Isnin, 22 September 2008

REALITI SEMASA PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA







Setelah berkecimpung dalam dunia pendidikan sebagai guru KGSK sinonim “guru ganti” di dua buah sekolah kebangsaan dalam masa yang singkat selepas bergelar graduan syariah dari Universiti Al Azhar yang bercita-cita tinggi terhadap agama,bangsa dan Negara,tidak salah jika saya membuat beberapa kesimpulan dan rumusan dalam entri kali ini terhadap isu pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah.Kepada para pembaca,adalah diharapkan anda dapat mengganggu saya dengan komentar.

Sukatan matapelajaran pendidikan Islam di sekolah kebangsaan hari ini,jauh berbeza jika dibandingkan dengan empat tahun lepas dan sebelumnya.Jika sebelum tahun 2005,Pendidikan Islam di sekolah rendah hanya merupakan satu subjek sampingan yang kurang diberi perhatian.Proses pembelajaran hanya sekadar memberikan input rohani yang ringkas dengan tanpa penekanan aspek-aspek yang paling penting dalam kehidupan seseorang yang beragama Islam iaitu penekanan terhadap kemahiran membaca Al Quran dan asas-asasnya seperti tulisan jawi walaupun tidak dinafikan penekanan awal terhadap perkara-perkara yang membabitkan fardhu ain telah wujud dan diperkasakan.Maka dapatlah dilihat implikasinya hari ini di depan mata kita,sebuah generasi yang buta Al Quran.

Pada tahun 2005 j-QAF diperkenalkan.j-QAF adalah akronim bagi Jawi,Al Quran,Bahasa Arab dan Fardhu Ain.DI bawah program ini,bermula darjah satu,di sekolah terpilih,j-QAF dilaksanakan dengan pengambilan guru-guru khas yang berkelulusan Ijazah sarjana muda dari institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar Negara yang diiktiraf oleh kerajaan.Mereka memainkan peranan sebagai pelaksana dasar ini.

Jawi,mula diperkenalkan semula setelah dihentikan sejak beberapa lama.sejak dari tahun tersebut,anak-anak orang Islam telah mula diperkenalkan semula dengan huruf-huruf jawi yang mana, kebanyakkan hurufnya adalah huruf hijaiyyah bahasa arab dan merupakan asas untuk melahirkan generasi celik Al Quran.

Al Quran pula mula diajarkan dengan teknik yang berkesan dalam waktu rasmi pembelajaran.Proses pembelajarannya bermula seawall darjah satu dengan teknik mengenal huruf Al Quran dan baris-baris serta tanda-tandanya yang asas dengan menggunakan teknik IQRA.Seterusnya,bermula dari darjah dua,pelajar akan mula mempelajari bacaan ayat suci al quran secara musyafahah dan talaqi bermula dari surah Al Baqarah.Tiga orang guru dikerahkan untuk menjalankan proses pengajarannya dalam satu-satu masa dengan membentuk tiga kumpulan berasingan dimana setiap kumpulan terdiri daripada sepuluh orang pelajar dan dikendalikan oleh seorang guru.

Secara tidak sengaja,ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam,guru besar telah mengarahkan saya untuk menghadiri mesyuarat teknikal j-QAF di peringkat daerah mengikut zon bersama penolong Pegawai Pendidikan Daerah yang mana sepatutnya dihadiri oleh guru panitia pendidikan Islam.Dalam mesyuarat tersebut,saya dapat mendengar sendiri beberapa masalah berkaitan pelaksanaan j-QAF.

Namun,perkara yang paling menyentuh perasaan adalah ketika beliau menjelaskan kepada hadirin bahawa j-QAF mempunyai matlamat murni yang mana program tersebut mensasarkan kebolehan pelajar membaca Al Quran dan mengkhatamkannya setelah berada di darjah enam.

Bahasa Arab pula telah diperkenalkan dengan modul pembelajaran bahasa arab komunikasi sebagai pengenalan kepada para pelajar terhadap bahasa Al Quran.Bahasa Arab adalah merupakan bahasa rasmi agama Islam dan untuk menjadikan seseorang muslim itu memahami lebih mendalam lagi khazanah ilmu-ilmu Islam,maka bahasa arab adalah merupakan kunci utama.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa asas bahasa arab komunikasi yang diajarkan tidak memadai untuk sampai ke tahap tersebut,namun,ianya boleh menjadi pemangkin dan langkah awal bagi menanam minat dalam diri setiap pelajar di sekolah rendah agar kelak mendalami bahasa arab seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Agama Bantuan kerajaan (SABK) yang mengkombinasikan kurikulum akademik yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran untuk peringkat pengajian di sekolah menengah dan kurikulum dari Al Azhar.

Perkara asas fardhu ain mesti diperkenalkankepada kanak-kanak yang telah mencapai umur 10 tahun dan harus diketahui dan difahami oleh seseorang Islam yang telah baligh sehingga mampu mempraktikkannya dengan penuh keikhlasan dan rasa kehambaan terhadap sang pencipta.

Menyedari kepentingan hal tersebut, program j-QAF ini telah memperkenalkan modul yang berkesan kerah mencapai sasarannya dimana model bestari solat diperkenalkan.

Berdasarkan penerangan ringkas ini,tidak dapat diragui lagi bahawa pendidikan Islam tidak lagi diabaikan dan dikesampingkan dalam sistem pendidikan peringkat rendah.Pada tahun 2008,pelaksanaan j-QAF telah sampai ke tahun empat.Generasi pertama program j-QAF akan sampai ke tahun enam pada tahun 2010.

Persoalan saya kali ini,apakah program ini akan Berjaya? Adakah penggerak program ini yang terdiri dari guru-guru siswazah DG 41 benar-benar membantu usaha kearah menjayakannya? Apakah objektif sebenar program j-QAF? Persoalan ini akan saya jawab dalam entri seterusnya.

Isnin, 15 September 2008

ADA APA DENGAN SEKOLAH RENDAH…???

Saat saya menulis entri ini,saya sedang menjalani proses pembelajaran sebagai seorang pendidik.Sejak pulang ke tanah air pada bulan Mei lalu,saya telah ditempatkan di dua buah sekolah kebangsaan di sekitar Bandar Batu Pahat,Johor di bawah skim Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) yang sinonim dengan gelaran “guru ganti”.

Sekolah Rendah,itulah institusi pertama saya menimba ilmu mendidik masyarakat.Berjinak-jinak dengan “public speaking” yang semestinya adalah merupakan minat saya.Peluang saya untuk terlibat dengannya begitu terhad ketika berada di Republik Arab Mesir kerana sukar mendapat tempat di hati penganjur program yang terdiri dari persatuan-persatuan bersolekkan kebajikan dengan agenda “tersendiri” yang tidak sama haluan dengan pemikiran saya.

Bulan Ogos yang lalu,saya sibuk memberikan ceramah agama bertajuk “penghayatan Israk dan Mikraj” di Pusat Latihan Kem Negara (PLKN) Jalan Mersing,Kluang,Masjid Jamik Daerah Kluang , Masjid Kampung Tengah yang juga dalam daerah Kluang dan di sekolah Kebangsaan Tengku Mariam Batu Pahat.

Setelah tamat bertugas di SK Tengku Mariam,saya masih dijemput oleh pihak sekolah untuk menyampaikan sesi tazkirah jumaat yang diadakan setiap hari jumaat hingga saya ditempatkan ke Sekolah Kebangsaan Montfort.

Pendidikan,itulah bidang yang saya minat walaupun tidak dinafikan masih meminati bidang ekonomi Islam sejak di Unversiti dahulu semasa mengikuti program ijazah sarjana muda di samping minat terbaru,bidang undang-undang syariah di Malaysia.

Rakan seperjuangan saya,Ustaz Mohd Hafiz Bin Jamaluddin telah berkhidmat secara rasmi sebagai TUTOR di Fakulti Syariah dan Undang-undang,Universiti Malaya.Hampir setiap hari saya menghubungi beliau menerusi kecanggihan teknologi terkini,YAHOO MESSENGER.

Beliau juga sedang melibatkan diri dalam bidang pendidikan sebagai Tutor walaupun dalam masa yang sama bergelar “pelajar” dalam program Ijazah Sarjana (MA) di Universiti berkenaan.Tahniah buat sahabatku Hafiz,sahabat seperjuangan yang paling saya kagumi!!

Kami sering berbincang….kami bersetuju!! Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik! Seorang pendidik memikul tanggungjawab yang berat dalam membentuk generasi akan datang.

Bercakap soal generasi akan datang,ianya amat bergantung kepada pembentukan generasi hari ini. Di hadapan mata kita hari ini menyaksikan sebuah generasi yang buta Al Quran dan minat hiburan.Meminjam kata-kata Datuk Johan Jaafar,mendepani generasi STURBUCKS,itulah barangkali perkataan yang amat sesuai apabila melihat generasi muda dan remaja hari ini dengan budaya lepaknya.

Setiap rakyat Malaysia menikmati sekurang-kurangnya dua peringkat pendidikan di dua buah institusi.Insitusi pendidikan Rendah di sekolah kebangsaan dan institusi pendidikan menengah di sekolah menengah.

Bagi memastikan generasi hari ini dan akan datang terbentuk dengan jati diri Islam dan keimanan yang teguh,maka institusi pendidikan rendah perlu dipastikan menjadi pusat pendidikan awal yang berfungsi kearah itu.Persoalannya,apakah institusi berkenaan mampu menjadi pusat yang berfungsi sepenuhnya memproses generasi hari ini? Saya akan berkongsi dengan anda buah fikiran dan pendapat saya berdasarkan neraca keimanan dan fakta ilmiah dalam entri seterusnya….

Perkhidmatan saya :

1)Guru KGSK di Sekolah Kebangsaan Tengku mariam (9 jun 2008 hingga 11 Julai 2008)
2)Guru KGSK di Sekolah Kebangsaan Montfort (27 Ogos hingga sekarang)
3)Penceramah undangan sempena Israk Mikraj di Masjid di Kampung Tengah Kluang
4)Penceramah undangan sempena Israk Mikraj di Masjid Jamik daerah Kluang
5)Penceramah undangan sempena Israk Mikraj di PLKN Jalan Mersing ,daerah Kluang
6)Penceramah undangan sempena Israk Mikraj di sekolah Kebangsaan Tengku Mariam

Kursus yang telah disertai :

Kursus penulisan akhbar dan majalah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 14 Ogos 2008.

Ahad, 7 September 2008

KENAPA EZO MENYEPI ?

Setelah pulang ke tanah air pada Mei lalu,saya menghabiskan masa di beberapa buah sekolah rendah sekitar Batu Pahat Johor disamping berulang alik ke Kuala Lumpur kerana beberapa urusan.

benar,kita hanya merancang,Allah S.W.T jua yang menentukan.Kini saya benar-benar jauh dari suasana yang "zahmah" dan "fawdho",namun kerinduan terhadap suasana itu begitu mendalam.

Kini,setelah saya menjalani proses "pembelajaran" sebagai seorang pendidik yang bermula dengan pendidikan rendah di dua buah sekolah rendah,saya sedang menunggu keputusan pinjaman pelajaran dari pihak agensi kerajaan persekutuan dengan penuh debaran.

Keputusan dijangkan akan dimaklumkan oleh pihak berkenaan selewat-lewatnya pada 26 September 2008.Kepada Allah saya berserah.Segala-galanya telah termaktub di LUH MAHFUZ.

Jika diluluskan saya akan segera kembali ke sana untuk menyambung pengajian di peringkat MA dan jika gagal,saya akan aturkan PLAN "B".Apa pun yang bakal saya terima,dalam kamus hidup saya,tiada namanya "putus asa".Saya akan terus berusaha untuk memperoleh Ijazah sarjana (MA) dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah menjelang usia 35 tahun.