Sabtu, 12 Februari 2011

ANALISIS REVOLUSI BELIA 25 JANUARI DI MESIR SIRI PERTAMA : FAKTOR - FAKTOR REVOLUSI




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger sekalian,

Saat saya menulis entri kali ini, Mesir bukan lagi dibawah pemerintahan PRESIDEN HUSNI MUBARAK.Seorang presiden yang memerintah lebih 30 tahun akhirnya meletakkan jawatannya lebih awal dari yang dijadualkan.

Dalam sejarah Mesir,tahun 1919 adalah Revolusi menentang penjajah Inggeris yang diketuai oleh SAAD ZAGHLUL.Nama beliau diabadikan di salah sebuah perhentian Metro bawah tanah.Pertengahan abad 20 pula,pada 23 Julai 1952,Mesir sekali lagi menyaksikan revolusi rakyat menentang rasuah dan kepincangan yang ada pada kerajaan ketika itu sehingga memaksa Raja Farok pertama turun takhta dan sekaligus mengakhiri siri pemerintahan keluarga Mohd Ali,bapa pemodenan Mesir di kurun ke 19.Saat itu,tentera telah mengetuai revolusi mereka.

Pada kurun ke 21 pula,revolusi rakyat Mesir sekali lagi muncul dengan kebangkitan pemuda dan belia yang menutut hak mereka.Maka,sejarah sedang tercatat saat ini,bahawa,25 Januari 2011 adalah merupakan REVOLUSI RAKYAT MESIR yang berjaya menyebabkan seorang presiden yang berkhidmat selama 30 tahun meletakkan jawatannya pada 11 Februari 2011.Revolusi ini diberi nama REVOLUSI BELIA 25 JANUARI.

ELBARADEI DAN WAEL GHANAIM

Persoalan utama dibenak fikiran ramai adalah,siapakah pencetus revolusi? Adakah rakyat Mesir sinonim dengan perkataan tersebut.Saya bukanlah pengulas yang baik akan tetapi saya cuba berkongsi hasil bacaan saya terhadap isu-isu di Mesir melalui akhbar-akhbar harian,majalah mingguan disamping perkongsian dan perbincangan bersama Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) atau DIPLOMAT MALAYSIA yang bertugas di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.Ini adalah kerana mereka amat mahir dengan bacaan isu-isu semasa sesuai dengan kerjaya mereka dalam bidang diplomatik.

Sebelum 25 Januari 2011,memang telah diketahui,pilihanraya parlimen yang berlangsung sebulan sebelum itu seolah-olah tidak mendapat sambutan rakyat.Ini adalah kerana,dalam 80 juta rakyat Mesir,hanya 40 juta sahaja yang layak mengundi dan dari angka itu kurang dari lima puluh peratus yang keluar mengundi.

Rakyat menyahut seruan EL BARADEI,seorang pemenang nobel yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Atom Dunia yang dibawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tokoh tersebut mempunyai penyokong melalui laman web Facebook dan Kesatuan Transformasi Kebangsaa yang diasaskan olehnya sejak pulang ke Mesir awal tahun 2010.

Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang menguasai majoriti di Parlimen Mesir,memberikan isyarat bahawa Presiden mereka juga dari parti yang sama sesuai dengan isu perlembangaan yang nyaring disuarakan jika tidak dipinda perkara berkaitan.

Selama ini juga,rakyat mendengar hasrat Presiden Husni Mubarak yang mahu meletakkan jawatannya dan tidak menyertai pilihanraya presiden.

Ditengah-tengah suasana ini,muncul seorang pemuda yang berpendidikan dan terpelajar bernama Wael Ghanaim.Pemuda inilah yang membela kematian seorang mahasiswa Universiti Iskandariah,Asy syahid Khalid Said,yang mati dibelasah teruk kononnya mengedar dadah.

Pemuda yang sama,dengan modus operandi yang sama,menggunakan laman sosial FACEBOOK, menggerakkan pemuda dan belia bersama-sama berkumpul di MEDAN TAHRIR atau DATARAN TAHRIR.Saya enggan menggunakan nama DATARAN MERDEKA seperti yang dipaparkan oleh UTUSAN MALAYSIA.Ini adalah kerana,TAHRIR telah menjadi nama khas dan ianya tidak diterjemahkan ke mana-mana bahasa seperti KAHERAH.Maka,tercatat dalam sejarah, pemuda bernama WAEL GHANAIM pencetus tunjuk perasaan anti kerajaan yang bermula pada hari rabu,25 Januari 2011.

Rumusannya,pemuda dan belia yang menyertai tunjuk perasaan adalah pemuda yang tidak mewakili mana-mana parti atau individu.Mereka mempunyai tujuan berbuat demikian.Apakah faktor utama yang mencetuskan revolusi ini?

FAKTOR REVOLUSI 25 JANUARI

Dengan jelas,pemuda-pemudi dan belia yang mengadakan tunjuk perasaan pada 25 Januari mempunyai tuntutan dan menamakan hari tersebut sebagai HARI MELAHIRKAN MARAH atau YOUM EL GHADAB!

Mereka mempunyai empat tuntutan utama yang memerlukan tindak balas dan jawapan dari pihak Kerajaan.Keempat-empat perkara tersebut adalah :

1) Membasmi kadar kemiskinan yang ketara
2) Menangani rasuah secara efektif
3) Menangani kadar pengangguran yang tinggi
4) Menangani kadar infasi yang tinggi dan gaji yang rendah

Keempat-empat isu tersebut menjadi isu utama dalam jeritan tunjuk perasaan.Namun,kerajaan Mesir,enggan mendengar dan tidak melayan suara mereka yang membawa kepada tunjuk perasaan yang berterusan.

Disamping keempat-empat isu tersebut,Presiden Husni Mubarak yang pernah mengumumkan hasrat tidak bertanding dalam pilihanraya presiden 2011,telah dengan sengaja membiarkan rakyatnya berteka-teki tentang individu yang bakal menggantikannya.

Dalam suasana teka-teki itu,terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa anak Mubarak yang aktif dalam politik dan memegang jawatan Ketua Biro Politik,Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) bakal menggantikan beliau.

Desas-desus itu tidak sedikit pun dijawab secara rasmi dari ISTANA PRESIDEN dan ianya berterusan bertahun-tahun sehingga menjadi bahan ulasan dan analisis beberapa akhbar di Mesir.

Justeru,rakyat telah lama bersuara berhubung ketidak puasan hati mereka tentang beberapa perkara berkaitan perlembagaan negara.Beberapa perkara dalam perlembagaan tersebut amat penting untuk mencorak masa depan dan hala tuju negara mereka.

Keenam-enam isu tersebut telah menjadi faktor utama tunjuk perasaan sehingga menjadi bom jangka yang menggerakkan tidur mereka.

TUNJUK PERASAAN DAN RUSUHAN

Penunjuk perasaan pada 25 Januari yang mulanya hanya berkumpul di Medan Tahrir dan beberapa tempat di govenerate lain akhirnya bertukar menjadi rusuhan apabila mereka dikasari dan ditembak dengan peluru hidup sehingga mengorbankan 38 nyawa pada 28 Januari.

Balai-balai polis dibakar dan pada masa yang sama,penjenayah turut terlibat sama merompak dan merosak aset negara dan harta awam.Penjenayah pula terlepas dari penjara.Ini lebih membahayakan keselamatan awam.

Setelah 18 hari mereka berhimpun,akhirnya PRESIDEN HUSNI MUBARAK melatakkan jawatannya sebagai presiden Mesir.Persoalannya,adakah beliau bersalah atas kepincangan yang berlaku? Apakah usaha terakhir beliau meredakan penunjuk perasaan? siapakah yang bakal menggantikan beliau? Adakah Mesir akan aman seperti sebelum 25 Januari? Akan saya cuba bahaskan insyaallah,dalam entri yang akan datang.

Tiada ulasan: