Rabu, 21 November 2012

SAYA DAN KPMM (SIRI 2) : dasar penampilan korperat dan syariah bidang profesional

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger Sekalian,

1.Saat saya menulis entri kali ini, saya bukan lagi Pengerusi Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir (KPMM).Saya kini bergelar 'MANTAN' Pengerusi , yang secara lucunya, mungkin boleh dikatakan, akronim bagi MUNDAR - MANDIR TANPA JAWATAN.

2.Pada 12 November baru-baru ini, mesyuarat tahunan atau Annual Grand Meeting (AGM) telah diadakan dan saya telah membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan selaku pengerusi.

3.Pengerusi baru dilantik melalui sistem pencalonan dan undian dalam AGM berkenaan.Saudara Mohd Siddek Maiden Kutih, siswa cemerlang dari kalangan anak Johor di Mesir dari fakulti syariah,tahun tiga, Universiti Al Azhar Kaherah telah terpilih dalam pemilihan berkenaan.

4.KPMM tidak menampilkan nama mesyurat tahunan seperti persatuan-persatuan lain di Mesir yang menggunakan istilah 'Muktamar sanawi', 'mesyuarat agong tahunan' dan sebagainya kerana bagi saya KPMM perlu mempunyai satu kelainan.

5.AGM kali pertama tersebut juga merupakan sebuah kursus dan bengkel latihan kepimpinan buat saya dan AJK2 lain kerana di situlah kami diajar melaksanakan sebuah program tahunan yang juga merupakan aktiviti kemuncak sesi tersebut.Melalui tunjuk ajar dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM),barulah saya tahu fungsi dan perjalanan sebuah mesyuarat agung tahunan.

DASAR PENAMPILAN KORPERAT

6.ketika saya mempengerusikan sebuah persatuan pelajar pada tahun 2006 (ketika 1st degree), saya telah melihat penampilan negatif 'orang-orang penting' sebuah kelab yang namanya ada kaitan dengan sebuah parti di Malaysia.

7.Seolah-olah, telah menjadi trand kelab berkenaan apabila dalam kebanyakan majlis ramah mesra bersama pemimpin Malaysia, 'orang-orang penting' kelab berkenaan berpakaian yang tidak mencerminkan sebuah persatuan mahasiswa.

8.Berambut panjang, kasut sport, baju t-shirt dan berseluar jeans akan tetapi, mereka agak pandai dengan mengenakan 'kot' sebagai 'GAYA' yang boleh mengurangkan sedikit gaya 'ranggi' mereka.

9.Oleh yang demikian, saya telah menjadikan ianya pengajaran dalam kepimpinan KPMM yang lepas.

10.Saya memperkenalkan 'Dasar Penampilan Korperat' dengan mengenakan long suite pada kesemua majlis rasmi kedutaan jika KPMM dijemput.Jika penganjur menetapkan kod pakaiannya kasual, saya meminta delegasi KPMM memakai smart kasual (baju kemeja putih atau berwarna tanpa tali leher dan berkot lengkap) dan paling penting, mesti memakai kasut hitam.Saya amat tidak suka dengan kasut sport untuk dikenakan dengan long suite atau smart kasual.Bagi saya, ianya kurang sopan untuk dipakai dalam acara rasmi mahu pun dalam program berkod pakaian smart kasual.

11.Saya mampu menarik nafas puas dan lega apabila dua orang Kepimpinan KPMM yang juga terlibat dengan program anak Johor bersama YAB MENTERI BESAR JOHOR ketika Timbalan Pengerusi KPMM (sekarang pengerusi) dan Bendahari KPMM masih di Malaysia pada 26 September yang lepas.Kedua - dua mereka memakai pakaian yang saya tegaskan dalam KPMM dan ianya berkesan hingga ke dalam program bukan anjuran KPMM.

12.Penampilan sangat penting dalam sesebuah persatuan.Kerana ianya merupakan penilaian awal dan jika penampilan kurang kemas, imej awal persatuan juga akan terjejas.Apabila penampilan memuaskan, maka, pastinya, penilaian awal orang ramai positif.

13.Mesyuarat bulanan KPMM juga saya wajibkan semua AJK memakai smart kasual kerana ianya adalah program khas KPMM setiap bulan.Kalau ada yang memakai long suite, itu sangat digalakkan.

14.Ketika AGM KPMM pada 12 November baru-baru ini, saya telah meminta pengganti saya dan barisan kepimpinan baru mengekalkan 'dasar penampilan korperat' berkenaan.

TIGA SLOGAN UTAMA

15.Selain penampilan, setiap persatuan mempunyai objektif, misi dan visi.Untuk permulaaan, saya memulakan langkah memperkenalkan misi dan visi KPMM melalui tiga slogan utama.

16.Tiga slogan utama berkenaan ialah, 'SYARIAH BIDANG PROFESIONAL', 'PEGUAM PROFESION PILIHAN' dan 'MEMPERTAHANKAN ISLAM MELALUI UNDANG-UNDANG'.

17.Dengan tiga slogan tersebut, saya amat berharap, KPMM pada masa-masa akan datang, dapat memperluaskan misi dan visi KPMM dan saya juga amat berharap agar ianya dapat sampai ke akar umbi di peringkat mahasiswa syaraiah Malaysia Al Azhar di Mesir.

SYARIAH BIDANG PROFESIONAL

18.Sejak September 2006, Mesir mula dibanjiri pelajar perubatan.Hari ini, pelajar perubatan telah sampai ke tahap dominasi apabila bilangannya yang lebih banyak berbanding pengajian Islam di Mesir.

19.Bidang perubatan dilihat sebagai bidang profesional.Selain bidang engineering tergolong dalam bidang profesional, peguam dan penasihat perbankan atau panel penasihat bank juga tergolong dalam bidang profesional.

20.Lepasan syariah berpeluang memenuhi pasaran pekerjaan dalam industri perbankan Islam sebagai penasihat atau panel penasihat.Begitu juga dengan bidang guaman Syarie.Hanya graduan syariah sahaja boleh terlibat dalam guaman syarie.

21.Oleh yang demikian, sudah sampai masanya mahasiswa syariah merasakan bidang yang mereka sedang belajar ini adalah bidang profesional.

22.Walaupun begitu, tidak cukup dengan hanya mereka merasakan bidang mereka sebagai bidang profesional, akan tetapi, siswa syariah Al Azhar perlu menterjemahkannya dengan tindakan.

23.Budaya ke kuliah mesti diperkasakan oleh setiap siswa syariah.Sepatutnya, seorang siswa mesti berada di universiti dari jam 9 pagi hingga jam 3 petang (waktu rasmi kuliah setiap hari kuliah) Walaupun ada dikalangan pensyarah yang tidak menepati waktu, sebagai seorang siswa, keberadaan di universiti selama 6 jam itu boleh dimanfaatkan bersama rakan-rakan dari negara lain atau rakan-rakan dari kalangan arab untuk bersosial dan sebagainya.Paling bijak, jika kita yang bertukar-tukar nota dan membincangkan sesuatu isu bersama.Itu juga adalah proses pembelajaran secara tidak langsung.

24.Percampuran pelajar Malaysia bersama pelajar asing dan masyarakat tempatan di Mesir masih di tahap kurang memuaskan.Ini didorong oleh kewujudan rumah-rumah negeri bahkan ada sebahagian rumah negeri mempunyai KOPERASI atau KEDAI RUNCIT hingga pernah satu ketika, ada di kalangan pelajar Malaysia tidak dapat membezakan laras bahasa arab untuk SABUN MANDI atau SABUN SERBUK.Begitu juga pada satu ketika, ada situasi di mana, pelajar Malaysia diketawakan oleh masyarakat tempatan apabila bertanya sesuatu yang bukan apa yang dimaksudkan seperti bertanya 'kam kilo' dan 'bikam kilo atau kilo bikam?''.Kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza.

25.'Kam kilo' merujuk kepada kuantiti sesuatu barang yang ditanya.Sudah pastilah arab akan menjawab jumlah kilo barangan yang dipamerkan.Arab yang menjawab itu tahu, pelajar Malaysia berkenaan bertanya harga barangan tersebut, tapi apabila soalan yang dikemukakan itu salah, maka, mereka akan ketawa terlebih dahulu.Ada juga di kalangan pengusaha kedai yang terus menjawab dengan nada sinis dengan juga bertanya kepada penyoal, 'anda lihat, anggur itu berapa kilo?' .

26.Pelajar Malaysia perlu lebih lama di kuliah untuk merapatkan lagi hubungan mereka dengan masayarakat setempat.Begitu juga dengan pelajar asing lain.Tidak mustahil, apabila kita berkawan dengan pelajar asing lain, maka pada satu hari nanti, kita perlukan khidmat negara tersebut yang mana, rakan kita itu adalah somebody di negara tertentu? Sekurang-kurangnya, kita ada 'link' atau 'connection' di sana.

27.Adalah tidak wajar bagi seorang siswa, berada di bilik atau rumah masing-masing di waktu kuliah atas alasan, pensyarah tidak datang atau masuk sekejap sahaja, lantas siswa berkenaan terus pulang mencari katil di bilik atau komputer untuk berhibur lebih malang lagi, mereka kembali ke kediaman masing-masing dan hanya bersosial dengan pelajar sama negara.

28.Satu lagi budaya negatif di mesir , budaya pulang ke Malaysia ketika cuti musim panas dalam jangka waktu yang terlalu lama juga patut dibenteras.Cuti tahunan di Universiti Al Azhar sebenarnya, hampir sama dengan universiti awam lain di Mesir.Mungkin beza antara mereka, Al Azhar terlebih seminggu atau dua sahaja.

29.Umumnya, cuti musim panas bermula selepas sesuatu fakulti tersebut selesai peperiksaan semester kedua setiap tahun.Umumnya juga, pertengahan bulan Julai, semua fakulti selesai menjalani peperiksaan semester.

30.Kuliah akan dibuka semula pada pertengahan bulan setember setiap tahun.Paling lewat, akhir bulan september.

31.Jika peperiksaan semester dua selesai pada 15 Julai dan dibuka semula pada 15 September, ini bermakna, seorang siswa Al Azhar itu mendapat cuti selama DUA BULAN. Tidak cukupkah dua bulan itu untuk berehat atau pulang ke kampung halaman?

32.Sepatutnya, menjelang 14 September, siswa Al Azhar sudah kembali ke Mesir. Mungkin boleh diterima lagi jika ada pelajar yang lewat pulang hingga akhir bulan September.Akan tetapi, ramai yang mengamalkan budaya negatif dengan pulang semula ke Mesir pada bulan 10, bahkan, ada yang pulang awal bulan 11 !! Lagi teruk, ada yang pulang hujng bulan 11 atau awal bulan 12 yang mana waktu tersebut, hampir dengan peperiksaan semester pertama iaitu sebulan atau sebulan beberapa hari dan mungkin juga kurang sebulan!!

33.Adakah budaya ini sesuai? Dimanakah integriti kita selaku siswa? Dimanakah adab kita dengan guru talaqqi kita di universiti? Jika integriti kita tehadap perkara 'simple' ini terjejas, adakah kita boleh jamin, ianya tidak mempengaruhi kita di pasaran pekerjaan kelak?

34.Budaya ke kelas dari jam 9 hingga 3 dan pulang semula ke Mesir di awal sesi kuliah patut diperkasa.Masih tidak terlambat untuk diubah.Masyarakat mahasiswa Al Azhar memerlukan anjakan paradigma dan transformasi minda dan budaya besar-.besaran.Menyalahkan sistem universiti bukanlah tindakan yang bijak.Kita akan dipersoalkan oleh pihak penaja (Majlis agama, jabatan agama, yayasan negeri dan lain - lain) kewajaran memilih institusi yang mempunyai sistem yang terdedah kepada persoalan.

35.Terjemahan maksud TALAQQI juga perlu diletakkan dengan betul agar kita tidak zalim dengan kalimah berkenaan.Ada di kalangan kita yang menterjemahkan pengajian di masjid-masjid sahaja yang diterjemahkan sebagai TALAQQI.Duduk bersimpuh atau bersila di masjid, lutut bertemu lutut itu sahaja memenuhi maksud TALAQQI?

36.Hadir ke kuliah universiti juga TALAQQI kerana di sana,kita sedang mengikuti proses pertemuan antara guru dan murid.Maksud TALAQQI juga ada di sana cuma di kuliah, proses penyampaian ilmu secara besistem atau bermanhaj.Berbeza di masjid-masjid yang mana proses penyampaian ilmu secara KITAB dari satu bab ke satu bab.

37.Benar, Al Azhar tidak memberi sepenuhnya ilmu, akan tetapi memberi kunci ilmu.Sebenarnya, dari kunci-kunci ilmu itulah, kita akan berjalan jauh dan melihat keluasan ilmu.

38.Jika dua budaya yang saya sebutkan tadi dibenteras dan kefahaman maksud TALAQQI itu diperbetulkan, saya yakin, siswa syariah akan berjaya menterjemahkan syariah bidang profesional secara total.

39.Untuk itu, KPMM ketika zaman saya, cuba meletakkan slogan tersebut agar dimulakan dahulu oleh ahli-ahli KPMM yang mana skop KPMM juga terfokus hanya terhad kepada bidang syariah dan siswanya sahaja.

40.Saya yakin, kepimpinan KPMM yang baru dan seterusnya kelak akan mengekalkan slogan ini dan mengorak langkah lebih laju dari saya untuk memperkasakan misi dan visi KPMM untuk mengarus perdanakan perundangan syarie dan syariah melalui titik tolak ini.

41.Berdasarkan matlamat ini, KPMM perlu terus wujud dalam arus politik kampus mahasiswa Malaysia di Mesir.

42.Dalam entri akan datang, saya akan sambung dua slogan berbaki insyaallah.







Saya sedang berbincang sesuatu dengan pengerusi Kelab Peguam Muda Jordan (sekarang mantan).Hari ini, kami sama-sama bergelar MANTAN PENGERUSI.Saya tamat pada 12 November 2012, Iza'an Azlan (KPMJ) tamat pada 17 November 2012.




Suasana AGM KPMM pada 12 November 2012.Saya yang keempat dari kanan bersebalahan Dato Penaung KPMM, Dato Zainul Rijal Abu Bakar dan Setiausaha KPMM, saudara Faizul Najib.Saat ini, doa sedang dibacakan.Kahadiran ahli memenuhi korum dan syarat AGM.Pada AGM tersebut, saya umumkan pelepasan jawatan dan amanat terakhir.




Saya menjelaskan tiga slogan utama KPMM ketika menyampaikan ucapan alu-aluan ketika majlis perasmian EKSPO PERUNDANGAN ISLAM 2012 di dewan pusat kajian ekonomi Islam Solah Kamel, Al Azhar pada 10 Oktober 2012.



Pertemuan anak Johor bersama YAB Dato Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor pada 26 September 2012.Kelihatan jelas, Mohd Sidek Maiden Kutih, Timbalan Pengerusi KPMM(sekarang pengerusi baru KPMM sesi 2012/13), berdiri tiga dari kanan dan Muhammad Al Fateh, Bendahari KPMM, berdiri dua dari kiri terkesan dengan DASAR PENAMPILAN KORPERAT yang saya perkenalkan.

Jumaat, 9 November 2012

SAYA DAN KPMM: setahun 20 hari

Saya menyerahkan borang pendaftaran KPMM sambil disaksikan Hadi Hussin

Bergambar kenang-kenangan bersama peserta SPC 2012 di lobi parlimen

Bergambar kenang-kenangan bersama Tan Sri Speaker Dewan Negara ketika lawatan ke Dewan Negara sempena SPC 2012 di lobi parlimen
Assalamualaikum waramtullahi wabarakatuh,

Para BLogger Sekalian,

1.Tanggal 12 November 2012 ini, umur Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir (KPMM) akan genap setahun dua puluh hari.

2.Apa yang kita faham dengan manusia yang berumur sedemikian? Kita akan melihat proses pembesaran dan masih mengenali dunia.

3.Begitulah KPMM dalam politik kampus mahasiswa di Mesir.Banyak lagi yang KPMM perlu belajar dan dalam umur satu tahun dua puluh hari berkenaan adalah umur yang terlalu muda buat persatuan ini.

OBJEKTIF YANG NYATA

4.KPMM mempunyai objektif penubuhan yang jelas.Perkataan PEGUAM dalam persatuan ini menunjukkan satu profesian yang bersifat profesional.

5.Perundangan ISLAM di Malaysia memerlukan ramai pengamal perundangan.Peguam Syarie adalah pengamal perundangan ini dan untuk melahirkan ramai peguam syarie, graduan syariah di Universiti Al Azhar juga layak menjadi pengamal.

5.Perundangan Islam di Malaysia juga perlu diperluaskan dan bukan hanya terhad kepada tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda dan enam sebatan, dan bukan hanya kes nikan cerai sahaja.Perundangan  Islam perlu pergi lebih jauh dengan fokus kepada bidang muamalat.

6.Saya enggan bercakap soal hudud saat ini kerana Islam bukan hanya pada hudud.Islam lengkap dengan segala aspek kehidupan.Antara perkara yang paling penting ialah, Muamalat Maliah atau transaksi kewangan Islam kerana bidang ini melibatkan ramai umat Islam.

7.Dalam sejarah Perundangan Islam,  jual beli dan muamalat maliah atau kewangan Islam adalah fokus utama dalam misi transformasi umat berbanding hudud,bahkan,  dalil pensyariatannya juga diturunkan lebih awal berbanding hudud yang merupakan antara ayat terakhir diturunkan.

8.Untuk mecapai misi besar ini, sebuah persatuan baru yang berskala kecil dengan tumpuan kepada bidang syariah dan disasarkan terhadap mahasiswa fakulti berkenaan perlu ditubuhkan.Al Azhar adalah kiblat ilmu.Oleh yang demikian, perlu lahir banyak peguam syarie dari Al Azhar.

9.Graduan dan  Mahasiswa Syariah Al Azhar perlu melihat bidang ini sebagai bidang yang luas untuk berjuang.Kini, kita tidak lagi tertumpu hanya pada bidang perguruan, pegawai agama di majlis dan jabatan agama semata-mata.Bahkan, graduan syariah menceburi bidang profesional.

10.Dengan hasrat yang murni dan kesedaran yang tinggi, maka, KELAB PEGUAM MUDA MALAYSIA MESIR (KPMM) ditubuhkan.

IDEA PENUBUHAN KPMM

11.Sejak datang ke Mesir semula pada tahun 2008,saya adalah calon MASTER tajaan MARA.Majoriti pelajar  tajaan MARA adalah di ISKANDARIAH dalam bidang perubatan.

12.Sejak 2008 juga, saya lebih banyak menghabiskan masa di ISKANDARIAH berbanding di Kaherah kerana di sanalah tempat saya bertemu rakan2 sama tajaan yang mempunyai cara fikir yang menarik dan suasana yang lebih kondusif.

13.Pada tahun 2011, dunia melayu Malaysia digemparkan demontrasi  BERSIH 2.0 yang mendapat liputan hangat media antarabangsa termasuk di Mesir.Saya masih ingat tajuk akhbar Al Masry El youm beberapa hari selepas itu, mereka menyamakan demontrasi BERSIH 2.0 sebagai arab spring.

14.Kehangatan demontrasi tersebut merebak ke beberapa buah negara lain termasuk Mesir.Seorang pelatih melayu di jabatan latihan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir telah mengetuai demontrasi berkenaan di peringkat rakayat Malaysia di Mesir.

15.Akhirnya, perlajar berkenaan dibuang dari institusi berkenaan.Isu berkenaan mula menjadi besar dengan liputan meluas media tertentu di Malaysia.

16.Bantahan demi bantahan terhadap tindakan berkenaan yang kemuncaknya, pada 20 Julai 2011, seorang menteri kabinet telah bertandang ke Mesir mengadakan lawatan di rumah Wilayah Persekutuan di Mesir, justeru, bantahan di hadapan menteri berkenaan diadakan melibatkan ramai mahasiswa Malaysia ketika itu.

17.Pada tarikh yang sama juga, sebuah seminar literasi undang-undang dan kedaualatan Islam diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah atau nama lamanya ARMA.

18.Suasana di Mesir memang menarik jika terdapat program seumpama itu.Pada malam menjelang program bahkan, menjelang beberapa jam sahaja lagi program akan berlangsung, khabar angin bertiup kencang kononnya program berkenaan dibatalkan.

19.Sebagai orang yang agak masak dengan permainan politik mahasiswa di Mesir, saya langsung tidak mempercayai khabar angin berkenaan.Akhirnya, dengan lengkap long suit, saya melangkah ke program seminar berkenaan.

20.Program seminar berkenaan sangat berguna dan memberikan banyak input berguna kepada mahasiswa.Seminar  berkenaan telah menyedarkan saya dan hadirin lain tentang pentingnya perundangan Islam di Malaysia dan betapa graduan syariah diperlukan dalam bidang berkenaan.

21.Antara yang hadir dalam seminar tersebut ialah Amirul Amin, seorang siswa syariah tahun dua dan Hadi Hussin, juga siswa tahun dua syariah.

22.Saya telah mengutarakan soalan kepada pembentang kertas kerja seminar agar diadakan satu platform untuk mahasiswa Mesir menjalani attachment atau latihan dalam kamar ketika cuti musim panas.

23.Pembentang seminar ketika itu ialah empat orang :
1) Dato Zainul Rijal Abu Bakar (presiden PERSATUAN PEGUAM MUSLIM MALAYSIA - selepas ini disebut PPMM)
2) Tuan Haji Abd Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM)
3) Tuan Halim (setiausaha agung PPMM)
4) Tuan Roslizam (exco PPMM)

24.Akhirnya, timbul idea penubuhan Kelab Peguam Muda Mesir hasil dari perbincangan bersama dan ianya adalah idea asal Yang Berbahagia Dato Zainul Rijal Abu Bakar sendiri.Jordan telah menubuhkan kelab peguam muda Jordan lebih awal bahkan, kedatangan delegasi PPMM ke Mesir juga adalah dalam rangka lawatan selepas melancarkan kelab berkenaan di Jordan.

PROSES PENUBUHAN 

25.Hadi Hussin, seorang mahasiswa tahun dua syariah Al Azhar Tanta. Beliau saya lihat, seorang mahasiswa yang sedang mencari arah.Mencari lapangan bersosial.Mahu kelihatan mahu belajar hidup berorganisasi.

26.Beliau adalah orang yang paling kuat mendesak saya agar cita-cita menubuhkan KPMM ini menjadi realiti.Saya tidak tahu,apakah desakan beliau datang dari unsur luar atau dari beliau sendiri.Walaubagaimana pun, kesungguhan beliau amat saya kagumi.

27.Sejak beliau rapat dengan Dato Zainul Rijal, Hadi Hussin saya lihat, mula mempunyai arah dalam hala tuju pengajiannya.Beliau juga pada tahun berkenaan, lulus peperiksaan dan naik tahun seterusnya.

28.Saya tidak terburu-buru menubuhkan KPMM.Ini adalah kerana, hubungan saya dengan pelajar syariah tidak sekuat semasa zaman 1st Degree dahulu, ini adalah kerana, semasa saya memgambil MA, jumlah siswa Malaysia di peringkat post degree hanya sekitar 3 - 4 orang sahaja.

29.Walau bagaimana pun, saya banyak mengenali siswa syariah dari negeri Johor di Al Azhar.Kepada mereka, saya lontarkan isu-isu guaman syarie, skop perjuang peguam syarie dan keperluan graduannya berkecimpung dalam bidang ini.

30.Salah seorang dari kalangan mereka ialah Mohd Siddek Maiden Kutih.Berkulit gelap dari keturunan malibari itu pernah mendapat latihan secara langsung semasa belajar di sebuah IPTS di Malaysia dari Timbalan kanan pendakwa negeri Johor.

31.Minat yang ada pada beliau menyebabkan saya bertambah keyakinan, saya mampu menubuhkan KPMM di Mesir.

32.Pada bulan Ramadhan tahun berkenaan, saya telah mengerjakan umrah Ramadhan.Di sana, saya mencari ILHAM untuk menubuhkan persatuan tersebut.

33.Saya mengerjakan umrah Ramadhan ketika itu juga bersama-sama pelajar medic dari Iskandariah yang rata-ratanya dari MARA kecuali seorang dari YIK dan seorang lagi dari MINDEF.

34.Pulang dari umrah, saya nyatakan persetujuan kepada Hadi Hussin untuk menubuhkan KPMM.

35.Maka, pada 23 Oktober 2011, bertempat di Cafe Sidi Mansour (hari ini dikenali sebagai Genaro Restoran), sebuah pertemuan dengan empat mahasiswa syariah diadakan di sana.Kesemua mereka ialah :
1) Mohd Siddek Maiden Kutih 
2)Muhammad Al Fateh
3)Muhammad hafizul Najib
4)Muhammad Hasif Abu Bakar
Dan saya sendiri.

Dua orang yang penting ketika idea penubuhan diajukan tidak dapat hadir atas faktor tertentu.Walaubagaimana pun,Hadi Hussin dan Amirul Amin menyatakan persetujuan untuk menubuhkan KPMM.

36.Ketujuh-tujuh orang ini bersetuju dengan penubuhan KPMM dengan langkah pertamanya, menubuhkan Jawatankuasa Penaja.Saya dipilih mempengerusikan Jawatankuasa penajaan berkenaan.

37.Bermula tarikh berkenaan, KPMM mula lahir di Mesir dan pelbagai usaha memperkenalkan persatuan baru ini dipergiatkan ketika itu.Masyarakat mahasiswa Malaysia di Mesir umumnya, sedang dan masih memerhati program-program KPMM.

38.Dari programlah, KPMM akan mendapat ahli.Setakat ini, KPMM masih kurang mengadakan program untuk menambat hati pelajar syariah untuk terlibat dalam KPMM.

39. Setelah KPMM dilahirkan, KPMM perlu didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah persatuan yang sah di Mesir.Maka, KPMM telah didaftarkan secara rasmi pada 15 November 2011 sambil disaksikan oleh Hadi Hussin di pejabat Education Malaysia Egypt (EME) dan pendaftaran tersebut diluluskan oleh Prof Madya Dr Suaidi (Sekarang bergelar Dato'), Pengarah EME.

40.Perlantikan rasmi ahli jawatankuasa KPMM agak lewat.KPMM mempunyai AJK tertinggi hanya pada 13 Februari 2012.Walaubagaimana pun, kesemua AJK yang dilantik tersebut, telah mula mendapat jawatan masing-masing sejak sebelum tarikh berkenaan, cuma surat pelantikan secara rasmi agak lewat diberikan atas faktor tertentu.

41.Pada 12 November 2012, saya telah menerajui KPMM selama setahun dua puluh hari.Annual Grand Meeting (AGM) akan diadakan pada tarikh berkenaan dan saya akan menyerahkan jawatan saya kepada bakal pengganti yang akan dipilih dalam AGM kelak.

42.Insyaallah, dalam coretan seterusnya, saya akan catatkan dasar-dasar dan slogan-slogan yang saya perkenalkan dalam KPMM, mengapa KPMM mesti diteruskan di Mesir dan mengapa mahasiswa syariah AL AZHAR perlu mengambil bahagian dalam KPMM.