Ahad, 8 Ogos 2010
KIRAAN FALAK MESIR TEPAT SEJAK LEBIH 40 TAHUN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Para blogger sekalian,
1.Al quran adalah perlembagaan umat Islam yang menjadi rujukan dan panduan setiap tindak tanduk seharian.Setiap perintah dan larangan berasaskan dari perlembagaan tersebut.
2.Di dalamnya,terdapat perintah PUASA.Dari segi bahasa,puasa adalah perbuatan menahan diri daripada makan dan minum dengan sengaja untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Kamus Dewan,Edisi Ketiga,muka surat 1061).
3.Manakala syarak pula mengertikan bahawa puasa itu adalah menahan diri dari segala yang boleh membatalkan puasa di siang hari untuk sesuatu maksud yang tertentu.(Prof Dr Wahbah Az-Zuhaili,Al Fekh El Syafie El Muyassar,Juzuk pertama,muka surat 350).
4.Pengertian puasa menurut pengertian syarak lebih luas jika dibandingkan dari aspek bahasa.Ini adalah kerana pengertian menahan diri itu,tidak terbatas kepada hanya makan dan minum bahkan segala yang boleh membatalkannya.
5.Arahan puasa ini tertera dalam Al quran, ayat 138,surah Al Baqarah,yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa seperti mana diwajibkan keatas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".
6.Ayat perintah berkenaan amatlah ringkas dan terlampau umum.Menurut pengajian ilmu usul fekh,ayat berkenaan digolongkan sebagai ayat yang "MUJMAL".
7.Oleh yang demikian,Hadith Rasulullah S.A.W menerangkan (MUFASSIL) maksud perintah berkenaan. Rasulullah S.A.W bersabda : "Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berhari rayalah apabila kamu melihatnya (anak bulan)”.(Sahih Bukhari,hadith nombor 1776)
8.Berdasarkan penjelasan berkenaan,dapatlah kita tahu,bahawa terdapat hubungan yang relatif antara Al Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.Golongan anti hadith dan yang menolak hadith harus berfikir,bagaimanakah ibadah puasa itu dapat dijalankan jika sekiranya mereka hanya memegang Al Quran dan menafikan hadith?
9.Umat Islam akan mula berpuasa setelah "munculnya" anak bulan Ramadhan.Ianya sesuai dengan perintah Rasullah S.A.W. Persoalannya,bagaimanakah cara untuk menentukan munculnya anak bulan itu? adakah memadai dengan cara penglihatan mata (rukyah) semata-mata atau bagaimana?
10.Dalam konteks ini,Sohibussamahah Mufti Republik Arab Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah telah menerangkan bahawa maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. bersifat UMUM, meliputi penglihatan dengan mata dan secara ilimaih. (AL AHRAM 2009/1430)
11.Oleh yang demikian,Maksud melihat anak bulan telah disempurnakan sekarang melalui alat penglihatan berteknologi tinggi, alat-alat cerapan dan kiraan falak yang menurut beliau semua wasilah ini termasuk dalam maksud RUKYAH yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W.
12.Seperti biasa,pada tahun ini,SS Mufti Mesir mengeluarkan kenyataan bagi pihak Pusat Fatwa Mesir (Dar El Ifta' El Misriyyah) bahawa tarikh melihat anak bulan Ramadhan 1431 Hijrah tanggal pada hari selasa,10 Ogos bersamaan 29 Syaban.
13.Beliau menegaskan bahawa pihaknya telah menyediakan lebih dari satu balai cerapan dan pusat melihat anak bulan.
14.Apa yang menarik,Prof Dr Ali Jum'ah menekankan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan antara Islam dan Sains.Ujar beliau lagi,bahawa sesugguhnya,RUKYAH (melihat dengan mata penglihatan) dan kiraan falak itu saling berkait rapat.
15.Menurut laporan akhbar AL AHRAM tahun lepas bahawa kiraan falak Mesir menepati RUKYAH sejak 40 tahun.Perincian maklumat yang dikemukakan berhubung awal Ramadahan juga cukup menarik dan terperinci.
16.Mesir akan menyaksikan anak bulan berada di langit Kaherah selama tujuh minit setelah terbenam matahari pada hari selasa 10 Ogos 2010 bersamaan 29 Sya'ban 1431.
17.Dengan perincian tersebut,dapatlah kita ketahui bahawa,Mesir akan mula berpuasa pada hari rabu,11 Ogos 2010 ,menurut kiraan falak.
18.Saya teringat saranan beliau pada tahun lepas agar seluruh negara Islam BERSATU dalam menentukan tarikh mula puasa dan hari raya aidilfitri.
19.Ini adalah kerana kedua-dua tarikh berkenaan adalah tarikh yang amat penting bagi umat Islam keseluruhannya.Sudah tentu,penyelarasan tersebut sedikit sebanyak melambangkan KESATUAN umat Islam itu sendiri.
20.sejauh manakah saranan beliau disahut pada tahun ini? hasil tinjauan tahun lepas didapati bahawa masih terdapat negara Islam yang gagal menyeragamkan penyelarasan berkenaan.
21. Sekurang-kurangnya,OIC perlu memainkan peranannya menyeru negara anggotanya mengikuti saranan tersebut.
22.Saya kira,sudah sampai masanya negara-negara Islam berkongsi pengalaman dan kepakaran Mesir dalam soal penentuan awal Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan