Sabtu, 14 Januari 2012

HUKUM SOLAT JAMAK KERANA BEKERJA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

1. Baru-baru ini,seorang siswi perubatan menghubungi saya bertanya tentang hukum menjamak solat maghrib kerana faktor kerja di kilang.

2. Pada awalnya,saya jawab TIDAK BOLEH berdasarkan faktor kerja yang menjadi asas menjamak solat.Sedangkan, sebab-sebabnya telah dibahaskan para ulama fekh dan faktor bekerja bukanlah salah satu sebab yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

3.Akan tetapi, saya diminta jawapan dengan lebih jelas dari fekh islam dari kitab-kitab para ulama dan bukan hanya berdasarkan apa yang saya tahu sahaja.Saya yang ketika itu di ISKANDARIAH,sudah tentu tidak dapat berbuat demikian, kerana rujukan saya di KAHERAH dan telah meminta pelajar berkenaan waktu untuk membuat rujukan.

4.Setelah pulang ke KAHERAH,saya membuat rujukan dan suka saya berkongsi dengan para blogger dan rakan-rakan sekalian berkenaan perkara ini yang mana ianya barangkali sangat berguna kepada masyarakat kita saat ini.

FEKH WAQI' (MEMAHAMI REALITI SEMASA)

5. Mujurlah saya pernah bekerja sebagai pekerja kilang selama lebih kurang 6 bulan sebelum ke KEDAH atau sebelum ambil SPM dan STAM kononnya mencari sumber kewangan.Dari seorang operator pengeluaran di dua buah kilang elektronik milik anak tempatan hinggalah Quality Assurance (QA) di sebuah kilang perisian elektronik milik JEPUN,MIZUHO PRICISSION ENGINEERING (MALAYSIA) SDN BHD di Johor Bahru.

6. Antara 3 kilang yang saya pernah jelajah,ada yang mudah membenarkan pekerjanya solat dan ada yang "agak sukar" berbuat demikian.Namun di kilang milik JEPUN,berdasarkan pengalaman saya,agak senang untuk mendapat kelepasan kerana pihak majikan sangat menjaga kebajikan pekerjanya walaupun mengutamakan pengeluaran sesuai dengan slogan yang selalu saya jerit bersama rakan-rakan pekerja lain sebelum bekerja dan setelah bermesyuarat dengan engineer selaku ketua jabatan QA yang menjadi rutin setiap hari, "quality is our priority!!".

7. Mana-mana kilang atau industri buatan akan mengutamakan pengeluaran atau dalam erti kata lain mengejar unit keluaran.Pekerja akan diminta bekerja bersungguh-sungguh memastikan "target" dicapai setiap hari.

8. Untuk mencapai "target" berkenaan,ada ketua atau "supervisor"(penyelia) yang membenarkan pekerja melakukan solat dan ada yang agak susah membenarkan lebih-lebih lagi jika bukan ISLAM.Ada situasi dimana pekerja yang bekerja secara "kontrak" yang makan gaji hari,kadang-kadang agak sukar untuk berkompromi dengan penyelia yang suka "cari pasal" dengan pekerja kerana kedudukan pekerja berkenaan yang agak mudah untuk dibuang.

9.Semasa saya bekerja di kilang milik anak tempatan yang berlainan bangsa pula,saya pernah "diajar" oleh penyelia yang hanya membenarkan saya solat jumaat sekali dalam 3 kali memandangkan katanya,tinggal 3 kali berturut-turut itu baru dikatakan FASIK!! Sebab itulah saya memilih untuk tidak meneruskan bekerja di kilang tersebut apabila menerima tawaran dari kilang JEPUN tak lama selepas itu.Justeru,perasaan dan hati saya sebagai umat Islam agak terguris melihat umat Islam tak berpuasa sewenang-wenangnya di bulan RAMADHAN,isteri orang dan anak dara yang diganggu seksual oleh "BANGLA" depan mata terang-terangan.

10.Ringkasnya,persekitaran seorang pekerja kilang sangat mencabar dan terdedah untuk meninggalkan solat terutama sekali solat maghrib seperti yang ditanya oleh siswi berkenaan.

HUKUM FEKH BERKENAAN SOLAT JAMAK

11.ISLAM adalah agama yang fleksibel yang sesuai dengan setiap zaman dan tempat justeru Islam juga adalah agama yang memudahkan penganutnya dan bukan menyusahkan atau membebankan.

12.Secara ringkasnya,solat jamak dibenarkan oleh syarak sebagai satu KERINGANAN atau RUKHSAH.

13.Keringanan tersebut diberikan kerana bermusafir,dalam ketakutan,sakit,hujan, salji, kesejukan dan seumpamanya sesuai dengan syarat-syarat yang dibahaskan oleh para ulama fekh.

14.Berbalik kepada pertanyaan oleh seorang siswi tadi,terdapat satu perbahasan dalam fekh islam yang dibincang oleh para fuqahak berkaitan dengan solat jamak yang bukan kerana sebab-sebab yang disebutkan diatas.

15.Walaupun jumhur (majoriti) fuqahak tidak membenarkannya,namun dengan keluasan fekh sedia ada,terdapat para fuqahak dalam mazhab yang empat antaranya AS SYIHAB dari mazhab maliki,IBNU MUNZIR dari mazhab syafei selain IBNU SIRIN dan IBNU SYUBRUMAH yang membenarkannya dan membolehkannya kerana keperluan dan bukan kerana sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini.

16.Ibnu Munzir berkata : "Boleh menjamakkan solat walaupun bukan dalam ketakutan,bukan kerana hujan atau sakit.Ianya adalah pendapat sekumpulan ahli hadith berdasarkan penyataan hadith IBNU ABBAS R.A yang berkata : ((Sesungguhnya Nabi S.A.W telah menjamakkan solat di madinah antara zohor dan asar,maghrib dan isyak walaupun bukan dalam ketakutan dan bukan kerana hujan)). Maka ditanya kepada IBNU ABBAS, "kenapa banginda S.A.W berbuat demikian?" Jawab IBNU ABBAS, ((baginda tidak mahu membebankan umatnya))". - hadith riwayat BUKHARI

17.Isu tersebut dibincangkan dalam kitab-kitab karangan fuqahak antaranya :

1) AL QAWANIN AL FEKHIYYAH oleh Ibnu Juziy,jilid 1,muka surat 75 cetakan Daruk Fikr.
2) BIDAYATUL MUJTAHID ,jilid 1,muka surat 7 cetakan MAKTABAH AL AZHAR LITTURATH.
3) AL MAJMUK oleh Imam Nawawi, jlid 4,muka surat 384 cetakan Darul Fikr
4) AL MUGHNIY oleh IBNU QUDDAMAH, Jilid 2,muka surat 205 cetakan Maktabah AL QAHERAH
5) SUBULUSSALAM SYARH BULUGHUL MARAM,jilid 2,muka surat 43 cetakan Mustafa Halabi.

18.Semoga kita sama-sama mendapat manfaat sesuai dengan perkembangan zaman yang memerlukan wacana baru dalam banyak perkara-perkara fekh dan sesuai dengan peredaran zaman yang membawa kepada keterbukaan fekh yang sedia luas.

WALLAHUA'LAM.

Tiada ulasan: