Isnin, 18 Februari 2008

RESOLUSI MULTAQA ALUMNI AL AZHAR 2008 DAN ISLAM HADHARI - PENERIMAAN AL AZHAR TERHADAPNYA

Minggu ini adalah merupakan minggu kedua semesta kedua sesi akademik 2007/2008.Sementara itu,di tanah air,Malaysia tercinta,berlangsungnya Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar.Alumni tersebut telah dihadiri oleh para graduan Al Azhar dari serata dunia.

Sejak berlangsungnya Multaqa ini pada 15 Februari 2008 ramai yang ternanti-nanti apakah resolusi Multaqa ini.Resolusi tersebut dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Al Azhar Dr Muhammad Abdul Fazir menurut sumber berita tanah air.Resolusi tersebut diberikan kepada Datuk Mohd. Nakhaei Ahmad,Pengerusi Jatawankuasa Pelaksana Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar 2008.

Dapat saya simpulkan dari resolusi ini beberapa perkara.Pertama,Penguasaan bahasa arab Di kalangan masyarakat yang tidak bertutur bahasa arab adalah perlu dipergiat.Ini adalah untuk memahami Islam dengan betul dan boleh menyumbang kearah memberikan gambaran yang positif berkenaan Islam kepada barat.

Penubuhan liga seperti yang dicadangkan,barangkali antara cara praktikal kearah pelaksanaannya.Memang tepat sungguh resolusi ini kerana bukan sahaja ianya akan menjadikan masyarakat Islam yang tidak bertutur bahasa arab boleh memahaminya,bahkan kesan positif keapada mahasiswa Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke timur tengah teruatamanya ke Universiti Al Azhar,Mesir.

Kedua,apa yang kita boleh rumuskan dari resolusi tersebut,nampaknya,para graduan Al Azhar yang datang dari seluruh pelusuk dunia dan Intisutusi Al Azhar yang diiktraf oleh antarabangsa itu menyokong pelaksanaan gagasan Islam Hadhari.Perkara tersebut dinyatakan pada resolusi yang ketiga dari tujuh resolusi berkenaan."Ketiga – Menegaskan bahawa perkara paling penting yang perlu dititik beratkan ialah kefahaman Hadhari mengenai Islam. Ini ialah kerana Islam merupakan agama ketamadunan.Justeru adalah amat perlu sekali dikembangkan Manhaj (konsep) pemikiran yang meletakkan persoalan ketamadunan sebagai matlamatnya dan menjadikan kebangkitan umat Islam asas pemikiran tersebut".

Kesederhanaan Al azhar sebagai institusi agama yang diiktiraf seluruh dunia harus diteladani oleh para graduannya terutamanya sebahagian dari para graduan dari Malaysia bahkan mahasiswa Al azhar yang banyak tersalah faham berkenaan gagasan kerajaan ini.

Ini adalah kerana faktor politik domestik yang menyumbang ke arah itu.PAS lebih menjadikan gagasan Islam Hadhari yang dianjurkan oleh kerajaan sebagai isu politik semata bukan melihatnya sebagai satu pelaksanaan yang menjadikan Islam sebagai paksi dalam pentadbiran negara.

Akhir sekali,saya ingin bertanya kepada seluruh graduan Al Azhar di Malaysia dan seluruh mahasiswa Malaysia yang masih menuntut di Al Azhar,apakah kita meneliti resolusi ini secara akademik atau masih mahu melihat Islam Hadhari sebagai isu politik semata?

Sejauh manakah Mahasiswa Malaysia di Al Azhar mengikuti perkembangan Multaqa ini? apakah kerana temanya yang berbunyi "Islam Hadhari Antara Warisan dan Cabaran Semasa" menyebabkan mahasiswa Malaysia enggan mengikuti perkembangannya?

Apakah mahasiswa Malaysia di Al Azhar masih berpegang kepada apa yang termaktub di dalam buku "Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari" yang ditulis oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan buku terjemahan Anuar Jundi mengenai Islam hadhari?

Mahasiswa Malaysia di Al Azhar dan para graduannya,perlu memahami perkara "khilafiah".jika benar ianya boleh menggugat akidah,nescaya Al Azhar adalah organisasi pertama yang akan menolak gagasan ini.Berdasarkan konsep Islam Hadhari ini,jelas,Islam Hadhari tidak bertentangan dengan Islam dan buktinya Al Azhar menerima Multaqa ini diberi tema yang berkaitan dengan Islam Hadhari.

Pelbagai isu telah diperbincangkan dalam Multaqa ini.Samaada isu antarabangsa dan isu yang berkaitan umat Islam.Agak menjadi tanda tanya khususnya diri saya secara peribadi,mengapa Multaqa ini tidak menadapat liputan meluas dan ulasan atau komentar dari persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia Al Alzar atau blogger di kalangan mahasiwa Malaysia di Mesir.Manakah mereka semua? masih sibuk dengan saratoga musim sejuk? Sibuk ikuti isu pilihanraya semata? Sibuk Ke kuliah? saya juga ke kuliah.Walaupun saya graduan Al Azhar dan sedang menuntut di Universiti Kaherah,saya tahu,apakah situasi Al Azhar pada minggu kedua ini.

Mengapakah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) tidak membincangkan isu ini di laman webnya? mengapa menyepi? Bukankah inilah masa yang sesuai untuk membetulkan anggapan ahli-ahlinya jika ada yang menentang gagasan ini?Hanya salah seorang BP mereka yang mengulas,itu pun menerusi blognya.

Akhir sekali,saya menyeru para mahasiswa dan graduan Al Azhar agar sama-sama kita membawa dan mempraktikkan kesederhanaan Al Azhar lebih-lebih lagi dalam masalah-masalah khilafiah.





Berikut adalah apa yang dinyatakan dari laman web rasmi multaqa tersebut http://alumnialazhar.org/ :


Resolusi Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar
KUALA LUMPUR 11 Safar 1429/ 18 Februari – Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar (Multaqa) yang berlangsung sejak Jumaat lalu akhirnya melabuhkan tirainya hari ini. Buat julung kalinya ia diadakan di luar Mesir dan selaku tuan rumah, Malaysia sebenarnya diberikan penghormatan cukup tinggi oleh universiti yang telah berusia lebih 1,000 tahun itu.Kira-kira 1,000 cendekiawan Islam, yang merupakan produk universiti berkenaan berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, kemudiannya bersetuju menerima resolusi berikut :

PERTAMA – Menubuhkan cawangan-cawangan Liga Antarabangsa Alumni Al Azhar (Liga) di peringkat serantau mengikut kedudukan geografi dunia Islam. Cawangan-cawangan ini bertanggungjawab menjayakan tujuan-tujuan Liga, dengan mengambil kira suasana setempat dan tuntutan zaman.

Kedua – Mencadangkan supaya Liga ini berperanan mengembangkan bahasa Arab dan menjadikan tangggungjawab ini keutamaan bagi setiap cawangan Liga di peringkat serantau dengan memberikan perhatian khusus kepada masyarakat Islam di negara-negara yang bukan bertutur dalam bahasa Arab.Liga ini berharap dapat mengembangkan bahasa ini di kalangan masyarakat yang bertutur bukan bahasa Arab, melalui saluiran maya memandangkan peri pentingnya sebagai bahasa al-Quran dan satu-satunya pintu ke arah memahami hukum-hukum Islam serta mengkaji syariatnya.

KetigaMenegaskan bahawa perkara paling penting yang perlu dititik beratkan ialah kefahaman Hadhari mengenai Islam. Ini ialah kerana Islam merupakan agama ketamadunan.Justeru adalah amat perlu sekali dikembangkan Manhaj (konsep) pemikiran yang meletakkan persoalan ketamadunan sebagai matlamatnya dan menjadikan kebangkitan umat Islam asas pemikiran tersebut.

Keempat
– Multaqa ini menegaskan tentang pentingnya usaha membantu umat Islam Eropah dan orang-orang yang berada di barisan hadapan dalam kerja-kerja Islam di lapangan yang berkaitan fatwa dan media di negara-negara tersebut, dan mengembangkan ajaran Islam sebenar di kalangan mereka.Juga untuk mengujudkan hubungan pemikiran dengan mereka secara berterusan. Bantuan untuk mereka membangunkan modul latihan juga perlu dititik beratkan selain melatih guru-guru.

Kelima – Mencari penyelesaian terhadap pemasalahan golongan minoriti Islam di lima benua serta menyedarkan tentang perlunya mereka berintegrasi dengan masyarakat dan bersama-sama dengan warganegara lain mengambil bahagian dalam semua lapangan kehidupan, pada waktu yang sama, tetap memelihara jatidiri KeIslaman mereka.

Keenam – Membina strategi melahirkan golongan ulama dan pemikir masa hadapan yang memahami cabaran dan bagaimana menghadapinya dengan mengambil kira bahawa pembentukan elit yang bersinar ini merupakan keutamaan terpenting.Strategi ini juga perlu memberi perhatian kepada usaha membentuk generasi ilmuan yang menguasai bahasa-bahasa utama dunia bagi mempertahankan Islam di semua tempat.

Ketujuh – Menjemput golongan hartawan untuk sama-sama menyumbang kepada kegiatan Liga bagi merealisasikan matlamatnya, bagi mencapainya, satu jabatan khas perlu ditubuhkan.Ulama-ulama Al–Azhar juga mengambil kesempatan mengucapkan bahawa mereka menghargai pengalaman membina ketamadunan Islam di Malaysia. Mereka turut kagum dengan kemajuan yang dicapai serta mengucapkan teriam kasih serta mendoakan kepada mereka yang mendukung usaha menjayakan pengalaman ini terutamanya kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sabtu, 2 Februari 2008

BOLEHKAH PAS TAWAN KEDAH???

BENDERA NEGERI KEDAH




KIBARAN BENDERA PARTI UMNO




KIBARAN BENDERA PARTI PAS


Untuk pertama kalinya,dengan berani,entri blog kali ini akan membicarakan isu berkaitan politik tanah air.Mungkin isu yang saya bangkitkan ini tidak sehebat penganalisis politik di Malaysia,namun,ianya satu telahan dan cetusan graduan dari Al Azhar atau graduan universiti timur tengah yang baru sahaja lahir dalam komuniti graduan yang sedang merangkak untuk lebih menitik beratkan soal politik tanah air tercinta,Malaysia tanah tumpah darahku.

Dari Mesir saya meninjau perkembangan politik menerusi laman-laman web akhbar arus perdana tanah air.Utusan,Berita harian,Harakah,Keadilan rakyat dan rakaman buletin utama menerusi http://www.tv3.com.my/ adalah bacaan dan tuntunan wajib saya setiap hari.

Teka-teki bilakah pilihanraya ke 12 terus menjadi permainan hebat dan satu persoalan yang hangat untuk saat dan ketika ini.Ini adalah kerana pilihanraya umum hanya akan diketahui apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan tarikhnya.

Pelbagai bayangan dan klu dari beliau.Kelmarin beliau mengumumkan bahawa ""(Saya) sudah dekat nak umumkan" ,menurut akhbar arus perdana.

Apa pun,saya berminat untuk membincangkan sebuah negeri di utara tanah air,negeri Kedah Darul Aman.Negeri yang terkenal dengan jolokan "JELAPANG PADI" ini dilihat mempunyai pelbagai isu menarik untuk dibincangkan.

Mungkin ada orang yang akan tertanya-tanya,apakah gerangannya saya mengutarakan isu ini sementelah saya adalah merupakan anak jati negeri Johor.Lebih patut dan elok,jika saya membincangkan isu politik berkenaan negeri Johor.

Saya memilih untuk membincangkan isu politik di negeri Kedah kerana pelbagai faktor.Lebih-lebih lagi saya pernah tinggal beberapa tahun di negeri terbabit sepanjang pengembaraan menunut ilmu bahkan saya berjaya ke Universiti Al Azhar menerusi peperiksaan STAM tahun 2002 di sebuah pusat peperiksaan di negeri Kedah dan pernah belajar di sana.

