Khamis, 11 Mac 2010

BELASUNGKAWA AL MARHUM SYEIKH TANTAWI


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

1.Fadhilat El Imam El Akbar,Prof Dr Muhammad Said Tantawi adalah merupakan syeikh Al Azhar yang telah berkhidmat kepada dunia Islam.Kehilangan beliau satu musibah dan kerugian bagi umat Islam.

2.Dilahirkan di Kampung sulaim Asy Syarqiah,daerah Tama dalam negeri (govenerate) Suhaj pada 28 Oktober tahun 1928.Tahun kelahiran beliau sama dengan tahun kelahiran presiden Mesir sekarang, Presiden Husni Mubarak.

3.Mula mendapat pendidikan di peringkat rendah di kampungnya,menghafal Al Quran dan kemudian menyambung pengajian di Sekolah Tinggi Agama Al Iskandariah pada tahun 1944.

4.Setelah menamatkan pengajiannya di peringkat menengah,beliau menyambung pengajian di peringkat Universiti di fakulti Usuluddin,Universiti Al Azhar dan berjaya memperoleh ijazah sarjana muda pada tahun 1958.

5.Setelah itu,beliau berjaya memperoleh Sijil IKTISAS dalam bidang pendidikan pada tahun 1959.

6.Pada 5 September 1966,beliau berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang tafsir dan hadis dengan keputusan cemerlang (mumtaz).

7.Dengan kelayakan yang dimiliki,beliau dilantik sebagai pensyarah di fakulti usuluddin, Universiti Al Azhar pada tahun 1968.

8.Dengan Kepakaran yang dimiliki, telah menyebabkan beliau dipinjam oleh LIBYA selama empat tahun di Universiti Islam Libya antara tahun 1972 hingga 1976.

9.Pada tahun 1976,beliau kembali ke Mesir dan dilantik sebagai dekan fakulti usuluddin Universiti Al Azhar Kampus ASYUT,Mesir.

10.Sekali lagi beliau dipinjamkan dari Al Azhar ke Universiti Islam Madinah Al Munawwarah sebagai Dekan Pengajian Tinggi dari tahun 1980 hingga 1984.

11.Bagai sirih pulang ke gagang,beliau kembali ke Mesir pada tahun 1985 dan ditugaskan sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab,(Dirasat El Islamiah wal arabiah) kampus lelaki,Universiti Al Azhar selama setahun.

12.Kepakaran dan keilmuan beliau terserlah hingga dilantik oleh kerajaan Mesir sebagai Mufti Negara Mesir pada 28 Oktober 1986,dalam usia genap 58 tahun.

13.Tanggal 28 Mac 1996,setelah hampir sepuluh tahun memegang jawatan mufti Mesir,beliau dilantik sebagai Syeikhul Azhar,jawatan tertinggi dalam institusi agama Islam di Mesir yang sama tarafnya dengan Perdana Menteri Mesir.

14.Setelah hampir empat belas tahun bergelar Syeikhul Azhar yang berkhidmat bukan sahaja untuk Mesir bahkan dunia Islam seluruhnya,beliau meninggalkan dunia yang fana ketika umur 82 tahun pada tepat jam 8 pagi,10 Mac 2010 sebelum memasuki kabin Kapal Terbang untuk pulang dari Riyadh,Arab Saudi ke Mesir.Pakar perubatan Arab Saudi mengesahkan beliau meninggal dunia kerana lemah jantung.

15.Beliau meninggalkan tiga orang anak,dua orang lelaki dan seorang perempuan,Yang Arif Mustasyar Amru Tantawi,seorang ketua hakim mahkamah,Ahmad Tantawi,seorang pegawai di salah sebuah syarikat petroleum dan Dr Thanak,seorang doktor perubatan.

16.Jenazah Al Marhum diterbangkan dari Riyadh,ibu negara Arab Saudi ke Madinah Al Munawwarah,menaiki pesawat diraja dan diiringi oleh keluarga Al Marhum.

17.Anak lelaki beliau,Yang Arif,Mustasyar Amru Tantawi sendiri mengimamkan solat jenazah ayahanda beliau di Masjid Nabawi,Madinah Al Muanawwarah yang juga turut di hadiri oleh Alim ulama, Menteri pertahanan Mesir dan kerabat diraja Arab Saudi.

18.AL MARHUM Syeikh El Imam El Akbar,Prof Dr Said Muhammad Tantawi dimuliakan oleh Allah S.W.T dengan disemadikan berhampiran jasad Rasulullah S.A.W dan disamping para Sahabat R.A di perkuburan Baqi'.Majlis pemakaman ulama tersohor ini dilakukan setelah waktu isyak pada hari yang sama.

19.Pemergian beliau adalah musibah bagi umat Islam dan lebih bertambah musibah apabila akan turut disusuli oleh ulama lain selepas ini.Sesungguhnya,ilmu itu tidak ditarik dengan terangkatnya ilmu tersebut,akan tetapi hilangnya ilmu dengan perginya ulama dari dunia yang fana.

20.Semoga Allah merahmati jenazah Al Marhum dan ditempatkan bersama para anbia' , para rasul, orang-orang yang soleh dan pada syuhada' sesuai dengan jasanya yang memepertahankan Islam dan mengetuai benteng utama umat Islam,Al Azhar Al Syarif.

Al Fatihah...

(nantikan coretan saat akhir sebelum pemergian Al Marhum dalam entri seterusnya).

Tiada ulasan: