Ahad, 29 Ogos 2010

BUKAN ISLAM MASUK MASJID,ANTARA PRO DAN KONTRA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian.

1.Saat ini,isu YB Teo Nie Ching yang menyampaikan ucapan dan sumbangan di sebuah surau di Malaysia,hangat diperkatakan.

2.Pada awalnya,saya enggan mengulas isu ini kerana ianya adalah isu politik semata.

3.Namun,apabila saya berbincang dengan beberapa orang rakan,nampaknya,isu ini sangat hangat diperkatakan oleh rakan-rakan mahasiswa kita di Mesir hingga terdapat budaya saling tuduh menuduh jahil antara satu sama yang lain.

4.Hakikatnya,saya melihat isu ini dari dua aspek.

5.Pertama,dari aspek hukum Islam.Persoalannya,apakah boleh seorang yang bukan Islam masuk ke masjid atau surau?

6.Kedua dari aspek kesucian rumah ibadah itu sendiri dari dinodai unsur-unsur luar.

7.Jika kita bercakap soal hukum,saya yakin dan percaya,semua dari kita telah pun mengetahui fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang membolehkan orang bukan Islam memasuki surau atau masjid dengan syarat-syarat yang ditentukan.

8.Bukan di Malaysia sahaja ada fatwa begitu,bahkan di Mesir juga terdapat fatwa yang sama cuma isu yang berbeza.

9.Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir, pernah berfatwa berkenaan hukum pelancong yang bukan Islam memasuki masjid AL AZHAR.Beliau menegaskan bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid AL AZHAR.

10.Beliau berfatwa dengan mengguna pakai mazhab SYAFIE.Ujar beliau, "Orang bukan Islam Islam boleh memasuki masjid bahkan dibenarkan hingga ke masjid nabawi (di Madinah)!! Sesungguhnya Rasulullah S.A.W mengadakan pertemuan dengan rombongan NAJRAN (untuk dialog akidah yang julu ng kalinya dalam sejarah Islam antara Rasulullah S.A.W bersama orang bukan Islam untuk menyeru masuk islam) di dalam Masjid (masjid nabawi)!! Nabi S.A.W Berdialog bersama mereka tentang apa yang diturunkan di dalam surah Ali Imran,juga di dalam masjid!! ".

11.Menurut mazhab syafie seperti yang tertera dalam kitab RAUDHATUT THALIBIN,karangan Imam Nawawi,bahawa orang bukan Islam dibenarkan masuk ke masjid dengan izin orang Islam kecuali masjidil haram.

12.Bukankah masyarakat kita di Malaysia sangat berpegang teguh dengan mazhab Syafie?

13.Berdasarkan hujah yang dikeutarakan oleh MUFTI MESIR,orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuki masjid untuk tujuan dakwah dan tidak lebih dari itu.Demikianlah apa yang berlaku di Mesir apabila pelancong bukan islam dibawa masuk ke masjid AL AZHAR,masjid MUHAMMAD ALI dan masjid AMRU BIN AL 'AS adalah untuk tujuan dakwah dengan memperlihatkan bagaimana umat Islam beribadah,sejarah tempat ibadah umat Islam yang bukan hanya tempat ibadah semata-mata bahkan pusat perkembangan tamadun masyarakat Islam dengan penyebaran ilmu berpusat di masjid.

14.Berbalik kepada isu YB Teo Nie Ching,dari segi hukum adalah TIDAK SALAH untuk orang bukan Islam masuk ke masjid atau surau.Cara berpakaian beliau, saya rasa ianya agak sopan bagi seorang yang bukan Islam.Akan tetapi,alangkah baiknya agar orang Islam yang membawa masuk YB berkenaan memakaikan sikit tudung tanda hormat seperti yang dilakukan di masjid AL AZHAR.

15.Maka,dari segi hukum,tiada apa yang boleh dipertikaikan oleh kita umat Islam.Mengapa perlu dipertikaikan isu ini? Jelas dan tersuluh,ianya tidak bercanggah dengan hukum yang ada di dalam Islam dan seperkara lagi,isu ini adalah isu yang menjadi topik perbahasan para ulama. Cukuplah kita memakai pendapat mazhab syafie dalam hal ini.

16.Suka saya nyatakan disini,pendapat yang membenarkan itu mempunyai MAQASID atau OBJEKTIFnya iaitu DAKWAH dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.Ianya bukan tujuan POLITIK kepartian semata-mata yang mempunyai tujuan tertentu.

17.Namun,apa yang dirisaukan dan sedang berlaku adalah unsur-unsur luar yang terdapat disebalik apa yang kita lihat.

18.Adakah tujuan orang Islam membawa masuk YB berkenaan ke surau berkenaan atas faktor dakwah? Jika atas faktor dakwah,apakah YB berkenaan menyaksikan umat Islam bersolat dan diterangkan kepada beliau cara-cara umat Islam bersolat yang berbeza dengan amalan sembahyang agama YB berkenaan serta diterangkan serba sedikit berkaitan akidah kita umat Islam dari segi perhambaan terhadap ALLAH S.W.T?

19.Atau tujuan orang Islam membawa masuk YB berkenaan atas faktor politik kepartian semata? Untuk memastikan umat Islam bersedia menyokong parti DAP yang diragui kerjasamanya terhadap orang Islam,menghilangkan pra sangka pengundi umat Islam dan seterusnya tidak ragu-ragu memberikan undi terhadap calon DAP,maka,antara cara politiknya adalah membawa YB berkenaan ke dalam surau!! Dengan harapan,Orang Islam akan lebih percaya bahawa DAP kononnya telah mula boleh bertoleransi dengan Islam dan orang Islam akan sanggup memejam mata atas kata-kata dan tindakan-tindakan pemimpin DAP terhadap sensitiviti umat Islam sebelum ini.

20.Jika ada yang menafikan bahawa ianya bukan tujuan tersebut yang dilihat politik dan untuk survival DAP semata-mata,izinkan saya bertanya,mengapa orang Islam tersebut tidak mencadangkan YB berkenaan memberikan ucapan di perkarangan "luar" surau berkenaan sahaja? bukankah itu lebih manis?

21.Bukahkah DAP adalah antara parti pemerintah di negeri Selangor bersama-sama parti orang Islam yang lain mempunyai kuasa untuk menggunakan mana-mana premis lain yang lebih sesuai dan jauh dari kontroversi? Tiadakah dewan-dewan orang ramai yang berdekatan atau padang dan stadium berdekatan? Bukankah prasarana lain lebih sesuai digunakan untuk tujuan PENYAMPAIAN SUMBANGAN dan UCAPAN YB TERSEBUT!!

Sabtu, 28 Ogos 2010

MUFTI MESIR : PERLANTIKAN WANITA DALAM JAWATAN PENTING AKAN MENAFIKAN DAKWAAN BARAT TERHADAP KITA YANG DIDAKWA MASYARAKAT MUNDUR


Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir

TERJEMAHAN OLEH : MOHD FAIZAL SABHON
Sumber : AL AHRAM,29 Ogos 2010

Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir telah menyatakan kebanggaan beliau terhadap kerjaya perundangan dan mesejnya dalam Islam serta peranan perundangan dalam masyarakat serta menegaskan bahawa perundangan Mesir adalah benteng negara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri simposium yang diadakan semalam di Kelab Hakim-hakim Iskandariah sempena memperingati perang badar dan turut dihadiri oleh Pengerusi kelab berkenaan,Mustasyar (YANG ARIF) Muhammad Agwah.

Mufti turut menyatakan bahawa persetujuan Dewan Negara (Mesir) terhadap penyertaan wanita dalam dewan berkenaan dan perlantikan mereka sebagai HAKIM adalah merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan wanita untuk dilantik ke jawatan tinggi dan penting serta menolak dakwaan barat yang mendakwa masyakat kita merendahkan martabat wanita.

Beliau menegaskan keperluan untuk meniggalkan adat masyakat tempatan yang dikaitkan dengan Islam secara salah dan boleh merosakkan imej Islam di mata masyarakat luar.Beliau juga menegaskan peranan penting wanita dalam masyarakat dan kemampuan mereka terhadap perlantikan pelbagai jawatan yang tidak bercanggah dengan syarak.

Dr Ali Jum'ah menisbahkan pendapat yang radikal tersebut (yang tidak membenarkan wanita dilantik ke jawatan tinggi dan penting) kepada sejarah khilafah uthmaniah di Mesir dan beberapa pihak yang menyebarkan fahaman-fahaman yang tidak selari dengan Islam tentang martabat dan kedudukan wanita.

Beliau berkata, "sesungguhnya,wanita telah berjaya dalam banyak bidang pekerjaan yang dahulunya hanya terhad kepada lelaki sahaja".Ianya merujuk kepada peranan wanita (yang terhad) menurut sejarah dalam pelbagai bidang yang antaranya pengajaran usul fekh,hadith dan dengan sesuatu yang sangat bercanggah dengan wanita serta salah faham berkaitan Islam dengan beberapa ungkapan yang sering dituturkan seperti "wanita adalah orang yang kurang akal dan agamanya".

Mufti Republik Mesir itu juga memberikan nasihat agar tidak mengeluarkan hukum dan membuat beberapa ketetapan dengan tidak berhat-hati.beliau turut menyatakan justifikasinya dengan penilitian yang betul dan ijtihad dalam mengeluarkan hukum berdasarkan perundangan asas keadilan.

NOTA :

1) Dewan Negara adalah badan perundangan tertinggi di Mesir.

2) Di Mesir,tiada pengasingan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

3) Perlembagaan Mesir,perkara 2 menyebut, "Islam adalah agama rasmi,Bahasa Arab adalah bahasa kebangsaan dan DASAR-DASAR SYARIAH ISLAMIAH adalah sumber utama dalam perundangan Mesir.

4) Ciri-ciri utama hakim mahkamah di Mesir haruslah "mahir" tentang DASAR-DASAR SYARAK atau bahasa mudahnya FAKEH disamping mahir tentang perlembagaan dan perundangan negara.Lepasan fakulti syariah dan undang-undang Universiti Al Azhar adalah yang paling banyak mengisi keperluan berkenaan.

5) Manakala lepasan fakulti undang-undang (kuliah el hukuk) di Universiti Kaherah dan universiti awam yang lain akan didedahkan dengan pengalaman profesion dahulu dalam jangka masa tertentu sebelum dilantik ke jawatan hakim.

6) Antara contoh undang-undang Mesir adalah seperti seksyen 46, Kanun acara jenayah, hukuman mati akan dijatuhkan setelah kertas pertuduhan dan penghakiman dibawa ke MUFTI REPUBLIK ARAB MESIR serta perlu mendapatkan pandangan beliau terlebih dahulu. Jika sekiranya Mufti Republik tidak menyatakan sebarang jawapan setelah 10 hari,hukuman berkenaan tetap akan dijatuhkan berdasarkan kepada bukti-bukti yang kukuh.

7) Kebayakan undang-undang keluarga Mesir adalah berdasarkan pendapat terpilih (rajih) dalam mazhab hanafi.

8) Namun,Mesir masih kekurangan dalam bidang aplikasi muamalat islam dan perasana perundangan yang berkaitan dengannya berbanding Malaysia.

Rabu, 25 Ogos 2010

MESIR BAKAL MENERIMA DUTA BESAR MALAYSIA

Prof Madya Dr Fakhruddin (tengah) semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Setelah lebih setahun kerusi DUTA BESAR MALAYSIA KE MESIR kosong,akhirnya,ianya akan kembali diduduki.

2.Setelah kerusi tersbeut kosong sejak MEI 2009,pelbagai nama disebut.

3.Ada yang berkata,DATO' NAKHAEI,Dato' Dasuki Ahmad,Dato' Monir Yaacob bahkan ada juga yang menyebut nama bekas setiausaha mantan perdana menteri.Siapakah duta besar kita?

4.Akhirnya,tanda tanya terjawab pada pagi ini,26 Ogos 2010,di Istana Negara.

5.Kebawah duli Yang Maha Mulia,Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan menyampaikan watikah perlantikan Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir kepada Prof Madya Dr Fakhruddin Abdul Mukhti .

6.Beliau yang dilahirkan pada 9 Mac 1957 adalah anak jati Kedah dan telah mendapat pendidikan menengahnya di Maktab Mahmud Kedah.

7.Seterusnya,beliau melanjutkan pengajian bagi program ijazah pertamanya (BA) ke Mesir dalam bidang akidah dan falsafah di Universiti Al Azhar,Kaherah.

8.Kecemerlangan beliau dalam ijazah pertama telah melayakkan beliau untuk melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana (MA) di Universiti Ain Syams.

9.Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (Phd) di BIRMIGHAM University di United Kingdom (UK) dalam bidang tasawuf.

10.Semasa menuntut di Mesir pada awal 80 an,beliau adalah seorang mahasiswa yang aktif dan pernah dilantik sebagai Yang dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

11.Dari segi perkhidmatan awam,kerjaya pertama beliau adalah sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

12.Seterusnya,pada Mei 2005,beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sehingga September 2007.

13.Pada September 2007,beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengajian Tinggi di Akademi Islam Universiti Malaya.

14.Beliau adalah ahli akademik yang mempunyai banyak tulisan dan terlibat dalam pembentangan kertas-kertas kerja dan seminar.

15.Dengan perlantikan Dr Fakhruddin sebagai Duta Besar Malaysia Ke Kaherah,ianya adalah sebuah pengiktirafan terhadap lepasan AL AZHAR dan institusi AL AZHAR itu sendiri.Ini adalah perlantikan kedua lepasan AL AZHAR sebagai Duta Besar Malaysia Ke Kaherah.

16.Kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Tun Razak kepada lepasan AL AZHAR sangat dihargai oleh mahasiswa dan graduan AL AZHAR.

17.Beliau dijangka akan memulakan tugasnya di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada 20 September 2010.

18.Warga AZHARI yang berada di Mesir wajar berbangga dengan perlantikan ini dan sama-samalah kita menyambut ketibaan beliau kelak.Anggaplah kedatangan dan perlantikan beliau sebagai SIRIH PULANG KE GAGANG.



Ahad, 22 Ogos 2010

IMAMAH AL AZHAR,JPMK BUAT PEMBAHARUAN YANG AMAT POSITIF


PAKAIAN KONVOKESYEN MAHASISWA MALAYSIA DI AL AZHAR SEBELUM INI


AL AZHAR INSTITUSI AGAMA ANTARABANGSA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Saya mendapat berita bahawa JPMK pada tahun ini akan meneruskan majlis konvokesyen seperti sebelum ini.

2.Ini bermakna,konvokesyen anjuran JPMK selaku wakil Kementerian Pengajian Tinggi adalah kali kelima akan pernah diadakan.

3.Saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila mendapat tahu bahawa pakaian jubah akademik pada tahun ini diubah.

4.IMAMAH (serban) AL AZHAR bakal menggantikan 'motarboard' manakala jubah pula akan disesuaikan dengan imej AL AZHAR.

5.Ini satu perkembangan yang sangat baik.Pakaian tersebut hampir dilupai oleh AZHARI sendiri.Saya sendiri tidak berpakaian sedemikian.

6.Dengan protokol baru ini,sekurang-kurangnya mengingatkan seseorang itu bahawa beliau adalah graduan AL AZHAR dan terpundak di bahunya peranan selaku agamawan AZHARI.

7.Sebelum ini,hanya konvokesyen PMRAM sahaja yang berpakaian sedemikian.Suara hati saya sebelum ini berkata,mungkin sebab pakaian itulah graduan kita memilih dua konvokesyen.Konvokesyen bersama JPMK dan PMRAM dengan tarikh yang berbeza.Namun saya saat itu hanya memilih satu konvokesyen sahaja memandangkan yang dianjurkan oleh JPMK adalah konvokesyen rasmi.

8.Tahniah kepada pihak JPMK.Tahniah juga kepada bakal graduan yang akan memakai imamah AL AZHAR.

9.Saya jangkakan sambutan graduan kita pada tahun ini akan lebih meriah selaras dengan perkembangan yang mengembirakan.

10.Saya juga amat berharap agar tiada lagi dua konvokesyen.

SELAMAT BERGRADUASI!!!!

Selasa, 17 Ogos 2010

ADAKAH SAYA MASIH AHLI KELAB UMNO?


Lambang kelab UMNO


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

1.Pada 17 Ogos baru-baru ini,saya telah menghadiri majlis berbuka puasa anjuran KELAB PUTRA 1 MALAYSIA yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau nama lamanya ARMA.

2.Majlis yang diadakan sangat meriah dengan kehadiran lebih 500 orang.

3.Ini adalah kerana ianya diselaras oleh Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

4.Program yang tersusun dan kehadiran yang memberangsangkan ini mengingatkan saya program tahun lepas yang turut diselaraskan bersama oleh Pesuruhjaya MATRADE dan PTD di KMBK,program ramah mesra bersama YB Dato' Seri Mustapha Muhammad.

5.Rumusan saya ialah,program yang diselaraskan oleh KBMK jauh lebih bagus dan mendapat sambutan pelajar berbanding majlis atau program yang diselaraskan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

6.Ini adalah kerana hubungan antara pelajar dan PTD di KBMK jauh lebih bagus dan lebih baik berbanding pegawai-pegawai JPMK.

7.Apabila saya menghadiri majlis seumpama itu,maka saya akan bertemu sahabat handai dan rakan taulan yang hampir susah untuk ditemui kerana lokasi atau kesibukkan masing-masing.

8.Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan adalah perkara biasa apabila bertemu.

9.Saya tersentak seketika apabila satu soalan sensitif diajukan kepada saya.

10."Bagaimana anta? masih ahli KELAB UMNO?" itu soalan biasa yang saya dengar apabila bertemu individu yang mengikuti blog atau keaktifan saya dalam mana-mana majlis dialog.

11.Hampir kelu lidah saya untuk menjawab.

12.Ini adalah kerana,mereka mengetahui keaktifan saya sebelum peristiwa 27 Disember 2009 yang ditumbuk oleh orang tertentu semasa bermesyuarat di pejabat kelab UMNO Kaherah.

13.Setelah peristiwa itu,saya tidak lagi membawa imej KELAB UMNO di sekitar Kaherah.

14.Melalui ruang maya ini,terus terang saya nyatakan bahawa status saya sebagai ahli KELAB UMNO KAHERAH masih kabur dan saya sendiri merasakan bahawa barangkali,berita PEMECATAN yang saya dengar itu adalah benar.

15.Namun,sampai saat ini,saya menunggu surat pemecatan tersebut yang masih tidak kunjung tiba.Adakah ianya berita palsu semata?

16.Paling penting,saya tertanya-tanya,apakah status pendaftaran saya sebagai ahli kelab UMNO pada MEI 2009 masih belum sah? ini adalah kerana,hingga saat ini,tiada pengesahan keahlian yang saya terima.

17.Namun,saya sangat berasa bangga kerana saya bukan orang yang "TALAM DUA MUKA". jika saya tidak bersetuju,saya akan katakan TIDAK SETUJU.

18.Sikap berterus - terang itulah menyebabkan berlakunya peristiwa hitam pada 27 Disember 2009.

19.Saya juga sangat berbangga dengan sikap rakan yang "SAMA BANTAL" apabila hanya melihat sahaja adegan zaman batu berulang di zaman moden dengan hanya memerhati sahaja.Nilai persahabatan yang sangat tinggi dan tidak ternilai harganya.

20.Akhir kata,saya sedang belajar erti kehidupan dan perjuangan.Benar,pengalaman adalah guru yang paling berguna dan berharga.

FAKTA :

1) Mendaftar sebagai ahli kelab UMNO Kaherah pada 7 Mei 2009.

2) Memangku jawatan pengerusi Kelab UMNO Kaherah pada 14 September 2009 hasil keputusan mesyuarat kerana hampir kesemua ahli jawatankuasa kelab pulang dengan tanpa sebarang pangkuan.Mesyurat tersebut dianjurkan oleh En Kamal (pegawai Terengganu) dan Prof Madya Dr Jamil,pengarah JPMK. (( pemangkuan tersebut tidak mendapat sebarang akuan)).

3) Menyerahkan semula jawatan pengerusi kepada setiausaha Kelab UMNO Kaherah 2009 pada pertengahan November 2009,saudara Ihsan Bin Datuk Monir.

Ahad, 8 Ogos 2010

KIRAAN FALAK MESIR TEPAT SEJAK LEBIH 40 TAHUN


Prof Dr Ali Jum'ah,Mufti Republik Arab Mesir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

1.Al quran adalah perlembagaan umat Islam yang menjadi rujukan dan panduan setiap tindak tanduk seharian.Setiap perintah dan larangan berasaskan dari perlembagaan tersebut.

2.Di dalamnya,terdapat perintah PUASA.Dari segi bahasa,puasa adalah perbuatan menahan diri daripada makan dan minum dengan sengaja untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Kamus Dewan,Edisi Ketiga,muka surat 1061).

3.Manakala syarak pula mengertikan bahawa puasa itu adalah menahan diri dari segala yang boleh membatalkan puasa di siang hari untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Prof Dr Wahbah Az-Zuhaili,Al Fekh El Syafie El Muyassar,Juzuk pertama,muka surat 350).

4.Pengertian puasa menurut pengertian syarak lebih luas jika dibandingkan dari aspek bahasa.Ini adalah kerana pengertian menahan diri itu,tidak terbatas kepada hanya makan dan minum bahkan segala yang boleh membatalkannya.

5.Arahan puasa ini tertera dalam Al quran, ayat 138,surah Al Baqarah,yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa seperti mana diwajibkan keatas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

6.Ayat perintah berkenaan amatlah ringkas dan terlampau umum.Menurut pengajian ilmu usul fekh,ayat berkenaan digolongkan sebagai ayat yang "MUJMAL".

7.Oleh yang demikian,Hadith Rasulullah S.A.W menerangkan (MUFASSIL) maksud perintah berkenaan. Rasulullah S.A.W bersabda : "Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berhari rayalah apabila kamu melihatnya (anak bulan)”.(Sahih Bukhari,hadith nombor 1776)

8.Berdasarkan penjelasan berkenaan,dapatlah kita tahu,bahawa terdapat hubungan yang relatif antara Al Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.Golongan anti hadith dan yang menolak hadith harus berfikir,bagaimanakah ibadah puasa itu dapat dijalankan jika sekiranya mereka hanya memegang Al Quran dan menafikan hadith?

9.Umat Islam akan mula berpuasa setelah "munculnya" anak bulan Ramadhan.Ianya sesuai dengan perintah Rasullah S.A.W. Persoalannya,bagaimanakah cara untuk menentukan munculnya anak bulan itu? adakah memadai dengan cara penglihatan mata (rukyah) semata-mata atau bagaimana?

10.Dalam konteks ini,Sohibussamahah Mufti Republik Arab Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah telah menerangkan bahawa maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. bersifat UMUM, meliputi penglihatan dengan mata dan secara ilimaih. (AL AHRAM 2009/1430)

11.Oleh yang demikian,
Maksud melihat anak bulan telah disempurnakan sekarang melalui alat penglihatan berteknologi tinggi, alat-alat cerapan dan kiraan falak yang menurut beliau semua wasilah ini termasuk dalam maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W.

12.Seperti biasa,pada tahun ini,SS Mufti Mesir mengeluarkan kenyataan bagi pihak Pusat Fatwa Mesir (Dar El Ifta' El Misriyyah) bahawa tarikh melihat anak bulan Ramadhan 1431 Hijrah tanggal pada hari selasa,10 Ogos bersamaan 29 Syaban.

13.Beliau menegaskan bahawa pihaknya telah menyediakan lebih dari satu balai cerapan dan pusat melihat anak bulan.

14.Apa yang menarik,Prof Dr Ali Jum'ah menekankan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan antara Islam dan Sains.Ujar beliau lagi,bahawa sesugguhnya,RUKYAH (melihat dengan mata penglihatan) dan kiraan falak itu saling berkait rapat.

15.Menurut laporan akhbar AL AHRAM tahun lepas bahawa kiraan falak Mesir menepati RUKYAH sejak 40 tahun.Perincian maklumat yang dikemukakan berhubung awal Ramadahan juga cukup menarik dan terperinci.

16.Mesir akan menyaksikan anak bulan berada di langit Kaherah selama tujuh minit setelah terbenam matahari pada hari selasa 10 Ogos 2010 bersamaan 29 Sya'ban 1431.

17.Dengan perincian tersebut,dapatlah kita ketahui bahawa,Mesir akan mula berpuasa pada hari rabu,11 Ogos 2010 ,menurut kiraan falak.

18.Saya teringat saranan beliau pada tahun lepas agar seluruh negara Islam BERSATU dalam menentukan tarikh mula puasa dan hari raya aidilfitri.

19.Ini adalah kerana kedua-dua tarikh berkenaan adalah tarikh yang amat penting bagi umat Islam keseluruhannya.Sudah tentu,penyelarasan tersebut sedikit sebanyak melambangkan KESATUAN umat Islam itu sendiri.

20.sejauh manakah saranan beliau disahut pada tahun ini? hasil tinjauan tahun lepas didapati bahawa masih terdapat negara Islam yang gagal menyeragamkan penyelarasan berkenaan.

21. Sekurang-kurangnya,OIC perlu memainkan peranannya menyeru negara anggotanya mengikuti saranan tersebut.

22.Saya kira,sudah sampai masanya negara-negara Islam berkongsi pengalaman dan kepakaran Mesir dalam soal penentuan awal Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri.

Sabtu, 7 Ogos 2010

APA BEZANYA RAMADHAN MESIR DAN MALAYSIA?


KUIH RAMADHAN : QATAYIF..macam lempeng tak?


CARA QATAYIF DIBUAT


"MAHEL FAWANIS" KEDAI - KEDAI YANG MENJUAL FANUSAH KHAS SEMPENA RAMADHAN


HA HEH FANUSAH!!! NIH DIA LAMPU FANUSAH!!!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1.Tinggal beberapa hari sahaja lagi,RAMADHAN akan tiba.

2.Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan di dalamnya terdapat satu malam yang dinamakan malam lailatul qadar.Bulan ramadhan jugalah tercatat dalam sejarah Islam dimana AL QURAN diturunkan pada bulan berkenaan.

3.Sejak kecil saya melihat bagaimana MALAYSIA menyambut Ramadhan.Pada tahun 2003,saya mula melihat,bagaimana masyarakat MESIR menyambut bulan yang mulia itu.Sungguh berbeza!

4.Orang melayu selalu kata, "lain padang lain belalangnya".

5.Benar,orang melayu Islam di Malaysia tak sama dengan orang arab di Mesir.

6.Orang kita melayu di Malaysia,menyambut bulan RAMADHAN dalam suasana yang biasa-biasa sahaja.Meriahnya adalah sambutan hari raya.Tiada kelainan menjelang Ramadhan.

7.Namun,bagusnya adalah sekelompok masyarakat ISLAM di beberapa tempat di Malaysia akan mengadakan forum,ceramah dan majlis ilmu yang lain yang mengingatkan masyarakat betapa pentingnya bulan RAMADHAN yang bakal menjelang.

8.Apa yang menghairankan lagi,baru seminggu berpuasa,MALAYSIA akan mula dihujani demam hari raya.

9.Gedung membeli belah,akan mula membuat jualan promosi hari raya.Lampu pelita aidilfitri akan mula dijual.Kuih-muih hari raya yang beraneka jenis akan mula dijual.Ada yang kurang ke Masjid untuk bertarawikh hanya kerana mengadun kuih biskut hari raya.

10.Tiada sebarang kemeriahan menjelang ramadhan.Meriahnya menjelang ramadhan di Malaysia adalah "pembukaan tender-tender tapak bazar Ramadhan".

11.Rumusannya,orang melayu di Malaysia menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan pesta makanan dan bulan persediaan menyambut hari raya aidilfitri.

12.Ini berbeza sama sekali di Mesir.Tujuan saya membuat perbezaan ini,bukanlah mahu menghina orang kita sendiri akan tetapi lebih kepada kriktikan sosial terhadap sebuah masyarakat yang kadang-kadang mengaku keislamannya lebih baik dari masyarakat Islam di timur tengah!!

13.Suasana sambutan Ramadhan di Mesir sangat berbeza.

14.Bulan sya'ban adalah bulan persediaan RAMADHAN.

15.Kain-kain rentang akan dinaikkan di kawasan-kawasan tertentu untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan.

16.Lampu-lampu FANUSAH akan dijual oleh kedai-kedai tertentu.Khemah-khemah didirikan di luar kedai khusus menjelang ramadhan untuk menjual barang keperluan Ramadhan seperti kurma,dan lain-lain.

17.Banyak betul promosi-promosi menjelang bulan ramadhan.

18.Kuih-muih bulan RAMADHAN akan mula dijual seperti QATAYIF.Sungguh sedap sekali jika dicicah dengan madu hitam (asal eswed) buat pembuka selera berbuka puasa setelah menelan 3 biji kurma.Kebiasaannya,kedai-kedai roti akan menjual QATAYIF.Sekali pandang,seakan-akan lempeng yang dimakan oleh orang kampung di Malaysia,cuma,saiznya sahaja yang amat kecil berbanding lempeng.

19.Masjid-masjid pula,sibuk dengan iklan-iklan IHYA RAMADHAN seperti program QIAMULLAIL.

20.Satu program yang amat berbeza dan jarang berlaku di Malaysia adalah budaya bersedekah oleh orang yang berkemampuan terutama golongan kaya.Khemah-khemah akan didirikan khusus untuk menjamu sesiapa yang sudi terutamanya orang miskin untuk berbuka puasa atau dikenali sebagai "MAEDATULRAHMAN".Hampir keseluruhan masjid akan mengadakan hidangan berkenaan.

21.Kebanyakkan yang datang ke MAEDATULRAHMAN adalah orang-orang miskin,orang yang musafir,orang yang mahu berbuka secara "jamaah" dan para pelajar.

22.Tinjauan saya pada tahun lepas,ramai pelajar MALAYSIA berbuka puasa di MAEDATULRAHMAN di MASJID SYARBINI HAYYU ASYIR dan MASJID WALIDAIN.

23.Suasana menyambut RAMADHAN ini amat terasa di Mesir.Menjelang aidilfitri,masjid-masjid di Mesir akan meriah dengan program QIAMULLAIL terutamanya malam ke 27.

24.Apa khabar kita di Malaysia? Sampai bila orang melayu hanya meriah untuk berhari raya yang meriahnya itu hanya sehari dua? Mengapa budaya seumpama ini tidak terdapat di Malaysia? Graduan AL AZHAR nampaknya mempunyai satu lagi kerja tambahan,iaitu mengubah budaya melayu dari menjadikan bulan RAMADHAN sebagai pesta makanan kepada bulan ibadah.Persoalannya,bagaimana?

Selasa, 3 Ogos 2010

WAKHID BALAK YA KHWANNA!!!! (HATI-HATI KAWAN!!!)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang dihormati sekalian.

1.Izinkan saya berkongsi sebuah pengalaman berharga untuk dijadikan panduan bersama kawan-kawan kita di Mesir.

2.Saya bersama seorang rakan menghabiskan masa pada malam tadi,berbual sambil makan malam di sebuah restoran di City Star,Kaherah.

3.Perbualan yang panjang dan singkatnya malam di musim panas di Kaherah membuatkan kami lewat keluar dari pusat membeli belah berkenaan.

4.Jarum jam tangan saya menunjukkan hampir jam 12.30 malam.

5.Masih ramai manusia yang menunggu teksi walaupun lewat malam.Itulah suasana musim panas di Mesir.Malam lebih sibuk berbanding siang.Suhu kepanasan yang tinggi antara 37 - 41 darjah celcius menyebabkan malam lebih meriah.

6.Orang melayu selalu kata,"cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar". Peristiwa awal pagi rabu ini membuatkan saya membenarkan apa yang selalu orang kita kata.

7.Teksi bermeter di Mesir sungguh memilih penumpang berdasarkan lokasi.Mereka mempunyai lokasi pilihan.Bukan seperti di Malaysia,asal sahaja bermeter,tahan,naik dan beritahu lokasi,yang penting dalam bandar.Sepatutnya di Kaherah pun begitu dan saya yakin,undang-undangnya begitu.

8.Saya berdiri bersama beberapa orang masyarakat tempatan.Kami dihampakan oleh pemandu-pemandu teksi kerana lokasi yang disebutkan bukan pilihan pemandu.

9.Seorang lelaki separuh abad bercakap sesuatu,merungut di sebelah saya,betapa gelagat pemandu-pemandu itu,menyusahkan kami yang menunggu lama.

10.Saya akui,apa yang dirungut itu benar.Saya sempat membalas dengan nada yang rendah berbanding lelaki tersebut yang tinggi suaranya dan sebahagian dari kami yang berada di sekeliling cuba menyambung dan memperakui rungutan itu.

11.Dalam suasana tersebut,terdapat seorang lelaki yang berdiri menunggu bersama-sama kami,berbadan tegap, dan umur lingkungan awal 30 an menahan sebuah teksi yang lalu di hadapannya setelah menyaksikan orang sebelumnya gagal menaiki teksi tersebut.

12.Lelaki berkenaan menjerit kearah pemandu, "TALLAK RUKHSAH!!!" (keluarkan lesen!!!).

13.Pemandu tersebut membalas arahan dengan juga meninggikan suara.

14.Akhirnya, pemandu tersebut akur dan pertikaman lidah mereka berhenti setelah ditegur oleh lelaki berkenaan.Lelaki yang merungut tadi menaiki teksi sambil tersenyum dengan diiringi oleh isteri dan anak-anaknya.

15.Mata saya liar memerhatikan siapakah gerangannya lelaki berkenaan?

16.Rupanya-rupanya,beliau adalah Polis Mesir atau tidak keterlaluan jika saya katakan,beliau adalah SB.

17.Akhirnya,mudah juga saya menaiki teksi dengan berdirinya lelaki tersebut dan beberapa yang lain di samping jalan.

18.Awas...sistem keselamatan di Mesir sangat tinggi terutamanya di waktu malam.Teringat saya semasa makan di sebuah kedai makan di hayyu asyir,bawwabah thaniah.Seorang lelaki Mesir menyapa saya dalam bahasa Indonesia yang fasih.

19.Lelaki tersebut mendapat pendidikan di sebuah sekolah yang diselenggara oleh kedutaan besar Indonesia di Giza,Mesir.Sehingga kini,sekolah tersebut masih wujud dan beroperasi.

20.Ada beberapa pengalaman lagi yang saya hadapi di Mesir yang boleh dikongsi berkaitan isu yang sama.Saya pernah cerita kepada beberapa rakan sebelum ini,bagaimana saya membeli akhbar yang "sensitif" dan ditegur oleh "seorang hamba Allah" sambil menunjukkan identitinya.

21.Pesan saya kepada rakan-rakan...hati-hati bila berbicara.Jangan "tersalah" cakap.Pilihanraya Parlimen Mesir dijangka pada bulan November 2010.Beberapa bulan setelah itu, dijangka akan diadakan pula Pilihanraya Presiden.Keselamatan di negara ini sudah tentu akan ditingkatkan.Jauhkan diri dari berbicara sesuatu yang berkaitan politik tempatan atau apa jua yang boleh dilihat sensitif.