Sabtu, 28 Mac 2009

ITUKAH USUL MAHASISWA??

Usul sesebuah gerakan atau persatuan mahasiswa sepatutnya kearah meningkatkan kualiti mahasiswa dan bukan hanya bersikap kekitaan yang terarah kepada kesatuan semata.Banyak masalah mahasiswa yang harus dititik beratkan seperti kesedaran mahasiswa terhadap kuliah Universiti, Penguasaan bahasa arab yang lemah di kalangan mahasiswa Al Azhar,budaya berpersatuan sehingga mengganggu waktu kuliah dan sebagainya adalah antara perkara yang sepatutnya menjadi perhatian utama persatuan yang mengakui menjaga kebajikan ahli seperti PMRAM.

Sungguh malang,PMRAM lebih suka ahlinya bergaduh sesama kalangan mahasiswa Al Azhar, seronok menguasai pergerakan mahasiswa dengan cara tidak demokratik dan diktator bahkan membiarkan mahasiswa Al Azhar terus alpa dan lalai dari tugas utama mereka menuntut ilmu dan menghadirkan diri di kuliah Universiti.

Metod kesederhanaan Al Azhar barangkali bagi mereka merugikan mahasiswa jika dipraktikkan dalam jiwa mahasiswa seperti mana Al Azhar menolak fahaman dan pegengan Islam ala ekstrim Ikhwan Muslimin di Mesir dan pegangan itu jugalah digunakan oleh PAS di Malaysia.

Ikhwan Muslimin sentiasa mempersoalkan tindak-tanduk Syeikh Al Azhar seperti yang disiarkan baru-baru ini,Syeikh Al Azhar bersalaman dengan Perdana Menteri Israel dalam satu majlis forum antara agama anjuran PBB tanpa melihat ianya sebagai satu watak kesederhanaan yang boleh melembutkan hati musuh untuk segan dan malu untuk bertindak ganas terhadap Islam.

Begitu juga penglibatan Prof Dr Umar Hasyim sebagai ahli yang berhormat Dewan Rakyat Mesir (majlis sya’ab misri) seorang pakar hadith dan bekas rektor Universiti Al Azhar sebelum prof Dr Ahmad Taib yang dilantik pada tahun 2003.

Tidak kurang juga Penglibatan Prof Dr Hamdi Zakzuk sebagai menteri wakaf Mesir,Ikhwan Muslimin selalu mengungkit dan memburukkan serta memberikan persepsi buruk terhadap ulama-ulama Al Azhar yang aktif dalam memegang pelbagai jawatan penting dalam pentadbiran politik Presiden Husni Mubarak.

Negara Malaysia yang dikatakan oleh sebahagian mahasiswa Al Azhar sebagai tidak Islamik dan pernah saya mendengar seorang pemimpin mahasiswa berkata kepada saya, “haram duduk dalam pentadbiran kerajaan” itu,apakah mereka sedar,Malaysia tidak menghakimi para penentang politik kerajaan di mahkamah tentera dan menjatuhkan hukuman tembak sampai mati jika didapati bersalah,Syarm El Syeikh jauh lebih besar dari genting highland dan lain-lain lagi jika hendak dibandingkan dengan sebuah Negara di mana Al Azhar didalamnya??

Sedikit perbandingan untuk memperlihatkan betapa dangkalnya cara sebahagian mahasiswa kita berfiikir.Bagaimana hendak membuat perbandingan politik dan sosial,sedangkan penguasaan Bahasa Arab sebahagian mereka amat lemah sehingga tidak mampu membaca akhbar harian di Mesir.

USUL PERTAMA

Usul pertama yang dibahaskan oleh PMRAM dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini adalah “Mahasiswa-mahasiswi bersatu membanteras anasir-anasir yang mencetuskan masalah keselamatan, unsur-unsur perpecahan dan tidak mengamalkan Islam secara syumul”.

Jangan berdolak dalih,maksud disebalik ayat tersebut adalah hanya PMRAM sahaja persatuan yang dijamin diiktiraf oleh pihak keselamatan Mesir.Bagi mereka,persatuan selain PMRAM seperti ISMA, KELAB UMNO tidak sah dari segi keselamatan walaupun tidak berdaftar di bawah kerajaan Mesir,persatuan-persatuan terbabit sah disisi undang-undang kerana dibawah perlindungan KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH.Di samping itu,mereka juga selamat untuk disertai dan menjamin mahasiswa menjawab dengan amanah BORANG KESELAMATAN yang bakal diisi apabila pulang bekerja kelak,apabila menjawab soalan yang berbunyi “adakah anda pernah menyertai persatuan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan?” maka dengan penuh amanah dan bertanggungjawab jawapannya ialah “TIDAK”.

Unsur-unsur perpecahan bagi PMRAM juga adalah persatuan yang tidak bernaung di bawah PMRAM. Maka seharusnyalah persatuan PERUBATAN melihat perkara ini dengan serius,maksud mereka PERUBATAN juga sedemikian kerana PERUBATAN tidak bernaung di bawah PMRAM.Begitulah angkuhnya sikap PMRAM ini dan gaya berpersatuan ini lebih bersikap berpersatuan dengan cara memerintah ala-KUKU BESI dan DIKTATOR.

USUL KEDUA

“Mempertahankan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung di bawah PMRAM”.Semestinya menenggek kepada BKAN adalah salah satu rahsia kekuatan PMRAM.Ianya bagi menjamin survival PMRAM itu sendiri.Jika BKAN tidak dapat dikuasai,tunggu pegawai negeri berkenaan,mereka akan dipanggil “zalim” dan “mengganggu hak dan kebebasan mahasiswa”.Usul ini langsung tidak memeranjatkan saya kerana seperti yang saya katakana tadi,tanpa BKAN,siapalah PMRAM.Kerajaan negeri di Malaysia harus memikirkan sesuatu.MODUL yang digunakan oleh pegawai Negeri Sembilan, Tuan Haji Malik kahar harus menjadi MODUL cotoh membantu mengembalikan kegemilangan dan meningkatkan akademik mahasiswa Al Azhar.

USUL KETIGA

“Menggesa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) berbincang dengan pihak imigresen Mesir bagi memudahkan urusan menyambung visa”.Mengapa baru hari ini PMRAM pandai sebut KEDUTAAN.Bukankah PMRAM rasa mereka lebih kuat dari kedutaan? Bukankah semasa saya di tahun pertama pengajian bergelar mahasiswa baru,abang-abang PMRAM kata, “kalau ada pelajar kita yang dipenjara,maka presiden boleh datang ke penjara bertemu amnuddaulah (ketua polis) untuk membebaskan pelajar yang ditahan,kelebihan ini tidak dimilki oleh kedutaan tapi dimilki oleh PMRAM!!!”

Bukankah kad PMRAM yang tertera tandatangan presiden PMRAM dan cop PMRAM jauh lebih hebat berbanding PASSPORT MALAYSIA ? Hah!!! Tunjukkan kad PMRAM anda jika polis Mesir minta passport yang tidak bervisa kerana sistem imegresen Mesir yang “bersistematik” itu!

Apakah ada “fatwa kontemporeri” yang tidak diketahui oleh ahli-ahli PMRAM lantas usul ini dibawa ke perhimpunan agung mereka?Adakah kad PMRAM tidak lagi laku dan bercanggah dengan seperti mana yang dilaporkan kepada mahasiswa saban tahun? Atau mahasiswa dah mula matang dan tidak percaya KAD PMRAM lantas satu helah dengan usul ini harus diajukan?


USUL KEEMPAT


“Menjayakan Dana Syaqah PMRAM dengan cadangan setiap ahli menyumbangkan LE300 kepada tabung ini dalam tempoh setahun”.Kita difahamkan PMRAM memerlukan dana kewangan untuk membeli apartment sendiri bagi dijadikan pejabat yang dijangka menelan kos lebih Sejuta pound mesir.Ini adalah salah satu cara untuk memperkukuhkan survival PMRAM di masa akan datang.

Kebajikan….yer…kebajikan…apakah PMRAM yang memberikan kebajikan kepada ahlinya atau ahlinya memberikan kebajikan kepada PMRAM? LE 300 itu cukup besar untuk seseorang mahasiswa.Lepas kos makan sebulan barangkali.Usah bicara soal kebajikan ahli jika wang poket ahli dikikis untuk memuaskan nafsu memiliki apartment.Mahasiswa Malaysia telah memilki banyak bangunan dan prasarana yang diberikan oleh kerajaan negeri masing-masing.LE 300 itu juga jika digunakan untuk membeli kitab rujukan,pasti ianya jauh lebih manfaat.

Akhir sekali,kita tertanya-tanya,apakah peranan PMRAM dalam dunia akademik mahasiswa? Apakah peranan meningkatkan kesedaran dalam menacapai kecemerlangan akademik mahasiswa tidak termasuk dalam usul utama walaupun jelas pencapaian akademik mahasiswa Malaysia tidak membanggakan menurut satu laporan dari Universiti Al Azhar? Atau, PMRAM punya agenda tersembunyi?.

PMRAM KEKAL DI TAKUK LAMA

Assalamualaikum,

Para blogger yang dihormati,

Kita baru saja menyaksikan perubahan pucuk pimpinan sebuah parti terbesar di Malaysia yang banyak berjasa kepada agama,bangsa dan Negara.Saya amat berminat untuk mengulas apa yang sedang kita lihat.Namun yang demikian,saya tangguhkan dahulu hasrat tersebut kerana saya amat berminat untuk mengulas satu lagi peristiwa penting di Mesir iaitu rapat umum atau “ijtimak umumi” yang kebiasaannya dipanggil muktamar sanawi.

WALAK


Persekutuan Melayu REpublik Arab Mesir mempunyai satu kekuatan yang bernama WALAK.Perkataan ini adalah satu perkataan bahasa arab yang bermaksud ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.Sepatutnya perkataan ini diletakkan oleh setiap rakyat Malaysia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong,namun,ianya diguna pakai oleh kepimpinan BAKAN dan DPM untuk PMRAM.Jika diteliti dan dibuat satu kajian,kita akan nampak bahawa mana-mana gerakan Islam akan menggunakan kalimah keramat tersebut.PAS di Malaysia dan Ikhwan Muslimin di Mesir,mereka amat mempraktikkan WALAK sebagai satu mekanisme mengukuhkan gerakan dan ideologi.

Tidak hairanlah jika telinga kita jarang mendengar masalah dalaman dan suara lantang terhadap pemimpin mereka.Sebab WALAK harus diberikan kepada pemimpin gerakan tersebut.Amat malang jika ada sesiapa yang berhasrat ingin melemahkan mereka dengan mencari masalah dalaman sebagai bahan utama memecah belahkan mereka.Jika ada ketidak puasan hati terhadap mereka,BAKAN atau DPM akan merahsiakan serapat mungkin dari pengetahuan ramai.

Setiap BAKAN dan DPM mempunyai ratusan ahli.Antara kedua-dua elemen kekuatan PMRAM ini,BAKAN adalah kekuatan utama PMRAM.Ini adalah kerana tiada DPM jika tiada BAKAN.Ahli BAKAN yang duduk di luar Kaherah akan menjadi ahli DPM.Oleh sebab yang demikian,PMRAM akan marah dan melenting jika BAKAN mereka diganggu.Pegawai kerajaan yang bertugas di Mesir jika cuba mengganggu hubungan PMRAM dengan BAKAN,mereka akan sebar luaskan sebuah persepsi untuk diserapkan dalam minda mahasiswa bahawa pegawai terbabit zalim dan cuba menyekat hak mahasiswa.Kekuatan PMRAM akan tempang tanpa BAKAN di sisi mereka.

Menyedari hakikat ini,semua BAKAN mesti dipastikan oleh PMRAM duduk di bawah naungan mereka.Semua BAKAN akan mengikut acuan kepimpinan PMRAM.Dari pemilihan exco hingga ke aktiviti-aktivitinya.Dari segi pemilihan exco dan yang dipertua,pasti akan didengar bahawa mereka menang tanpa bertanding,kecuali beberapa negeri seperti Kedah satu ketika dahulu.Aktiviti BAKAN pula haruslah tiada pertembungan kerana pertembungan tersebut akan dianggap sebagai “menentang” PMRAM.

Maka setiap aktiviti haruslah mendapat perkenan PMRAM terlebih dahulu.Untuk megukuhkan lagi survival PMRAM,Badan Pengurus angkat akan berfungsi kearah itu agar BAKAN dapat dipantau melaluinya.

MENANG TANPA BERTANDING

Satu budaya kurang sihat dalam PMRAM ialah,tiada pertandingan dalam jawatan kepimpinan PMRAM.Ini adalah kerana semua BAKAN akan walak dengan mana-mana individu yang bakal diajukan oleh mereka untuk diangkat sebagai pemimpin.Bahkan BAKAN sendiri bertindak menghantar “bekas exco” atau “exco” mereka sebagai duta BAKAN kepada PMRAM untuk diasuh sebagai pemimpin PMRAM.

Beberapa exco PMRAM,dari satu sesi,akan dikekalkan bagi memastikan PMRAM tidak terkeluar dari landasan asal dan acuan lama agar kekal di takuk lama.

Gaya kepimpinan sebegini tidak mendatangkan dan langsung tidak akan menghasilkan sesuatu yang positif kerana kepimpinan itu bukan datang dari suara ramai,akan tetapi ianya datang dari “semangat” luaran yang akan membantutkan transformasi dan penambah baikkan seiring dengan kehendak semasa.

Jika PMRAM menafikan perkara ini,dengan berani saya katakan bahawa PMRAM tidak diminati oleh mahasiswa terbanyak.Hanya segelentir sahaja dari kalangan mereka yang menjawat jawatan exco dan yang dipertua BAKAN sahaja yang minat meneruskan survival PMRAM dengan menghantar nama-nama tertentu ketika penamaan calon dibuka saban tahun.

Corak pentadbiran ala DIKTATOR ini,sudah tentu kurang diminati oleh mahasiswa yang berfikiran jauh dan terbuka.Hanya segelintir sahaja yang akan memberikan sokongan padu.

ISU YANG DIBANGKITKAN

Para perwakilan yang hadir lebih bertindak sebagai penyoal.Kepimpinan PMRAM bertindak sebagai PENJAWAB SOALAN.Ini adalah satu mesyuarat agong yang aneh seolah-olah ianya adalah majlis soal jawab antara badan pengurus dengan ahli terpilih.Saya tidak mahu mempersoalkan gaya mesyuarat agong mereka,barangkali mereka ada alasan konkrit berbuat demikian.

Isu yang dibangkitkan adalah amat penting untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin menerima kritikan dan menyelesaikan masalah.Apa yang saya lihat,soalan yang dibangkitkan kurang berkualiti dan inilah nilai sebenar mahasiswa Malaysia di Mesir.

Hubungan antara PMRAM dan KEDUTAAN serta Malaysian Student Department (MSD) menjadi persoalan hangat dari banyak perkwakilan.Soalan demi soalan yang sama maksudnya diajukan dengan individu yang berlainan.Presiden PMRAM (sekarang mantan) hanya menjawab dengan gaya “lepas tangan atau cuci tangan”.

Seorang perwakilan bertanya, “apakah hubungan PMRAM dengan KEDUTAAN serta MSD?” jawab sang ketua, “kita telah mengadakan banyak program dengan usaha sama antaranya majlis sambutan hari raya aidilfitri”.

Ada juga perwakilan yang bertanya, “apakah maukif (pendirian) PMRAM terhadap program-program anjuran KEDUTAAN dan MSD?” jawab orang tertinggi mereka “kita serah kepada kebijaksanaan ahli”.Saya ingin bertanya,apakah jawaban tersebut betul dengan soalan yang diberikan atau ianya sekadar “cuci tangan” atau “lepas tangan”? Inilah topeng sebenar PMRAM.Bertalu-talu soalan yang sama diajukan dan telinga saya mendengar soalan yang sama dan jawaban yang sama cuma ada yang agak bijak dengan memberikan sedikit penambahan.

Tugas pemimpin adalah memimpin ahli dan memberikan tunjuk ajar.Jika mereka tidak diberikan tunjuk ajar yang betul,apa guna duduk sebagai pemimpin atau PMRAM lebih selesa ahlinya tidak memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada entiti selain PMRAM?

PMRAM cuba bertindak sebagai sebuah KERAJAAN apabila bertindak menubuhkan HISBAH.HISBAH adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud PENGUATKUASAAN.Dalam ilmu siasah,tiga unit utama dalam pentadbiran undang-undang Islam iaitu TASYRIK (penggubalan undang-undang),HISBAH (penguatkuasaan) dan QHADO’ (penghakiman).Ketiga-tiga unit ini saling membantu antara satu unit dengan unit yang lain.

Hari ini,TASYRIK dibentuk dengan kewujudan PARLIMEN yang dahulunya ditentukan oleh ijtihad atau pentafsiran IMAM atau KHALIFAH berdasarkan sesuatu dalil dan sumber hukum dalam menetapkan sesuatu undang-undang yang ditetapkan.

Setelah itu,HISBAH akan bertindak sebagai penguatkuasa undang-undang yang dibuat bagi memastikan rakyat terbanyak mentaati arahan undang-undang tesebut.Hari ini,pelaksanaan tersebut dilakukan oleh pihak keselamatan seperti polis,penguatkuasa Pihak berkuasa tempatan,pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam sinonim “pencegah maksiat” dan lain-lain lagi.

Manakala QHADO’ pula dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman kepada mereka yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.Hari ini peranan tersebut diambil oleh mahkamah.

Nah,apakah HISBAH itu wajar diwujudkan? Jika PMRAM masih mahu mengekalkan penggunaan nama HISBAH,saya cadangkan,wujudkan juga PARLIMEN PMRAM dan MAHKAMAH PMRAM!!!! Jika benar HISBAH ditubuhkan untuk mencegah kemungkaran,sila gunakan nama lain selain HISBAH seperti “pencegah maksiat” atau yang selayaknya dengan tugas mereka.

Berdasarkan kenyataan sorang perwakilan,PMRAM menyatakan bahawa polis Mesir telah memberikan keizinan untuk mewujudkan HISBAH sambil bertanya bilakah kad kuasa akan dikeluarkan!!! Sekali lagi,saya minta pihak keselamatan Di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah menyiasat perkara ini dan memanjangkan perkara ini kepada pihak POLIS Mesir.

Berbalik soal hubungan PMRAM dengan KEDUTAAN,kenapa ada pihak mahu memberikan soalan yang sedemikian rupa.Ianya tidak lain hanya memperlihatkan betapa mahasiswa AL AZHAR cetek pengetahuan terhadap pengetahuan AM.Kedutaan tetap sebuah entiti yang berfungsi sebagai wakil kerajaan di luar Negara.PMRAM ikitiraf kedutaan atau sebaliknya,ianya tidak sedikit pun akan mengganggu gugat KEDUTAAN.

PPMI atau persatuan pelajar mahasiswa Indonesia sama tarafnya seperti PMRAM bernaung di bawah kerajaan Mesir dan bertaraf NGO,namun,bezanya adalah PPMI berdaftar dengan Kedutaan Besar Indonesia di Mesir.Semasa tinggal di kolej penginapan antarangsa Bu’uth,sebuah kolej penginapan mahasiswa AL AZHAR,saya ada nyatakan kepada beberapa pimpinan PPMI lagak PMRAM yang berdegil enggan berdaftar dengan kedutaan,mereka (ppmi) melahirkan kehairanan dan berkata “mengapa sih,,,,begitu???” jangan kata anda yang hairan,saya dan kebanyakkan mahasiswa terbanyak,hairan memikirkannya.

Satu sahaja saranan saya kepada ahli PMRAM yang mendaftar secara sukarela dan kepimpinan mereka,anda harus kekal dengan pengakuan slogan anda “kita PMRAM” dan jangan sekali-kali malu mengaku anda PMRAM justeru jujurlah dalam mengisi borang keselamatan apabila bekerja kelak,nyatakan dalam borang tersebut apabila sampai soalan “adakah anda pernah menyertai persatuan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia ketika berada di luar Negara?” jawab dengan mata pena anda dan jujur dengan jawapan “YA”.Jika anda berani menyokong persatuan yang tidak berdaftar dengan wakil kerajaan di luar Negara,mengapa apabila pulang,takut mengisi jawapan tersebut? Lagi baik,apabila pulang ke Malaysia kelak,sila bekerja sendiri dan jangan bekerja dengan kerajaan kerana anda tidak mahu duduk dengan wakil kerajaan di luar Negara mengapa pula apabila pulang bertukar angin? Adakah anda bermaruah apabila menjilat ludah sendiri? fikir-fikirkan…..

Ahad, 22 Mac 2009

HUKUM PEMINDAHAN ORGAN DENGAN TANPA IZIN TERHADAP BANDUAN AKHIR



Assalamualaikum,

Para Blogger yang dihormati sekalian,

Ilmu fekah sentiasa berkembang seiring dengan peredaran zaman.Setiap apa yang berlaku di sekitar kita tidak terlepas dari perhatian Islam yang sememangnya disyariatkan untuk menyelesaikan masalah manusia dan memandu manusia ke jalan kebenaran.Ulama pula berfungsi sebagai golongan yang sentiasa memberikan penjelasan dan perantara untuk menyelesaikan masalah umat sesuai dengan kewibawaan dan ilmu mereka.Isu yang berlaku di Mesir baru-baru ini amat menarik untuk saya ulas kali ini berdasarkan pembacaan akhbar harian di Mesir yang menjadi bacaan saya.

KEPUTUSAN MAHKAMAH KAFR EL SYEIKH

Salah sebuah mahkamah jenayah di Mesir,di bandar Kafr El Syeikh telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepuluh penjenayah yang didapati bersalah menculik dan merogol seorang wanita secara bergilir-gilir dengan ancaman bersenjata.

Akhbar Al Ahram melaporkan,mahkamah tersebut telah mencatatkan satu detik bersejarah dimana sebelum ini,tiada satu pun kes hukuman mati dijatuhkan oleh mahkamah berkenaan.

Dalam satu kejadian pada bulan Januari tahun 2006,seorang wanita yang merupakan isteri seorang suami telah diculik oleh sekumpulan lelaki dan dilarikan dengan menggunakan sebuah van pengangkutan awam (makrobus).

Punca kejadian dipercayai adalah kerana suami wanita berkenaan pernah menolak pinangan salah seorang tertuduh untuk mengahwini adik perempuannya.Akibat dendam yang terbuku di hati tertuduh mendorongnya bersama rakan-rakan yang lain untuk membalas dendam dengan menculik dan merogol isteri lelaki berkenaan bahkan semasa dirogol secara bergilir-gilir,lelaki yang merupakan tertuduh utama telah menghubungi suami mangsa untuk datang ke tempat kejadian dan melihat sendiri adegan rogol secara bergilir-gilir tersebut.

Walau bagaimana pun,pihak keselamatan Mesir berjaya mengepung dan menangkap mereka setelah berbalas tembakan.Setelah lebih tiga tahun tragedi berkenaan,pada 4 Mac 2009,setelah mendapat persetujuan dari MUFTI NEGARA REPUBLIK ARAB MESIR,mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati keatas semua tertuduh dan mereka didapati bersalah atas tuduhan menculik dan merogol secara bergilir dengan ancaman bersenjata.


SYEIKH Al AZHAR KELUAR FATWA

Al Azhar adalah merupakan sebuah institusi yang menjaga kesucian Islam dan kemaslahatan umat Islam dan peranannya tidak terbatas di Mesir, bahkan di seluruh dunia.Justeru,keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah jenayah tersebut mendapat perhatian ulama Mesir yang memegang jawatan tertinggi dalam institusi Al Azhar sebagai Syeikh Al Azhar.

Al Imam Al Akbar,Dr Muhammad Said Tantawi,Syeikhul Azhar telah mengeluarkan fatwa bahawa organ pesalah yang dijatuhi hukuman mati kerana jenayah bunuh dengan sengaja dan cabul kehormatan,boleh dimanfaatkan secara perubatan seperti pemindahan organ atau replantasi (menanam semula) anggota badan kepada orang lain tanpa disyaratkan mendapat persetujuan dari mereka seperti kebiasaannya.

Akhbar Al Ahram menyiarkan fatwa tersebut pada 12 Mac yang lalu beberapa hari setelah hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.Walau bagaimana pun,beliau menegaskan bahawa jual beli terhadap organ dalaman dan anggota tubuh badan manusia adalah HARAM walau dalam apa keadaan sekali pun.

Menurut Syeikh Al Azhar lagi,pesalah yang dijatuhi hukuman mati tidak mempunyai hak (wilayah) yang diiktiraf dalam Islam terhadap dirinya.Pemindahan organ yang dilakukan tersebut adalah kerana untuk menyelamatkan nyawa pesakit dengan tanpa sebarang pampasan atau persetujuan dari ahli keluarga mereka.

Perkara tersebut diulas oleh beliau dalam persidangan ke 13 Akademi Pengkajian Islam yang diadakan bagi membincangkan isu pemindahan organ dan replantasi (menanam semula) anggota badan.Antara mereka yang hadir dan mengambil bahagian adalah Prof Dr Yusof Al Qardhawi,presiden kesatuan ulama sedunia,Prof Dr Nasir Farid Wasil,bekas Mufti Mesir,Dr Hamdi Zakzuk,Menteri Wakaf Mesir dan Prof Dr Ahmad Taib,bekas pemangku Mufti Mesir dan Rektor Universiti Al Azhar Al Syarif.

Persidangan tersebut telah memutuskan bahawa menderma organ,memindahnya dan replantasi (menanam semula) anggota badan kepada orang lain adalah HARUS disisi syarak dengan menjaga beberapa prinsip tertentu.

Organ yang hendak dipindahkan adalah organ yang tidak membahayakan nyawa pemberi atau penderma seperti jantung.Ianya adalah merupakan antara prinsip yang perlu dijaga dalam pemindahan organ.

Selain itu,tujuan utama berbuat demikian adalah kerana keadaan yang terdesak (darurat) atau kerana keperluan rawatan yang menjadikan ianya keperluan yang teramat sangat.Ianya berdasarkan kaedah fekah yang berbunyi “Darurat (keadaan yang terdesak) membolehkan perkara yang terlarang” dan kaedah fekah yang berbunyi “kehendak (hajat) terhadap sesuatu menduduki tempat keperluan (darurat)”.

Justeru,Islam amat menganjurkan umatnya bersikap tolong menolong sesama muslim dan berkorban untuk saudara seagama.Namun haruslah dipastikan bahawa penderma yang masih hidup yang mahu mendermakan organnya tidak menghadapi sebarang risiko yang boleh membahayakan dirinya sendiri terhadap tindakannya itu.Perkara tersebut hendaklah disahkan oleh para doktor perubatan yang diiktiraf.Ini adalah kerana memastikan tubuh badan terus dalam keadaan sihat dan menjaga maslahah diri seseorang itu lebih utama dan merupakan salah satu dari makasid syariah (tujuan atau maksud pensyariatan Islam) yang harus dijaga oleh setiap individu.

Pendermaan organ ini haruslah mendapat izin dari individu terbabit atau telah diwasiatkan oleh penderma jika yang mendermakan organ tersebut telah meninggal dunia,melainkan dalam kes pesalah hukuman gantung sampai mati seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Jika yang meniggal dunia itu kanak-kanak atau mereka yang belum sampai umur akil baligh, ibu bapa atau penjaga hendaklah memberikan keizinan terlebih dahulu.Seorang yang meninggal dunia dan identitinya tidak diketahui setelah dilakukan proses yang berkaitan,maka,hakim boleh memberikan keizinan.

KESIMPULAN

Di Negara kita,hukuman gantung sampai mati kebiasaanya yang dipaparkan oleh akhbar adalah terhadap penjenayah yang terbabit dalam kes bunuh dan pengedaran dadah.Jika dalam kes bunuh,jelas,ianya juga selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Al Azhar.namun, bagaimana agaknya dengan kes penjenayah yang mati ditali gantung akibat pengedaran dadah?

Kempen menderma organ seringkali kelihatan di kaca televisyen di malaysia.Namun adalah diharapkan prinsip-prinsip dalam proses berkenaan hendaklah dipelihara dan dipastikan ianya dipatuhi sesuai dengan persidangan ke 13 akademi pengkajian Islam Al Azhar.Bukan sahaja di Mesir,di Malaysia dan dimana sahaja Negara umat Islam,prinsip yang diputuskan oleh persidangan tersebut amat sesuai untuk diguna pakai.Kredebiliti ahli-ahli persidangan yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai sandaran akademik yang jelas juga jasa mereka di peringkat antarabangsa dalam menyelesaikan sebahagian isu umat Islam seluruh dunia harus dihargai bersama.

Selasa, 10 Mac 2009

BAHASA JIWA BANGSA




Assalamualaikum,

Para Blogger sekalian,

Peghujung tahun 2007,YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuat kunjungan ke Mesir. Selain bertemu pimpinan Negara Republik Arab Mesir,beliau bertemu mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di pelbagai Universiti di sini.

Dalam perjumpaan tersebut,saya telah mengutarakan beberapa soalan,antaranya isu PPSMI,proses pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.YAB Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa isu tersebut akan beliau selesaikan dan kajian sedang dilaksanakan.

Saya telah menyatakan kepada beliau,betapa bahasa ibunda harus dimartabatkan sebagai bahasa penghantar utama dalam dua matapelajaran tersebut selain bahasa ilmu yang lain.Secara peribadi saya tidak setuju dengan PPSMI kerana orang yang datang dari keluarga yang berpendapatan sederhana seperti saya telah merasai susahnya untuk menguasai bahasa kedua tersebut.

Walaupun datang dari Bandar,namun,jika ingin menguasai bahasa tersebut seawal di peringkat sekolah rendah dan menengah, setelah selesai proses pengajian di sekolah,pelajar harus mendapat pengajian susulan seperti tuisyen jika ibu dan bapa tidak mampu mengajar subjek tersebut kepada anak mereka.Cemburu saya melihat rakan-rakan sekelas berbahasa Inggeris dan dapat mengikuti kelas tuisyen di sekitar Bandar Batu Pahat.Saya dari keluarga yang berpendapatan sederhana.Tidak mampu ke kelas tuisyen walaupun minat ke sana.Guru yang mengajar subjek penting berkenaan adalah berbangsa cina.Aduss….pening saya…dari awal hingga akhir waktu beliau berbahasa Inggeris dan saya tak faham sepenuhnya.Latihan,saya buat.karangan,Masyaallah,saya tak reti.Di Kelas,pasti saya dihukum.Namun,saya menjerit dalam hati kecil… “Cikgu…saya tak faham apa yang cikgu ajar!!!!!”

Kamus,ohh…saya pinjam dari kawan saya.Tapi hanya di sekolah,bila pulang ke rumah,takut minta ibu bapa (angkat) duit untuk beli kamus,jauh sekali untuk minta hantar ke pusat tuisyen.Alangkan duit sekolah,kadang-kadang tak dapat,kalau dapat pun,adalah barang 50 sen yang hanya boleh saya beli air sirap di kantin.Itulah sebahagian cerita “sederhana”nya hidup orang yang menumpang kasih.Kenangan di sekolah menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar (1993-1996) tidak pernah saya lupakan.

Hari ini,bermula tahun 2003,matapelajaran Sains dan Matematik,diajar dalam bahasa kedua itu.Saya tidak dapat bayangkan pelajar yang senasib seperti saya hari itu di waktu ini,bagaimana mereka? Itu di Bandar.Jika di pedalaman dan di luar Bandar? Saya yakin,ada ramai mereka senasib dan barang kali lebih teruk dari saya.

Tahun 2008,saya pulang ke Malaysia sebagai graduan dan bertugas sebagai guru KGSK di dua buah sekolah Rendah,Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam dan Sekolah Kebangsaan Montfort di Batu Pahat.

Semasa di sekolah Tengku Mariam,saya dekati guru-guru sains dan Matematik.ada yang pro,banyak yang kontra.Namun,sebagai guru,kita adalah pelaksana dasar dan jika keberatan sekali pun,kita teruskan juga menjalankan amanah yang besar ini demi anak bangsa.Kebanyakkan guru berpendapat,pengajaran subjek Bahasa Inggeris sepatutnya diperbaiki dan diperkasa dengan teknik yang berkesan dan pendekatan yang menarik dan bukan dengan menjadikan subjek matematik dan sains diajar dalam bahasa inggeris.Itu pendapat mereka,saya hanya berkongsi dan bertukar pendapat bersama mereka.

Di Sekolah Montfort pula,saya melihat suasana yang sama.Namun,gelagat seorang guru yang bernama cikgu Kambali begitu mencuit hati saya.Agak berumur,sekitar 50 an.Guru lama yang hampir bersara. Guru muzik ini,berbadan kecil tapi agak besar semangatnya.Saya selalu dengar bunyi keyboard yang beliau mainkan.

Sesekali,saya datang ke bilik beliau untuk belajar bermain alat berkenaan.Namun setelah saya dapati diri ini agak sukar untuk mengingati not-not yang diajarkan,saya mula rasa bosan untuk belajar.

Satu hari,cikgu Kambali diminta oleh guru penolong kanan (GPK) untuk memainkan lagu “bahasa jiwa bangsa” sebagai pengisian dalam satu persembahan yang bakal diadakan.Beliau diminta untuk membantu persembahan tersebut.Namun,dengan berani,beliau menolak.

Saya sempat menyaksikan aksi beliau menolak tawaran tersebut dengan berhujah.Namun,sebagai guru ganti,tak wajar untuk saya masuk campur.Peristiwa itu saya saksikan di hadapan bilik guru.Satu hari yang lain,saya tanya beliau,mengapa beliau berani tolak tawaran berkenaan dan arahan tersebut adalah dari GPK? Beliau dengan bersahaja menjawab lagu tersebut kurang sesuai dinyanyikan sekarang kerana “bahasa jiwa bangsa” tidak lagi dijiwai.Alasan beliau,lihat sahaja sains dan matemaik,adakah benar bahasa jiwa bangsa.Keras benar cikgu Kambali ini.

Satu sahaja soalan yang saya tidak Tanya kepada beliau saat itu, cikgu sokong KERAJAAN atau PEMBANGKANG? Bagi saya kita tidak harus berprasangka dan tidak semestinya yang tidak setuju itu dari penyokong pembangkang dan begitu juga sebaliknya.

Sahabat blogger sekalian,Sebagai mahasiswa kita boleh berfikir secara kreatif dan kritis tapi tidak harus mengikut acuan pembangkang dalam mengutarakan sesuatu yang tidak disetujui.Antaranya,budaya salah menyalahkan orang lain dan maki sana,hamun sini.Jika benar kita tidak sependapat,bersuara dengan acuan tersendiri dengan sopan dan santun.Saya yakin,kita dihormati.

Sahabat-sahabat mahasiswa – mahasiswi sekalian,ayuh,fikir-fikirkan….

Selasa, 3 Mac 2009

CERAMAH POLITIK MEMBENCI LEBIH MENDAPAT TEMPAT DI HATI MAHASISWA !!!!

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Para Blogger sekalian,

Telah menjadi rutin umat Islam saban tahun,bulan rabiul awal,diadakan majlis memperingati ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.Majlis ceramah agama,marhaban,membaca burdah,berzanji antara pengisian penting sambutan.Maulidurrasul disambut dengan penuh meriah dengan pelbagai cara yang berbeza di seluruh dunia Islam.

Semasa di tahun pertama pengajian saya di Universiti Al Azhar,saya melihat kedai-kedai yang menjual manisan mendirikan khemah dan pelbagai manisan diperagakan dengan bentuk yang cukup menarik.

Hati ini bertanya,apakah gerangannya kedai-kedai ini membuat kelainan? Apakah itu tanda musim sambutan kemerdekaan Negara Mesir atau ada satu sambutan perayaan tertentu.Di Mesir kemerdekaan bagi mereka adalah kemenangan menawan semula semenanjung Sinai dan turunnya Raja Faruk dari takhta pemerintahan.Saat itu,tarikh ulang tahun memperingati kedua-dua peristiwa tersebut belum sampai.Nah,apakah sebenarnya yang berlaku?

Rupa-rupanya,setiap bulan rabiul awal,pasti kedai-kedai manisan ini dihiaskan dengan pelbagai hiasan manisan yang menarik untuk dijual kepada pelanggan untuk dijadikan hadiah kepada sesama masyarakat Arab Mesir tanda melahirkan kegembiraan mereka terhadap sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Kagum saya melihat betapa masyarakat arab Mesir ini menyambut maulidurrasul sehingga menjadi satu budaya sesama mereka.Jangan lupa,memberikan “manisan” adalah tanda masyarakat arab bergembira terhadap sesuatu.

Bulan MAC tahun lepas,kita sibuk membicarakan isu politik tanah air.Apa tidaknya, pilihanraya ke 12 berlangsung di Malaysia waktu itu.Ingat lagikah kita tarikh 8 Mac 2008? Yer…satu tarikh yang menggembirakan sebahagian pihak dan tidak kurang juga mendukacitakan sebahagian yang lain.

Bagi mahasiswa Malaysia di Mesir,ingat lagikah anda dua minggu selepas tarikh tersebut? Kedatangan USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN.Dataran hayyu asyir menjadi saksi perhimpunan mahasiswa Mesir untuk mendengar ucapan semangat MAULIDURRASUL yang akan di sampaikan oleh tokoh berkenaan.

Saya sendiri hadir pada ketika itu.Agak malang,majlis tersebut bertukar menjadi medan politik membenci.kepada Ustaz Tuan Ibrahim,manakah 16 September yang anda canangkan dahulu? Sempena maulidurrasul,dengan menggunakan nama semangat maulidurrasul pentas agama di rosakkan dengan politik adu domba dan memecahkan perpaduan mahasiswa yang sememangnya sudah berpecah dan malam itu semboyan perpecahan yang lebih ketara dilaungkan lagi.Betambah parahlah nasib mahasiswa Malaysia di Mesir.

Setelah hampir setahun berlalu,dataran hayyu asyir menjadi saksi sekali lagi pertemuan untuk majlis sambutan maulidurrasul.Namun,kali ini,penceramahnya adalah merupakan tokoh pendidik dan bukan orang politik yang menusukkan jarum kebencian.

Kagum saya mendengar cermah yang disampaikan oleh para penceramah.Syeikh Dr Yusri memberikan input yang sungguh bermakna kepada hadirin.Beliau memberikan penghayatan maulidurrasul dari aspek kerohanian.Sangkaan saya,beliau pensyarah atau professor kanan di fakulti pengajian Islam di Al Azhar,rupa-rupanya beliau seorang DOKTOR PERUBATAN yang telah mendalami ilmu agama dengan bersanad.

Amat mendukacitakan,apabila saya dapati,bilangan hadirin yang hadir tidak seramai ceramah politik.Permaidani yang dihampar,muat diduduki oleh mahasiswa-mahaisiswi .Hanya ada segelintir di restoran selangor dan beberapa orang termasuk saya berdiri di sudut belakang hadirin.

Jika ceramah politik,pasti,dataran hayyu asyir penuh di segenap ruang.Penceramah pula bukan berceramah diatas dataran, bahkan ruang legar ASRAMA KEDAH,menjadi pentas penceramah.Melimpah ruah hadirin yang hadir memenuhi ruang sampai yang berdiri dibelakang pun ber “saf-saf”.

Majlis ceramah maulidurrasul kali ini jauh berbeza.Iklan pula,diiklankan secara langsung melalui www.pmram.org dan tiada downline-downline bergerak secara senyap.Semua secara terang-terangan dari segenap lapisan pimpinan persatuan.Dimanakah van-van yang biasanya tersadai semasa ceramah politik? Kemanakah bilangan hadirin yang berduyun-duyun itu? Kemanakah hujjah “nak dengar Islam” dan “nak dengar dakwah islamiah”? Barangkali penceramah PAS jauh lebih ISLAM dan HEBAT berbanding orang lain di mata mereka.Inilah namanya TAKSUB!!!

Terang lagi tersuluh,mahasiswa Malaysia di Mesir lebih meminati ceramah politik berbanding ceramah agama.Tahniah parti PAS!!! Agenda anda untuk merosakkan golongan agamawan dari Mesir telah berjaya.Tidak hairanlah jika hari ini lepasan Al Azhar lesu dan longlai.Mereka tenggelam di arus melinium ini.Dimanakah lepasan tahun 90 an? Jauh lebih hebat lepasan Al Azhar era 60 an bahkan 80 an juga tidak kurangnya.

Ayuh mahasiswa Malaysia di Mesir,sedarlah dan insaflah akan keberadaan kita di Mesir.Menuntut ilmu adalah tanggungjawab kita bukan memenuhi ruang politik membenci.Kembalikan kegemilangan kita.Pecahkan tembok ketaksuban terhadap mana-mana parti dan kumpulan.Sering saya ulang,bersama-sama kita hayati metod kederhanaan Islam yang diajarkan oleh Al Azhar kepada kita.

Bersuara untuk perubahan.Belum terlambat untuk sedar.Berubahlah……sekarang adalah masa untuk melaungkan perubahan.Seluruh mahasiswa harus membawa angin perubahan jika ingin melihat kegemilangan kita berulang kembali.Sesungguhnya,tugas dan tanggungjawab kita di MALAYSIA cukup berat.Cabaran besar menanti kita.Segala-galanya harus bermula dengan PERUBAHAN!!!!