Rabu, 25 Jun 2008

MAKLUMAT HEWI PMRAM YANG SALAH

Merujuk kepada sebuah kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli jawatankuasa hal ehwal wanita Islam,Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (HEWI PMRAM) dibawah tajuk "PENERANGAN BERKENAAN ISU PEMBATALAN MoU DAN MUADALAH" yang dimuatkan dalam blog rasmi organisasi berkenaan di alamat http://hewipmram55.blogspot.com, dukacita saya nyatakan bahwa terdapat maklumat yang salah dalam kenyataan tersebut.

Saya telah pun memberikan komen di blog berkenaan,namun,sehingga hari ini,tiada sebarang maklumbalas mengenainya.Maklumat yang diberikan tersebut amat penting kerana ianya memberikan kesan terhadap pengetahuan am mahasiswa/wi mengenai institusi pengajian tinggi di Mesir,seterusnya memberikan persepsi yang salah terhadap institusi tersebut.

Saya amat terkilan dan rasanya cukup menyedihkan apabila WEB RASMI PMRAM sendiri memuatkan kenyataan yang sama.Tidak wajar bagi sebuah organisasi yang merasakan ianya sebuah entiti berwibawa,paling lama dan hebat dari pelbagai organisasi lain,"terlepas pandang" dengan sedikit maklumat yang salah dalam sebuah kenyataan penting yang dibaca oleh majoriti mahasiswa Malaysia di Mesir.

Diharap semua mahasiswa/wi di Mesir dapat memahami kedudukan universiti yang disebutkan dengan betul dan tidak menggunakan fakta salah yang dikemukakan oleh HEWI PMRAM.

Komen saya yang dihantar kepada blog berkenaan adalah seperti berikut :

Assalamualaikum,

Saudari,

mohon perbetulkan maklumat,kerana ianya adalah merupakan satu maklumat yang salah dan memberikan kesan yang besar terhadap pengetahuan mahasiswa/wi berkenaan institusi pengajian tinggi di Mesir.

Saya merujuk frasa yang berbunyi demikian dalam web HEWI PMRAM dan web rasmi PMRAM.

“Mesir :Akan menandatangani MOU dengan Jamiah Kaherah iaitu Universiti Darul Ulum.(sedikit maklumat tentang Universiti Darul Ulum : salah satu cawangan Universiti Terbuka Amerika bagi bahagian Pengajian Islam dan Bahasa Arab)”

Pertama,JAMIAH KAHERAH bukan Universiti Darul Ulum.Salah dari segi penterjemahan dan maklumat itu sendiri.Jamiah Kaherah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai CAIRO UNIVERSITY atau dalam bahasa melayu, UNIVERSITI KAHERAH.

Darul Ulum adalah merupakan FAKULTI (kuliah) sahaja dan bukannya UNIVERSITI.Ianya sama seperti sebuah fakulti di Universiti Al Azhar.Syariah,Usuluddin,Falsafah dan Bahasa Arab dikecilkan skopnya di Universiti Kaherah sebagai Jabatan (syukbah) di bawah Fakulti Darul ulum.

Kedua,UNIVERSITI KAHERAH atau seperti yang dimaksudkan dalam kenyataan sebagai universiti Darul Ulum,BUKAN salah satu cawangan Universiti Terbuka Amerika (AMERICAN OPEN UNIVERSITY @ JAMIAH AMERICAN MAFTUH).Ini adalah kerana kedua-dua universiti tersebut mempunyai status yang berlainan dan dibawah pentadbiran yang berbeza, dan erasingan justeru tiada kaitan antara satu sama yang lain.

Universiti Kaherah dibawah Kementerian Pengajian Tinggi Mesir,yang bertaraf institut pengajian tinggi awam (IPTA),yang sememangnya semua kursus yang diikuti di mana-mana fakulti dari Universiti tersebut diiktiraf oleh JPA Malaysia.

Manakala Universiti Terbuka Amerika adalah merupakan sebuah universiti swasta bertaraf IPTS. Pentadbiran Universiti Kaherah,tidak mempunyai sebarang pertalian kaitan dengan Universiti terbuka Amerika.Pengiktirafannya,masih diragui dan tidak tersenarai dalam senarai Universiti luar Negara yang diiktiraf oleh JPA Malaysia.(Untuk isu pengiktirafan tersebut,sila rujuk Puan Zarith Sufiah atau Encik Fazli Abdul Hamid di tingkat enam,Bahagian pengiktirafan ibu pejabat JPA di Putrajaya.Anda digalakkan untuk pergi sendiri ke kaunter pejabat berkenaan dan minta lihat senarai secara hitam putih,ini kerana,jawapan secara lisan yang diberikan oleh pegawai di pejabat berkenaan adalah ringkas).

Kesalahan maklumat ini amat dikesali kerana blog HEWI dan web PMRAM merupakan antara bahan rujukan isu semasa ahli PMRAM dan segelintir mahasiswa Malaysia di Mesir.
Harap Maklum,

MOHD FAIZAL BIN SABHON

((Mahasiswa program course work (tamhidi),Fakulti Dar El Ulum,Universiti Kaherah,sekarang sedang bercuti di Malaysia))

Ahad, 8 Jun 2008

PENGALAMAN DI PARLIMEN

(SAMBUNGAN DARI ENTRI SEBELUMNYA)

Setelah beberapa ketika,saya lihat,Timbalan speaker yang mempengerusikan mesyuarat dewan rakyat membaca nama rang undang-undang tersebut untuk diluluskan.Beliau hanya bertanya kepada sidang dewan dengan kata-kata lebih kurang begini, “kata setuju, kepada yang setuju”,lantas penyokong-penyokong kerajaan terus menyahut seruan tersebut dan berkata “setuju….” Pastinya pembangkang ada peranan sejajar dengan bilangan wakil mereka yang ramai kali ini,beliau bertanya kepada sidang “kepada yang tidak bersetuju,katakan tidak setuju” lantas dengan nyaring,wakil-wakil pembangkang menjawab “tidak setuju……”.Itulah proses kelulusan sesuatu rang undang-undang yang saya saksikan di dewan rakyat ketika mesyuaratnya yang berlangsung bagi penggal pertama parlimen ke 12.

Tidak lama selepas itu,saya lihat perbahasan diteruskan dengan beberapa ucapan dan pertikaian.Pengerusi mesyuarat bertukar.Kali ini YB Tan Sri Wan Junaidi yang mempengerusikan mesyuarat.

Setelah beliau mendengar beberapa ucapan perbahasan,kali ini beliau mengulangi apa yang telah dilakukan oleh rakan setugas.Kali ini lain pula jadinya.Ada wakil pembangkang mahukan dewan membuat pengundian kerana bagi mereka suara pembangkang lebih nyaring.Bagi saya yang menyaksikan,memang saya akui,suara “tidak setuju” dari wakil pembangkang amat nyaring bahkan pengerusi mesyuarat ketika itu sendiri mengakui memang suara pembangkang lebih jelas dan nyaring.

Dalam suasana itu,seorang wakil pembangkang mengambil kesempatan membangkitkan apa yang dinamakan “point of order”.Suasana dewan menjadi gamat seketika.Pengerusi mengambil kira atas “point of order” yang dibangkitkan.Maka,loceng berbunyi panjang sekali lagi.Loceng kali ini mengisyaratkan kepada semua wakil rakyat atau ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di luar dewan mesyuarat supaya kembali mengambil tempat masing-masing.

Semua wakil samaada dari kerajaan atau pembangkang,bergegas masuk ke dalam dewan. Proses pengiraan dilakukan.Setelah selesai,keputusan undian diserahkan oleh Setiausaha dewan kepada Pengerusi mesyuarat.

Keputusan dibacakan.Lebih kurang 90 lebih undi dari penyokong kerajaan manakala 60 lebih undi wakil pembangkang.Kali ini,saya benar-benar faham,bahawa kelulusan sesuatu rang undang-undang itu,tidak semestinya memerlukan sokongan atau persetujuan 2/3 dewan.Majoriti mudah adalah memadai untuk kelulusan sesuatu rang undang-undang.

Persoalannya apakah kepentingan perlunya ada majoriti 2/3 dewan? Majoriti 2/3 dewan diperlukan ketika perlembagaan hendak dipinda.Pada ketika itu,ianya amat diperlukan.Ini bermakna,kerajaan BN masih mampu meneruskan projek-projek,beberapa dasar dan rancangan yang telah diatur.

Selepas menyaksikan bagaimana sesuatu rang undang-undang itu diluluskan,Saya kembali merujuk tujuan asal kedatangan saya ke parlimen.

Saya memerhati dengan teliti dua individu yang ingin saya temui.YB Dato’ Seri Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YB Datuk Noh Omar,Menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Hanya YB Datuk Noh Omar kelihatan di zon yang menempatkan para Menteri.Setelah beliau bergerak keluar meninggalkan dewan,saya segera bangun dari tempat duduk dan bergegas ke pintu keluar YB para menteri.

Tidak lama selepas itu,wajah YB Datuk Noh Omar jelas kelihatan di pintu keluar Dewan Rakyat. Saya bergegas ke arah beliau dan menyatakan sendiri masalah saya.Beliau mendengar dengan penuh teliti sambil bertanya fakta-fakta yang perlu dan berkaitan dengan perbualan kami.

Pada ketika itu juga,saya diarah oleh beliau berjumpa dengan pegawai beliau..Saya segera mencari dan setelah berjumpa,dokumen yang saya hantar disemak dan diteliti oleh beliau. Beliau sendiri yang ajarkan kepada saya bagaimana sesuatu dokumen itu perlu disiapkan sebelum dihantar kepada YB Menteri untuk catatan dan minit.

Setelah semuanya selesai,saya berserah kepada Allah S.W.T. Wakil rakyat BN perihatin sebenarnya.Kita kena cekap dan harus peka dengan situasi.Jika kita benar-benar ingin sampaikan sesuatu kepada mana-mana wakil rakyat atau menteri,lihat dimana beliau dabn Bila kita boleh berjumpa.Cari tempat yang paling mudah untuk berjumpa terus.Jika di pejabat beliau mungkin anda akan hanya berjumpa dengan setiausaha sulitnya sahaja.Maka,carilah tempat dimana beliau berada di khalayak ramai.

Saya sempat berbual dengan YB Datuk Noh Omar dan YB Datuk Muhammad bin Aziz.Kami berbual mesra di kafetaria parlimen.Walaupun tempat tersebut hanya dikhaskan oleh Ahli-ahli dewan rakyat,saya tidak dihalang dan diminta keluar,sebaliknya dilayan dengan baik.

Setelah keluar dari kefetaria,saya kembali ke Dewan Rakyat untuk melihat dan mendengar perbahasan seterusnya.Saya lihat,di pintu yang dikhaskan untuk menteri di dewan rakyat,YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sedang keluar.Segera saya dapatkan beliau dan bersalaman.Beliau menyambut salam dengan penuh senyuman.Saya nyatakaan kepada beliau bahawa saya pernah hadiri majlis makan malam anjuran kedutaan di Kaherah,Mesir.Beliau mengangguk dan berbual seketika bersama saya.Nampaknya,apa yang saya bualkan bersama beliau di Kaherah seminggu sebelumnya,masih beliau ingat.Sebab itu beliau bertanya kepada saya walaupun belum sempat saya ntayakan siapa saya dengan pertanyaan “yer….macam mana? Selesai dah?” Siapa kata pemimpin kita tidak perihatin? Cuma kita yang tidak tahu bagaimana hendak sampaikan masalah.Jika tahu,pastinya anda akan dapat jawapannya.

Saya masuk kembali masuk ke dewan rakyat.Kali ini YB Datuk Paduka Ibrahim Ali yang menyampaikan ucapan.Seronok dengan ucapan beliau.Perang mulut berlaku antara beliau dengan Pasir Salak.

Saya agak penat bercampur puas.Walaupun saya gagal berjumpa Dato’ Seri Zahid Hamidi.Saya melangkah keluar dari dewan rakyat.Saya bersiar-siar melihat keadaan sekeliling.Ketika sedang bersiar-siar,saya terserampak dengan YB (PAS) Nasaruddin Mat Isa wakil rakyat parlimen Bachok. Apalagi,saya ambil peluang berbual dengan beliau.

Saya bertanya kepada beliau tentang isu pembatalan MOU program berkembar antara institusi berkembar Malaysia dengan Universiti Al Azhar.Saya difahamkan,beliaulah orang yang bertanya tentang pembatalan tersebut kepada Kementerian Pengajian Tinggi di parlimen sebagai soalan tambahan.

Jawapan beliau saya terima walaupun kurang bersetuju.Saya akan ulas isu ini selepas entri ini dengan panjang lebar.

Selepas bersalaman dengan beliau,saya bersua pula dengan YB Ustaz Taib Azamuddin,wakil rakyat parlimen Baling.Saya perkenalkan diri.Beliau menyambut dengan salam dan senyuman manis.Inilah ulama di Malaysia.Mereka bukan sahaja mampu menjadi ahli dewan rakyat yang terlibat dalam menggubal dan meminda undang-undang,bahkan mampu kekal tampil sebagai pemimpin agama.

Setelah selesai segala yang dirancang,saya melangkah keluar.Hanya berjalan kaki.Dengan menaiki teksi yang ditahan diluar perkarangan Parlimen,saya terus ke perhentian bas Puduraya dan balik ke Batu Pahat.