Jumaat, 3 Julai 2009

DMAK,TERBAKAR ATAU DIBAKAR? APA KESUDAHANNYA?



Assalamualaikum,

Para blogger yang saya hormati sekalian,

Pada 18 Jun 2009,ketika saya masih bersama program pengantarabangsaan Universiti Malaya di Mesir,saya amat terkejut mendapat berita bahawa Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) terbakar.Macam-macam bermain di kotak fikiran saya.Masih segar dalam ingatan saya sebagai bekas penghulu aras 6 DMAK sekitar tahun 2005 hingga 2006,bagaimana situasi DMAK yang baru selesai dibaik pulih.Masih segar diingatan saya sikap penghuni DMAK.Masih tidak lupa tentang beberapa sistem keselamatan yang tinggi di DMAK.

Sebelum mengulas panjang,saya amat berharap agar semua pembaca blog dari Mesir berfikiran positif terhadap apa yang ingin saya luahkan.Terlebih dahulu,ingin saya nyatakan bahawa kali ini,dalam isu DMAK TERBAKAR dan TINDAKAN SUSULANNYA,saya memutuskan untuk bersikap BERKECUALI.Jauh sekali untuk menjuarai isu ini atau jaguh yang mahu disanjung,akan tetapi,cukuplah saya sebagai “ORANG LUAR” yang menjadi pemerhati sahaja.

Namun,saya harapkan pembaca memberikan sedikit keizinan kepada saya untuk mengulas kerana saya pernah menghuni DMAK dari OGOS 2004 hingga NOVEMBER 2006,sebelum berpindah ke Kolej Penginapan Antarabangsa Bu’uth Universiti Al Azhar.Saya memegang jawatan sebagai penghulu aras bagi sesi 2005/2006.

APAKAH PUNCA KEBAKARAN DMAK?

Seperti yang saya nyatakan tadi,masih segar diingatan saya beberapa sistem keselamatan di DMAK dan penyelenggaraan asas.Sebagai seorang penghulu aras pada ketika itu,saya harus bertanggung jawab atas beberapa perkara asas kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dengan penuh kesedaran.

Jika tiada air di pagi hari,pastinya masalah tersebut adalah berpunca dari “TOROMBAT” atau enjin air yang tidak berfungsi.Ini adalah kerana apabila enjin tersebut panas dan tak mampu berfungsi dengan laju untuk menampung permintaan terhadap fungsinya,secara automatik,alat keselamatan yang terletak berhampiran dengan LIF DMAK,akan memberhentikan mesin tersebut.Sistem keselamatan tersebut berfungsi dengan automatik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.Sebagai penghulu,saya hanya akan turun dan memaklumkan kepada pihak KESELAMATAN,seterusnya saya akan maklumkan kepada “MUHANDIS” atau jurutera bertugas untuk menghidupkan semula enjin tersebut.

Elektrik,hampir mustahil jika sistem elektrik punca kebakaran.Mengapa saya kata demikian? Di Mesir,penjualan “musytarak” atau wayar atau suiz penyambung dijual dengan meluas dan tanpa pengesahan seperti SIRIM di Malaysia.Harganya jauh lebih murah dan mempunyai penyambung yang banyak dari tiga hingga lima penyambung.

Penyambung yang mahal dan agak selamat adalah penyambung yang mempunyai “kawalan voltan” yang sepatutnya.Hampir setiap bilik mempunyai komputer,cerek elektrik atau pemanas air,kipas (musim panas) dan pemanas bilik (musim sejuk).




Ini bermakna,setiap penghuni menggunakan sekurang-kurangnya tiga penyambung wayar dalam satu-satu masa.Berdasarkan pengalaman lampau,jika terdapat masalah atau dalam erti kata yang lain,penyambung wayar tersebut rosak,lebih-lebih lagi yang murah dan tidak mempunyai sistem keselamatan,maka,alat tersebut akan mengeluarkan bau “wayar terbakar”.Dalam masa yang sama,sistem automatik elektrik yang dipasang setiap tingkat akan menolak atau menendang dengan cepat dan seterusnya bekalan elektrik tingkat berkenaan akan terputus.

Jika ada “tangan-tangan” gatal yang cuba membuka semula suiz automatik berkenaan,sementara penyambung wayar yang rosak berkenaan tidak ditarik dari suiz utama,maka automatik akan berfungsi menolak sekali lagi.Kebiasaannya,penghulu yang peka,akan segera memanggil jurutera bertugas untuk memberitahu masalah bekalan elektrik tingkat berkenaan.

Jurutera pula,akan segara mencari punca termasuk memeriksa semua suiz yang ada di tingkat berkenaan termasuk bilik-bilik penghuni.Ini bukti tahap keselamatan yang tinggi di DMAK!

Litar pintas! Satu teori yang tertolak.Jika benar ianya litar pintas,sudah pasti DMAK akan terbakar hangus dan bukannya tingkat 5 dan sebuah bilik sahaja yang musnah,bahkan seluruh bangunan akan hangus dalam masa yang singkat,lebih-lebih lagi penghuni yang merupakan saksi kejadian menceritakan kepada umum,bomba hanya datang selepas 20 minit berlaku kebakaran.

Mengapa satu bangunan akan ranap dan hangus dijilat api? Ini adalah kerana,fius akan cair dan memakan semua wayar-wayar yang ada dalam bangunan dan menyumbang kebakaran dengan cepat manakala api sukar dikawal justeru penghuni yang lambat turun dan “yang menunggu lif” tidak sempat untuk menyelamatkan diri.Lintar pintas satu musibah yang bukan kecil,bahkan satu musibah kebakaran yang paling merbahaya dan cepat!Dengan itu,kita yakin bahawa kebakaran yang berlaku,bukan berpunca dari lintar pintas!

Jika ada pula yang menafikan sistem keselamatan yang tinggi itu,apakah tiada di sana kecuaian penghuni bilik tersebut,apabila meninggalkan suiz-suiz yang tidak dimatikan ketika meninggalkan bilik? Dimanakah tanggungjawab kita selaku pengguna dan penghuni?
Jika benar ianya berpunca dari pengguna atau penghuni yang cuai,apakah tindakan wajar yang harus dikenakan keatas pesalah yang menjadi punca segalanya?Apakah orang yang menjadi punca tersebut harus membayar ganti rugi dan baik pulih yang bernilai SERATUS LAPAN PULUH ENAM RIBU POUND MESIR (LE 186,000)? Apakah pihak yang bersimpati yang ingin menjadi juara sanggup membuat kutipan untuk mencukupkan wang ganti rugi kepada pihak berwajib?

Persoalannya,apakah punca sebenar kebakaran tersebut? Masih misteri walaupun siasatan telah dilakukan.Apakah punca kebakaran masih dalam siasatan? Jika masih dalam siasatan,bilakah pihak berkenaan yang membuat siasatan akan selesai membuat laporan berkenaan?Ianya penting kerana lapan ribu warga Malaysia yang berada di Mesir tahu akan kebakaran berkenaan dan ingin tahu apakah punca kejadian.

Saya mengesyorkan kepada pihak berwajib,Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) mendedahkan laporan penuh punca kebakaran berkenaan kepada umum.

MUHASABAH BERSAMA

Kedua-dua belah pihak,pihak berkuasa (JPMK dan KBMK) serta penghuni DMAK, harus bermuhasabah atas apa yang berlaku.Jika benar ianya berpunca dari kecuaian,pihak berkuasa DMAK seperti JPMK dan KBMK harus meningkatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

Manakala penghuni pula,harus memikirkan keselamatan bersama dan menganggap penguatkuasaan tersebut adalah kebaikan bersama.Dari tahun 2005,sedar atau tidak,bagi mereka yang pernah memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa kebajikan DMAK,adakah kalian masih ingat cadangan kepada JPMK kebenaran memasak untuk penghuni DMAK?

Sepatutnya,penghuni DMAK dibenarkan masak memandangkan kedaan ekonomi mereka.Bayangkan, ada dikalangan penghuni yang datang dari keluarga yang miskin.Mereka ini tinggal di DMAK atas faktor “dekat dengan universiti”.Jika ada yang mendapat DERMASISWA zakat negeri,kadar dermasiswa berkenaan adalah “ketinggalan zaman”.Bayangkan,zakat negeri johor meningkat sejak beberapa tahun ini.Kutipan zakat negeri hari ini mencecah lebih RM 70 juta.Satu ketika dahulu,ketika zakat Johor hanya mencecah 20 Juta kebawah,kadar dermasiswa zakat pelajar Mesir adalah sebanyak RM 3600.Hari ini,kutipan zakat berkali ganda,dan kadar dermasiswa untuk mereka masih dengan kadar lama.Adakah ianya masuk akal?

Saya yakin,JPMK dan KBMK boleh berkompromi dalam isu “masak” di DMAK jika kena dengan caranya.Hanya sahaja,mereka perlu diyakinkan bagaimana boleh aktiviti memasak itu tidak dilihat mencemarkan kebersihan dan menjejaskan keselamatan .

Jika ada mekanisme yang sesuai dari aspek penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan kesedaran penghuni yang tinggi,ianya pasti dapat dilaksanakan.Namun,saya berpendapat akan ada pihak yang lebih berkuasa dari JPMK dan KBMK yang akan membuat keputusan untuk kebenaran tersebut.

Walaupun yang demikian,jika JPMK dan KBMK telah dilembutkan dan menerima cadangan tersebut,mereka tiada masalah untuk membantu kearah merealisasikan harapan tersebut.

Kantin pula,saya amat berharap agar pada masa akan datang,pembukaan tender tidak dibuat dengan hanya bermotifkan keuntungan semata.Paling bagus jika pengusaha kantin dapat membeli barang secara pukal terus dari pembekal dan menawarkan PAKEJ makanan yang murah untuk keselesaan para penghuni seperti LE 10 sehari makan tengahari dan malam.Ianya boleh dilaksanakan jika para penghuni benar-benar memberikan kerjasama.Harus diingat,kualiti masakan haruslah dijaga agar penghuni tidak lari ke tempat lain.Setakat ini,ramai yang merungut,jika majlis besar-besaran,masakannya sedap,manakala masakan harian untuk pelajar,agak mendukacitakan mereka.

Kantin DMAK pula,tidak boleh hanya menumpukan penghuni sebagai pelanggan utama.Ini adalah kerana DMAK berhampiran dengan KOLEJ PENGINAPAN ANTARABANGSA BU’UTH UNIVERSITI AL AZHAR.Seperkara lagi,sewa kantin DMAK harus diturunkan agar ianya tidak membebankan pengusaha.Saya tidak tahu apakah benar maklumat yang saya terima,hari ini,sewa kantin mencecah LE 3000,mungkin itulah faktor utama kantin menjual makanan dengan harga yang “kurang sesuai” bagi pelajar.

Bagi pihak penghuni pula,mereka seharusnya peka dengan aspek keselamatan dan jangan hanya tahu menyalahkan sebelah pihak sahaja.Ingat,kita mahasiswa universiti dan bukan pelajar sekolah menengah atau sekolah rendah.

Sikap sebahagian penghuni terhadap program-program yang memerlukan sokongan dan penglibatan mereka harus ditunjukkan dengan penglibatan yang positif.Masih segar diingatan saya,berapa susahnya hendak memanggil penghuni turun menyambut kedatangan orang kenamaan.Apa salahnya kita meraikan tetamu?Ada yang keluar awal-awal dari bangunan kononnya untuk majlis ilmu atau tutorial.Kebanyakkan majlis ramah mesra diadakan pada malam hari.Kelas tutorial bukan wajib berbanding kelas di Universiti yang tidak wajib dan ramai yang tidur di bilik.Tidak faham syarahan pensyarah dan kelas yang tak tetap kedatangan pensyarahnya menjadikan alasan untuk tidak hadir ke universiti dan hanya hadir di kelas tutorial di rumah-rumah negeri?

Ada sahaja suara yang berkata, “PROGRAM UMNO” sedangkan ianya adalah program rasmi kerajaan dan ramah mesra pemimpin dengan rakyatnya di luar Negara.Beberapa program akademik pula adalah bertujuan memberikan nilai tambah dan bukan membebankan penghuni atau MENG”UMNO”KAN penghuni.



Jika anda benar-benar merasakan kebanyakkan program di DMAK bercanggah dengan mahasiswa dan lebih mengUMNOkan sementara anda seorang penyokong dan fanatik PARTI PEMBANGKANG,silalah keluar dari DMAK dengan hati yang terbuka dan carilah tempat lain yang sesuai dengan anda.Mengapa perlu tinggal dalam tempat yang anda tidak suka?

SARANAN KEPADA JPMK

Wujud di DMAK beberapa bilik yang menjadi bilik warisan.Kalau bilik tersebut telah diduduki oleh orang Kelantan,maka bilik tersebut akan terus diduduki oleh Kelantan secara turun temurun.Bagaimana? sebelum penghuni terbabit pulang ke Malaysia atau keluar dari bilik,maka bilik tersebut akan diperturunkan kepada generasi seterusnya dengan tanpa dapat dikesan oleh pihak pentadbiran DMAK.JPMK harus membendung gejala ini dan harus ada keseimbangan negeri.Hari ini,majoriti penghuni adalah dari Kelantan! Keseimbangan tersebut haruslah juga merangkumi antara penghuni dari bidang PERUBATAN dan AGAMA.

Kedua,penguatkuasaan undang-undang sedia ada harus ditekankan dan dikuatkuasakan dengan tegas.Sepertimana maklumat yang saya terima,dari sumber yang rapat dengan JPMK,akan diadakan SPOT CHEK dengan lebih kerap selepas ini.Kekerapan itu haruslah dalam jangka masa yang singkat seperti seminggu sekali atau dua minggu sekali dengan waktu yang tidak dijangka oleh penghuni.

Ketiga,kemasukan ke DMAK haruslah ditimbang berdasarkan faktor AKADEMIK semata-mata dan bukan faktor lain.Saya cadangkan hanya mahasiswa cemerlang yang medapat JAYYID ke atas sahaja yang boleh tinggal di DMAK.Justeru mereka yang boleh membantu kecemerlangan akademik penghuni dan membantu tugas pihak JPMK dan KBMK apabila diperlukan seperti kedatangan para VVIP dan program-program tertentu harus juga diutamakan kerana golongan ini penting untuk menjaga imej mahasiswa agama.

Keempat,Hanya mereka yang tinggal di Kaherah layak memohon dengan pengesahan (tasdik) universiti semasa memohon tinggal di DMAK.

Kelima,kemasukan ke DMAK tidak dibuat secara sekali “daftar” terus tinggal “selama berada di Mesir”.Ini adalah kerana peraturan tinggal di DMAK secara asasnya ada menyebutkan hanya dibenarkan tinggal selama sekurang-kurangnya dua tahun,manakala mereka yang tinggal lebih dari tempoh tersebut adalah atas budibicara pihak berkuasa dengan tanpa disedari oleh mereka.

Oleh yang demikian,saya cadangkan agar JPMK membuat pendaftaran secara tahunan,di mana permohonan harus diperbaharui pada setiap habis semester pengajian berdasarkan keputusan peperiksaan dan budibicara JPMK seperti keterlibatan dalam aktiviti ko kurikulum.


PENUTUP


Isu ini harus ditangani secara bijak dan sederhana.Jangan ada yang bercakap secara kurang sopan.Prof Madya Dr Jamil adalah orang akademik dan bukan orang politik.Pegawai-pegawai JPMK dan KEDUTAAN orang paling sibuk memastikan perkara ini ditangani secara baik dan tidak ditembusi media perdana walaupun wartawan ASTRO sedang menginap di DMAK pada hari kejadian.

Jangan ada yang ingin menjuarai isu ini! Biarkan penghuni sesama penghuni bersuara dengan berhemah kepada pihak KBMK dan JPMK.Jangan ada yang menjadi dalang atau menyemarakkan api kemarahan.Islam mengajar kita saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan takwa serta jangan saling menolong dalam perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan.

Berfikir secara rasional.Jika tiada kebakaran,apakah akan berlaku semua tindakan ini. Bermuhasabahlah, siapa punca semua ini.Terima dengan hati yang terbuka.Jangan salah menyalahkan orang lain sedangkan kita sendiri yang salah.Kita memekik dan melaungkan pihak atasan yang bersalah,wajarkah? Wajarkah JPMK dan KBMK dipersalahkan sedangkan puncanya bukan mereka?

Berpijaklah dibumi yang nyata,bahawa bangunan besar di belakang kilang TAKI,nombor 16,Syarik AL KHAZINDAR itu ialah DEWAN MALAYSIA ABBASIAH KAHERAH (DMAK) dan bukan ASRAMA RUMAH MELAYU ABBASIAH (ARMA). Jangan jadi seperti orang yang gila talak tiga,bila dah ceraikan si timah dengan talak tiga,berkahwin pula dengam "si minah",tapi masih nak panggil “TIMAH KU SAYANG!!”. Fikir-fikirkan….

Tiada ulasan: