Selasa, 7 April 2009

FESTIVAL ASEAN 2009 KEMBALI LAGI


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

Islam menganjurkan umatnya saling berkenalan antara satu sama lain.Perbezaan warna kulit, kebudayaan,bangsa dan bahasa penuturan yang pelbagai disamping taburan manusia dari pelbagai kedudukan geografi,mendorong kita saling berkenalan antara satu sama lain.

Apabila kita saling berkenalan,kita akan dapat melihat perbezaan antara satu sama yang lain dan saling mencari titik persamaan.Maka,Islam sekali lagi meletakkan asas sebagai dasar utama terhadap segala macam perbezaan antara sesama manusia.Setiap manusia samada arab atau bukan arab tiada perbezaan dan keistimewaan melainkan "KETAKWAAN".

Bumi Mesir telah menjadi saksi perkenalan pelbagai bangsa yang datang dari segenap pelusuk dunia. Hari ini,AL AZHAR dikenali sebagai kiblat ilmu.Institusi ini,telah menjadi tempat pertemuan untuk tujuan itu selain dari tujuan asal melahirkan ilmuan Islam sejak seribu tahun dahulu.

Sewajarnya,mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir mennggunakan peluang keemasan ini untuk meluaskan jaring perkenalan dan persahabatan agar boleh sama-sama mempelajari perbezaan sesama kita.

FESTIVAL KEBUDAYAAN DAN SUKAN ASEAN 2009

Tanggal 9,10 dan 11 April,festival yang berasaskan kebudayaan akan diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau terkenal dengan nama lamanya ARMA.

Saya berpendapat,program anjuran Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) merupakan salah satu mekanisme kearah memperkenalkan kebudayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Saya rasa terpanggil setelah dicabar beberapa kali oleh pelbagai pihak untuk mengulas program tersebut yang tiba-tiba dilihat kontrovesi dan sarat dengan pendangan pro dan kontra dari masyarakat mahasiswa.

Jika dilihat objektif program tersebut,saya optimis ianya akan membantu mendekatkan mahasiswa dari pelbagai negara disamping memperkenalkan budaya asia di peringkat antarabangsa.Namun,saya agak kecewa kerana program tersebut diadakan pada bulan April dan salah satu dari tiga hari tersebut adalah waktu rasmi kuliah universiti.

Suka saya cadangkan agar pihak KBMK dan JPMK mengadakan program tersebut kelak pada bulan Jun atau Julai ketika cuti musim panas.Namun,kita tidak boleh salahkan pegawai atau Pengarah JPMK dalam isu ini,kerana pengarah JPMK baru menjawat jawatan berkenaan dan barangkali program tersebut termaktub sebagai program tahunan yang mengisi jadual aktiviti bulan April.

KECEMERLANGAN AKADEMIK

Ada mahasiswa yang berpendapat bahawa bulan April dan Mei harus dijadikan bulan penumpuan dan mengukuhkan “thaqafah” atau pengetahuan.Justeru,FESTIVAL yang bakal dilangsungkan sepatutnya dibatalkan dan semua mahasiswa harus menumpukan peperiksaan yang bakal tiba.

Inilah pemikiran yang dangkal dan salah terhadap disiplin menuntut ilmu.Apakah menuntut ilmu itu bermusim? Menuntut ilmu adalah satu kewajiban yang tidak bermusim.Kuliah universiti di Mesir bermula pada pertengahan bulan September hingga hujung bulan November atau pertengahan bulan Disember bagi semester pertama.

Manakala semester kedua pula bermula pada pertengahan bulan Februari hingga bulan Mei.Hampir kebanyakkan pensyarah Al Azhar akan memulakan sesi kuliahnya sekitar bulan Mac atau penghujung bulan Februari.Walau pun buku rujukan masih dalam proses cetakan,namun,pensyarah memberikan gambaran awal tentang kurikulum pengajian dan skop perbahasan sesuatu subjek.Jadi, mana-mana pihak yang mengatakan bahawa kuliah masih belum panas dalam antara bulan februari hingga bulan Mac adalah salah.

Mukaddimah tersebut amat penting.Namun,mahasiswa Malaysia dilihat sungguh aktif bersama aktiviti persatuan-persatuan mahasiswa seperti BAKAN,DPM dan PMRAM.Bayangkan di awal sesi kuliah berlangsung,program melancong ke selatan Sinai giat dijalankan.Setelah selesai program berkenaan, perlawanan bola futsal secara bergilir-gilir mengikut negeri masing-masing diadakan sepanjang bulan Mac selain PIALA PRESIDEN PMRAM. Ada juga yang menganjurkan program-program mega dan aneka macam karnival dalam bulan Mac.Para pimpinan persatuan pula,sibuk dengan program GENGGAM BARA mereka.

Akhir sekali,bulan April dan Mei dikatakan bulan “thaqafah” dan segala macam program harus ditunda sementara.Maka,dalam empat bulan waktu pembelajaran tersebut,hanya dua bulan sahaja waktu belajar! Patut pun ramai di kalangan kita “mengulang” tahun dan gagal dalam peperiksaan.Ini adalah kerana mereka belajar kerana peperiksaan semata-mata,dan mereka hanya pandai “kutip” kurikulum peperiksaan tanpa perlu hadirkan diri dengan kuliah universiti,kecuali dua bulan tersebut.

Dua hari dari tiga hari Program FESTIVAL anjuran KBMK dan JPMK diadakan di luar waktu kuliah.Hanya hari khamis sahaja iaitu 9 April hari kuliah.Bandingkan program anjuran PMRAM,DPM dan BAKAN! Berapa banyak yang diadakan pada waktu kuliah?

Jangan meneguk di air yang keruh! Walau bagaimana pun,keperihatinan sebahagian mereka terhadap waktu kuliah ini amat dihargai dan seharusnya,mereka juga sebenarnya telah mengata diri mereka sendiri yang sering mengadakan program di waktu kuliah sedang berlangsung.Teringat saya pepatah melayu, “kata dulang,paku serpih,kata orang,awak yang lebih!”

Persoalannya,adakah benar kesangsian ditimbulkan atas faktor akademik atau kerana tujuan-tujuan tertentu? Barangkali mereka telah menghidu program seumpama festival mampu mengganggu gugat survival PMRAM dengan bersatunya kelak apa yang mereka panggil “IJAN” atau “NAJIS”,singkatan kepada NADI UMNO,ABIM,JIM dan ISMA

PMRAM di mana? Entiti ini maksum dan suci barangkali dari panggilan tersebut seperti mana SYIAH memaksumkan imam-imam mereka.Tahniah PMRAM dan ahlinya,gelaran yang ahli PMRAM berikan ini sungguh cantik dan melambangkan betapa tingginya akhlak mereka.Benar,pimpinan PMRAM tidak pernah memberikan kebenaran untuk ahlinya menggunakan jolokan tersebut,akan tetapi “DIAM”nya kepimpinan PMRAM dalam isu ini,membuatkan kita yakin, bahawa “DIAM,TANDA SETUJU!”.

AKTIVITI PERNIAGAAN DI KALANGAN MAHASISWA

Mahasiswa-mahasiswi harus kekal dengan niat menuntut ilmu sepanjang keberadaan di Mesir.Bagi saya, maksud menuntut ilmu tidak terbatas dengan hanya menghadirkan diri ke kuliah dan menelaah buku-buku rujukan atau bahan bacaan lain.

Skop menuntut ilmu harus dilihat secara lebih meluas meliputi hal-hal lain seperti kepimpinan dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain.Sebab itulah kita harus melihat banyaknya persatuan mahasiswa di Mesir ini dari aspek positif bukan negatif.
Percambahan persatuan mahasiswa di Mesir harus dilihat oleh semua pihak sebagai KEPELBAGAIAN atau “tanawwuk” dan bukan PERCAMBAHAN YANG BERSIFAT MENENTANG atau “ta’addud jamaah”.Jika PMRAM boleh menerima kepelbagaian dengan adanya DPM dan BAKAN,apa salahnya menerima persatuan-persatuan lain seperti Kelab UMNO,ABIM,PERUBATAN dan ISMA?

Mahasiswa Malaysia di Mesir hari ini telah mencecah hampir tujuh ribu orang.Persatuan mahasiswa yang banyak boleh membantu mereka sebagai wadah menuntut ilmu kepimpinan yang mana kelak apabila tamat pengajian akan membantu mereka berada di pentas perdana di Malaysia dengan jati diri dan keyakinan yang kuat.

Begitu juga dengan perniagaan.Perniagaan adalah satu bidang yang mulia dan aktiviti tersebut juga mampu mengajar seseorang ilmu pengurusan dan perancangan untuk menghasilkan keuntungan. Semasa di sekolah rendah,antara bacaan ringan yang saya minati ialah kisah perjalanan hidup Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu adalah perdana menteri Malaysia.

Beliau pernah menjadi peniaga goreng pisang di sekitar bandar Alor Setar.Barangkali aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan itu hari ini telah menjadi salah satu faktor kejayaan beliau sebagai antara tokoh yang dikagumi bukan sahaja di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa.Bagaimana mungkin doktor perubatan ini boleh menguruskan sebuah negara dan bercakap soal kewangan setempat dan global dengan baik dan dikagumi oleh masyarakat antarabangsa jika tidak didahului dengan secebis pengalaman lampau? Saya yakin,pengalaman beliau sebagai peniaga goreng pisang sedikit sebanyak membantu beliau lahir sebagai tokoh terkemuka hari ini.

Saya memandang tinggi usaha kecil sebahagian mahasiswa Malaysia yang rajin belajar ilmu perniagaan di bazar-bazar anjuran BAKAN,DPM bahkan FESTIVAL yang bakal dianjurkan juga akan menyediakan tapak untuk tujuan yang sama.

Namun,saya agak hairan,apabila melihat cara berniaga yang “pelik” di beberapa buah BAZAR BAKAN.BAZAR jenis apakah dan gaya mana yang ditiru apabila proses pembelian hanya dilakukan di KAUNTER sesudah itu,pembeli akan duduk di meja makan yang disediakan dengan masa yang agak lama.Apa salahnya jika terus melakukan pembelian melalui para peniaga? Bukankah cara tersebut lebih mudah dan cepat.Pernah saya menunggu makanan yang dipesan sehingga hampir sejam di sebuah BAZAR BAKAN!!!

Saya difahamkan BAZAR ASEAN tidak akan meniru gaya “pelik” tersebut.Tahniah kerana berani melakukan kelainan.Buat apa takut melakukan kelainan selagi mana kelainan tersebut tidak bertentangan dengan syarak!

KESIMPULAN

Saya yakin,FESTIVAL ASEAN akan mendapat sambutan luar biasa dari kalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir dan mahasiswa-mahasiswi asing.Program seumpama ini harus kerap daiadakan kerana ianya dapat memecah tembok kenegerian di kalangan mahasiswa malaysia teruatamanya mahasiswi.

Mahasiswa-mahasiswi yang hadir harus menjaga tatatertib seperti yang dianjurkan oleh syarak dan nilai ketimuran.Tidak sesuai lelaki dan wanita makan bersama-sama dan bergelak ketawa bergurau senda.Ingat,AL AZHAR memisahkan kampus lelaki dan wanita.Jika festival tidak mampu memisahkan lelaki dan wanita secara keseluruhan,sila bataskan pergaulan anda.Penganjur PROGRAM harus peka dengan isu ini agar kelak tidak mengundang fitnah.

Tiada ulasan: