Isnin, 22 September 2008

REALITI SEMASA PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA







Setelah berkecimpung dalam dunia pendidikan sebagai guru KGSK sinonim “guru ganti” di dua buah sekolah kebangsaan dalam masa yang singkat selepas bergelar graduan syariah dari Universiti Al Azhar yang bercita-cita tinggi terhadap agama,bangsa dan Negara,tidak salah jika saya membuat beberapa kesimpulan dan rumusan dalam entri kali ini terhadap isu pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah.Kepada para pembaca,adalah diharapkan anda dapat mengganggu saya dengan komentar.

Sukatan matapelajaran pendidikan Islam di sekolah kebangsaan hari ini,jauh berbeza jika dibandingkan dengan empat tahun lepas dan sebelumnya.Jika sebelum tahun 2005,Pendidikan Islam di sekolah rendah hanya merupakan satu subjek sampingan yang kurang diberi perhatian.Proses pembelajaran hanya sekadar memberikan input rohani yang ringkas dengan tanpa penekanan aspek-aspek yang paling penting dalam kehidupan seseorang yang beragama Islam iaitu penekanan terhadap kemahiran membaca Al Quran dan asas-asasnya seperti tulisan jawi walaupun tidak dinafikan penekanan awal terhadap perkara-perkara yang membabitkan fardhu ain telah wujud dan diperkasakan.Maka dapatlah dilihat implikasinya hari ini di depan mata kita,sebuah generasi yang buta Al Quran.

Pada tahun 2005 j-QAF diperkenalkan.j-QAF adalah akronim bagi Jawi,Al Quran,Bahasa Arab dan Fardhu Ain.DI bawah program ini,bermula darjah satu,di sekolah terpilih,j-QAF dilaksanakan dengan pengambilan guru-guru khas yang berkelulusan Ijazah sarjana muda dari institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar Negara yang diiktiraf oleh kerajaan.Mereka memainkan peranan sebagai pelaksana dasar ini.

Jawi,mula diperkenalkan semula setelah dihentikan sejak beberapa lama.sejak dari tahun tersebut,anak-anak orang Islam telah mula diperkenalkan semula dengan huruf-huruf jawi yang mana, kebanyakkan hurufnya adalah huruf hijaiyyah bahasa arab dan merupakan asas untuk melahirkan generasi celik Al Quran.

Al Quran pula mula diajarkan dengan teknik yang berkesan dalam waktu rasmi pembelajaran.Proses pembelajarannya bermula seawall darjah satu dengan teknik mengenal huruf Al Quran dan baris-baris serta tanda-tandanya yang asas dengan menggunakan teknik IQRA.Seterusnya,bermula dari darjah dua,pelajar akan mula mempelajari bacaan ayat suci al quran secara musyafahah dan talaqi bermula dari surah Al Baqarah.Tiga orang guru dikerahkan untuk menjalankan proses pengajarannya dalam satu-satu masa dengan membentuk tiga kumpulan berasingan dimana setiap kumpulan terdiri daripada sepuluh orang pelajar dan dikendalikan oleh seorang guru.

Secara tidak sengaja,ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam,guru besar telah mengarahkan saya untuk menghadiri mesyuarat teknikal j-QAF di peringkat daerah mengikut zon bersama penolong Pegawai Pendidikan Daerah yang mana sepatutnya dihadiri oleh guru panitia pendidikan Islam.Dalam mesyuarat tersebut,saya dapat mendengar sendiri beberapa masalah berkaitan pelaksanaan j-QAF.

Namun,perkara yang paling menyentuh perasaan adalah ketika beliau menjelaskan kepada hadirin bahawa j-QAF mempunyai matlamat murni yang mana program tersebut mensasarkan kebolehan pelajar membaca Al Quran dan mengkhatamkannya setelah berada di darjah enam.

Bahasa Arab pula telah diperkenalkan dengan modul pembelajaran bahasa arab komunikasi sebagai pengenalan kepada para pelajar terhadap bahasa Al Quran.Bahasa Arab adalah merupakan bahasa rasmi agama Islam dan untuk menjadikan seseorang muslim itu memahami lebih mendalam lagi khazanah ilmu-ilmu Islam,maka bahasa arab adalah merupakan kunci utama.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa asas bahasa arab komunikasi yang diajarkan tidak memadai untuk sampai ke tahap tersebut,namun,ianya boleh menjadi pemangkin dan langkah awal bagi menanam minat dalam diri setiap pelajar di sekolah rendah agar kelak mendalami bahasa arab seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Agama Bantuan kerajaan (SABK) yang mengkombinasikan kurikulum akademik yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran untuk peringkat pengajian di sekolah menengah dan kurikulum dari Al Azhar.

Perkara asas fardhu ain mesti diperkenalkankepada kanak-kanak yang telah mencapai umur 10 tahun dan harus diketahui dan difahami oleh seseorang Islam yang telah baligh sehingga mampu mempraktikkannya dengan penuh keikhlasan dan rasa kehambaan terhadap sang pencipta.

Menyedari kepentingan hal tersebut, program j-QAF ini telah memperkenalkan modul yang berkesan kerah mencapai sasarannya dimana model bestari solat diperkenalkan.

Berdasarkan penerangan ringkas ini,tidak dapat diragui lagi bahawa pendidikan Islam tidak lagi diabaikan dan dikesampingkan dalam sistem pendidikan peringkat rendah.Pada tahun 2008,pelaksanaan j-QAF telah sampai ke tahun empat.Generasi pertama program j-QAF akan sampai ke tahun enam pada tahun 2010.

Persoalan saya kali ini,apakah program ini akan Berjaya? Adakah penggerak program ini yang terdiri dari guru-guru siswazah DG 41 benar-benar membantu usaha kearah menjayakannya? Apakah objektif sebenar program j-QAF? Persoalan ini akan saya jawab dalam entri seterusnya.

2 ulasan:

Muhammad Azli Shukri berkata...

salam. saudara mempunyai masa hadapan yang sangat cerah. penulisan dan daya fikir saudara sangat baik. dalam usia yang muda seperti saudara ini, saya percaya saudara boleh berjaya. Umur kita hanyalah 4 tahun sahaja bezanya. namun demikian, kematangan saudara telah menyerlah. saya masih ingat, ketika usia saya 24 tahun, saya sudah berani mencabar guru saya sendiri, agar jangan lagi kita bertaklid kepada ilmu barat semata2, maka lahirlah buku sulung saya Psikosemantik. Syabas saudara! salam hari raya, salam ukhwah dan saya link blog saudara ini.

Raja Marzuqi berkata...

SALAM UKHWAH...SALAM IDULFITRI...SAYA LINK BLOG SAUDARA.