Negeri Johor mempunyai masa depan politik yang amat cerah.Barisan Nasional mempunyai kedudukan yang selamat pada ketika ini.Hanya sebuah kerusi pembangkang yang dimenangi oleh PAS pada PRU ke 11 lalu,akan tetapi kemenangan tersebut hanya kemenangan teknik dan bukan pembuangan undi.

Negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai corak politiknya tersendiri.Unik dan perlu juga diperbincangkan pada masa akan datang,Justeru,PAS amat mengidam-idamkan dua buah negeri ini termasuk negeri Kedah.

Jika di Kelantan dan Terengganu,PAS telah berjaya melakar sejarah gemilangnya apabila berjaya menawan negeri-negeri tersebut pada PRU ke 10 tahun 1999 dan Hampir setiap pilihanraya umum,PAS pasti akan menyatakan kesediaan serta cita-citanya untuk menawan tiga buah negeri majoriti bangsa melayu itu,Terengganu,Kelantan dan Kedah.

Namun,di Kedah,PAS tidak boleh melancarkan serangan padunya di negeri tersebut.Mengapa? akan saya nyatakan satu persatu.Jika dilihat dari sejarah pilihanraya umum tahun 1999,PAS dibawah Almarhum Dato' Haji Fadzil Nor,hampir menewan Kedah.Majoriti kerusi Parlimen Kedah disapu oleh PAS.Namun,pada pilihanraya umum tahun 2004,PAS kehilangan majoriti tersebut.Apakah faktor-faktornya? Adakah PAS kehilangan pemimpin yang berwibawa pada ketika itu setelah pemergian Allahyarham Dato' Haji Fadzil Nor Presiden PAS pada tahun 2002?

Apa pun ulasan yang dibuat,kenyataan perlu diterima oleh pelbagai pihak.kemenangan "besar" PAS pada tahun 1999 adalah faktor bekas timbalan perdana menteri,Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat dari kerajaan oleh Dr Mahatir (Tun) ketika beliau memegang jawatan perdana menteri pada tahun 1998.

Isu Anwar dijaja dan digunakan oleh PAS sepenuhnya ketika itu sehingga kemengan "besar" diperoleh.Ini boleh dilihat pada pilihanraya 2004,apabila isu Anwar telah lapuk dan sewenang-wenangnya PAS menyelar kekalahan pada tahun 2004 dengan mendakwa pilihanraya kurang telus!!!

Oleh itu, saya katakan bahawa kemenangan PAS di utara juga bukan kerana kehebatan PAS,bahkan isu politik domestik yang membabitkan Anwar.Ramai di kalangan para pengundi pada ketika itu bersimpati dengan Anwar dan akhbar HARAKAH,milik PAS,menjadi tempat menagih simpati.

Menjelang pilihnaraya umum ke 12 ini,PAS sekali lagi menyatakan keinginan dan hasrat menawan Kedah.Serangan padu PAS kelak tidak mampu mengatasi pertahanan ampuh UMNO dan BN negeri Kedah.

Saya melihat dari pelbagai aspek,kestabilan ekonomi,politik dalaman parti-parti yang akan betanding dan beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh pembangkang.

EKONOMI

Dari aspek ekonomi,kerajaan pada Julai 2007 telah melancarkan NCER (Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara).Kedah yang terkenal dengan negeri yang aktif dalam sektor pertanian akan muncul sebuah negeri industri yang berasaskan pertanian.Kerajaan telah menetapkan beberapa intensif yang mampu menaikkan taraf para petani dan meningkatkan pendapatan mereka pada aras melebihi RM 1500 sebulan.

Penanaman padi dijangkakan akan dilaksana secara lebih tersusun.Sime Darby memainkan peranan penting kearah memacu pelaksanaan NCER ini.Perancangan jangka masa panjang ini akan menerima kesan positif oleh para petani sendiri.Peluang pekerjaan yang dibuka juga akan menyebabkan rakyat terasa dibela.

Dalam masa yang sama,kita telah menyaksikan kenaikkan tingkat harga barang keperluan secara mendadak sebelum ini.Ianya memberikan kesan yang besar dan boleh mempengaruhi kuasa beli rakyat walaupun dalam masa yang sama kerajaan menggumumkan kenaikkan gaji sektor awan.

Ini dilihat boleh mendatangkan inflasi.Dalam menagawal inflasi,Tan Sri Dr Zeti Akhtar,Gabenor Bank Negara mengumumkan baru-baru ini bahawa kadar faedah semasa masih pada kadar 3.5 peratus.Kadar ini tidak perlu dinaikkan memandangkan ianya masih mampu mengawal inflasi.

Bagi mengatasi kenaikkan harga,kerajaan telah menubuhkan MAJLIS HARGA NEGARA.Badan tersebut akan mengawal kenaikkan harga dan kestabilan harga barang-barang keperluan utama.

PAS menggunakan isu kenaikkan harga ini bagi menambat hati rakyat.Begitu juga PKR.Ini turut dibantu oleh NGO seperti CEUPACS dan MTUC.Bahkan dua NGO ini pernah menyarankan pengguna agar tidak ke Pasar.

Beberapa demontrasi diadakan.NGO terbabit bersama-sama parti-parti pembangkang
bersama-sama turun ke jalanan untuk mengadakan demontrasi.

PAS menggunakan isu kenaikkan tingkat harga barang-barang keperluan utama dan mempelawa rakyat bersama-sama mengundi pembangkang dan PAS menyatakan hasratnya untuk menubuhkan NEGARA KEBAJIKAN.

Agak malang bagi PAS dan parti pembangkang yang lain apabila kerajaan mengambil sikap pro aktif dalam menangani kenaikkan harga.Seperti yang saya katakan,MHN ditubuhkan walaupun PAS bersungguh-sungguh mempertikaikan penubuhannya.Perkara ini pernah dipaparkan dalam lawan web harakahdaily yang pernah saya baca sebelum ini.

Saya percaya,ahli ekonomi dan golongan akademik tidak mudah terpesona dengan tawaran PAS untuk menubuhkan sebuah negara Kebajikan jika memenangi pilihanraya kelak,walaupun PAS melalui web harakahdaily memaparkan adanya sokongan dari golongan profesional dan ahli akademik.

Ini dapat kita lihat dimana,hujung Januari 2008,kita menyaksikan nilai ringgit naik ke paras RM3.23 walaupun Bursa Wallstreet Amerika mengalami kejatuhan.Ini melihatkan ekonomi Malaysia masih di paras stabil jika tidak,manakan ada kenaikkan nilai tersebut?

Begitu juga dakwaan PAS mendapat sokongan ahli Akademik atas tawaran Negara Kebajikan, kita perlu lihat apa yang dinyatakan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman,yang pernah disiarkan oleh Utusan pada 23 Januari 2008 bahawa Kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan menjadi penganggur sekelip mata manakala gaji akan dipotong lebih kerap jika Malaysia menjadi negara kebajikan dengan segalanya dinikmati rakyat secara percuma.

PAS masih membisu atas kenyataan Presiden CUEPACS itu hingga hari ini.Tawaran PAS terus dipertikaikan dan nampaknya ia tidak lebih sebagai retorik semata bagi mencari pengaruh pengundi untuk mencapai matlamat mereka.

UMNO dan BN masih relevan sebagai pemacu ekonomi negara dan PAS juga parti-parti pembangkang yang lain hanya meneguk di air yang keruh.Kekeruhan ini telah diatasi oleh kerajaan yang diisi oleh perti UMNO dan BN yang menang dalam pilihanraya umum pada 2004 yang lalu.

ISU PARTI PAS DAN UMNO

Dalam pilihanraya umum kelak,calon dari parti-parti yang menyertai pilihanraya ini perlu diketengahkan.Pasti PAS dan PKR akan menentang UMNO di Kedah.Parti UMNO mempunyai tokoh-tokoh yang berwibawa untuk diketengahkan.Datuk Seri Mahdzir Khalid,Menteri Besar Kedah telah membuktikan kejayaan beliau mentadbir negeri Kedah dengan baik.Beliau bukan pemimpin banyak bercakap,kurang kerja,akan tetapi beliau pemimpin yang banyak bekerja dan apa yang beliau cakap dilaksanakan dengan penuh dedikasi.

