Ahad, 22 Mac 2009

HUKUM PEMINDAHAN ORGAN DENGAN TANPA IZIN TERHADAP BANDUAN AKHIR



Assalamualaikum,

Para Blogger yang dihormati sekalian,

Ilmu fekah sentiasa berkembang seiring dengan peredaran zaman.Setiap apa yang berlaku di sekitar kita tidak terlepas dari perhatian Islam yang sememangnya disyariatkan untuk menyelesaikan masalah manusia dan memandu manusia ke jalan kebenaran.Ulama pula berfungsi sebagai golongan yang sentiasa memberikan penjelasan dan perantara untuk menyelesaikan masalah umat sesuai dengan kewibawaan dan ilmu mereka.Isu yang berlaku di Mesir baru-baru ini amat menarik untuk saya ulas kali ini berdasarkan pembacaan akhbar harian di Mesir yang menjadi bacaan saya.

KEPUTUSAN MAHKAMAH KAFR EL SYEIKH

Salah sebuah mahkamah jenayah di Mesir,di bandar Kafr El Syeikh telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepuluh penjenayah yang didapati bersalah menculik dan merogol seorang wanita secara bergilir-gilir dengan ancaman bersenjata.

Akhbar Al Ahram melaporkan,mahkamah tersebut telah mencatatkan satu detik bersejarah dimana sebelum ini,tiada satu pun kes hukuman mati dijatuhkan oleh mahkamah berkenaan.

Dalam satu kejadian pada bulan Januari tahun 2006,seorang wanita yang merupakan isteri seorang suami telah diculik oleh sekumpulan lelaki dan dilarikan dengan menggunakan sebuah van pengangkutan awam (makrobus).

Punca kejadian dipercayai adalah kerana suami wanita berkenaan pernah menolak pinangan salah seorang tertuduh untuk mengahwini adik perempuannya.Akibat dendam yang terbuku di hati tertuduh mendorongnya bersama rakan-rakan yang lain untuk membalas dendam dengan menculik dan merogol isteri lelaki berkenaan bahkan semasa dirogol secara bergilir-gilir,lelaki yang merupakan tertuduh utama telah menghubungi suami mangsa untuk datang ke tempat kejadian dan melihat sendiri adegan rogol secara bergilir-gilir tersebut.

Walau bagaimana pun,pihak keselamatan Mesir berjaya mengepung dan menangkap mereka setelah berbalas tembakan.Setelah lebih tiga tahun tragedi berkenaan,pada 4 Mac 2009,setelah mendapat persetujuan dari MUFTI NEGARA REPUBLIK ARAB MESIR,mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati keatas semua tertuduh dan mereka didapati bersalah atas tuduhan menculik dan merogol secara bergilir dengan ancaman bersenjata.


SYEIKH Al AZHAR KELUAR FATWA

Al Azhar adalah merupakan sebuah institusi yang menjaga kesucian Islam dan kemaslahatan umat Islam dan peranannya tidak terbatas di Mesir, bahkan di seluruh dunia.Justeru,keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah jenayah tersebut mendapat perhatian ulama Mesir yang memegang jawatan tertinggi dalam institusi Al Azhar sebagai Syeikh Al Azhar.

Al Imam Al Akbar,Dr Muhammad Said Tantawi,Syeikhul Azhar telah mengeluarkan fatwa bahawa organ pesalah yang dijatuhi hukuman mati kerana jenayah bunuh dengan sengaja dan cabul kehormatan,boleh dimanfaatkan secara perubatan seperti pemindahan organ atau replantasi (menanam semula) anggota badan kepada orang lain tanpa disyaratkan mendapat persetujuan dari mereka seperti kebiasaannya.

Akhbar Al Ahram menyiarkan fatwa tersebut pada 12 Mac yang lalu beberapa hari setelah hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.Walau bagaimana pun,beliau menegaskan bahawa jual beli terhadap organ dalaman dan anggota tubuh badan manusia adalah HARAM walau dalam apa keadaan sekali pun.

Menurut Syeikh Al Azhar lagi,pesalah yang dijatuhi hukuman mati tidak mempunyai hak (wilayah) yang diiktiraf dalam Islam terhadap dirinya.Pemindahan organ yang dilakukan tersebut adalah kerana untuk menyelamatkan nyawa pesakit dengan tanpa sebarang pampasan atau persetujuan dari ahli keluarga mereka.

Perkara tersebut diulas oleh beliau dalam persidangan ke 13 Akademi Pengkajian Islam yang diadakan bagi membincangkan isu pemindahan organ dan replantasi (menanam semula) anggota badan.Antara mereka yang hadir dan mengambil bahagian adalah Prof Dr Yusof Al Qardhawi,presiden kesatuan ulama sedunia,Prof Dr Nasir Farid Wasil,bekas Mufti Mesir,Dr Hamdi Zakzuk,Menteri Wakaf Mesir dan Prof Dr Ahmad Taib,bekas pemangku Mufti Mesir dan Rektor Universiti Al Azhar Al Syarif.

Persidangan tersebut telah memutuskan bahawa menderma organ,memindahnya dan replantasi (menanam semula) anggota badan kepada orang lain adalah HARUS disisi syarak dengan menjaga beberapa prinsip tertentu.

Organ yang hendak dipindahkan adalah organ yang tidak membahayakan nyawa pemberi atau penderma seperti jantung.Ianya adalah merupakan antara prinsip yang perlu dijaga dalam pemindahan organ.

Selain itu,tujuan utama berbuat demikian adalah kerana keadaan yang terdesak (darurat) atau kerana keperluan rawatan yang menjadikan ianya keperluan yang teramat sangat.Ianya berdasarkan kaedah fekah yang berbunyi “Darurat (keadaan yang terdesak) membolehkan perkara yang terlarang” dan kaedah fekah yang berbunyi “kehendak (hajat) terhadap sesuatu menduduki tempat keperluan (darurat)”.

Justeru,Islam amat menganjurkan umatnya bersikap tolong menolong sesama muslim dan berkorban untuk saudara seagama.Namun haruslah dipastikan bahawa penderma yang masih hidup yang mahu mendermakan organnya tidak menghadapi sebarang risiko yang boleh membahayakan dirinya sendiri terhadap tindakannya itu.Perkara tersebut hendaklah disahkan oleh para doktor perubatan yang diiktiraf.Ini adalah kerana memastikan tubuh badan terus dalam keadaan sihat dan menjaga maslahah diri seseorang itu lebih utama dan merupakan salah satu dari makasid syariah (tujuan atau maksud pensyariatan Islam) yang harus dijaga oleh setiap individu.

Pendermaan organ ini haruslah mendapat izin dari individu terbabit atau telah diwasiatkan oleh penderma jika yang mendermakan organ tersebut telah meninggal dunia,melainkan dalam kes pesalah hukuman gantung sampai mati seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Jika yang meniggal dunia itu kanak-kanak atau mereka yang belum sampai umur akil baligh, ibu bapa atau penjaga hendaklah memberikan keizinan terlebih dahulu.Seorang yang meninggal dunia dan identitinya tidak diketahui setelah dilakukan proses yang berkaitan,maka,hakim boleh memberikan keizinan.

KESIMPULAN

Di Negara kita,hukuman gantung sampai mati kebiasaanya yang dipaparkan oleh akhbar adalah terhadap penjenayah yang terbabit dalam kes bunuh dan pengedaran dadah.Jika dalam kes bunuh,jelas,ianya juga selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Al Azhar.namun, bagaimana agaknya dengan kes penjenayah yang mati ditali gantung akibat pengedaran dadah?

Kempen menderma organ seringkali kelihatan di kaca televisyen di malaysia.Namun adalah diharapkan prinsip-prinsip dalam proses berkenaan hendaklah dipelihara dan dipastikan ianya dipatuhi sesuai dengan persidangan ke 13 akademi pengkajian Islam Al Azhar.Bukan sahaja di Mesir,di Malaysia dan dimana sahaja Negara umat Islam,prinsip yang diputuskan oleh persidangan tersebut amat sesuai untuk diguna pakai.Kredebiliti ahli-ahli persidangan yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai sandaran akademik yang jelas juga jasa mereka di peringkat antarabangsa dalam menyelesaikan sebahagian isu umat Islam seluruh dunia harus dihargai bersama.

1 ulasan:

redho_elbadry berkata...

Saya tidak berniat untuk komen entri akhi.Cuma sekadar mengucapkan mengucapkan terima kasih di atas kehadiran akhi di Ijtima' Umumi PMRAM semalam.Apa pun saya berharap jika akhi ada komen tidak usahlah buat entri khas "laporan sidang" kerana cukuplah PMC sebagai pengulas Rasmi.Jika ada cadangan & teguran terus berhubung melalui saluran rasmi PMRAM baik secara bertulis/bersemuka.Kerana di situ dapat mempertautkan ukhwah.Siapalah saya insan yg belum tamat (BA)jauh sekali (MA.Cadangan saya teruskan penulisan ilmiah tentang akademik.Kerana di sana ada kelebihannya.Seperti yang saya bicara kepada akhi di ARMA tempoh hari.Sekian ,..dr insan biasa.

http://redho21.blogspot.com