Sabtu, 7 Jun 2014

POLITIK MESIR DI ERA REPUBLIK KETIGA : PRESIDEN BERKUASA TERHAD

 

Presiden Abdel Fattah Hussien Khalil Al Sisi, presiden pertama bagi republik ketiga Mesir.


Amru Musa disebut-sebut bakal speaker parlimen yang akan memainkan peranan penting dalam perkongsian kelak.


Parti Al Wafdu aliran Sekular berusaha menguasai majoriti di parlimen


Sayid Badwi, Presiden Parti Al Wafdu.Berjayakah mereka menandingi Islamis dalam pertempuran seterusnya? 

Parti An Nur aliran Salafi dikatakan akan berperanan menggantikan Ikhwan Muslimin dalam usaha penguasaan majoriti di Parlimen akan datang.

PARA BLOGGER SEKALIAN, 

1.Tiada siapa mampu menolak ketentuan Allah S.W.T. Dengan takdirnya, saya telah menyaksikan tiga pilihanraya presiden Mesir.2005 di zaman Mubarak, 2012 pemiliham Mursi dan kali ini, 2014 pilihanraya Presiden yang dimenangi Abdel Fattah Hussin Khalil AL SISI.Pada 8 jun 2014, jam 10.30 pagi di Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir, AL SISI mengangkat jawatan sebagai Presiden yang sah bagi republik ketiga dalam sejarah republik sejak sistem monarki dimansuhkan pada 1953.

2.Pilihanraya kali ini amat bermakna kerana Mesir telah mengalami dua revolusi dalam masa dua tahun!! Revolusi rakyat 25 Januari 2011 yang menyaksikan Regim Husni Mubarak jatuh dan sekali lagi, Revolusi rakyat 30 Jun 2013 yang menyaksikan regim yang memanipulasi agama, Muhammad Mursi jatuh dengan 33 juta tandatangan rakyat yang mahu tentera campur tangan menumbangkan regim dan dibuktikan dengan perhimpunan besar-besaran serentak di semua bandar utama di Mesir. 

3.Media antarabangsa dengan sengaja memainkan peranan utama mencalarkan imej Mesir dengan fokus pada beberapa Pusat Pengundian yang kurang menerima kedatangan pengundi di tengah-tengah cuaca panas terik yang membahang hingga mencecah 46 darjah celcius! Dalam hal ini, AL JAZEERA adalah pemain terbaik.Pelik Bin Hairan, mengapa AL JAZEERA tidak membuat liputan secara langsung pada pagi dan petang hari mengundi? Orang Mesir terkenal dengan sikap "waktu akhir" mereka.

4.Namun, jumlah pengundi kali ini lebih baik berbanding pilihanraya presiden 2012 ketika memilih mursi, bahkan, peratusan kemenangan AL SISI pada pilihanraya presiden 2014 jauh lebih selesa iaitu lebih 96 peratus berbanding Mursi yang menang hanya 51 peratus, beza yang tipis dengan pesaingnya Jeneral Utama Dr Ahmad Syafiq yang memperoleh 49 peratus. 

5.Pilihanraya kali ini tidak dilaksanakan secara "syok sendiri" sebaliknya diperhatikan oleh lebih seribu pemerhati antarabangsa.Ini menjadikan pilihanraya Presiden kali ini diiktiraf dunia antarabangsa dan diperakui bersih.Pilihanraya presiden kali ini juga tidak dicemari dengan KEMPEN MELAMPAU dengan janji palsu kurang siuman seperti JANJI 100 HARI yang menjadikan akhbar-akhbar utama membuat COUNTDOWN dan apabila tamat, ianya dijadikan bahan ketawa.Kedua-dua calon pilihanraya kali ini tidak membuat janji palsu seperti yang pernah berlaku oleh calon2 pilihanraya presiden 2012.

6.Sesekali, ugutan denda bagi mereka yang tidak keluar membuang undi dan lanjutan hari mengundi dijadikan isu oleh media tertentu.Namun, ditengah-tengah suasana itu, mereka terlepas pandang soal penguatkuasaan terhadap sesuatu yang sedia ada! Mereka juga dengan segaja cuba merosakkan imej pilihanraya Mesir dan presiden yang bakal memenangi pilihanraya apabila hari tambahan membuang undi cuba dijadikan polemik untuk mendatang keraguan ramai.

7.Mujurlah Mesir lebih teliti dari awal.Kehadiran lebih seribu orang pemerhati antarabangsa dari Eropah, Kesatuan Afrika dan Liga Arab menenggelamkan segala usaha jahat. 

KENAPA BEKAS TENTERA? 

8.Malaysia tidak diperintah oleh bekas tentera.Dalam sejarah negara kita, Malaysia diperintah oleh tiga orang peguam (Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn), seorang doktor perubatan (Tun Dr Mahathir Mohammad) , seorang bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (Tun Abdullah Badawi) dan kini, pemegang ijazah  ekonomi perundustrian (YAB Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sekarang).

9.Latar belakang Malaysia tidak sama seperti Mesir.Sejarah juga berbeza.Malaysia bukan negara target musuh tradisi, Israel.Malaysia tidak pernah mengalami rampasan kuasa oleh tentera kerana campur tangan keterlaluan British dan penguasaan Suez seperti yang tercatat dalam sejarah rampasan kuasa 1952.Malaysia tiada gerakan yang memanipulasi agama yang mempunyai pasukan separa tentera dan pernah menyertai peperangan di Palestin era 1940 an yang kini gerakan tersebut mencecah usia 80 tahun disamping mempunyai banyak sel di banyak unit akar umbi.Barat tidak merancang memisahkan Malaysia kepada beberapa negara kecil yang dipisahkan atas faktor agama berbanding Mesir yang telah dirancang oleh kuasa barat ke arah Mesir Kristian dan Mesir Islam seperi Sudan hari ini yang terpisah dengan Sudan Utara (Islam) dan Sudan Selatan (Kristian).

10.Faktor-faktor di atas antara punca Mesir memerlukan seorang presiden yang mempunyai latar belakang ketenteraan dan perisikan.Bukan mudah untuk bercakap soal politik Mesir dengan memisahkan institusi ketenteraannya.

POLITIK BARU

11.Namun, apa yang baru di Mesir kali ini, sistem pentadbiran Mesir menuju ke arah sistem perkongsian kuasa antara Eksekutif (Presiden) dan legaslatif (parlimen) pada skala besar.

12.Presiden Mesir bukan seperti presiden-presiden sebelum ini yang berkuasa penuh.Perlembagaan baru Mesir menghalang kewujudan FIRAUN dan DIKTATOR baru.

13.Kuasa majoriti di parlimen amat penting dalam pembentukan kerajaan, dasar luar, program pembangunan negara, perisytiharan perang dan darurat bahkan mmepunyai kuasa pemecatan kerajaan dan presiden sendiri.

14.Di sinilah tanda tanya hampir terjawab, mengapa kumpulan Islamis Salafi, saki - baki Ikhwan Muslimin, dan Islamis lain menyepi diri dalam pilihanraya presiden sebelum ini sedangkan, mereka mampu meletakkan calon atau sekurang-kurangnya, meletakkan proksi. 

15.Perkara 146 perlembagaan baru Mesir memperuntukkan, Presiden hendaklah mendapat kepercayaan atau sokongan majoriti parlimen untuk pembentukan kabinet dan membentangkan program pembangunan negara di parlimen.Jika gagal mendapatkannya dalam masa 30 hari, parti yang mendapat kerusi majoriti atau terbanyak hendaklah membentuk kerajaan.Jika kabinet gagal terbentuk, parlimen kan dibubarkan dan pilihanraya parlimen hendaklah diadakan 60 hari dari tarikh pegumuman bubar.

Mesir di zaman Mubarak dan Mursi bebas melantik sesiapa sahaja dengan kuasa penuh presiden.

16.Bagi pelantikan jawatan strategik seperti Menteri Pertahanan, Menteri Dalam negeri, Menteri Kehakiman dan Menteri luar pula, perkara yang sama perlembagaan baru juga memperuntukkan, presiden tidak lagi mempunyai kuasa penuh melantik, sebaliknya, ianya mesti setelah mendapat nasihat dari Perdana Menteri.

Di Zaman Mursi, jawatan Menteri Dalam negeri dipegang oleh dua orang dalam masa setahun hasil dasar dan polisi Presiden yang mencampur urusan keselamatan seperti Terowong di Rafah dan Isu-isu pengganas yang sedang membiak ketika itu di Sinai.

17.Perkara 147 perlembagaan baru Mesir tidak membenarkan presiden memecat perdana menteri seperti yang berlaku di zaman Dr Kamal Al Ganzouri era 90 an.Pemecatan kabinet hendaklah mendapat persetujuan majoriti parlimen begitu juga dengan rombakan kabinet dengan kehadiran sidang parlimen hendaklah tidak kurang 1/3 dari jumlah kerusi parlimen.

18.Manakala Perkara 148 pula melarang Presiden menyerahkan sebahagian kuasanya atau kerjanya selain Perdana menteri, Timbalannya, Menteri Kabinet, dan para Gabenor wilayah.Ini adalah salah satu cara menghalang pihak ketiga masuk campur dalam pentadbiran Mesir seperti yang dilakukan oleh Anak Mubarak, Gamal Mubarak di zaman Mubarak dan dMursyidul Am atau Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin di zaman Mursi di mana, campur tangan Shater Khairat dalam pentadbiran kerajaan ketika itu melampau batas. 

19.Jika sebelum revolusi 25 Januari 2011 Presiden Mesir mempunyai kuasa penuh untuk mengumumkan dan menguatkuasakan undang-undang darurat, maka kali ini pula, Perlembagaan baru masih memenuhi tuntutan revolusi 25 Januari agar darurat bukan kuasa penuh Presiden bahkan dengan persetujuan parlimen dan terhad kepada tiga bulan sahaja berbanding sebelum revolusi 25 Januari yang dikuatkuasakan bertahun2.Setelah tamat tempoh, jika ada keperluan, ianya boleh diteruskan untuk tempoh tiga bulan lagi dengan persetujuan dua pertiga ahli parlimen.Semua ini diperuntukkan dalam perkara 154 perlembagaan baru.

20.Ringkasnya, Perkara 146 hingga 157 perlembagaan baru Mesir yang digubal selepas pungutan suara pada tahun 2014 telah mengurangkan kuasa presiden bagi mengelak kemunculan Firaun atau Diktator baru. 

PENUTUP 

21.Persoalan yang berbaki, siapakah pemain politik seterusnya untuk berkongsi kuasa dengan presiden AL SISI? AL SISI berkali-kali menegaskan, beliau tidak akan menubuhkan parti untuk membina kekuatan yang boleh membantu menguasai parlimen. 

22.Ramai penganalisis Politik Mesir menjangkakan, parti AL WAFDU (aliran sekular) akan menguasai lanskap politik yang akan datang.Begitu juga pengaruh bekas Ketua Panel Jawatankuasa 50 Penggubal Perlembagaan, Amru Musa dikatakan akan memainkan peranan sebagai Speaker Parlimen Mesir.

23.Adakah mereka mampu menangani pengaruh Islamis yang telah jelas menunjukkan pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi pada pilihanraya parlimen 2012? 

24.Senyapnya ISLAMIS pada pilihanraya presiden kali ini adalah satu strategi bijak yang mungkin boleh menjadi bom jangka pada pilihanraya parlimen akan datang.Adakah strategi mereka akan berjaya? 

25.Akhirnya kita melihat, pertempuran sebenarnya kali ini, bukan pada pilihanraya Presiden, sebaliknya, pada pilihanraya parlimen yang merupakan kata kunci sebenar yang akan menentukan kemanakah Mesir selepas ini.Pilihanraya parlimen dijangka akan diadakan dalam masa sebulan setengah dari sekarang. 

26.Sama-sama kita doakan agar mesir berjaya dalam proses pembentukan republik ketiga.Insyaallah, jika ada kesempatan, saya cuba berkongsi berkenaan keadilan sosial, ekonomi dan AL AZHAR. 

Tiada ulasan: