Sabtu, 23 Oktober 2010

TAMHIDI UNIVERSITI KAHERAH SIRI 2 : ANTARA DUA METOD

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para blogger sekalian,

Seperti yang saya janjikan,posting kali ini sambungan dari coretan sedikit pengalaman mengikuti coursework atau tamhidi di Universiti Kaherah setelah bergelar graduan syariah universiti tersohor,AL AZHAR ASY SYARIF.

BAGAIMANA KEMUNCULAN ILMU FEKAH?
Jika kita mengkaji sejarah perkembangan ilmu Fekah yang sampai ke tangan kita hari ini,ianya bermula dengan dua metodologi utama iaitu metodologi yang berasaskan kepada sunnah atau hadith manakala yang satu lagi adalah metodologi yang berasaskan kepada EL RAKYU atau KIAS.

Metodologi pertama berpusat di Madinah manakala metodologi kedua berpusat di Kufah, Iraq.Kedua-dua metodologi ini muncul setelah kewafatan rasulullah S.A.W.

Asas metodologi fekah yang berasaskan kepada HADITH adalah berpegang teguh dengan hadith dan tidak membicarakan isu-isu fekah yang belum berlaku atau dipanggil sebagai "iftiradhi".Maka,sebarang isu fekah yang tidak mempunyai dalil dari hadith mahupun Al Quran,maka,golongan ini tidak akan mengeluarkan hukum dan mengambil pendirian tidak memberikan sebarang ulasan.Faktor utama kemunculan metodologi ini adalah golongan ini mempunyai banyak sumber rujukan dari kalangan para ahli hadith dan kewujudan mereka di tanah Madinah itu sendiri memudahkan mereka memperoleh orang yang faham hadith.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi ini adalah IMAM MALIK BIN ANAS RAHIMAHULLAH,pengasas mazhab maliki bahkan beliau digelar IMAM BUMI HIJRAH atau IMAM DAR EL HIIJRAH.

Manakala golongan yang berasaskan kepada KIAS pula tidak bermaksud mereka menolak hadith dalam menyelesaikan masalah fekah yang timbul akan tetapi mereka berhati-hati dalam menerima sesebuah hadith itu memandangkan faktor politik dimana bermulanya fitnah yang besar ketika itu dengan kemunculan golongan-golongan yang mempergunakan agama dengan mengolah hadith palsu tertentu untuk tujuan meraih kemenangan politik mereka antaranya ialah golongan KHAWARIJ disamping pengaruh terhadap perkembangan ilmu-ilmu falsafah yunani yang diterjemahkan ke bahasa arab.

Oleh yang demikian,golongan yang metodologi fekahnya berasaskan kepada KIAS akan meluaskan skop IJTIHAD atau KIAS bagi tujuan mengelakkan dari terlibat dari jenayah memalsukan hadith dan setiap hadith yang diterima akan disiasat keabsahannya disamping meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat untuk menerima sesebuah hadith.Golongan ini juga terkenal dengan "fekh iftiradhi"nya.Keluasan fekh itu tampak jelas melalui metologi yang diguna pakai oleh golongan ini.Antara imam mazhab yang lahir dari metodologi EL RAKYU atau KIAS adalah IMAM ABU HANIFAH EN NUKMAN,pengasas mazhab hanafi.

Setelah kemunculan kedua-dua metodologi ini,lahirlah pula sebuah golongan yang mengkombinasikan kedua-dua metodologi tersebut.Kumpulan ini dipelopori oleh pengasas mazhab syafie,AL IMAM MUHAMMAD BIN IDRIS ASY SYEFIE AL MUTALLIBI atau terkenal dengan nama IMAM ASY SYAFIE.Mazhab ini dilihat lebih sederhana dan lebih fleksibel.Mazhab ini berkembang luas di seluruh dunia sehingga masyarakat Islam di asia tenggara terutamanya di Malaysia mengguna pakai mazhab syafie secara meluas.

KELEBIHAN UNIVERSITI KAHERAH
Universiti Kaherah adalah sebuah universiti yang berprestij di Mesir selepas AL AZHAR. Universiti ini telah berumur lebih seratus tahun.Universiti ini telah melahirkan ramai tokoh terkemuka dunia,tokoh negara Mesir dan Malaysia,penerima anugerah nobel dan macam-macam lagi.

Bagi pengajian Islam,Fakulti Darul Ulum adalah sebuah fakulti yang menyediakan kursus bahasa arab dan pengajian Islam.Peringkat ijazah pertama di darul ulum hanya difokuskan dalam ilmu-ilmu bahasa arab.Tiada pengkhususan seperti di Al Azhar seperti usuluddin,syariah dan sebagainya.Ijazah pertama lebih menekankan pengajian dalam bahasa arab disamping terdapat juga subjek-subjek agama.

Pengkhususan hanya akan digunapakai setelah tamat ijazah pertama.Pengajian selepas ijazah pertama di Darul ulum terbahagi kepada beberapa peringkat.DIBLOM AM , KHAS atau ijazah lanjutan dan TAMHIDI atau coursework sebelum layak tulis tesis,MASTER dan PHD.Antara jabatan yang wujud di darul ulum adalah syariah,Falsafah,sejarah,nahu dan saraf dan lain-lain lagi.

Semasa di AL AZHAR kita dihidangkan dengan kitab-kitab turath (tradisional) yang dikarang oleh ulama muktabar ratusan tahun dahulu.Maka seseorang pelajar tersebut akan bersungguh-sungguh untuk memahami isi kandungan dan maksud pengarang.

Tidak keterlaluan jika saya katakan,pelajar ijazah pertama di universiti Kaherah tidak menikmati sistem tersebut.Mujurlah saya telah mengikuti program ijazah pertama di AL AZHAR.Ini adalah kerana,bidang seperti syariah memerlukan seseorang itu memahami turath.Banyak khazanah-khazanah ilmu dalam turath yang mesti didalami oleh seorang pelajar syariah untuk memantapkan lagi penguasaan mereka dalam bidang tersebut.

Hanya memahami dan mengenali turah semata adalah tidak cukup.Paling penting adalah kemahiran menggunakan turath yang difahami untuk diaplikasi dan diadaptasi agar sampai ke generasi hari ini.

Persoalannya bagaimana? Adakah cukup hanya dengan membaca dan memahami bahkan menghafal semata-mata? Sudah tentu TIDAK.Cara pengaplikasian dan mengadaptasi memerlukan kepada metodologi tertentu.

Itulah kelebihan di Universiti Kaherah.Pelajar MASTER atau terlebih dahulu dalam TAMHIDI akan didedahkan dengan metodologi kajian ilmu-ilmu Islam dan cara menganalisa kitab-kitab turath yang mana kitab-kitab turath ini akan dijadikan bahan utama dalam kajian.Dengan kemahiran menggunakan metodologi berkenaan pelajar akan mampu menyampaikan maksud turath berkenaan dan sekaligus memberikan kesinambungan antara turath yang lama dan isu-isu kontemporari.Sebagai contoh,ISTIHSAN adalah isu yang popular dalam kitab-kitab turath. Terdapat pelbagai kitab yang menghurai masalah istihsan.Hari ini,isu ini perlu dikupas kembali sesuai dengan perkembangan zaman terutamanya perkembangan yang pesat dalam sektor kewangan Islam.Maka,isu-isu yang melibatkan istihsan dikaji melalui kitab-kitab turath sebagai rujukan utama dan pengkaji akan membuat penilaian,analisa dan seterusnya mengambil beberapa bahagian penting dalam kitab turath berkenaan untuk digunapakai dalam bahagian kajian berkenaan.Nampak macam mudah bukan? Bercakap lebih senang dari membuat.Saya sudah rasai kepenatan itu.

PERBEZAAN ANTARA UNIVERSITI AL AZHAR DAN UNIVERSITI KAHERAH (DARUL ULUM)
Jika sejarah awal kemunculan ilmu fekah itu bermula dengan dua metodologi,maka Mesir sebagai pusat yang melahirkan tokoh ilmuan dunia ini mempunyai dua metodologi dalam penyampaian ilmu dalam proses melahirkan ilmuan.

AL AZHAR sebagai universiti tertua di dunia atau OXFORD AGAMAWAN mengguna pakai metodologi TURATH sebagai metod utama dalam penyampaian ilmu.Al Azhar sangat mementingkan turath sehingga di fakulti syariah,terdapat beberapa subjek MAJOR yang khusus mengkaji isi kandungan kitab turath seperti Fekah dan Usul Fekah.Maka,bagi pengajian kedua-dua subjek berkenan,masa pengajian dibahagikan kepada dua.Pengajian secara TOPIK atau "maudhui" dan pengajian secara PERBAHASAN KITAB TURATH atau "nassi".

Bagi subjek Fekah mazhab syafie,pelajar mengkaji kitab MINHAJ EL TALIBIN karangan imam An Nawawi.Beberapa bahagian dalam kitab berkenaan akan diambil untuk bacaan bersama pensyarah dan dikaji setiap kalimat yang terkandung di dalamnya.Subjek ini memerlukan kemantapan bahasa arab dan kehadiran ke kuliah.Kekurangan salah satu dari dua perkara ini akan menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Manakala bagi subjek Usul Fekah pula.pelajar akan mengkaji kitab NIHAYAT EL SUL FI EL SYARH MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL karangan imam El Isnawi yang mana kitab itu sendiri adalah huraian bagi lafaz dan makna kitab terdahulu,MINHAJ EL WUSUL FI ILMI USUL oleh Al Qadhi Al Baidhawi.Kitab ini sungguh sukar untuk difahami jika dibaca sendirian dan memerlukan dua alat bantuan yang saya sebutkan tadi.Kegagalan untuk memenuhi perkara asas tersebut akan juga menyebabkan seseorang pelajar itu GAGAL PERCUMA.

Bagi pengajian MASTER di AL AZHAR pula,saya dapati,turath masih menjadi perhatian universiti berkenaan hingga ke tesis MASTER juga diutamakan penulisan berkaitan analisa kitab-kitab turath atau TAHKIK EL TURATH.

AL AZHAR tidak menitik beratkan metodologi kajian akan tetapi hanya menitikberatkan kefahaman terhadap turath.Ini akan menyebabkan seseorang itu hanya akan mampu menghurai secara lisan semata dan dalam membuat kajian kelak ia akan memakan masa kerana beberapa metodologi diperlukan.Bahkan,saya hairan,bagaimana seseorang itu menganalisa kitab turath sedangkan penekanan terhadap subjek tersebut TIADA!!

Oleh yang demikian,metod pengajian di AL AZHAR adalah yang berasaskan kepada FAHAM dan HAFAZ.Bagi saya,kekurangan ini bukan kekurangan yang mengaibkan pelajar lepasan AL AZHAR akan tetapi ianya satu kekurangan yang boleh dibaiki dengan usaha yang gigih dari pelajar itu sendiri.Metod ini ada kebaikkannya disamping terdapat kekurangan yang perlu dibaiki.Secara kesimpulannya,metod pengajian di AL AZHAR adalah metod yang berasaskan turath.

Manakala di Universiti Kaherah pula,metodologi pengajian di peringkat MASTER adalah berasaskan kepada kajian.Pelajar akan didedahkan dengan metodologi kajian dan bagaimana membuat sesuatu kajian berdasarkan kepada sumber-sumber rujukan yang terdiri dari kitab-kitab turath.

Hal ini bukanlah mudah.Ini adalah kerana pelajar bukan sahaja mesti faham isi kandungan turath akan tetapi mengolah dan memindahkan beberapa fakta dari turath ke dalam kajian masing-masing.Bayangkan jika tersilap faham,apakah akan jadi dengan kajian tersebut? Sudah tentu ianya tidak mempunyai nilai.Kesimpulannya,di Universiti Kaherah atau fakulti Darul Ulum adalah sebuah institusi pengajian yang berasaskan kajian.

Apabila kita telah sibuk dengan turath semasa di peringkat ijazah pertama,maka,di Universiti Kaherah pula,kita belajar cara atau metodologi kajian.Bagaimana menghasilkan sebuah kajian hasil dari kefahaman terhadap turath.Dengan ini,saya kira,lepasan Al Azhar yang masuk ke Universiti Kaherah akan menjadi lebih sempurna dalam interaksinya dan sumbangannya terhadap turath apabila memanjangkan khazanah turath tersebut dalam kajian semasa.Kombinasi antara metod turath dan kajian sangat penting untuk memenuhi keperluan dunia sekarang dalam menyelesaikan beberapa isu kontemporari.

Oleh yang demikian,kehadiran ke kuliah di universiti Kaherah adalah wajib dan sebagai syarat untuk masuk ke dewan peperiksaan walaupun tiada markah untuk kedatangan.Kertas peperiksaan hanya mempunyai markah penuh sebanyak 60 markah sahaja dan selebihnya akan dihakimi berdasarkan assignment atau kajian yang telah diserahkan.Jika markah assignment kurang dari 30 markah,maka anda adalah calon gagal untuk tamhidi.Mencabar bukan?Untuk menyiapkan sebuah kajian bukan mudah.Dengan metodologi kajian yang anda pelajari, rujukan terus ke pensyarah,gaya pengolahan bahasa yang sesuai dengan kajian akan menentukan markah LULUS tamhidi.

Inilah sebabnya saya ke universiti kaherah.Bukan sesuka hati.Bukan untuk cepat habis MASTER.Bukan untuk lari dari universiti Al Azhar.Ada rakan-rakan yang menyamakan universiti Kaherah dengan universiti terbuka Amerika (jamiah amerikan maftuh) dan Institut pengajian tinggi Zamalik (ma'had Zamalik).Saya katakan taraf kedua-dua buah universiti ini tidak sama dengan Universiti Kaherah.Universiti Kaherah tidak sama dengan kedua-dua universiti tersebut.Ini adalah kedua-dua universiti berkenaan masih bertaraf IPTS dan mempunyai masalah pengiktirafan di Malaysia berdasarkan maklumat yang saya peroleh.

Apa yang diajar di universiti Kaherah tidak sama seperti di kedua-dua buah institusi berkenaan.Saya telah membezakan subjek pengajian MASTER untuk kedua-dua institut berkenaan dan saya lihat tidak ada bezanya dengan AL AZHAR.Sistem hadir kelas dan peperiksaan semata.Saya tidak berminat dengan kedua-dua institut berkenaan.Saya tidak mahu memperjudikan waktu dengan sesuatu yang tidak pasti.

CABARAN SEBENAR SEORANG MAHASISWA
Apabila anda meletakkan diri ke universiti Kaherah dalam TAMHIDI,ini bermakna anda akan mula merasakan kesempitan waktu yang berpanjangan.Berbeza dengan pelajar AL AZHAR yang mempunyai banyak waktu dengan kuliah yang tidak wajib.Beruntunglah bagi mereka yang pandai,ada yg menggunakan peluang tersebut untuk membaca kitab-kitab sampingan atau berTALAKKI dengan para syeikh yang terdapat di sekitar AL AZHAR.

Kesempitan waktu yang saya maksudkan adalah anda mempunyai tugasan di luar dewan kuliah.
Kajian setebal lebih kurang 150 hingga 200 muka surat untuk 4 subjek harus disiapkan dalam masa tiga bulan sahaja.

Masa anda akan banyak habis di Universiti,perpustakaan dan rujukan-rujukan.Maka disinilah anda rasa "nikmat" seorang mahasiswa.Sungguh mencabar sehingga terbawa ke dalam mimpi.Satu alam baru yang penuh mencabar.Ini adalah kerana kita tidak pernah didedahkan dengan metodologi kajian sebelum ini di peringkat ijazah pertama di AL AZHAR.Penyediaan assignment adalah latihan kearah penulisan tesis.Jika letih semasa menulis assignment,apalagi semasa menulis tesis ini.Macam-macam yang saya bayangkan...namun,saya telah meletakkan diri ke sini,maka saya akan lalui setiap ranjau dan duri yang ada.

Alah bisa tegal biasa.Insyaallah melalui posting akan datang sebelum saya bercuti tiga minggu, saya akan menceritakan pengalaman menulis assignment dan suka duka yang saya alami sepanjang penyediaan assignment untuk melayakkan diri ke alam penulisan TESIS.

Tiada ulasan: