Rabu, 4 Disember 2013

PERLEMBAGAAN BARU MESIR : PEMBINAAN REPUBLIK KETIGA MESIR



Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh,

Para Facebookers sekalian,

1.Mesir adalah merupakan negara kedua bagi kita yang menuntut di beberapa universiti.Mesir juga adalah kiblat ilmu Islam kerana di dalamnya terdapat AL AZHAR sebagai institusi Islam yang bertaraf antarabangsa yang peranannya tak dapat dinafikan.

2.Keamanan dan kestabilan politik adalah harapan besar kita agar kelangsungan untuk menuntut ilmu dapat diteruskan dan agar peranan Al Azhar terus konsisten dalam arus semasa.

3.Sewajarnya juga kita memperakui, Mesir adalah merupakan sebuah universiti terbuka bagi ilmu politik kerana di sinilah kita menyaksikan kesan sejarah peradaban yang hebat, tempat bermulanya ketamadunan, zaman kegemilangan dan sebuah kejatuhan yang cuba kembali bangun mencipta kegemilangan seperti yang pernah mereka alami satu ketika dahulu.

4.Uniknya, dalam tempoh dua tahun, Mesir mengalami dua revolusi iaitu pada 25 Januari 2011 dan 30 Jun 2013.

5.Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, tiga jalan keluar krisis politik Mesir :

5.1 ) Menggubal perlembagaan baru
5.2 ) Pilihanraya Presiden
5.3 ) Pilihanraya Parlimen

PERLEMBAGAAN SEBAGAI TITIK TOLAK

6.Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini, titik tolak polemik di Mesir adalah kerana krisis perlembagaan yang membawa kepada ketidakstabilan politik di Mesir antara bulan Disember 2012 hingga kemuncak krisis yang menyaksikan Presiden Mursi digulingkan.

7.Penguasaan golongan ISLAMIS dalam jawatankuasa penggubal sebelum ini mencetuskan ketidak puasan hati dan siri penarikan diri dari kalangan BUKAN ISLAMIS dalam jawatankuasa tersebut amat ketara hingga tinggal 70 hingga 80 peratus sahaja yang kekal, justeru, media mengkritik pedas setiap hari dan setiap saat.Itulah cerita orang Mesir menggubal perlembagaan pertama mereka untuk republik kedua mereka atau apa yang digelar sebagai "PERLEMBAGAAN IKHWAN MUSLIMIN".

8.Selepas revolusi 30 Jun 2013, "perlembagaan Ikhwan Muslimin" tersebut dibekukan dan proses transisi bari berlaku selepas itu yang menyaksikan campur tangan tentera atas kehendak kumpulan penentang atau TAMARRUD.Presiden Sementara dilantik berdasarkan peruntukan perlembagaan yang memperuntukkan, KETUA HAKIM MAHKAMAH PERLEMBAGAAN hendaklah memegang jawatan presiden sepanjang proses transisi.Ini bermakna, TIADA ISTILAH PEMERINTAHAN TENTERA seperti yang didakwa oleh Ikhwan Muslimin atau apa yang mereka sebut HUKM EL ASKARI.

9.Tanggal 2 Disember 2013, Perlembagaan Baru Mesir siap dibentuk oleh Jawatankuasa 50 penggubal perlembagaan selepas lebih 60 hari dari waktu yang ditetapkan.Namun, mereka menggunakan alasan hari cuti hujung minggu selama dua bulan tersebut tidak termasuk dalam kiraan 60 hari dan ianya dilanjutkan hingga 4 Disember.

10.Sepanjang tempoh siri persidangan jawatankuasa tersebut, hampir tiada isu penarikan diri, kritikan pedas olej Media dan isu-isu sensasi sekitar persidangan mereka.

11.Amru Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa tersebut telah menyerahkan draf perlembagaan tersebut pada 3 Disember dan proses seterusnya ialah pungutan suara yang akan menyaksikan rakyat Mesir menyatakan persetujuan atau tidak.Pungutan suara tersebut dijadualkan berlangsung dalam bulan Januari 2014.

SISTEM PEMERINTAHAN BARU

12.Draf perlembagaan baru mengandungi 247 perkara yang terdiri dari 6 Bab termasuk kaedah proses transisi jika berlaku peralihan kuasa dan ini tidak terdapat dalam perlembagaan 2012 yang dibekukan yang hanya mengandungi 236 perkara.

13.Menariknya, 42 perkara baru digubal yang tidak pernah termaktub dalam mana2 perlembagaan sebelum ini, manakala 130 perkara pula adalah perkara yang dipinda dari perlembagaan 2012 yang dibekukan.

14.Draf perlembagaan baru ini juga buat pertama kali dalam sejarah Mesir sejak 1923 (kali pertama perlembagaan Mesir digubal di zaman Raja Fuad I) telah memansuhkan kadar kuota 50 peratus nisbah petani dan buruh dalam dewan rakyat selain turut memansuhkan MAJLIS EL SYURA yang berperanan sebagai dewan negara mereka.

15.Selain dari itu, draf perlembagaan baru tersebut turut menukar nama parlimen yang sebelum ini dikenali sebagai MAJLIS EL SYAKBI kepada MAJLIS EL NUWWAB yang merupakan nama asal parlimen ketika zaman monarki.

16.Sistem pemerintahan yang akan digunakan di Mesir selepas draf perlembagaan ini disahkan kelak adalah sistem campuran antara sistem republik berparlimen dan republik presiden yang mana presiden tidak lagi mempunyai kuasa penuh dalam menggubal atau meminda undang-undang yang akan dibentangkan di parlimen, pelantikan anggota kabinet, bahkan presiden boleh dipecat oleh parlimen dan kuasa majoriti boleh membentuk kerajaan dari kalangan parti mereka yang bukan menyandang mana-mana kerusi parlimen.

17.Berdasarkan perkara 123, rang undang-undang yang ditolak oleh Presiden hendaklah dijawab dalam masa 30 hari.Jika tidak dijawab, undang-undang tersebut telah lulus secara automatik.Jika penolakannya dijawab pada waktu yang ditetapkan, maka undang-undang tersebut dibawa semula ke parlimen dan ianya boleh diluluskan oleh kuasa majoriti dua pertiga parlimen.

18.Justeru, sejajar dengan revolusi 25 Januari 2011 dan 30 Jun 2013 yang menentang korupsi dan ketidak telusan dalam pentadbiran, maka PRESIDEN, SEMUA AHLI KABINET DAN AHLI PARLIMEN hendaklah mengisytiharkan harta masing-masing dan dimuatkan dalam akhbar setiap tahun, dilarang sama sekali memegang jawatan dalam mana-mana syarikat yang berkepentingan kerajaan atau swasta DAN mana-mana agensi badan berkanun kerajaan.

ANTARA DUA PILIHANRAYA

19.Isu yang sangat ketara di dada-dada akhbar saat ini ialah mendahulukan antara dua pilihanraya sama ada parlimen atau presiden.

20.Walaubagaimana pun, ramai penganalisis melihat, perkara 230 membenarkan pilihanraya Presiden terlebih dahulu dalam tempoh tidak lebih tiga bulan selepas perlembagaan tersebut diisytihar dan dikuatkuasakan.Manakala pilihanraya parlimen pula, akan diadakan tidak lebih enam bulan selepas perlembagaan baru dikuatkuasakan.

21.Ini bermakna, jika pungutan suara diadakan pada 2 Januari 2014 (berdasarkan tempoh maksima sebulan selepas draf perlembagaan diserahkan kepada presiden sementara pada 3 disember 2013), perlembagaan baru dijangka diisytiharkan dan dikuatkuasakan bermula 15 Januari 2014.

22.Maka, Mesir akan mengadakan pilihanraya presiden dalam tempoh tiga bulan selepas perlembagaan dikuatkuasakan dan ini bermakna, menjelang 30 April, Mesir akan menerima presiden baru.

23.Jika pilihanraya presiden didahulukan, maka pilihanraya berikutnya pula hendaklah diadakan dalam tempoh tidak melebih enam bulan selepas tarikh perlembagaan dikuatkuasakan dan ini juga bermakna, Mesir akan mempunyai parlimen baru menjelang julai 2013.

ISLAM DAN AL AZHAR

24.Draf perlembagaan kali ini turut mengekalkan perkara dua dengan tanpa sebarang pindaan.Perkara dua memperuntukkan, Islam agama negara, bahasa arab bahasa rasmi dan dasar-dasar Syariah Islam adalah merupakan asas perundangan negara.

25.Perkara tersebut bukan baru.Ini adalah kerana, ianya telah diperkenalkan sejak tahun 1923 di zaman monarki lagi.

26.Perkara dua tersebut adalah merupakan bom jangka yang sangat menyentuh sensitiviti 90 peratus penduduk Mesir yang terdiri dari Orang Islam.Ini adalah kerana, jika terdapat pindaan, sudah pasti ianya akan mencetuskan huru-hara dan menggugat kestabilan negara.

27.Manakala syariat agama lain diperuntukkan dalam perkara tiga hanya boleh diguna pakai oleh YAHUDI dan KRISTIAN dalam soal undang-undang keluarga, hal ehwal kerohanian agama masing-masing dan pemilihan ketua agama masing-masing sahaja.Ini bermakna, dalam soal akta jual beli, kanun jenayah dan lain-lain selain tiga perkara asas seperti yang sebutkan diatas, mereka masih terikat dengan undang-undang yang berdasarkan dasar-dasar Syariah Islam.

28.Perkara tiga ini pernah menimbulkan polemik apabila terdapat cadangan dari kalangan kumpulan liberal yang mahu perkataan umum "SYARIAH BUKAN ISLAM" diguna pakai dan ditolak dengan keras oleh umum kerana ianya menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf buddha, hindu dan bukan agama samawi yang lain.Mesir tidak mengiktiraf selain agama Islam, Yahudi dan Kristian diamalkan di Mesir.

29.Manakala AL AZHAR pula diiktiraf oleh perkara 7 sebagai sebuah badan hal ehwal Islam Mesir dan antarabangsa yang memainkan pernana menyebar dakwah, rujukan utama agama dan bahasa arab yang bebas selain mewajibkan kerajaan membiayainya untuk mencapai objektif badan berkenaan.Manakala Syeikhul Azharnya pula diberikan kekebalan, tidak boleh dipecat dan pemilihannya adalah berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan dari kalangan MAJLIS TERTINGGI ULAMA BESAR AL AZHAR.Perkara tujuh ini diwujudkan selaras dengan akta AL AZHAR (pindaan 2012) yang diwartakan oleh MAJLIS TERTINGGI ANGKATAN TENTERA semasa tempoh peralihan kuasa selepas revolusi 25 Januari 2011 dan peruntukan AL AZHAR dalam perlembagaan 2012 yang dibekukan dan draf perlembagaan 2013.

MENUJU MESIR BARU

30.Bermula disember 2013, rakyat Mesir akan mula bercakap soal draf perlembagaan dan kempen mempersetujuinya dalam pungutan suara kelak giat dijalankan.

31.Disamping itu, tokoh-tokoh politik dan kekuatan parti atau akar umbi akan mula mengintai peluang menaikkan diri atau individu untuk bergelar ahli parlimen dan seterusnya presiden.

32.Maka saya optimis, keamanan Mesir dan kemunculan Mesir baru yang gemilang seperti yang pernah dicatatkan dalam sejarah kegemilangan mereka akan tercatat bukan satu hayalan.

33.Saya berminat dengan fakta yang pernah diceritakan oleh rakan Mesir saya.Menurut beliau, Francis juga membuktikan, selepas sistem monarki ditumbangkan, Francis juga menjadi huru-hara dan muncul selepas seratus tahun sebagai sebuah kuasa politik yang digeruni dan hari ini antara negara Eropah yang maju.

34.Setelah 60 tahun lebih sistem monarki ditumbangkan, adakah Mesir akan mampu kembali gemilang ? Sejarah akan menentukan.Mungkinkah dua puluh tahun selepas 30 Jun 2014 Mesir akan lahir sebagai republik ketiga yang mula maju.

35.Bagaimana Ikhwan Muslimin yang diharamkan? Adakah mereka akan kembali berkuasa? Adakah transformasi sistem pendidikan akan mendapat perhatian dalam kerajaan republik ketiga kelak? Adakah Mesir akan kembali bergelar PARIS TIMUR TENGAH seperti di zaman kegemilangannya dahulu?

Sejarah republik Francis selepas kejatuhan monarki :

1. Republik Pertama Perancis (1792-1804)
2. Republik Kedua Perancis (1848-1852)
3. Republik Ketiga Perancis (1870-1940)
4. Republik Keempat Perancis (1946-1958)
5. Republik Kelima Perancis (1958-sekarang)

Gambar satu : Pengerusi Jawatankuasa 50 Penggubal perlembagaan, Amru Musa menyerahkan draf perlembagaan Mesir kepada Presiden sementara Mesir pada 3 Disember 2013.

Gambar kedua : Draf perlembagaan Mesir diterbitkan secara percuma oleh Akhbar AL MASRI EL YOUM dan AL SHOROUK.

Gambar ketiga : Para ahli jawatankuasa 50 penggubal perlembagaan bergambar kenang-kenangan selepas selesai undian terakhir pada 2 Disember 2013.Prof Dr Shauki AL ALLAM, mufti Mesir dan Prof Dr Saaduddin El Hilali adalah merupakan ulama AL AZHAR yang terlibat dalam proses bersejarah tersbut.







Tiada ulasan: