Ahad, 22 Januari 2012

PARLIMEN MESIR : ANTARA SEJARAH DAN CABARAN

hampir setahun dewan ini kosong dan sunyi


beginilah suasana dewan rakyat Mesir ketika bersidang


pemandangan sekitar bangunan parlimen Mesir di waktu malam


kubah parlimen (QUBBATUL BARLIMEN) adalah nama jolokan untuk dewan rakyat Mesir


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.MESIR adalah negara yang menyimpan seribu satu sejarah.Rakyatnya yang mesra dan negaranya yang banyak menyimpan sejarah ketamadunan yang gemilang,sangat menarik untuk dikaji.

2.Banyak kesan-kesan sejarah yang dapat kita saksikan di Mesir antaranya setesen keretapi Mesir yang beroperasi sejak 1850 an!!

3.Semasa bergelar pelajar baru di Mesir,seorang hamba Allah pernah memberikan nasihat, bahawa jika kita rajin di Mesir, kita boleh pelajari pelbagai bidang .

4.Antara perkara yang boleh kita pelajari dari MESIR adalah jatuh bangun sebuah ketamadunan atau peradaban yang hebat.Mereka pernah bangun kemudian tersungkur di tengah-tengah kejayaan kerana tangan anak-anak bangsa sendiri yang silap membuat percaturan.

5.Ditakdirkan ALLAH,saya memang sangat minat dengan subjek sejarah sejak di bangku sekolah. Sejak bergelar pelajar baru sampai sekarang,saya tidak pernah berhenti mengkaji sejarah Mesir terutamanya sejarah modennya yang gemilang.

6.Tanggal 25 Januari 2011,kita telah menyaksikan detik bersejarah di Mesir apabila negara mereka mengalami revolusi.

7.Setelah lebih 6 bulan sistem yang hampir berumur 60 tahun itu jatuh,akhirnya mereka kembali hidup dengan kebebasan.Itu pun sebenarnya hanya merupakan satu permulaan dan satu percubaan, adalah terlalu awal untuk menganggap ianya sebagai kejayaan.

PILIHANRAYA MESIR

8.Tanggal 28 November 2011 hingga awal Januari 2012,rakyat Mesir keluar beramai-ramai mengundi dengan bebas yang mana ianya adalah julung-julung kalinya sejak 60 tahun.Sistem demokrasi yang dikecapi sebelum revolusi tentera 1952 telah mula dapat dinikmati oleh mereka setelah hilang dengan jangka masa yang lama.

9.Pilihanraya pertama mereka adalah pilihanraya parlimen atau dewan rakyat.Dewan berkenaan sangat penting kerana disitulah tempat wakil-wakil rakyat membahaskan isu-isu negara,rang undang-undang tertentu seterusnya menggubal undang-undang mahupun perlembagaan.

10.Tanggal 23 Januari 2012 atau 2 hari sebelum genap setahun revolusi pemuda 25 januari,dewan rakyat Mesir memulakan sidang pertamanya dengan perlantikan yang dipertua dewan rakyat atau speaker dewan.Kemudian,ianya akan disusuli dengan upacara angkat sumpah oleh ahli-ahli dewan rakyat.

SEJARAH PARLIMEN MESIR

11.Jika dilihat dari segi sejarah parlimen Mesir,ianya adalah merupakan sesuatu yang sangat menarik untuk dibincangkan.Ini adalah kerana,MESIR telah mencipta sejarah sebagai negara timur tengah dan afrika yang paling awal membentuk parlimennya yang tersendiri.

12.Bermula pada tahun 1866,KHEDYU ISMAIL telah mengasaskan dewan rakyat pertama yang diberi nama MAJLIS SYURA AN NUWAB yang diwakili oleh 75 orang.Bayangkan,ketika itu,di mana Malaysia? Kita sedang dijajah oleh inggeris!!

13.Mesir telah mula mengenali hidup demokrasi sejak dari tarikh tersebut bahkan sejak sebelum tahun 1829 lagi atau 1805 - 1829.Walaubagaimana pun, Majlis Syura yang mewakili rakyat Mesir telah dibubarkan oleh Muhammad Ali Basha pada tahun 1829.

14.Dalam sejarah MESIR,zaman pemerintahan KHEDYU ISMAIL adalah merupakan zaman yang paling gemilang hingga memberikan kesan pada hari ini.Selain mengasaskan parlimen,baginda juga telah meneruskan perancangan pemerintah sebelumnya SAID BASHA menggali terusan suez.Pada tahun 1869,pembukaan terusan suez dilakukan dengan upacara penuh gilang gemilang yang turut dihadiri oleh raja-raja, permaisuri dan pemerintah dari seluruh pelusuk dunia.Lukisan gambaran perasmian tersebut masih dapat dilihat di hotel SHEPARD.

15.Dengan sistem politiknya yang kemas melalui sistem parlimen dan raja yang memerintah, terusan suez memberikan sumbangan yang paling besar dalam membangunkan negara Mesir walaupun konsesinya dimiliki oleh bangsa asing akan tetapi, kemasukan dan pulangan kepada negara ketika itu sangat memberangsakan sehingga POUND MESIR adalah merupakan wang yang paling mahal di dunia sebelum kekayaan itu dikikis oleh percaturan yang salah oleh bangsa sendiri.

16.Pada awal kurun ke 20 atau 1909,Mesir telah mula mengenali 3 parti iaitu parti kebangsaan yang diketuai oleh Mustafa Kamil,Parti Ummat dan parti ISLAH.Tidak lama selepas itu pula,pada tahun 1919 atau selepas revolusi 1919 yang menghalau penjajah Inggeris yang datang sejak 1882, MESIR menerima kemunculan sebuah parti baru bernama AL WAFDU yang kemudiannya mencorakkan kehidupan politik berparti yang segar sehinggalah 1952.

17.Kehidupan politik berparti tersebut dimandulkan oleh revolusi tentera 1952 dengan menggulingkan raja dan membuang baginda ke ITALI.Semasa dinasti Muhammad Ali Basha (1805 - 1952),Mesir adalah sebuah negara yang besar yang bernama AL MAMLAKAH AL MASRIYYAH AL 'UZMA atau THE GREAT KINGDOM OF EGYPT manakala rajanya pula bergelar THE KING OF EGYTP AND SUDAN. Sayangnya, selepas revolusi 1952, Mesir telah kehilangan 1/3 petanya dengan keluarnya SUDAN dari Mesir.

18.Kesan keluarnya SUDAN ini dapat dirasai hingga hari ini apabila suku NUBIA yang menguasai selatan Mesir dan mempunyai budaya serta bahasanya sendiri hari ini terpisah di dua negara,selatan Mesir dan Utara Sudan.

19.Kulitnya gelap bahasanya berbeza dengan bahasa arab dialek Mesir adalah merupakan identiti utama orang suku NUBIA.Apabila mereka bersua sesama mereka,akan terdengarlah bahasa-bahasa asing yang menyebabkan anda berfikir hingga pecah kepala untuk memahami maksud perbualan mereka.Mungkin mereka jarang ditemui di Kaherah tapi pengalaman saya yang rajin berjalan ini pernah menjejaki mereka yang kemudiannya menjadi rakan kenalan.

20.Revolusi tentera 1952 bukan sahaja menggulingkan rajanya,bahkan turut merencatkan sistem politik negara apabila membekukan kehidupan berparti dengan membentuk kesatuan sosialis.

21.Walaupun kehidupan berparti mula dibenarkan semula oleh Presiden Anwar Sadat pada tahun 1976,ianya adalah hanya sebagai melepaskan batuk di tangga kerana Anwar Sadat telah menubuhkan parti kebangsaan demokratik atau National Democratic Party (NDP) yang diketuai oleh beliau sendiri sehinggalah beliau mati ditembak yang kemudiannya,beralih kepimpinan kepada Presiden Hosni Mubarak pada Oktober 1981 hingga diharamkan pada pertengahan tahun 2011 selepas revolusi pemuda 25 Januari 2011.Parti tersebut sebenarnya TELAH MEMONOPOLI POLITIK MESIR selama lebih 30 tahun.

KEHIDUPAN POLITIK BARU

22.Kini,setelah 60 tahun kehidupan politik yang terbatas,Mesir sedang berusaha kembali ke zaman kegemilangannya sebelum revolusi 1952.Pilihanraya parlimen adalah satu permulaan kearah kebebasan itu.

23.Pelbagai kumpulan dan aliran menubuhkan parti politik.Kempen demi kempen, slogan demi slogan, manifesto demi manisfeto diwar-warkan dan dihidangkan untuk tatapan rakyat yang menjadi pemutus di peti-peti undi.

24.Antara aliran yang terkenal ialah aliran ISLAMIS,SEKULAR,LIBERAL bahkan ada juga aliran KOMUNIS yang bergerak atas nama parti komunis rakyat Mesir!! Walaubagaimana pun, tiga aliran utama tersebut adalah kumpulan popular selepas revolusi 25 januari.

25.Antara 3 kumpulan dan aliran berkenaan,aliran ISLAMIS adalah merupakan pilihan utama rakyat Mesir. Terdapat DUA parti utama yang paling popular mewakili parti Islamis, PARTI KEADILAN dan KEBEBASAN (FJP) dengan pakatannya yang merupakan sayap politik Ikhwan Muslimin dan PARTI AN NUR yang beraliran SALAFI.

PERANAN PARLIMEN BARU

26.Keputusan penuh pilihanraya parlimen bagi dewan rakyat telah pun diumumkan pada 21 Januari.Sayap parti Ikhwan Muslimin atau FJP mendapat 47 peratus manakala parti An Nur Salafi pula mendapat 25 peratus.Persoalannya mengapa parti Islamis mendapat tempat sedangkan parti aliran liberal seperti parti AL WAFDU lebih lama bertapak di Mesir iaitu sejak 1919 !!

27.Berdasarkan bacaan saya dari sumber bertulis media di Mesir,punca utamanya adalah kerana aliran ISLAMIS ikhwan muslimin dan salafi adalah tempat akar umbi mendapat simpati dan tempat mengadu nasib.

28.Ini dibuktikan dengan isu - isu yang dibangkitkan oleh Ikhwan Muslimin selama ini terutama sekali ketika menang lebih 70 buah kerusi di parlimen Mesir tahun 2005 - 2010.Suara-suara vokal mereka menyebabkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk pembinaan sebuah negara Mesir baru.

29.Kini,parlimen mesir mempunyai tugas baru yang amat penting.Ianya adalah perkara-perkara yang sedang diperhatikan oleh masyarakat dunia.

30.Pertama,ahli-ahli dewan rakyat tersebut akan mula memperbahaskan SISTEM PEMERINTAHAN yang akan diguna pakai sama ada terus menggunakan sistem republik presiden seperti yang termaktub dalam perlembagaan sementara ini atau beralih kepada sistem republik parlimen yang mana presiden hanya sebagai ketua acara rasmi negara sahaja dan tidak mempunyai kuasa eksekutif.

31.sebenarnya Perbbahsan perkara ini telah mula dibicarakan sejak selepas revolusi 25 januari lagi akan tetapi,kata pemutusnya adalah selepas terbentuknya perlembagaan.

32.Apabila bercakap soal perlembagaan,ianya adalah merupakan perkara yang berjalan seiiringan dengan penetapan sistem pemerintahan negara Mesir.Ini adalah kerana,tugas utama parlimen sekarang adalah membahaskan perlembagaan yang bakal digubal dan menetapkan JAWATANKUASA PENGGUBAL BERENAAN.Sudah pasti,ianya adalah merupakan perbahasan yang sangat panas kerana perlembagaan adalah merupakan ibu kepada undang-undang lainnya kelak.

33.Sistem pendidikan pula adalah merupakan satu perkara yang paling utama untuk memastikan kelangsungan sebuah perubahan dan melahirkan generasi yang meneruskan perjuangan.Isu-isu berkaitan pendidikan akan menjadi perbahasan hangat kelak.

34.Untuk pembangunan ekonomi sebuah negara baru MESIR pula,ianya adalah merupakan satu perkara yang sangat utama dan menjadi perbahasan panas kelak.Kadar pengangguran yang tinggi,pembasmian kemiskinan tegar bandar dan luar bandar serta penerokaan kawasan-kawasan baru yang berpotensi adalah topik yang akan memanaskan KUBAH PARLIMEN MESIR dan persekitaran politiknya kelak.

35.Apabila bercakap tentang pembangunan ekonomi Mesir,RAKYAT MALAYSIA perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia di Mesir.Ini adalah kerana,MALAYSIA merupakan negara yang telah menjadi sebutan dan MODEL PEMBANGUNAN EKONOMI sejak selepas revolusi 25 Januari walaupun ketika sebelum revolusi,nama Malaysia sering disebut oleh KORAN-KORAN mereka.

36.FIGURE bernama MUHAMMED MAHATIR (cara sebutan rakyat Mesir untuk nama Tun Dr Mahathir Mohammad) adalah merupakan nama yang dibangga-banggakan saat ini di Mesir hingga beliau dijemput datang ke Mesir untuk berkongsi dengan kerajaan peralihan bahkan bersama rakyat Mesir tentang pengalaman pembangunan ekonomi Malaysia melalui siaran langsung temubual di salah sebuah rancangan TV utama rakyat Mesir.

37.Persoalannya,bagaimana malaysia dijadikan modul pembangunan ekonomi berkenaan? Ianya akan dihuraikan dalam entri seterusnya.

BERBANGGALAH KERANA KITA RAKYAT MALAYSIA.....

Kaherah,12.40 pagi,
Bersebelahan bahan-bahan rujukan tesis MASTER,
MADINAT NASR
MESIR

Khamis, 19 Januari 2012

ISU YURAN GUAMAN MAIWP : APA KATA FEKH ISLAM?




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Baru-baru ini,kita dikejutkan dengan isu berkaitan penggunaan wang zakat.Tidak perlu diulangi kronologi isu tersebut kerana saya yakin,semua orang faham isu ini.Tanyalah PAKCIK GOOGLE,insyaallah,macam-macam ada.

2.Dalam menghakimi isu tersebut, kita perlu mendengar dari kedua-dua pihak.Ringkasan isu tersebut adalah,penggunaan wang zakat untuk membayar yuran guaman yang ditujukan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

3.Kalau dilihat dari jawapan Sohibussamahah Mufti Wilayah Persekutuan,penggunaan tersebut berdasarkan tafsiran asnaf FI SABILILLAH seperti yang ditafsirkan oleh IMAM FAKHRUDDIN AR RAZI dan pengarang tafsir AL MANAR.

4.Walaupun begitu,jawapan tersebut tidak melegakan pihak tertentu justeru,mereka cuba pula memainkan sentimen lain, menggunakan wang zakat untuk membayar PENDAHULUAN YURAN GUAMAN berkenaan atau dalam kata lain,ianya dianggap sebagai MAIWP membayar hutang guamannya dengan menggunakan WANG ZAKAT.

5.Siapa yang disaman sebenarnya? MAIWP atau individu? Semua orang tahu,ianya adalah saman ke atas MAIWP.

6.Apabila yang disaman itu MAIWP, maka, sudah tentulah KETUA ORGANISASI berkenaan atau pengerusi MAIWP dilibatkan.Orang itu adalah Dato' Seri Mejar Jeneral Jamil Khir, seorang tokoh agamawan terkenal yang hari ini memegang jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

7.Apa yang pelik dalam isu ini,jawapan SS MUFTI yang berdasarkan kitab tafsir ulama muktabar dijawab dengan sinis oleh ketua pemuda sebuah parti yang berlabel ISLAM dengan katanya, "mufti jaga agama,bukan jaga menteri".Wajarkah ucapan berkenaan? Bukan sahaja TIDAK MENGHORMATI INSTITUSI MUFTI,bahkan TIDAK MENGHORMATI TAFSIRAN ULAMA DAN KEILMUAN ULAMA MUKATABAR,iaitu Imam Fakhruddin Ar Razi.Itulah jadinya apabila agama jadi bahan milikan dan politik kepartian yang sempit.

8.Jika jawapan mufti berdasarkan tafsiran FI SABILILLAH tersebut tidak boleh dihormati,bagaimana pula dengan pandangan Fekh Islam? Tapi sebelum saya pergi jauh, ditegaskan di sini, SAYA BUKAN MEMBELA INDIVIDU, tapi saya mahukan kebenaran dan saya menolak usaha memburuk-burukkan reputasi agamawan dengan membayangkan orang agama juga KORUP.Ianya TIDAK BOLEH DITERIMA lebih-lebih lagi, ianya adalah hanya persepsi buruk oleh pihak tertentu untuk pihak lawannya.

BAITUL MAL MENURUT PERSPEKTIF FEKH ISLAMI DAN REALITI SEMASA

9. Dalam Fekh ISLAM,baitulmal berfungsi sebagai institusi yang menjaga dan mengurus harta-harta zakat,wakaf,rampasan perang dan sebagainya.Ini diperjelaskan oleh dua tokoh sarjana ilmuan politik Islam atau siasah syariyyah,AL QADHIE AL MAWARDI dan AL QADHIE ABU YAKLA dalam kitab mereka yang bertajuk AL AHKAM AL SULTANIAH.

10. Manakala pengurusan harta awam lain seperti KHARAJ (cukai ) dan pendapatan negara yang lain, ianya diletakkan dibawah pengurusan DEWAN BAITUL MAL.

11. Sumber Baitul mal menurut perspektif fekh Islam pula,terbahagi kepada EMPAT :

11.1 : Baitul Zakat atau jabatan yang mengumpul harta-harta zakat
11.2 : Baitul Akhmas atau jabatan yang menyimpan satu perlima harta rampasan perang (ghanimah) sesuai dengan firman Allah S.W.T dalam surah AL ANFAL ayat ke 41.
11.3 : Baitul Dhawaik atau jabatan yang menyimpan harta yang TIDAK BERTUAN.
11.4 : Baitu Mal EL FAYYIK atau jabatan yang mengumpul harta yang diambil dari bukan Islam dengan bukan secara perang.

12. Jika dilihat dari aspek ini,fungsi baitul mal hari ini dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri .Sudah tentulah,hukum - hakam yang berkaitan dengan baitul mal seperti yang terdapat dalam manuskrip-manuskrip lama (turath) terpakai untuk Majlis Agama Islam negeri.

13. Berdasarkan fungsi dan pembahagian BAITUL MAL oleh fekh Islam tersebut,jelas kepada kita bahawa zakat salah satu harta yang diuruskan oleh baitul mal atau hari ini dikenali sebagai Majlis Agama Islam Negeri.

PERBAHASAN FEKH ISLAM BERKAITAN ISU PENDAHULUAN WANG YURAN GUAMAN

14. Jika bercakap tentang asnaf (kumpulan) yang berhak mendapat zakat, sudah tentu ianya adalah satu ketetapan yang ditetapkan oleh ALLH S.W.T. Walaubagaimana pun, tafsiran terhadap asnaf-asnaf tersebut terdedah kepada PERBAHASAN PARA ULAMA sesuai dengan kemampuan IJTIHAD mereka.

15. Sebagai contoh,di bawah asnaf FI SABILILLAH,ulama berbeza pendapat,adakah orang yang tidak mampu mengerjakan haji boleh dibiyai oleh baitul mal dengan menggunakan harta zakat di bawah asnaf fi sabilillah? Jika dilihat dari maksud asnaf fi sabilillah itu ialah, BERPERANG DI JALAN ALLAH. Dalam isu HAJI tadi,Ada pendapat dikalangan para ulama fekh (fuqaha') yang membenarkannnya.Bagaimana ulama berijtihad? Itulah fekh islam dan keluasannya.Ianya tidak terkongkong dengan LITERAL ayat semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kepada penerangan sama ada dari Nabi S.A.W, para sahabat dan ijtihad para ulama sesuai dengan kemampuan.Sifat NAS atau DALIL adalah TERHAD akan tetapi isu-isu umat Islam berkembang mengikut peredaran zaman dan kesesuaian tempat.

16. Terdapat perbahasan ulama dalam isu LIABILITI BAITUL MAL atau hutang piutang yang berkaitan baitul mal.

17. Ianya disebut didalam kitab HASYIAH IBNU ABDEEN yang ditulis oleh IBNU ABDEEN, beliau menyatakan bahawa,Jika sabit hutang piutang yang berkaitan BAITUL MAL, harta baitul mal boleh dipinjam dari salah satu jabatan di bawah baitul mal untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

18.Pendapat tersebut bersandarkan kepada hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh ABU DAUD bahawa Banginda S.A.W meminjam baju besi dari SAFWAN BIN UMAYYAH untuk berperang.(Sunan Abu Daud jilid 3 muka surat 328)

19. Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,bahawa Rasulullah S.A.W meminjam unta sedekah dan kemudiannya baginda kembalikannya semula. (Sahih Muslim jilid 3 muka surat 1224).

20. Berdasarkan dua hadith berkenaan,ulama mengeluaran hukum bahawa harta BAITUL MAL (zakat adalah sebahagian harta baitul mal) boleh digunakan untuk membayar hutang piutang berkaitan BAITUL MAL.

KESIMPULAN

21. Adalah tidak wajar mana-mana pihak menggunakan isu agama sewenang-wenangnya hingga memperlekehkan institusi umat Islam sedangkan, isu tersebut adalah isu yang diperbahaskan para ulama.

22. Jika bukan kita umat ISLAM sendiri ,siapa lagi yang mesti menghormati institusi agama dan ulamanya?

Wallahua'lam

*BERIJTIHAD : Mengeluarkan hukum

Hayyu 'Asyir
Kaherah

Sabtu, 14 Januari 2012

HUKUM SOLAT JAMAK KERANA BEKERJA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1. Baru-baru ini,seorang siswi perubatan menghubungi saya bertanya tentang hukum menjamak solat maghrib kerana faktor kerja di kilang.

2. Pada awalnya,saya jawab TIDAK BOLEH berdasarkan faktor kerja yang menjadi asas menjamak solat.Sedangkan, sebab-sebabnya telah dibahaskan para ulama fekh dan faktor bekerja bukanlah salah satu sebab yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

3.Akan tetapi, saya diminta jawapan dengan lebih jelas dari fekh islam dari kitab-kitab para ulama dan bukan hanya berdasarkan apa yang saya tahu sahaja.Saya yang ketika itu di ISKANDARIAH,sudah tentu tidak dapat berbuat demikian, kerana rujukan saya di KAHERAH dan telah meminta pelajar berkenaan waktu untuk membuat rujukan.

4.Setelah pulang ke KAHERAH,saya membuat rujukan dan suka saya berkongsi dengan para blogger dan rakan-rakan sekalian berkenaan perkara ini yang mana ianya barangkali sangat berguna kepada masyarakat kita saat ini.

FEKH WAQI' (MEMAHAMI REALITI SEMASA)

5. Mujurlah saya pernah bekerja sebagai pekerja kilang selama lebih kurang 6 bulan sebelum ke KEDAH atau sebelum ambil SPM dan STAM kononnya mencari sumber kewangan.Dari seorang operator pengeluaran di dua buah kilang elektronik milik anak tempatan hinggalah Quality Assurance (QA) di sebuah kilang perisian elektronik milik JEPUN,MIZUHO PRICISSION ENGINEERING (MALAYSIA) SDN BHD di Johor Bahru.

6. Antara 3 kilang yang saya pernah jelajah,ada yang mudah membenarkan pekerjanya solat dan ada yang "agak sukar" berbuat demikian.Namun di kilang milik JEPUN,berdasarkan pengalaman saya,agak senang untuk mendapat kelepasan kerana pihak majikan sangat menjaga kebajikan pekerjanya walaupun mengutamakan pengeluaran sesuai dengan slogan yang selalu saya jerit bersama rakan-rakan pekerja lain sebelum bekerja dan setelah bermesyuarat dengan engineer selaku ketua jabatan QA yang menjadi rutin setiap hari, "quality is our priority!!".

7. Mana-mana kilang atau industri buatan akan mengutamakan pengeluaran atau dalam erti kata lain mengejar unit keluaran.Pekerja akan diminta bekerja bersungguh-sungguh memastikan "target" dicapai setiap hari.

8. Untuk mencapai "target" berkenaan,ada ketua atau "supervisor"(penyelia) yang membenarkan pekerja melakukan solat dan ada yang agak susah membenarkan lebih-lebih lagi jika bukan ISLAM.Ada situasi dimana pekerja yang bekerja secara "kontrak" yang makan gaji hari,kadang-kadang agak sukar untuk berkompromi dengan penyelia yang suka "cari pasal" dengan pekerja kerana kedudukan pekerja berkenaan yang agak mudah untuk dibuang.

9.Semasa saya bekerja di kilang milik anak tempatan yang berlainan bangsa pula,saya pernah "diajar" oleh penyelia yang hanya membenarkan saya solat jumaat sekali dalam 3 kali memandangkan katanya,tinggal 3 kali berturut-turut itu baru dikatakan FASIK!! Sebab itulah saya memilih untuk tidak meneruskan bekerja di kilang tersebut apabila menerima tawaran dari kilang JEPUN tak lama selepas itu.Justeru,perasaan dan hati saya sebagai umat Islam agak terguris melihat umat Islam tak berpuasa sewenang-wenangnya di bulan RAMADHAN,isteri orang dan anak dara yang diganggu seksual oleh "BANGLA" depan mata terang-terangan.

10.Ringkasnya,persekitaran seorang pekerja kilang sangat mencabar dan terdedah untuk meninggalkan solat terutama sekali solat maghrib seperti yang ditanya oleh siswi berkenaan.

HUKUM FEKH BERKENAAN SOLAT JAMAK

11.ISLAM adalah agama yang fleksibel yang sesuai dengan setiap zaman dan tempat justeru Islam juga adalah agama yang memudahkan penganutnya dan bukan menyusahkan atau membebankan.

12.Secara ringkasnya,solat jamak dibenarkan oleh syarak sebagai satu KERINGANAN atau RUKHSAH.

13.Keringanan tersebut diberikan kerana bermusafir,dalam ketakutan,sakit,hujan, salji, kesejukan dan seumpamanya sesuai dengan syarat-syarat yang dibahaskan oleh para ulama fekh.

14.Berbalik kepada pertanyaan oleh seorang siswi tadi,terdapat satu perbahasan dalam fekh islam yang dibincang oleh para fuqahak berkaitan dengan solat jamak yang bukan kerana sebab-sebab yang disebutkan diatas.

15.Walaupun jumhur (majoriti) fuqahak tidak membenarkannya,namun dengan keluasan fekh sedia ada,terdapat para fuqahak dalam mazhab yang empat antaranya AS SYIHAB dari mazhab maliki,IBNU MUNZIR dari mazhab syafei selain IBNU SIRIN dan IBNU SYUBRUMAH yang membenarkannya dan membolehkannya kerana keperluan dan bukan kerana sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini.

16.Ibnu Munzir berkata : "Boleh menjamakkan solat walaupun bukan dalam ketakutan,bukan kerana hujan atau sakit.Ianya adalah pendapat sekumpulan ahli hadith berdasarkan penyataan hadith IBNU ABBAS R.A yang berkata : ((Sesungguhnya Nabi S.A.W telah menjamakkan solat di madinah antara zohor dan asar,maghrib dan isyak walaupun bukan dalam ketakutan dan bukan kerana hujan)). Maka ditanya kepada IBNU ABBAS, "kenapa banginda S.A.W berbuat demikian?" Jawab IBNU ABBAS, ((baginda tidak mahu membebankan umatnya))". - hadith riwayat BUKHARI

17.Isu tersebut dibincangkan dalam kitab-kitab karangan fuqahak antaranya :

1) AL QAWANIN AL FEKHIYYAH oleh Ibnu Juziy,jilid 1,muka surat 75 cetakan Daruk Fikr.
2) BIDAYATUL MUJTAHID ,jilid 1,muka surat 7 cetakan MAKTABAH AL AZHAR LITTURATH.
3) AL MAJMUK oleh Imam Nawawi, jlid 4,muka surat 384 cetakan Darul Fikr
4) AL MUGHNIY oleh IBNU QUDDAMAH, Jilid 2,muka surat 205 cetakan Maktabah AL QAHERAH
5) SUBULUSSALAM SYARH BULUGHUL MARAM,jilid 2,muka surat 43 cetakan Mustafa Halabi.

18.Semoga kita sama-sama mendapat manfaat sesuai dengan perkembangan zaman yang memerlukan wacana baru dalam banyak perkara-perkara fekh dan sesuai dengan peredaran zaman yang membawa kepada keterbukaan fekh yang sedia luas.

WALLAHUA'LAM.