRAM MEDIA CENTER (PMC) bertindak keterlaluan dan cara tindakan mereka saling tidak tumpah seperti gaya orang politik apabila menyebarkan gambar kehadiran saya seperti yang tertera di blog www.arruhuljadid86.blogspot.com.

Saya hadir untuk mendengar dan melihat sendiri perjalanan muktamar tersebut.Tidak adil jika saya membuat ulasan dengan tanpa melihat sendiri perjalanan muktamar tersebut.

Sabtu, 28 Mac 2009

ITUKAH USUL MAHASISWA??

Usul sesebuah gerakan atau persatuan mahasiswa sepatutnya kearah meningkatkan kualiti mahasiswa dan bukan hanya bersikap kekitaan yang terarah kepada kesatuan semata.Banyak masalah mahasiswa yang harus dititik beratkan seperti kesedaran mahasiswa terhadap kuliah Universiti, Penguasaan bahasa arab yang lemah di kalangan mahasiswa Al Azhar,budaya berpersatuan sehingga mengganggu waktu kuliah dan sebagainya adalah antara perkara yang sepatutnya menjadi perhatian utama persatuan yang mengakui menjaga kebajikan ahli seperti PMRAM.

Sungguh malang,PMRAM lebih suka ahlinya bergaduh sesama kalangan mahasiswa Al Azhar, seronok menguasai pergerakan mahasiswa dengan cara tidak demokratik dan diktator bahkan membiarkan mahasiswa Al Azhar terus alpa dan lalai dari tugas utama mereka menuntut ilmu dan menghadirkan diri di kuliah Universiti.

Metod kesederhanaan Al Azhar barangkali bagi mereka merugikan mahasiswa jika dipraktikkan dalam jiwa mahasiswa seperti mana Al Azhar menolak fahaman dan pegengan Islam ala ekstrim Ikhwan Muslimin di Mesir dan pegangan itu jugalah digunakan oleh PAS di Malaysia.

Ikhwan Muslimin sentiasa mempersoalkan tindak-tanduk Syeikh Al Azhar seperti yang disiarkan baru-baru ini,Syeikh Al Azhar bersalaman dengan Perdana Menteri Israel dalam satu majlis forum antara agama anjuran PBB tanpa melihat ianya sebagai satu watak kesederhanaan yang boleh melembutkan hati musuh untuk segan dan malu untuk bertindak ganas terhadap Islam.

Begitu juga penglibatan Prof Dr Umar Hasyim sebagai ahli yang berhormat Dewan Rakyat Mesir (majlis sya’ab misri) seorang pakar hadith dan bekas rektor Universiti Al Azhar sebelum prof Dr Ahmad Taib yang dilantik pada tahun 2003.

Tidak kurang juga Penglibatan Prof Dr Hamdi Zakzuk sebagai menteri wakaf Mesir,Ikhwan Muslimin selalu mengungkit dan memburukkan serta memberikan persepsi buruk terhadap ulama-ulama Al Azhar yang aktif dalam memegang pelbagai jawatan penting dalam pentadbiran politik Presiden Husni Mubarak.

Negara Malaysia yang dikatakan oleh sebahagian mahasiswa Al Azhar sebagai tidak Islamik dan pernah saya mendengar seorang pemimpin mahasiswa berkata kepada saya, “haram duduk dalam pentadbiran kerajaan” itu,apakah mereka sedar,Malaysia tidak menghakimi para penentang politik kerajaan di mahkamah tentera dan menjatuhkan hukuman tembak sampai mati jika didapati bersalah,Syarm El Syeikh jauh lebih besar dari genting highland dan lain-lain lagi jika hendak dibandingkan dengan sebuah Negara di mana Al Azhar didalamnya??

Sedikit perbandingan untuk memperlihatkan betapa dangkalnya cara sebahagian mahasiswa kita berfiikir.Bagaimana hendak membuat perbandingan politik dan sosial,sedangkan penguasaan Bahasa Arab sebahagian mereka amat lemah sehingga tidak mampu membaca akhbar harian di Mesir.

USUL PERTAMA

Usul pertama yang dibahaskan oleh PMRAM dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini adalah “Mahasiswa-mahasiswi bersatu membanteras anasir-anasir yang mencetuskan masalah keselamatan, unsur-unsur perpecahan dan tidak mengamalkan Islam secara syumul”.

Jangan berdolak dalih,maksud disebalik ayat tersebut adalah hanya PMRAM sahaja persatuan yang dijamin diiktiraf oleh pihak keselamatan Mesir.Bagi mereka,persatuan selain PMRAM seperti ISMA, KELAB UMNO tidak sah dari segi keselamatan walaupun tidak berdaftar di bawah kerajaan Mesir,persatuan-persatuan terbabit sah disisi undang-undang kerana dibawah perlindungan KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH.Di samping itu,mereka juga selamat untuk disertai dan menjamin mahasiswa menjawab dengan amanah BORANG KESELAMATAN yang bakal diisi apabila pulang bekerja kelak,apabila menjawab soalan yang berbunyi “adakah anda pernah menyertai persatuan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan?” maka dengan penuh amanah dan bertanggungjawab jawapannya ialah “TIDAK”.

Unsur-unsur perpecahan bagi PMRAM juga adalah persatuan yang tidak bernaung di bawah PMRAM. Maka seharusnyalah persatuan PERUBATAN melihat perkara ini dengan serius,maksud mereka PERUBATAN juga sedemikian kerana PERUBATAN tidak bernaung di bawah PMRAM.Begitulah angkuhnya sikap PMRAM ini dan gaya berpersatuan ini lebih bersikap berpersatuan dengan cara memerintah ala-KUKU BESI dan DIKTATOR.

USUL KEDUA

“Mempertahankan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung di bawah PMRAM”.Semestinya menenggek kepada BKAN adalah salah satu rahsia kekuatan PMRAM.Ianya bagi menjamin survival PMRAM itu sendiri.Jika BKAN tidak dapat dikuasai,tunggu pegawai negeri berkenaan,mereka akan dipanggil “zalim” dan “mengganggu hak dan kebebasan mahasiswa”.Usul ini langsung tidak memeranjatkan saya kerana seperti yang saya katakana tadi,tanpa BKAN,siapalah PMRAM.Kerajaan negeri di Malaysia harus memikirkan sesuatu.MODUL yang digunakan oleh pegawai Negeri Sembilan, Tuan Haji Malik kahar harus menjadi MODUL cotoh membantu mengembalikan kegemilangan dan meningkatkan akademik mahasiswa Al Azhar.

USUL KETIGA

“Menggesa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) berbincang dengan pihak imigresen Mesir bagi memudahkan urusan menyambung visa”.Mengapa baru hari ini PMRAM pandai sebut KEDUTAAN.Bukankah PMRAM rasa mereka lebih kuat dari kedutaan? Bukankah semasa saya di tahun pertama pengajian bergelar mahasiswa baru,abang-abang PMRAM kata, “kalau ada pelajar kita yang dipenjara,maka presiden boleh datang ke penjara bertemu amnuddaulah (ketua polis) untuk membebaskan pelajar yang ditahan,kelebihan ini tidak dimilki oleh kedutaan tapi dimilki oleh PMRAM!!!”

Bukankah kad PMRAM yang tertera tandatangan presiden PMRAM dan cop PMRAM jauh lebih hebat berbanding PASSPORT MALAYSIA ? Hah!!! Tunjukkan kad PMRAM anda jika polis Mesir minta passport yang tidak bervisa kerana sistem imegresen Mesir yang “bersistematik” itu!

Apakah ada “fatwa kontemporeri” yang tidak diketahui oleh ahli-ahli PMRAM lantas usul ini dibawa ke perhimpunan agung mereka?Adakah kad PMRAM tidak lagi laku dan bercanggah dengan seperti mana yang dilaporkan kepada mahasiswa saban tahun? Atau mahasiswa dah mula matang dan tidak percaya KAD PMRAM lantas satu helah dengan usul ini harus diajukan?


USUL KEEMPAT


“Menjayakan Dana Syaqah PMRAM dengan cadangan setiap ahli menyumbangkan LE300 kepada tabung ini dalam tempoh setahun”.Kita difahamkan PMRAM memerlukan dana kewangan untuk membeli apartment sendiri bagi dijadikan pejabat yang dijangka menelan kos lebih Sejuta pound mesir.Ini adalah salah satu cara untuk memperkukuhkan survival PMRAM di masa akan datang.

Kebajikan….yer…kebajikan…apakah PMRAM yang memberikan kebajikan kepada ahlinya atau ahlinya memberikan kebajikan kepada PMRAM? LE 300 itu cukup besar untuk seseorang mahasiswa.Lepas kos makan sebulan barangkali.Usah bicara soal kebajikan ahli jika wang poket ahli dikikis untuk memuaskan nafsu memiliki apartment.Mahasiswa Malaysia telah memilki banyak bangunan dan prasarana yang diberikan oleh kerajaan negeri masing-masing.LE 300 itu juga jika digunakan untuk membeli kitab rujukan,pasti ianya jauh lebih manfaat.

Akhir sekali,kita tertanya-tanya,apakah peranan PMRAM dalam dunia akademik mahasiswa? Apakah peranan meningkatkan kesedaran dalam menacapai kecemerlangan akademik mahasiswa tidak termasuk dalam usul utama walaupun jelas pencapaian akademik mahasiswa Malaysia tidak membanggakan menurut satu laporan dari Universiti Al Azhar? Atau, PMRAM punya agenda tersembunyi?.

PMRAM KEKAL DI TAKUK LAMA

Assalamualaikum,

Para blogger yang dihormati,

Kita baru saja menyaksikan perubahan pucuk pimpinan sebuah parti terbesar di Malaysia yang banyak berjasa kepada agama,bangsa dan Negara.Saya amat berminat untuk mengulas apa yang sedang kita lihat.Namun yang demikian,saya tangguhkan dahulu hasrat tersebut kerana saya amat berminat untuk mengulas satu lagi peristiwa penting di Mesir iaitu rapat umum atau “ijtimak umumi” yang kebiasaannya dipanggil muktamar sanawi.

WALAK


Persekutuan Melayu REpublik Arab Mesir mempunyai satu kekuatan yang bernama WALAK.Perkataan ini adalah satu perkataan bahasa arab yang bermaksud ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.Sepatutnya perkataan ini diletakkan oleh setiap rakyat Malaysia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong,namun,ianya diguna pakai oleh kepimpinan BAKAN dan DPM untuk PMRAM.Jika diteliti dan dibuat satu kajian,kita akan nampak bahawa mana-mana gerakan Islam akan menggunakan kalimah keramat tersebut.PAS di Malaysia dan Ikhwan Muslimin di Mesir,mereka amat mempraktikkan WALAK sebagai satu mekanisme mengukuhkan gerakan dan ideologi.

Tidak hairanlah jika telinga kita jarang mendengar masalah dalaman dan suara lantang terhadap pemimpin mereka.Sebab WALAK harus diberikan kepada pemimpin gerakan tersebut.Amat malang jika ada sesiapa yang berhasrat ingin melemahkan mereka dengan mencari masalah dalaman sebagai bahan utama memecah belahkan mereka.Jika ada ketidak puasan hati terhadap mereka,BAKAN atau DPM akan merahsiakan serapat mungkin dari pengetahuan ramai.

Setiap BAKAN dan DPM mempunyai ratusan ahli.Antara kedua-dua elemen kekuatan PMRAM ini,BAKAN adalah kekuatan utama PMRAM.Ini adalah kerana tiada DPM jika tiada BAKAN.Ahli BAKAN yang duduk di luar Kaherah akan menjadi ahli DPM.Oleh sebab yang demikian,PMRAM akan marah dan melenting jika BAKAN mereka diganggu.Pegawai kerajaan yang bertugas di Mesir jika cuba mengganggu hubungan PMRAM dengan BAKAN,mereka akan sebar luaskan sebuah persepsi untuk diserapkan dalam minda mahasiswa bahawa pegawai terbabit zalim dan cuba menyekat hak mahasiswa.Kekuatan PMRAM akan tempang tanpa BAKAN di sisi mereka.

Menyedari hakikat ini,semua BAKAN mesti dipastikan oleh PMRAM duduk di bawah naungan mereka.Semua BAKAN akan mengikut acuan kepimpinan PMRAM.Dari pemilihan exco hingga ke aktiviti-aktivitinya.Dari segi pemilihan exco dan yang dipertua,pasti akan didengar bahawa mereka menang tanpa bertanding,kecuali beberapa negeri seperti Kedah satu ketika dahulu.Aktiviti BAKAN pula haruslah tiada pertembungan kerana pertembungan tersebut akan dianggap sebagai “menentang” PMRAM.

Maka setiap aktiviti haruslah mendapat perkenan PMRAM terlebih dahulu.Untuk megukuhkan lagi survival PMRAM,Badan Pengurus angkat akan berfungsi kearah itu agar BAKAN dapat dipantau melaluinya.

MENANG TANPA BERTANDING

Satu budaya kurang sihat dalam PMRAM ialah,tiada pertandingan dalam jawatan kepimpinan PMRAM.Ini adalah kerana semua BAKAN akan walak dengan mana-mana individu yang bakal diajukan oleh mereka untuk diangkat sebagai pemimpin.Bahkan BAKAN sendiri bertindak menghantar “bekas exco” atau “exco” mereka sebagai duta BAKAN kepada PMRAM untuk diasuh sebagai pemimpin PMRAM.

Beberapa exco PMRAM,dari satu sesi,akan dikekalkan bagi memastikan PMRAM tidak terkeluar dari landasan asal dan acuan lama agar kekal di takuk lama.

Gaya kepimpinan sebegini tidak mendatangkan dan langsung tidak akan menghasilkan sesuatu yang positif kerana kepimpinan itu bukan datang dari suara ramai,akan tetapi ianya datang dari “semangat” luaran yang akan membantutkan transformasi dan penambah baikkan seiring dengan kehendak semasa.

Jika PMRAM menafikan perkara ini,dengan berani saya katakan bahawa PMRAM tidak diminati oleh mahasiswa terbanyak.Hanya segelentir sahaja dari kalangan mereka yang menjawat jawatan exco dan yang dipertua BAKAN sahaja yang minat meneruskan survival PMRAM dengan menghantar nama-nama tertentu ketika penamaan calon dibuka saban tahun.

Corak pentadbiran ala DIKTATOR ini,sudah tentu kurang diminati oleh mahasiswa yang berfikiran jauh dan terbuka.Hanya segelintir sahaja yang akan memberikan sokongan padu.

ISU YANG DIBANGKITKAN

Para perwakilan yang hadir lebih bertindak sebagai penyoal.Kepimpinan PMRAM bertindak sebagai PENJAWAB SOALAN.Ini adalah satu mesyuarat agong yang aneh seolah-olah ianya adalah majlis soal jawab antara badan pengurus dengan ahli terpilih.Saya tidak mahu mempersoalkan gaya mesyuarat agong mereka,barangkali mereka ada alasan konkrit berbuat demikian.

Isu yang dibangkitkan adalah amat penting untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin menerima kritikan dan menyelesaikan masalah.Apa yang saya lihat,soalan yang dibangkitkan kurang berkualiti dan inilah nilai sebenar mahasiswa Malaysia di Mesir.

Hubungan antara PMRAM dan KEDUTAAN serta Malaysian Student Department (MSD) menjadi persoalan hangat dari banyak perkwakilan.Soalan demi soalan yang sama maksudnya diajukan dengan individu yang berlainan.Presiden PMRAM (sekarang mantan) hanya menjawab dengan gaya “lepas tangan atau cuci tangan”.

Seorang perwakilan bertanya, “apakah hubungan PMRAM dengan KEDUTAAN serta MSD?” jawab sang ketua, “kita telah mengadakan banyak program dengan usaha sama antaranya majlis sambutan hari raya aidilfitri”.

Ada juga perwakilan yang bertanya, “apakah maukif (pendirian) PMRAM terhadap program-program anjuran KEDUTAAN dan MSD?” jawab orang tertinggi mereka “kita serah kepada kebijaksanaan ahli”.Saya ingin bertanya,apakah jawaban tersebut betul dengan soalan yang diberikan atau ianya sekadar “cuci tangan” atau “lepas tangan”? Inilah topeng sebenar PMRAM.Bertalu-talu soalan yang sama diajukan dan telinga saya mendengar soalan yang sama dan jawaban yang sama cuma ada yang agak bijak dengan memberikan sedikit penambahan.

Tugas pemimpin adalah memimpin ahli dan memberikan tunjuk ajar.Jika mereka tidak diberikan tunjuk ajar yang betul,apa guna duduk sebagai pemimpin atau PMRAM lebih selesa ahlinya tidak memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada entiti selain PMRAM?

PMRAM cuba bertindak sebagai sebuah KERAJAAN apabila bertindak menubuhkan HISBAH.HISBAH adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud PENGUATKUASAAN.Dalam ilmu siasah,tiga unit utama dalam pentadbiran undang-undang Islam iaitu TASYRIK (penggubalan undang-undang),HISBAH (penguatkuasaan) dan QHADO’ (penghakiman).Ketiga-tiga unit ini saling membantu antara satu unit dengan unit yang lain.

Hari ini,TASYRIK dibentuk dengan kewujudan PARLIMEN yang dahulunya ditentukan oleh ijtihad atau pentafsiran IMAM atau KHALIFAH berdasarkan sesuatu dalil dan sumber hukum dalam menetapkan sesuatu undang-undang yang ditetapkan.

Setelah itu,HISBAH akan bertindak sebagai penguatkuasa undang-undang yang dibuat bagi memastikan rakyat terbanyak mentaati arahan undang-undang tesebut.Hari ini,pelaksanaan tersebut dilakukan oleh pihak keselamatan seperti polis,penguatkuasa Pihak berkuasa tempatan,pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam sinonim “pencegah maksiat” dan lain-lain lagi.

Manakala QHADO’ pula dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman kepada mereka yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.Hari ini peranan tersebut diambil oleh mahkamah.

Nah,apakah HISBAH itu wajar diwujudkan? Jika PMRAM masih mahu mengekalkan penggunaan nama HISBAH,saya cadangkan,wujudkan juga PARLIMEN PMRAM dan MAHKAMAH PMRAM!!!! Jika benar HISBAH ditubuhkan untuk mencegah kemungkaran,sila gunakan nama lain selain HISBAH seperti “pencegah maksiat” atau yang selayaknya dengan tugas mereka.

Berdasarkan kenyataan sorang perwakilan,PMRAM menyatakan bahawa polis Mesir telah memberikan keizinan untuk mewujudkan HISBAH sambil bertanya bilakah kad kuasa akan dikeluarkan!!! Sekali lagi,saya minta pihak keselamatan Di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah menyiasat perkara ini dan memanjangkan perkara ini kepada pihak POLIS Mesir.

Berbalik soal hubungan PMRAM dengan KEDUTAAN,kenapa ada pihak mahu memberikan soalan yang sedemikian rupa.Ianya tidak lain hanya memperlihatkan betapa mahasiswa AL AZHAR cetek pengetahuan terhadap pengetahuan AM.Kedutaan tetap sebuah entiti yang berfungsi sebagai wakil kerajaan di luar Negara.PMRAM ikitiraf kedutaan atau sebaliknya,ianya tidak sedikit pun akan mengganggu gugat KEDUTAAN.

PPMI atau persatuan pelajar mahasiswa Indonesia sama tarafnya seperti PMRAM bernaung di bawah kerajaan Mesir dan bertaraf NGO,namun,bezanya adalah PPMI berdaftar dengan Kedutaan Besar Indonesia di Mesir.Semasa tinggal di kolej penginapan antarangsa Bu’uth,sebuah kolej penginapan mahasiswa AL AZHAR,saya ada nyatakan kepada beberapa pimpinan PPMI lagak PMRAM yang berdegil enggan berdaftar dengan kedutaan,mereka (ppmi) melahirkan kehairanan dan berkata “mengapa sih,,,,begitu???” jangan kata anda yang hairan,saya dan kebanyakkan mahasiswa terbanyak,hairan memikirkannya.

Satu sahaja saranan saya kepada ahli PMRAM yang mendaftar secara sukarela dan kepimpinan mereka,anda harus kekal dengan pengakuan slogan anda “kita PMRAM” dan jangan sekali-kali malu mengaku anda PMRAM justeru jujurlah dalam mengisi borang keselamatan apabila bekerja kelak,nyatakan dalam borang tersebut apabila sampai soalan “adakah anda pernah menyertai persatuan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia ketika berada di luar Negara?” jawab dengan mata pena anda dan jujur dengan jawapan “YA”.Jika anda berani menyokong persatuan yang tidak berdaftar dengan wakil kerajaan di luar Negara,mengapa apabila pulang,takut mengisi jawapan tersebut? Lagi baik,apabila pulang ke Malaysia kelak,sila bekerja sendiri dan jangan bekerja dengan kerajaan kerana anda tidak mahu duduk dengan wakil kerajaan di luar Negara mengapa pula apabila pulang bertukar angin? Adakah anda bermaruah apabila menjilat ludah sendiri? fikir-fikirkan…..