Ahad, 6 Mac 2011

ANALISIS REVOLUSI BELIA 25 JANUARI DI MESIR SIRI KETIGA : SIAPAKAH PRESIDEN MESIR SELEPAS MUBARAK?


AMRU MUSA,SETIAUSAHA AGONG LIGA ARAB DAN ORANG PERTAMA MENYATAKAN HASRAT BERTANDING DALAM PILIHANRAYA PRESIDEN MESIR



DR MUHAMAMAD EL BARADEI MENGUMUMKAN HASRATNYA UNTUK BERTANDING SETELAH PENGUMUMAN PINDAAN PERKARA 76 PELEMBAGAAN MESIR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

Saat ini,Mesir sedang diperhatikan oleh dunia kerana kisah revolusi 25 januari yang telah menyebabkan seorang presiden yang memerintah selama tiga dekad,meletakkan jawatannya enam bulan lebih awal.

Mesir pasca Mubarak adalah satu topik yang menarik untuk dibincangkan kerana pemerintahan Mubarak adalah selama 30 tahun dan pastinya terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian.Oleh yang demikian,entri kali ini akan cuba membincangkan isu siapakah bakal presiden Mesir.Saya agak lewat untuk menulis entri kali ini,kerana menunggu pengumuman Dr El Baradei.Setelah 6 hari dari pengumumannya,barulah saya berhasrat menulis entri kali ini.

SIAPA BAKAL PRESIDEN MESIR

Teka-teki siapakah bakal presiden Mesir sungguh hebat dimainkan saat ini.Pelbagai nama disebut-sebut bakal menyertai pilihanraya presiden.Sehingga entri ini ditulis,hanya AMRU MUSA dan EL BARADEI sahaja menyatakan hasrat untuk menyertai pilihanraya presiden.

Pilihanraya presiden kali ini adalah pilihanraya presiden kali kedua selepas kali pertama diadakan pada tahun 2005.Saat itu,MUBARAK telah memenangi pilihanraya berkenaan.Apa yang menarik kali ini adalah,sebuah pilihanraya presiden pasca revolusi 25 Januari.

AMRU MUSA CALON PRESIDEN PALING POPULAR?

Suka saya fokuskan kepada dua tokoh berkenaan walaupun sebenarnya,Dr Ahmad Zuwail, seorang saintis bertaraf dunia juga disebut-sebut sebagai presiden Mesir.Namun,peluang beliau menjadi lebih tipis jika melihat pindaan pelembagaan baru Mesir.

Amru Musa mempunyai peluang yang sangat cerah.Beliau merupakan bekas Menteri Luar Mesir dan sekarang sedang memegang jawatan Setiausaha agong Liga Arab.Beliau dengan penuh yakin,mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Setiausaha Agung badan dunia arab itu untuk penggal seterusnya bagi menyertai pilihanraya presiden Mesir.

Amru Musa adalah calon yang sangat popular.Bahkan,beliau adalah orang pertama yang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihanraya presiden.Media cetak dan elektronik,mula menyebut-nyebut nama beliau sejurus selepas 11 Februari,bahkan,laman web akhbar AL AHRAM pernah membuka undian kepada pembacanya dan jelas,undian terhadap AMRU MUSA sebagai presiden Mesir sangat tinggi.

Bagi saya,memang beliau calon yang sangat popular berdasarkan pengalaman peribadi yang turun ke MEDAN TAHRIR.Saya menemuramah beberapa penunjuk perasaan pada 12 Februari 2011 dan kebanyakkan dari mereka menyebut nama AMRU MUSA.

Beliau juga dilihat antara tokoh yang berani turun ke Medan Tahrir menemui para penunjuk perasaan dan berusaha meleraikan mereka.Namun,usaha beliau menemui kebuntuan.Penunjuk perasaan berkeras mahukan Husni Mubarak meletakkan jawatannya ketika itu.

Faktor lokasi Pejabat LIGA ARAB yang terletak di TAHRIR mungkin sahaja dilihat sebagai antara faktor mengapa AMRU MUSA sangat dekat di hati penunjuk perasaan disamping ketegasan dan kelantangan beliau dalam mengemudi isu ISRAEL - PALESTIN.

Namun,terdapat beberapa halangan untuk AMRU MUSA berjalan menuju ke istana presiden.Ini adalah kerana,beliau pernah duduk dalam kerajaan HUSNI MUBARAK sebagai menteri luar sebelum dilantik ke jawatan setiausaha agung Liga Arab.

Beliau juga pernah menyatakan sokongan terhadap Husni Mubarak secara terang-terangan dan berjanji akan mencalonkan beliau jika tiada sesiapa berbuat demikian.Walaupun kenyataan beliau dikeluarkan sebelum 25 Januari 2011,ianya tetap menjadi liabiliti kepada beliau.

Amru Musa cuba membersihkan imej beliau dengan menyatakan maksud disebalik kenyataan itu adalah kenyataan yang menolak pencalonan Jamal Mubarak,anak Husni Mubarak sebagai presiden Mesir.Kenyataan tersebut dibuat dalam satu sesi temuramah yang disiarkan oleh akhbar harian EL SHOROUK pada 10 Mac 2011.

AMRU MUSA adalah saingan hebat Dr El Baradei dalam pilihanraya Presiden kelak.Ini adalah kerana Amru Musa mempunyai karisma beliau tersendiri dan sumbangannya yang bukan kecil dalam isu Israel - Palestin terutamanya dalam isu menyelesaikan pertelingkahan antara HAMAS dan FATAH.

Rakyat Mesir pasti tidak boleh lupa keberanian beliau yang "turun padang" ke Genting Gaza, Palestin, untuk melihat sendiri situasi disana.Beliau mengadakan pertemuan dengan Ismail Haniah,bekas Perdana Menteri pihak berkuasa Palestin dan bukan hanya bertemu dengan pemimpin FATAH.

DR EL BARADEI CUCU ULAMA AL AZHAR

Nama Dr El Baradei bukan asing di peringkat antarabangsa dan di peringkat nasional.Bekas Ketua Pengarah Agensi Atom Dunia yang bernaung di bawah PBB,adalah antara rakyat Mesir yang dianugerahkan NOBEL antarabangsa.DR EL BARADEI adalah anak kepada Presiden Majlis Peguam Mesir dan cucu antara para syeikh Al Azhar.

Kepulangan beliau pada 19 Februari 2010 ke tanah tumpah darahnya,Mesir adalah diibaratkan bagai sirih pulang ke gagang.Beliau bukan sahaja disambut dengan sokongan moral ratusan orang di Lapangan Terbang Kaherah,bahkan dijemput dalam sesi temuramah beberapa stesen TV tempatan dan antarabangsa.

Beliau mengasaskan sebuah pertubuhan yang diberi nama Pertubuhan Transformasi Kebangsaan yang mengumpulkan para aktivis dari kalangan pemuda dan belia.Laman sosial FACEBOOK juga menjadi antara elemen beliau mempromosikan perjuangannya.

Beliau dilihat tidak gopoh untuk mengumumkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya presiden.Antara 19 Februari 201o sehingga 3 Mac 2011,beliau masih mengumumkan bahawa tidak akan bertanding dalam pilihanray presiden.

Ini adalah kerana,peruntukan artikel 76 pelembagaan Mesir telah menghalang beliau dari menyertai pilihanraya berkenaan.Saat beliau pulang,isu pelembagaan mula diperbahaskan terutamanya akhbar-akhbar harian.

ramai yang mahu agar perkara 76 itu dipinda, namun,pemerintah Mesir saat itu gagal mendengar rungutan-rungutan berkenaan sehingga membawa kepada antara sebab perhimpunan besar-besaran di Medan Tahrir.

Namun,segalanya berubah pada 4 Mac,apabila Majlis Tertinggi Tentera mengumumkan pungutan suara terhadap pindaan pelembagaan yang akan diadakan pada 19 Mac 2011 dimana perkara 76 turut dipinda.El Baradei mengumumkan secara rasmi hasrat beliau bertanding dalam pilihanraya presiden pada 9 Mac 2011.Walau bagaimana pun,Dr El Baradei menolak pindaan pelembagaan dan menuntut sebuah pelembagaan baru.Ianya senada dengan kenyataan AMRU MUSA.

Namun,jalan beliau untuk menuju ke istana presiden juga bukan mudah.beliau dibayangi isu laporan senjata nuklear yang membawa peperangan Iraq, kehancuran Iraq dan status agama menantunya.

Namun,ianya telah dijawab oleh beliau melalui temuramahnya yang disiarkan oleh akhbar Mesir.Namun,tidak dapat dijangka,sejauh manakah penerimaan rakyat terhadap jawapan beliau.Bagi saya,ketokohan beliau amat diperlukan untuk memajukan semula negara Mesir.

PENTINGNYA PRESIDEN MESIR

Mesir adalah negara Islam paling maju dalam catatan sejarah dunia moden.Ketika Malaysia masih dijajah British,Mesir terkenal dengan kilang tenunan kain kapas dan terusan suez.Bukan itu sahaja,wang Mesir adalah meruapakan wang paling berharga satu ketika dahulu.Kemajuan Mesir adalah setanding dengan negara barat yang lain seperti Britain dan Francis.

Seawal tahun 1881,Mesir mempunyai sistem keretapi ringan yang masih boleh dilihat di Iskandariah sehingga hari ini.British pernah meminta bantuan kewangan dari Mesir ketika perang dunia pertama malangnya setelah itu,Bristish mencampuri banyak urusan dalam negara Mesir melalui kedutaan besarnya sehingga rakyat menjerit revolusi pada Jun 1952.

Paling penting adalah,AL AZHAR berada di Mesir dan peranannya sangat besar dalam dunia Islam.AL AZHAR adalah benteng ilmu umat Islam.Tanpa AL AZHAR,Islam akan masih dituduh penganjur keganasan dan Islam tersebar melalui ketajaman pedang.

Presiden Mesir adalah orang yang sangat penting dalam menentukan hala tuju negara ini.Secara peribadi,saya amat berharap agar Mesir mengetuai negara Islam kerana keserdahanaan Islam yang digarapkan oleh AL AZHAR.

Semoga perubahan sistem politik di Mesir akan mendatangkan kebaikkan kepada negara yang bersejarah ini.Persoalannya,adakah dengan hanya pindaan pelembagaan akan berjaya mengubah Mesir? Apakah perkara-perkara yang dipinda dalam pelembagaan Mesir? akan saya kupaskan isu ini dalam analisis seterusnya.

Tiada ulasan: