Isnin, 8 Ogos 2011

ISU FEKH KONTEMPORARI : WAKTU BERBUKA PUASA DAN IMSAK DALAM KABIN KAPAL TERBANG



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,


Rakan-rakan blogger yang saya hormati sekalian,


PENDAHULUAN


1.Menjelang hari raya aidilfitri 1432 H,ramai kawan-kawan kita di MESIR akan pulang ke tanah air untuk menyambut hari lebaran bersama keluarga masing-masing.


2.Beza waktu antara Malaysia dan Mesir adalah enam jam kehadapan.


3.Syariat Islam itu adalah bersifat fleksibel dan sesuai sepanjang zaman dan di setiap tempat.


4.Sesuai dengan keberadaan kita di bulan RAMADHAN ini,antara isu fekh kontemporari yang dibacarakan oleh para ulama masa kini adalah penentuan waktu berbuka puasa dalam kabin kapal terbang.


3.Justeru,soalan yang bermain difikiran kita saat ini adalah,apakah waktu berbuka puasa bagi penumpang kapal terbang? Bagaimana pula waktu IMSAK mereka? ini adalah kerana,perjalanan ke Malaysia seolah-olah anda sedang mengejar waktu.


4.Bayangkan,jika anda menaiki EGYPT AIR,kebiasaannya penerbangan tersebut akan membuat penerbangan terus ke Malaysia yang mengambil masa selama lebih kurang 9 hinga 10 jam.


5.Penumpang akan mula masuk ke kabin pada jam 11 pm waktu Mesir dan lebih sejam selepas itu,kapal terbang akan berlepas.Saat itu,jam di Mesir baru jam 12 malam.Jika dilihat waktu Mesir,penumpang mempunyai banyak waktu untuk bebas makan dan minum.Namun,jika dilihat waktu MALAYSIA,penumpang telah mula berpuasa kerana di Malaysia,waktu saat itu lebih kurang jam 6 pagi.


6.Bagaimana penumpang mula IMSAK pada hari berkenaan? Waktu Malaysia atau Mesir?


7.Justeru,penumpang penerbangan terus berkenaan akan sampai ke Malaysia lebih kurang jam 4 petang dan umat Islam di Malaysia sedang berpuasa.Sedang di Mesir,umat Islam baru beberapa jam berpuasa kerana waktu Mesir saat itu baru jam 10 pagi.


8.Jika penumpang berkenaan berimsak menggunakan waktu Mesir,bagaimana pula waktu berbuka puasanya?


9.Dalam menjawab persoalan ini,kita harus melihat terlebih dahulu HUKUM BERPUASA bagi orang MUSAFIR seterusnya barulah kita akan membincangkan kembali persoalan-persoalan tersebut.


HUKUM BERPUASA BAGI MUSAFIR


10.Orang yang bermusafir DIBOLEHKAN untuk berbuka puasa sesuai dengan RUKHSAH atau KERINGANAN yang diperuntukkan oleh syarak seperti yang dirakamkan oleh AL QURAN,ayat 185,surah AL BAQARAH seperti berikut :


ومن كان منكم مريضا أو على سفر فعدة أيام أخر


Maksud : maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.


11.Berdasarkan ayat diatas,orang yang bermusafir lebih dari 2 marhalah atau bersamaan 84 kilometer dan keatas adalah DIBENARKAN untuk berbuka puasa.


12.Namun,keharusan itu tadi adalah berdasarkan pilihan individu berkenaan.Ianya bergantung kepada situasi perjalanan berkenaan samaada perjalanan berkenaan MEMBEBANKAN atau TIDAK.


13.Jika sekiranya perjalanan berkenaan MEMBEBANKAN,syarak membenarkan individu berkenaan berbuka puasa sebagai RUKHSAH atau KEMUDAHAN kerana islam bukan agama yang membebankan penganutnya sesuai dengan firman ALLAH S.W.T dalam surah AL BAQARAH sambungan terhadap ayat di atas seperti berikut :


يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر


Maksud : Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.


14.Namun,jika sekiranya puasa berkenaan dilihat TIDAK MEMBEBANKAN,maka menurut para fukaha' adalah lebih baik bagi individu berkenaan meneruskan puasanya sesuai dengan firman Allah S.W.T dalam surah AL BAQARAH ayat 184 seperti berikut :


وأن تصوموا خير لكم إن كنتم تعلمون


Maksud : Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.


WAKTU BERBUKA PUASA DAN IMSAK DALAM KABIN KAPAL TERBANG


15.Sesuai dengan peredaran zaman,kapal terbang adalah merupakan pengangkutan udara utama yang menghubungkan manusia di zaman modern ini.


16.SYARAK tidak pernah terlepas pandang dalam isu-isu umat ISLAM lebih-lebih lagi yang melibatkan ibadat dan ini membuktikan kepada kita bahawa ISLAM adalah agama yang fleksibel yang "Tak Lapuk dek Hujan dan Tak Lekang dek Panas".


17.Justeru,Presiden Ulama sedunia,Prof Dr Yusuf AL QARADHAWI berpendapat bahawa dalam penentuan waktu berbuka puasa bagi seorang yang bermusafir dalam kabin kapal terbang,ADALAH TIDAK SAMA SEPERTI SEORANG YANG BERMUSAFIR MENGGUNAKAN JALAN DARAT.


18.Ini adalah kerana sebahagian perjalanan berkenaan melangkaui benua dan TERDAPAT PERBEZAAN dalam tenggelam timbulnya matahari berbeza dengan perjalanan darat.


19.Oleh yang demikian,beliau berpendapat bahawa waktu berbuka puasa atau imsak adalah berdasarkan TENGGELAMNYA MATAHARI DENGAN PENGLIHATAN YANG JELAS DAN DISAKSIKAN SENDIRI OLEH PENUMPANG bagi waktu berbuka puasa dan TERBIT FAJAR YANG JUGA JELAS DISAKSIKAN OLEH PENUMPANG bagi waktu imsak.Ianya sesuai dengan firman Allah S.W.T ayat 187,surah AL BAQARAH seperti berikut :


وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر


Maksud : makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)


20.Oleh yang demikian,para penumpang kapal terbang TIDAK BOLEH menggunakan waktu berbuka puasa dan imsak i tempat berlepas atau destinasi yang dituju kerana waktu maghrib dan subuh penumpang berbeza dengan waktu kedua-dua destinasi berkenaan.


21.Pendapat tersebut juga ditegaskan oleh Mufti Mesir,Fadhilatul Syeikh Prof Dr Ali Juma'ah seperti yang disiarkan oleh majalah AL MUJAHID keluaran ramadhan 1432 H.


22.Semoga kita sama-sama beroleh manfaat dengan ijtihad ulama modern kita terhadap isu kontemporari ini.Sebagai orang awam,kita seharusnya mengikuti ijtihad ulama mujtahid tersebut berbanding menggunapakai akal fikiran kita yang sudah tentu tidak sampai dengan cara fikir,tafsiran dan ijtihad ulama.