Lihat sahaja projek saluran Paip Minyak yang dinyatakan pada satu majlis perjumpaan pelajar di Kaherah di hadapan mahasiswa-mahasiswa Kedah di Mesir,ternyata termaktub dalam projek pembangunan koridor utara tidak lama selepas itu.

PAS hanya pandai bercakap.Kutuk sana,kutuk sini,serang peribadi pemimpin membabi buta,dalam masa yang sama,manakah calon yang berwibawa yang boleh diketengahkan sebagai calon yang hebat untuk menawan negeri Kedah dan seluruh Malaysia?

Jika di Terengganu dan Kelantan,PAS mempunyai tokoh mereka yang tidak kurang hebat dalam percaturan politik negeri itu dalam setiap pilihanraya umum.Masing-masing mempunyai Dato' Tuan Guru haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan Haji Hadi di Terengganu.

Adakah PAS Kedah mempunyai calon yang hebat setanding mereka untuk diletakkan di mana-mana kawasan DUN untuk melaksana projek tawan Kedah? saya malihat PAS tidak mempunyai kehebatan ini.Ustaz Haji Azizan Razak masih belum setanding dengan mereka.Jadi,siapakah yang akan diketengahkan oleh PAS? jaguh dari kampung mana? bukan menyindir atau memperkelehkan PAS Kedah,akan tetapi saya hanya bertanya sebagai pemerhati politik yang ingin tahu.

UMNO dan BN Kedah dilihat berada dalam keadaan utuh dan tiada perpecahan dalaman.Ini dapat dilihat dari apa yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Kedah selaku Pengerusi BN Negeri yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 pada 26 Januari 2008 dimana,ada dua wakil rakyat BN yang telah berkhidmat lebih dua penggal menyatakan kesediaan untuk tidak dipilih semula dalam PRU ke 12 yang akan datang.

Sementera itu,PAS,KEADILAN dan DAP masih tidak menafikan dakwaan bahawa terdapat masalah dalam "memfaraid" kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan.

Berdasarkan isu kepartian ini juga,saya berpendapat UMNO dan BN masih relevan untuk terus diundi dalam PRU ke 12 akan datang dan PAS masih tidak relevan.

ISU YANG DIBANGKITKAN PEMBANGKANG

Semua isu yang diabangkitkan oleh pembangkang telah berjaya dijawab dan ditangani oleh kerajaan.Isu kontrovesi rakaman VK Lingam dibicarakan dengan adil.Begitu juga dengan beberapa isu lain dengan tanpa perlu saya ulang.

Pemerintahan YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi amat mementingkan integriti yang tinggi.Sebab itu kita lihat senarai bakal calon akan ditapis oleh BPR dan beberapa badan lain.

PAS dan parti pembangkang lain semakin tercari-cari isu baru dan pasti PAS tidak akan berjaya menawan Kedah.

Saya akhiri entri saya kali ini dengan satu persoalan,apakah mampu PAS mengulangi sejarah kegemilangan 1999 pada pilihanraya akan datang dan sejauh manakah kebenaran dakwaan PAS dan parti pembangkang lain bahawa pilihanraya di Malaysia tidak Demokrasi?

Sehingga berjumpa dalam entri seterusnya.Reaksi para pembaca saya alukan.Maaf saya pohonkan,jika apa yang dinyatakan diatas kurang menyenangkan sebahagian pihak.

P/s pembaca entri ini diminta memberikan komen.Pendirian saya,setiap komen,mesti dinyatakan sendernya dengan jelas.Jangan takut untuk menaytakan pendirian dan sila gunakan kemudahan teknologi canggih dengan berhemah dan bertanggungjawab dan budaya penakut,bacul dan tidak bertanggungjawab adalah tidak digalakkan.