Ahad, 23 Mei 2010

KONTROVERSINYA SI JUDI BOLA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Bermula dari sebuah status di ruangan laman web sosial "facebook", saya menerima banyak komentar atas isu yang saya bangkitkan yang mana isu ini adalah merupakan isu nasional saat ini.

2.Status saya berbunyi begini : "Judi adalah HARAM disisi syarak.Dalam isu JUDI BOLA,saya berpendapat,pihak berkuasa agama,haruslah bertindak pro aktif dalam memastikan tiada umat Islam terlibat dalam gejala berkenaan.Dalam isu kelulusan...itu adalah hak kerajaan,ini adalah kerana Malaysia negara majmuk.Orang bukan Islam ada hak untuk berjudi kerana agama mereka tidak melarang KERAS perbuatan berkenaan".

3.Rupa-rupa, ianya telah menarik perhatian rakan-rakan FB saya.Seperti yang dijanjikan,saya panjangkan perbincangan tersebut dalam blog peribadi untuk merungkai apa yang tersimpul disebalik kenyataan tersebut.

4.Bahang kepanasan
bola sepak piala dunia semakin terasa.Peminat-peminat pasukan tertentu akan memberikan sokongan dengan cara mereka.

5.Tidak kurang juga ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mempertaruhkan kemenangan kumpulan tertentu dengan wang ringgit.

6.Aktiviti tersebut tidak terlepas dari pandangan syarak dan perundangan.

7.Dari segi bahasa, judi adalah merupakan permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan.(lihat kamus dewan edisi ketiga, DBP, 2002, m/s 545)

8.Dari segi syarak, ia dikenali sebagai
Al-Maisir dan Al-Qimar yang bermaksud permainan yang mempunyai taruhan dan pemenang berhak mendapatkan taruhan berkenaan.

9.Menurut perspektif syarak, aktiviti tersebut adalah HARAM dan ianya berdasarkan dalil yang QATHIE' (mandatori).

10.Pengharaman tersebut jelas disebutkan oleh AL QURAN sebagai panduan dan perlembagaan umat Islam dalam dua surah yang berasingan iaitu surah Al Baqarah dan surah Al Maidah.

11.Ayat pengaharaman judi dalam surah Al Baqarah : "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219).


12.Manakala ayat pengharamannya dalam surah Al Maidah :
“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91).


13.Berdasarkan ayat-ayat tersebut, syarak melarang keras aktiviti perjudian dengan memerintahkan supaya ianya dijauhkan.Ini bermakna, umat Islam dilarang sama sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan.

14.Judi juga termasuk dalam mencari harta secara tidak sah.

15.Pihak berkuasa agama melalui akta-akta dan enakmen-enakmen yang dikuatkuasakan melalui jabatan-jabatan agama wilayah persekutuan dan negeri-negeri boleh mengambil tindakan ke atas umat Islam yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

16.Oleh yang demikian, pihak berwajib hendaklah mengambil peranan pro aktif membenteras penglibatan umat Islam.Pihak berkuasa agama Islam harus bertindak tegas bagi memastikan tiada umat Islam terlibat dalam aktiviti judi bola berkenaan.

17.Undang-undang dunia menetapkan bahawa judi yang "halal" adalah yang "berlesen". Oleh yang demikian,kelulusan dari pihak berkuasa haruslah diperoleh terlebih dahulu.

18.Pertimbangan syarak tidak pernah membezakan antara judi "berlesen" atau judi "tidak berlesen".

19.Justeru, apakah hukumnya meluluskan lesen judi berkenaan?

20.Jelas lagi tersuluh, hukum meluluskannya adalah HARAM berdasarkan kaedah fekah yang bermaksud "setiap yang diharamkan untuk diambil,haram untuk diberi".(lihat kaedah 64, m/s 398, juz pertama, dar el fekir, AL QAWAID AL FEQHIAH WA TADBIQATUHA FI EL MAZHAB EL ARBA'AH, Dr Muhammad Azzuhaili)

21.Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk.Malaysia bukan sahaja didiami oleh majoriti orang Islam,bahkan turut didiami oleh bukan Islam.

22.Persoalannya, adakah judi tersebut diharamkan oleh agama lain selain Islam? Jika benar diharamkan,apakah mereka mempunyai sumber yang kukuh dalam agama mereka bahawa judi diharamkan seperti orang Islam melalui kitabnya Al Quran? Jika mempunyai sumber tersebut,apakah ianya tidak bertentangan antara satu sama lain hingga mengundang perbahasan antara mereka?

21.Jika mereka tidak mempunyai sebarang sumber pengharaman seperti umat Islam,maka yang melarang adalah adat mereka dan hanya sebagai larangan "moral".

22.Oleh yang demikian, ianya boleh pada ketika dan tidak boleh pada ketika yang lain bagi penganut bukan Islam kecuali bagi mereka yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi.

23.Selagi mana ianya tidak diharamkan secara KEAGAMAAN, maka mereka bebas untuk terlibat dalam aktiviti tersebut.

24.Aktiviti tersebut perlu dikawal oleh perundangan.Jika tidak dikawal, ianya akan mengundang masalah yang lebih teruk.

25.Dalam konteks ini, PIHAK yang meluluskan hendak meletakkan batas yang ketat antaranya aktiviti JUDI BOLA tersebut hanya yang melibatkan orang bukan Islam dan orang Islam yang terlibat akan dikenakan tindakan keras sama ada pemilik premis atau selainnya.

26.Dalam proses kelulusan tersebut, orang Islam adalah DILARANG untuk terlibat dalam proses berkenaan sama ada menandatangani,menyiapkan dokumen dan sebagainya.Ianya berdasarkan kepada kaedah fekah yang telah disebutkan diatas.

27.Jelas di sini bahawa saya tidak menghalalkan yang haram.Sebagai seorang ahli syariah, amanah ilmu harus menjadi etika kita setiap masa.

28.Dalam menegur pihak kerajaan,sewajarnya kita menggunakan cara yang hikmah seperti yang dianjurkan oleh syarak melalui kitab suci umat Islam ayat 125 surah an nahl.

29.Budaya menggelar pemimpin dengan gelaran "bapa judi" adalah kurang sesuai mengikut adat ketimuran kita yang terkenal dengan lemah lembut dan tidak juga dianjurkan oleh syarak.

30.Sebagai golongan mahasiswa dan golongan berpendidikan, teguran haruslah dibuat dengan cara tersendiri dan tidak bias dengan cara politik kepartian.








Tiada ulasan: