Khamis, 3 Februari 2011

PENGALAMAN DI TENGAH-TENGAH RUSUHAN

KEADAAN SEKELILING SALAH SEBUAH BALAI POLIS YANG DIBAKAR PERUSUH


BALAI POLIS YANG ROSAK TERUK DAN DIBAKAR PERUSUH

LAGI....

KENDERAAN FRU YANG DIBAKAR PERUSUH


Salah sebuah kereta kebal di ISKANDARIAH



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

Saat saya menulis entri kali ini,Mesir masih dalam keadaan berjaga-jaga ekoran perintah berkurung yang masih dikuatkuasakan dan kesan rusuhan yang masih kelihatan.Saya fikir,elok kiranya saya coretkan sedikit pengalaman saya berhadapan dengan suasana getir yang terperangkap di tengah-tengah rusuhan pada 28 Januari 2011.

PORT SAID

28 Januari 2011 adalah merupakan tarikh rasmi bermulanya cuti musim sejuk 2011 selama dua minggu.Saya telah diminta oleh adik-adik MARA ISKANDARIAH untuk menemani mereka ke FREE DUTY ZONE,PORT SAID untuk bersiar-siar sambil membeli belah barang keperluan musim sejuk.

Saya tiba di ISKANDARIAH yang jaraknya dari Kaherah adalah 210 KM pada malam 27 haribulan.Sampai sahaja di sana,saya agak terkejut apabila sistem komunikasi di Mesir seolah-olah tidak berfungsi dengan baik.

Ketika sampai di bangunan MARA,saya cuba membuka internet,tetapi gagal.Saya fikir,internet di bangunan berkenaan bermasalah.Sebelum tidur pula,saya menelefon kawan baik saya yang tinggal di ABDEEN,Kaherah,juga GAGAL.

Pada pagi jumaat,28 Januari 2011,saya bergerak bersama 27 adik-adik MARA ISKANDARIAH ke PORT SAID.Perjalanan berjalan lancar dan langsung tiada halangan.Sampai ke PORT SAID,kami menunaikan solat jumaat di sebuah masjid di tengah-tengah bandar.

Khatib menyeru umat ISLAM supaya tidak merosakkan keamanan negara dan mengingatkan kepada sidang jumaat betapa demontrasi besar-besaran di beberapa tempat di MESIR telah menyebabkan Mesir rugi berpuluh-puluh BILION POUND MESIR ketika rusuhan 25 Januari 2011.

Usai solat jumaat,kami menikmati juadah makan tengahari di sebuah restoran.Masih berseronok dan teruja dengan makanan laut yang sangat murah dan menyelerakan.Namun,ianya berakhir apabila aktiviti jual beli di sekitar "SUK TIGARAH" tiba-tiba hambar dan manusia lebih ramai memenuhi kedai-kedai kopi sambil menikmati juadah berita TV AL JAZEERA yang memaparkan secara langsung setiap saat apa yang sedang berlaku di KAHERAH dan beberapa negeri "govenerate" lain.

Saya fikir,ianya akan berhenti dengan aman.Akan tetapi,apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila terdapat berita yang mengatakan bahawa terdapat kematian dalam rusuhan berkenaan.Saya mula tidak sedap hati dan saya fikir,rakyatnya kali ini akan lebih marah.

PENGALAMAN PERTAMA DIKELILINGI MANUSIA BERSENJATA

Seperti yang sudah saya jangka,ianya memang sebuah rusuhan besar-besaran.Saya segera menghubungi pihak kedutaan,En Shaiful anuar,Ketua Canseri KEDUTAAN dan beliau menjawab panggilan dengan segera serta memberitahu kepada saya bahawa sekarang, ISKANDARIAH, Kaherah dan SUEZ sedang menjalani perintah berkurung dari jam 6 petang hinga jam 7 pagi.Untuk makluman,saat malam 28 Januari,hanya nombor-nombor tertentu boleh dihubungi.

Saya segera umumkannya kepada adik-adik MARA agar mereka lebih bersedia.Apabila bas yang bergerak laju itu mula memasuki kawasan ISKANDARIAH, kami mula melihat suasana berbeza.Manusia yang ramai,kebakaran di sana sini dan hilangnya polis.

Beberapa buah kereta kebal diletakkan di pintu masuk ISKANDARIAH.Kemudian,tidak jauh dari lokasi,beberapa trak polis terbalik dan terbakar bahkan terapat beberapa buah kereta perisai polis yang ditawan oleh perusuh dan mereka merampas senjata berkenaan.

Dari jarak yang dekat dengan bas,kelihatan beberapa perusuh melepaskan tambakan beberapa das dan ianya menyebabkan beberapa penumpang di belakang tunduk ketakutan.Walaupun tembakan tersebut dilepaskan ke udara,tapi aksi mereka menggerunkan kami.

Beberapa balai polis yang kami lalui,sedang terbakar dengan api yang marak jelas kelihatan dari dalam bas.Kami juga melalui ibu pejabat parti pemerintah NDP (National Democratic Party) ISKANDARIAH yang juga turut menjadi mangsa serangan perusuh.

Tidak lama selepas itu,kami tiba di tengah-tengah bandar untuk masuk ke sebuah jalan yang menghubungkan terus ke bangunan MARA Iskandariah.BAS kami tidak dapat masuk kerana dihalang oleh perusuh yang telah menutup jalan.Apa yang menggerunkan kami,ditangan mereka ada besi,pisau,pedang,parang dan "pump gun".

Saya adalah orang yang duduk di kerusi paling hadapan sekali.Saya agak takut saat itu,jika salah seorang dari mereka membaling senjata mereka kearah bas dan pasti,saya akan terkena dahulu.

Namun,AL HAMDULILLAH,perusuh tidak sedikit pun mencederakan kami bahkan mereka memberikan cadangan kepada pemandu bas agar mengikuti jalan lain yang lebih bagus dan dekat.

Akhirnya kami sampai ke bangunan MARA.Apa yang boleh saya rumuskan dari suasana getir tadi adalah,perusuh tidak mencedarakan orang asing dan mereka hanya mencari pihak polis yang terlibat membunuh rakan-rakan mereka.Justeru,isu pemuda yang terpelajar yang bernama KHALID SAID yang mati dibunuh oleh pihak polis ketika soal jawab dalam satu tuduhan yang tidak berasas pada tahun lepas menjadikan mereka lebih berani dan tempat untuk meluahkan kemarahan.

Itu hanya balas dendam yang terbuku di hati mereka sejak lama disamping isu semasa lain yang menyebabkan berlakunya rusuhan .Namun,ianya bukan secara keseluruhan.Sentimen ini bagi saya hanya ada di ISKANDARIAH tempat dimana pemuda itu membesar dan belajar.Akaun laman sosial FACEBOOK khas buat mangsa dibuka dan rakyat ISKANDARIAH begitu perihatin dengan isu ini.

Setelah selamat sampai di bangunan MARA,tidak berapa lama selepas itu,saya terdengar bunyi bising dari luar bangunan.Saya segera membuka tingkap dan kelihatan kumpulan manusia lari dengan bilangan yang ramai dengan senjata yang saya sebutkan tadi.

Fikir saya,mereka sedang meneruskan rusuhan sampai ke malam hari.Namun,apabila saya dan beberapa rakan yang lain keluar dari bangunan MARA,kami dimaklumkan bahawa orang awam sedang mengejar perompak yang telah memecah masuk bank berdekatan banguna MARA.

Anda dapat bayangkan,rakyat biasa sedang mempertahankan harta awam manakala perompak pula sedang bermaharajalela kerana ketiadaan pihak keselamatan.Tidak lama selepas itu,kedengaran bunyi kereta kebal memasuki kawasan berdekatan bangunan MARA.Itulah dalam hidup saya,kali pertama melihat kereta kebal bergerak di hadapan mata.

Sebelum ini,saya hanya dapat melihat dari jarak yang dekat dan tidak bergerak yang dipamerkan di PANORAMA SIITAH OKTOBER di salah salim street,sebuah memorial perang 6 Oktober 1973 yang dibuka kepada awam dengan bayaran sebanyak LE 20 pound Mesir.

Akhirnya,saya mendapat berita dari AMMU KHAMIS,rakyat tempatan dan seorang pekerja am rendah MARA ISKANDARIAH bahawa banduan-banduan terlepas dari beberapa buah penjara dan perompak sedang bermaharajalela.

Isu keselamatan rakyat kita menjadi persoalan saat ini kerana ketiadaan pihak keselamatan.Dengan berani,saya katakan bahawa perusuh tidak membahayakan orang awam dan orang asing,akan tetapi,yang membahayakan kami adalah perompak dan banduan yang terlepas yang mengambil peluang saat ini.

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH BERFUNGSI

AL HAMDULILLAH dan setiggi-tinggi tahniah kepada kedutaan yang berfungsi dengan efektif,membuka pejabatnya 24 jam.Ada dari mereka yang tidur-tidur ayam sahaja.Panggilan dari ibu bapa penjaga dari MALAYSIA tidak henti-henti sehingga ada yang menganggap kedutaan enggan menjawab panggilan dan mendapat publisiti TV3.Sedangkan,pihak kedutaan menjawab panggilan tidak henti-henti dan memang agak sukar untuk menerima dua atau tiga panggilan serentak ke sebuah nombor!!

Dalam suasana panik begini,memang sahaja kita akan berprasangka yang bukan-bukan.Namun, kita harus percaya bahawa ALLAH S.W.T berkuasa dan saat inilah sebenarnya menguji keimanan dan kesabaran.

Memindah atau membawa pulang lebih kurang 10 ribu rakyat kita di Mesir bukan mudah.Jangan kita samakan dengan AMERIKA yang bertindak tidak sampai 24 jam dari tragedi,ini adalah kerana pengkalan tentera udara mereka ada di timur tengah.

Jangan kita samakan juga seperti SINGAPURA.Mereka memang ada penerbangan SIA di Mesir dan penerbangan yang membawa keluar rakyat singapura bukanlah percuma bahkan BERHUTANG!

Sama-samalah kita bersabar dan menyerahkan kepada pihak berwajib.Kepada media di Malaysia,jangan senang menyebarkan berita,carilah berita dari sumber yang sahih.Hanya KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH sepatutnya jadi jurucakap kepada pihak Malaysia,bukannya pihak "ketiga".

Apa pun,kita harus tahu,apakah punca sebenar rusuhan ini? akan saya ulas berdasarkan pemerhatian saya dan pembacaan saya terhadap isu-isu semasa di Mesir.

1 ulasan:

~feez~ berkata...

saja singgah usha blog ustz..hehehe..jom jln2..:P